Showing posts with label dakwah. Show all posts
Showing posts with label dakwah. Show all posts

Saturday, October 3, 2015

Saiful Nang dan aib tanah suci, satu penilaian

Kecoh tentang Saiful Nang dan aib tanah sucinya.

Hari ini aku ingin buka cerita.


Tahun lepas, sebelum percubaan SPM, aku diizinkan Allah untuk menunaikan umrah pada bulan Ramadan.

Tak pernah terlintas untuk aku jumpa apa-apa sebelum aku pergi. Tetapi, aku jelas terkejut meligat kondisi Ummah di sana.

Malam 27, malam yang dikatakan sebagai malam Lailatulqadar, aku melakukan tawaf umrah. Tahukah anda, sakit melakukan tawaf malam itu.

Mengapa?

Banyaknya biji kurma yang (ter/di)buang oleh Ummah. Aku jalan sedikit, terpijak. Dan terpijak. Dan terpijak.

Selepas Subuh, balik daripada masjid, aku dapati di jalanan tempat orang sembahyang dan sahur, penuh dengan sampah. Kotak yang digunakan pada waktu malam untuk melapik solat ditinggalkan, plastik makanan (Alhamdulillah makanan Arab tak berkuah) dan sebagainya.

Di dalam masjid Al-Haram itu sendiri, di tempat air zamzam, terdapat banyak cawan plastik terpakai bertaburan. Walaupun hanya perlu menoleh ke belakang untuk ke tong sampah.

Di jalan belakang jalan utama (kawan aku ada tunjuk kedai jual air tebu), longgokan sampah takat lutut di tepi jalan. Aku berjalan di tengah jalan pun di celah-celah sampah.

Apa yang aku cuba buktikan?
Tergugatkah kesucian Tanah Suci itu?

Tahukah anda, Baitul Maqdis yang literalnya bermaksud "rumah suci", statusnya tetap suci walaupun dilanyak Zionis.

Tahukah anda, nauzubillah jika Amerika masuk ke Kota Suci Makkah, merobohkan Kaabah, dan menjadikannya tapak pembuangan sampah (sebagaimana orang Rom lakukan kepada Baitul Maqdis sebelum pembukaannya oleh Khalifah Umar), Kota itu tetap kota suci bagi Ummah. Kiblat kita tetap menghala ke Kaabah.

Kota suci itu tetap suci walaupun penghuninya sekotor-kotor manusia.

Tanah suci tidak perlukan kita untuk mempertahankan kesuciannya. Kita yang perlukan tanah suci itu.

Adakah aku enggan pergi lagi ke Makkah?

Wallahi, aku berani sumpah, walaupun aku melihat dengan mata kepala aku sendiri segala masalah dengan penghuninya, ketika aku meninggalkan Makkah, benakku memberontak ingin terus tinggal di sana.

Aku hanya pulang memikirkan aku adalah milik Allah dan milik Ummah di negaraku. Dan aku harus bekerja menyedarkan Ummah. Agar apabila mereka tiba di Makkah kemudian hari, mereka tidak menjadi orang yang buang biji kurma, sampah dan cawan plastik merata-rata.

Aku memomokkan orang lain agar benci Makkah?

Sekali-kali tidak! Pergilah ke Makkah, nescaya anda akan jatuh cinta pandangan pertama melihat Kaabah. Dan perkara paling sedih apabila melakukan tawaf Wada'. Kaki diseret perlahan, jalan di tingkat yang jauh. Langkah dikecilkan. Mata tidak lekang daripada Kaabah.



Maka kenapa aku tuliskan perkara ini?

Tidak lain tidak bukan, aku mendedahkan punca mengapa Ummah kini mundur.

Sabda Nabi:
الطهور شطر الإيمان.
Kebersihan sebahagian Iman.

Makan jangan pelik apabila Ummah yang datang menziarahi Makkah pun boleh menjadi begitu dahsyat tahap ketidak-bersihannya, bagaimana kondisi iman Ummah?

Tatkala di tempat yang sepatutnya keimanan membuak-buak, hati mudah terikat dengan Allah, kebersihan masih gagal dijaga (Bin Laden Group, kontraktor pembersihan Tanah Haram menjaganya dengan sangat baik. Selepas subuh banyak sampah, pukul 7-8 begitu sudah bersih satu sampah pun tidak kelihatan).

Maka, dengan keimanan sebegini lemah, bagaimana Ummah hendak menang?

Kita lihat sendiri akhlak Ummah, yang mengaku kononnya "pejuang mempertahankan kesucian tanah suci", menggunakan bahasa yang kadangkala begitu kesat. Menggelar "bangang", "bodoh", "shiah", "Saiful Na-tang", "pelacur (berat eh tuduh orang pelacur)" dan sebagainya. Begitukah manifestasi iman? Iman itu manifestasinya amal dan akhlak bukan?

