Sunday, July 12, 2015

Peristiwa langgar Low Yat: Satu penilaian

Saya yakin Islam tak ajar begini, juga peradaban halus penuh sopan Melayu tidak mengajar begini.


Langgar Low Yat. Boikot Low Yat.
(Buat yang tinggal dalam tempurung, tidak tahu menahu isu ini, boleh baca di sini, sini dan sini.)

Anologi yang cukup mudah, A bunuh ayah kepada B. B panggil kawan-kawan redah rumah keluarga A, runtuhkan pagar, pecahkan pintu, hancurkan kereta, tunggang terbalikkan rumah, dan bunuh A. Bukan sekadar itu, B ajak kawan-kawan boikot perniagaan A, keluarga A, dan kawan-kawan A kerana kejahatan A.

Wajarkah pada pandangan anda?

Tidak.

Kita bukan Arab Jahiliyyah. Kita masyarakat bertamadun. Kita punya undang-undang. Kita tak tuntut keadilan ikut kepala kita.

Sama juga kes di Low Yat. Jika benar peniaga itu menjual barang tiruan, minta ganti tak dapat, solusinya bukanlah melanggar kedai tersebut.

Anda boleh rakam keadaan berkenaan, hantar kepada persatuan pengguna. Anda boleh lapor kepada pihak penguatkuasa, pihak Kementerian Pengguna. Anda boleh saman syarikat tersebut dengan peguam dan sebagainya.

Maka saranan saya kepada pihak berkuasa, siasat dakwaan kedua-dua pihak. Yang dikatakan mencuri itu pun siasat, yang dikatakan menjual barang tiruan itu pun siasat (jika ada laporan polis), yang melanggar itu pun siasat. Isu ini bukanlah kes tuduhan RM 42 billion pun. Kes mudah.

****

Beberapa renungan hasil kes langgar Low Yat. 

1. Adakah rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap keadilan?

Sehingga rakyat mahu menuntut keadilan sendiri mengikut undang-undang sendiri? Seolah-olah sudah hilang kepercayaan kepada pihak polis dan mahkamah.

2. Malaysia masih lemah bab pendidikan kepenggunaan.

Pensyarah subjek Biologi saya di CFS pernah berkata bahawa dalam Planta, terdapat lemak-trans yang amat bahaya untuk kesihatan. Atherosclerosis. Namun yang peliknya, ia boleh sewenang-wenangnya kata dalam kaca televisyen yang Planta elok untuk kesihatan. Beliau juga mengatakan tentang minyak Zaitun yang digunakan untuk masak itu kebanyakannya tiruan serta mempunyai kualiti yang paling rendah.

Persatuan-persatuan pengguna di Malaysia tidak seaktif di luar negara. Kita tidak giat menentang produk tiruan.

Pengguna juga tidak mengetahui bagaimanakah cara melaporkan masalah seperti ini, juga tidak mengetahui undang-undang yang melindungi pengguna, dan bagaimana ia berfungsi.

3. Sebahagian rakyat Malaysia belum berfikiran matang.

Apabila sebahagian mereka meletakkan beban kesalahan lebih besar kepada penjual barang tiruan tersebut bukan samseng yang memukul sana-sini merosakkan harta benda orang lain dengan cara zalim dan tidak adil membuktikan kenyataan di atas. Sehingga ada yang kata, memang patut pun amuk kerana ditipu.

Juga apabila satu peniaga di Low Yat melakukan kesalahan, seluruh Low Yat diboikot. Setahu saya, hampir semua produk eletronik di rumah saya semua daripada Low Yat. Sihat sahaja kesemuanya Alhamdulillah. Anda membeli belah di Low Yat kerana mahukan harga yang murah. Maka risikonya mendapat barang tiruan. Andalah yang kena berhati-hati semasa membeli. Sama lah seperti membeli belah jersi dan beg di uptown.

Juga apabila semangat bangsa dinaikkan. Mengapa perkara ini menjadi topik perbincangan? Banyak dalam komen-komen di laman sosial, "Cina memang penipu!". Kalau begitu saya boleh kata, "Melayu memang kaki pukul tak bertamadun!". Adilkah? Tidak. Tidak perlu mengaitkan isu bangsa dalam hal ini.

Sering kita pujuk rayu kata jangan kaitkan Islam dengan ISIS, begitu jugalah jangan kita kaitkan bangsa dalam kejahatan seseorang. Berlaku adillah dalam berpendapat. Jangan hanya memohon keadilan semasa dizalimi, tetapi mengabaikan keadilan semasa berkuasa.

****

Mirip benar dengan kes baru-baru ini. Kes uptown Shah Alam ditutup oleh pihak penguatkuasa kerana menjual barang tiruan yang menyebabkan sebahagian Melayu mengamuk di Fb kerana menutup periuk nasi mereka.

http://kacamatahamba.blogspot.com/2015/06/stop-being-racists.html?m=1

Maka kini terdapat suara-suara sumbang menyuruh boikot sehingga Low Yat tutup. Tidakkah serupa?