Berbeza pendapat, idea menentang idea.     Jangan babitkan nafsu. Jangan melampau dalam menegur. Tak perlu panggil orang penipu. Berikan hujah anda, sediakan fakta, pembaca akan menilai sendiri.

Dan aku juga berpendapat, hendaklah sesuatu itu diberi fakta yang konkrit. Semakan fakta perlu dilakukan sebelum pendedahan.

Aku tuntut fakta jelas, yang rumah pelacuran terdapat di Makkah. Buktikan ianya wujud, beroperasi. Di mana. Berapa.

Juga aku tuntut fakta jelas, yang Iran benar-benar sengaja mencari kesalahan Arab Saudi dan melaga-lagakan Sunni.

Kerana faktanya, pengkastaan Makkah itu jelas. Yang kaya, di Hilton. Yang miskin, di hotel lebih 1km daripada perkarangan Masjid. Sepatutnya siapa cepat dia dapatlah. Pakej Umrah dan Haji Malaysia pun membuktikan pengkomersilan Makkah ini.

Fakta lagi, pengurusan Haji memang milik Saudi. Kalau apa-apa berlaku ketika musim haji, memang telunjuknya pada Saudi jika mereka gagal buktikan sebaliknya. Quraish pra-Islam pun amat berhati-hati bab ini kerana mereka tahu kesannya.

Kira melagakan Sunni ke jika Iran memohon penjelasan terhadap isu Mina tempoh hari? Jemaah Iran ramai terkorban. Salahkah mereka menuntut penjelasan? Buktikanlah apa yang syurtah telah usahakan jika terbukti jemaah Iran itu mencetuskan onar.

Aku anti-conspiracy theories. Dan aku bukan Syiah (jangan tuduh aku taqiyyah, tuduhan murahan untuk mengatakan orang itu syiah tanpa bukti - orang yang kenal aku tahu aku siapa). Aku mahukan fakta konkrit.

Mengapa aku tidak memilih untuk menutup "aib tanah haram" ini?

Kerana ia bukan aib tanah haram. Ini aib kita semua. Dan yang mampu membaikinya, kita semua sebagai satu Ummah.

Aku tak mahu Ummah selesa, dikaburkan dengan persepsi bahawa Tanah Haram itu penghuninya dan pengunjungnya ahli syurga.

Tuesday, June 23, 2015

Qunut Nazilah sudah tidak lagi relevan



(Nabi Musa berkata: "Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu ; dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi".

Mereka menjawab: "Wahai Musa di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; jika mereka keluar daripadanya, maka kami akan masuk".

Berkatalah dua lelaki antara orang-orang yang takut, lagi yang telah diberi nikmat (taufik) oleh Allah kepada keduanya: "Seranglah mereka melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang-orang yang menang; dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu menyerang), jika benar kamu orang-orang yang beriman"

Mereka berkata: "Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu".

Nabi Musa berkata: "Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku tidak dapat menguasai selain daripada diriku sendiri dan saudaraku (Harun); oleh itu pisahkanlah antara kami dengan kaum yang fasik itu".

Allah berfirman: "Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka memasukinya - selama empat puluh tahun, mereka akan merayau-rayau dengan bingungnya di padang pasir (Sinai); maka janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang fasik itu".

[Al-Maidah 21-26]

****

Aku setiap pagi dengar bunyi penggera (baca: alarm) milik rakan sebilikku iaitu nasyid Qunut Nazilah nyanyian UNIC tak silap.

Cumanya pagi ini aku perasan, sebenarnya mirip benar situasi kita dengan kaum Bani Israel itu.

Kita enggan bertindak untuk menyelamatkan ummah.

Kemudian kita hanya berdoa dan terus berdoa. Memohon kepada Allah agar ummah dimenangkan.

Pergilah, warga Palestin dengan Tuhanmu dan perangilah! Kami tunggu.

Pergilah, warga Rohingya dengan Tuhanmu dan perangilah! Kami tunggu.

Pergilah, warga Uighur dengan Tuhanmu dan perangilah! Kami tunggu.

Maka di sini masalahnya kita. Orang kafir itu memang kafir harbi. Mereka memang akan menentang ummah Islam. Samada kita hendak jadi orang yang menang, atau kita hendak merayau-rayau dengan bingung seperti keadaan sekarang.

Bukankah kita dapat lihat sekarang ini ramai daripada ummah kita tidak lagi mempunyai pedoman hidup? Mereka bertuhankan harta dan hedonisme serta bingung dan kosong.



Itulah bukti kebenaran Al-Quran sudah tunjukkan, bagaimana Bani Israel, begitulah kita. Mereka degil, mereka merayau-rayau bingung. Kita degil, kita pun merayau-rayau bingung.

Ingatkan Al-Quran itu sia-sia?

Tahukah anda, kata Al-Qurtubi, ulama' bersepakat bahawa jika terdapat sebuah wilayah ummah yang diserang, maka wajib bagi penduduk di situ menentang tak kira orang tua mahupun wanita.

Jika mereka tidak mampu mempertahankannya, kewajipan itu jatuh kepada wilayah-wilayah sekelilingnya. Jika mereka tak mampu juga, kewajipan itu jatuh kepada yang sekeliling wilayah tersebut.

Dan seterusnya. Dan seterusnya.

Kerana itu kita lihat ummah di Palestin wanitanya pun berperang. Itu kewajipan mereka.

Maka kita lihat sekarang, masing-masing negara Islam diuji. Jiran kepada negara-negara Timur Tengah terdapat Palestin. Jiran kepada negara-negara Asia Tengah terdapat Uighur. Jiran kepada negara-negara Asia Tenggara terdapat Rohingya.

Masing-masing sudah dapat dilihat tidak mampu menentang penjajah dan penguasa zalim mereka.

Maka tugas kita untuk menentang mereka dan menghentikan kezaliman itu daripada terus berlaku atas apa cara sekalipun.

Tak kesahlah semangat ASEAN tidak membenarkan. Semangat manusiawi dan semangat ISLAM menyuruh. Maka apa hak kita hendak menolak?

Kalau doa sahaja memadai, anda ingat Allah tak nak kabulkan doa Syeikh Abdurrahman As-Sudais Imam Masjidil Haram yang mendoakan ummah setiap kali Ramadan merintih di hadapan Kaabah?

Apa guna ada kapal selam dan kapal perang kalau musuh ada di depan mata membunuh saudara, duduk diam?

Bab ini aku memang hormat kepada Erdogan. Itulah pemimpin yang lelaki. Sedikit lucah tetapi itulah hakikat.

Saat tiada siapa kesah langsung tentang Rohingya, mereka menjadi pingpong manusia dimainkan oleh Indonesia, Malaysia dan Thailand, Turki muncul dengan kapal-kapal perang mengambil mereka walaupun terpaksa mengharungi lautan Mediterranean, Laut Merah, Lautan Hindi untuk sampai ke perairan Nusantara ini.

Lebuh teruk lagi apabila ada yang melabel orang Rohingya dan imam-imam Palestin yang datang ke Malaysia sebagai pengecut yang lari daripada medan perang. Padahal yang bacul itu kita. Jiran tak guna!

Qunut Nazilah itu untuk pejuang. Kerana itu ayat pertamanya "Ya Allah kami letakkan kamu di batang leher musuh-musuh kami".

Kalau kita, kita ada musuh ke? Nampak macam kawan saja. Tidak bergaduh, siap boleh berikan bantuan ekonomi pula.

Bantu.

Berikan sumbangan.

Boikot. Sanggup anda membeli dengan mereka yang membantu pembunuh saudara anda?

Tingkatkan kesedaran.

Gesa pemimpin kita mengambil tindakan diplomatik. OIC itu patut malu akan kebaculan dan kedayusan mereka. 

Suruh kepada makruf dan cegah mungkar. Ingat Allah nak menangkan ummah kalau semua asyik leka bermain PS dan handphone, akhlak lebih buruk daripada binatang (gaduh di bazar Ramadan, membazir, tak datang persidangan parlimen, tidak tutup aurat dan lain-lain) . ibadah entah ke mana?

Doa sahaja takkan ke mana. Tak dinafikan doa juga usaha. Allah mahu melihat usaha lebih daripada itu.

Ramadan kareem!