Ironi sungguh.

****

Akhir kalam, kan bulan puasa. Tingkatkan kesabaran. Kan sabar itu jelita, ayu, cantik dan menawan.

"Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada TuhanMu serta Syurga seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang bertaqwa."

Siapa orang bertaqwa itu?

"Mereka yang bersedekah dalam keadaan senang mahupun susah, dan menahan marah serta bersifat pemaaf dengan manusia. Dan Allah cintakan orang yang baik."

[Ali Imran:133-134]

Inilah yang Islam ajar saya. Memperjuangkan keadilan dan hak pengguna dalam keadaan bertamadun, beradab sopan dan mengikut undang-undang.

Disclaimer: Saya meninjau pandangan masyarakat berdasarkan para pahlawan papan kekunci di ruangan komentar laman-laman sosial dan portal berita. Tidak bermakna pandangan mereka melambangkan keseluruhan Melayu, rakyat Malaysia dan Cina.

Antara komentar yang saya sangat setuju. Kredit kepada penulis asal walaupun saya sudah terlupa namanya.

Wednesday, July 1, 2015

Bekerjasama dan rasional tangani masalah ekonomi



Pendapat peribadi, rakyat tak perlu marah dengan GST, rasionalisasi subsidi dan sebagainya serta menuntut macam-macam daripada kerajaan. Faktanya ekonomi Malaysia memang tidak baik.

Nilai mata wang kita jatuh, inflasi, peristiwa-peristiwa belakangan ini, memang menyebabkan ekonomi kita tidak baik. Mana taknya, kapal terbang hilang, kapal hilang, mana orang nak percaya? Awal-awal dahulu nak naik MAS pun takut.

Nak tak nak, kena juga ambil langkah-langkah ini.

Situasi ini sebenarnya kalah-kalah. Sekalipun Pakatan Rakyat memerintah, mereka pasti tidak boleh menghapuskan GST dan memberikan subsidi.

Bajet negara sentiasa defisit. Jika tidak mahu GST, mungkin elaun, bonus pegawai kerajaan akan dikurangkan.

Ataupun lebih teruk, tingkatkan sahaja hutang negara lagi.

Sama ada rakyat susah sekarang, atau kemudian seperti di Greece.

Jika rakyat mengambil langkah yang sama dengan rakyat Greece, mogok dan tunjuk perasaan, ia bukan sahaja tidak membantu menyelesaikan masalah malah menyulitkan lagi masalah.

Kini, rakyat di sana tidak boleh keluarkan duit daripada mesin ATM. Hal ini menyebabkan pelancongan kurang. Pelaburan hampir tiada. Pengangguran tinggi melangit. Kerajaan bertukar tangan pun tak menyelesaikan masalah.

Hampir 10 pelan penjimatan telah dikeluarkan oleh kerajaan Greece.

Maka sama ada susah sekarang, kos sara hidup tinggi, ataupun hendak jadi seperti mereka.

Sekalipun anda tidak bersetuju dengan GST, untuk menghapuskannya memerlukan masa dan kos sekali lagi. Hampir mustahil.

Maka, kita harapkan negara kita ke arah negara berkebajikan, pendidikan percuma, kesihatan percuma, pengangkutan awal efisien dan sebagainya. Bila tiba masanya nanti. Sekarang tengah nazak.

Kedua-dua pihak, kerajaan mahupun pembangkang, perlu bekerjasama dalam hal ini. Rasional. Takkan kerajaan nak bagi lagi subsidi dalam keadaan seperti ini? Takkan nak tiris dan rasuah lagi?

Yang patut kita marah itu kerajaan yang buat 1MDB, isu MARA, ketirisan sana sini itu.

Kemewahan dan pembaziran yang berlaku.

Tak kesah lah sebanyak mana pun mereka sudah berikan kepada rakyat, walaupun itu duit hasil kerja mereka sendiri, pada penulis, masih tidak wajar untuk berfoya-foya dan bermewah.

Seolah-olah dirasakan sudah cukup apa yang diberi. Sedang rakyat ada yang lapar lagi. Sudah cukup berkhidmat untuk negeri sendiri, maka bolehlah membazir sedikit lagi.

Ini bukanlah pemimpin rakyat. Ini adalah golongan yang berlepas tangan.

Aku dah tolong, sudah. Jangan banyak cakap. Orang lain ramai lagi tak tolong.

Jika benar pemimpin rakyat, dia akan mengutamakan perut rakyat sebelum dirinya dan keluarganya.

Dah lah ekonomi masalah, mereka-mereka ini menambahkan lagi masalah dan berlepas tangan terhadap negara kita.

Ayuh. Bantu yang memerlukan. Jangan komen dan marah dengan nafsu.

Kita boleh kata kasihan kepada rakyat, tetapi apa yang kita sendiri telah lakukan?