Thursday, June 26, 2014

Di sebalik kecewa


Kecewa di atas kecewa. Putih mata. Yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran begitu sahaja.
Kadangkala kita terlalu kecewa, terlupa nikmat lain yang dikurniakan kepada kita. Yang membolehkan kita hidup terus suka bahagia pengubat duka lara petunjuk sepanjang masa. 
Meniti titian nikmat yang luas seluas laut yang tiada penghujungnya, sering kita tangisi dan menungkan lubang kecil di sana sini melayani rasa putus asa bergelojak di hati padahal titi itu masih kukuh untuk dijalani. Malah ada yang sanggup terjun dalam lubang akibat kekecewaan tinggi menaungi diri. 
Bagi mereka yang beriman, kekecewaan mereka tidak kekal lama kemudian. Seusai pengaduan kepada Tuhan, segala isi hati diluahkan, doa dititipkan penuh harapan, hidup baru terus dimulakan dengan tunas harapan subur menghijau menyegarkan tubuh badan. 
Terus mencari tanda-tanda yang Tuhan berikan sebagai petunjuk buat diri yang kesesatan. Terasa kosong menanti giliran sedang sebenarnya Tuhan menghidangkan lapangan untuk hambaNya berfikir akan kejadian Tuhan yang beraneka rupa dan perlakuan. 
Tinggalkan bisikan syaitan durjana. Anggaplah Allah memberi peluang kedua agar kita kembali kepadaNya seusai kita menjauhkan diri seberapa lama terikat dengan dunia fana. Memberi peluang menilai semula dosa sengaja seolah mencampakkan diri ke dalam neraka. 
This poetry is for:
1. Fellow JPJ Test candidates that failed his or her test today.
2. My beloved band of brothers, 2NT that will take their report card tomorrow. May Allah ease.
3. All Al-Aminians who will take their report card tomorrow. May the future be the best for us.
4. My beloved sister although she had nothing to be "kecewa" of.
5. My beloved Mak and Abah who will take MY report card tomorrow. May Allah grant you an extremely high level of beautiful patience.


Ah. penat bermadah bicara. Hari ini penuh peristiwa. Tidak hadir ke sekolah (cakap jelah ponteng! Bajet nak bunyi sopan aje...) sia-sia. Menanti bukan main lama. Daripada jam 10 sehingga pukul 6 setengah lamanya. Puas main 2048, mengaji dan minum air pelbagai perisa. Kalaulah air itu percuma kan bahagia. 

Kononnya rancang mula pukul 10 habis dalam pukul 2. Boleh datang sekolah belajar Kimia, pergi tahfiz sat dan ke Usrah yang menganjurkan jamuan pula. Ini habis pukul 6:30, melepaslah segalanya.

Yang dikejar (lesen) tak dapat. Yang dikendong (Addmaths, Fizik, Kimia, jamuan...eh, Usrah...) berciciran. Kekecewaan di atas kekecewaan. Ulangan ujian? 14 Ogos 2014, lebih sebulan. Tambah kekecewaan.

Benarlah kata-kata di belakang kereta Ujian JPJ, "Pemandu sedang diuji". Rasa benar teruji. Bukit dan letak kereta sudah dilalui. Sampai ke pusingan 3 penjuru, sepatutnya yang paling mudah itulah yang menjadi penghalang antara aku dan lesen yang dinanti-nanti.

Jika lulus, pemandu akan diuji samada dia bersyukur atau kufur. Jika dia gagal, pemandu akan diuji samada dia redha atau terus kecewa. Aku tergolong dalam golongan kedua.

Jadikanlah segala kegagalan anda sebagai batu loncatan anda untuk mencapai gemilang. Carilah hikmah Tuhan di kala susah mahupun senang. Jangan sesekali putus asa walau apapun merintang. Allah menjadi saksi begitu juga bintang-bintang, yang kita akan terbang melayang menuju gemilang menjadi bintang yang bukan binatang.

Mungkin dengan gagalnya aku, aku lebih merendah diri dan tidak terlalu hidung tinggi. Mungkin dengan gagalnya aku, Ramadanku akan lebih dihayati. Tuhanlah yang Maha Mengetahui.


PS: tadi nampak satu kumpulan perempuan, 3 orang. Seorang bertudung labuh sehingga bawah punggung, seorang bertudung ala-kadar kurang bahu dan seorang lagi terus tak bertudung dan seksi. Dan kesemua mereka harmoni bersembang dan berkongsi kereta.

Kepelbagaian manusia. Dihimpit oleh 2 perempuan di tempat duduk yang sempit sehingga aku bangun untuk keluarkan diri. Mereka begitu baik hati membuka ruang namun, rapat sangat ya ukhti. Ditepuk di bahu oleh seorang perempuan yang menanyakan keputusan (yang kami fail bersama di tempat yang sama). Daripada yang berpurdah kepada yang freehair. Daripada yang berjubah sehingga yang merokok.

Mendengar 2 lelaki yang baru berkenalan sedang berborak tentang bagaimana mereka dibuang sekolah dan enggan bersekolah lagi... 1001 jenis manusia. Menyebabkan aku terfikir, adakah zon selamat yang aku duduki ini terlalu selamat atau apa? Begitukah keadaan ummah sebenarnya? Mampukah aku bergaul dengan mereka semua?

Itu baru kereta. Hari masuk kelas motor lagi dahsyat orang-orangnya.

Banyak lagi yang perlu dipelajari daripada hidup ini. Benarlah, guru yang paling baik ialah pengalaman.