Showing posts with label Al-Quran. Show all posts
Showing posts with label Al-Quran. Show all posts

Sunday, April 3, 2022

Refleksi Ramadan 2022 - Juz 2 - Kisah Talut & Jalut

1. Dalam ayat 247, Bani Israel bertanya kepada Nabi mereka, mengapa Talut yang dipilih sedangkan mereka merasakan mereka lebih berhak, dan Talut tidak mempunyai harta? Jawab Nabi mereka, Allah berikan kekuasaan kepada Talut, dan Allah beri Talut kelebihan dalam ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh.

2. Hak untuk mempimpin bukan hak mutlak mana-mana pihak. Yang layak ialah yang berilmu dan kuat tubuh badan. Sebab itu dua daripada ciri peribadi Muslim ialah kuat tubuh badan dan berpengetahuan luas.

3. Kini kita lihat banyak polemik sekitar usia pemimpin. Akhir sekali kita sepatutnya pilih pemimpin yang mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik. Tubuhnya harus cukup sihat untuk melaksanakan tugasnya, dan akalnya harus cukup tajam untuk melakukan tanggungjawabnya.

4. Kriteria untuk kekuatan untuk Talut ialah kerana beliau akan memimpin tentera. Dalam konteks kriteria wakil rakyat, kemampuan untuk pertamanya hadir ke dewan rakyat atau dewan undangan negeri, dan keduanya berbahas serta menyumbang kepada diskusi dalam dewan.

5. Pemimpin yang sekadar popular kerana harta, keturunan, retorik-retorik kosong tanpa idea bernas yang membantu diskusi dalam dewan akhirnya hanya akan melambatkan diskusi, membazirkan perbendaharaan negara, seterusnya secara amnya membebankan negara.

2 Ramadan 1443H

#ReRama22

Saturday, April 2, 2022

Refleksi Ramadan 2022 - Juz 1 - Kisah Nabi Ibrahim AS (mukasurat 19-20)



1. Sejauh mana kita menyerah diri kepada Allah? Apa suruhan Allah yang kita tinggal, larangan Allah yang kita buat?

Apabila Tuhan Nabi Ibrahim katakan kepadanya, “serahlah diri!” Beliau berkata, “aku berserah diri kepada Tuhan Sekalian Alam!” (Al-Baqarah 2:131)

2. Setiap amal kita, kita mesti sentiasa menyimpan harap Allah akan terima. Jangan kita dengan angkuh menganggap Allah akan terima setiap amalan kita secara automatik.

Ketika Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail membina Kaabah, rumah Allah, atas arahan Allah, mereka masih memohon Allah menerima amalan mereka. (Al-Baqarah 2:127)

3. Murah rezeki tak bermakna diredai. Bagi mereka yang menolak kebenaran dan mendustakan keEsaan Allah, mereka masih mendapat nikmat di dunia. (Al-Baqarah 2:126)

4. Keimanan kita kepada Allah akan mendorong kita “mewasiatkan agama” ini kepada generasi seterusnya. Belum ada anak sendiri, didiklah (tarbiahlah) adik-adik untuk menyerah diri kepada Allah.

Sebab itu Nabi Ibrahim sentiasa sebut tentang anak-anaknya, kemudian cucunya Nabi Yaakub juga mewasiatkan agama ini kepada anak-anaknya. (Al-Baqarah 2:132)

1 Ramadan 1443H

#ReRama22

________

Ini ialah siri refleksi, bukan tafsir. Sebarang salah silap boleh betulkan.

Saturday, January 23, 2016

Tak faham apa-apa. Baca sahaja.



Hari ini aku membaca jurnal. Tugasan subjek bahasa Inggeris. Aku tak faham apa-apa. Aku baca dan terus membaca.

Sampai aku pening sebab aku tak faham. Aku baca semula.

Tapi masih tak faham.

Maka aku ambil langkah untuk baca sampai habis. Manalah tahu kalau baca sampai habis faham apa yang cuba disampaikan.

Sambil baca boleh khayal ke benda lain, sebab tak faham apa yang dibaca.

Aku mula cari teknik lain. Aku cuba baca, jumpa sahaja perkataan tak faham, aku buka Google, cari makna perkataan tersebut.

Google pula sabotaj. Definisi yang dia bagi pun aku tak faham. Aku bingung. Aku cari sinonim. Alhamdulillah, sinonimnya aku faham.

Bila masukkan dalam artikel, aku tak faham bagaimana ia sesuai dengan ayat tersebut.

Oh, baru aku faham. Ianya istilah rupanya. Aku pun cari sekali lagi apa maksud istilah tersebut.

Sekali lagi Google sabotaj. Istilah diolah dengan lagi dua tiga istilah. Terbaik!

Aku pun tulis blog. Nak meroyan.

****

Aku teringat masa kecil-kecil dahulu. Sebab di sekolah rendah dah diprogramkan untuk hafal surah-surah juzu 30, aku boleh baca juzu tersebut (ketika itu) sambil berkhayal. Tak faham apa-apa. Baca sahaja.

Aku teringat masa aku sekolah menengah, aku baca Mathurat. Aku mula tengok kiri kanan, gelakkan orang yang tidur atau tersengguk. Tak faham apa-apa. Baca sahaja.

Ya, Tuhan janjikan pahala. Tapi apa yang kita dapat untuk perbaiki diri jika tak faham apa yang kita baca?

Doa Mathurat itu perlindungan. Kalau kita tak faham apa-apa, seolah-olah kita meminta sesuatu yang kita tak tahu.

Macam kita pergi kedai mamak, pesan sesuatu dalam bahasa mamak. Kita tak tahu pun apa yang kita pesan, sama ada air atau makanan, sama ada mee atau roti, tapi kita cuma mengharapkan mamak itu bawa sesuatu yang baik.

Belum lagi baca Quran. Tak faham apa-apa. Maka tak boleh ambil apa-apa pengajaran. Maka tak boleh beramal.

Oleh kerana itu, ayuhlah cuba fahamkan apa yang kita baca bersama-sama.

Tuesday, June 23, 2015

Qunut Nazilah sudah tidak lagi relevan



(Nabi Musa berkata: "Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu ; dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi".

Mereka menjawab: "Wahai Musa di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; jika mereka keluar daripadanya, maka kami akan masuk".

Berkatalah dua lelaki antara orang-orang yang takut, lagi yang telah diberi nikmat (taufik) oleh Allah kepada keduanya: "Seranglah mereka melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang-orang yang menang; dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu menyerang), jika benar kamu orang-orang yang beriman"

Mereka berkata: "Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu".

Nabi Musa berkata: "Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku tidak dapat menguasai selain daripada diriku sendiri dan saudaraku (Harun); oleh itu pisahkanlah antara kami dengan kaum yang fasik itu".

Allah berfirman: "Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka memasukinya - selama empat puluh tahun, mereka akan merayau-rayau dengan bingungnya di padang pasir (Sinai); maka janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang fasik itu".

[Al-Maidah 21-26]

****

Aku setiap pagi dengar bunyi penggera (baca: alarm) milik rakan sebilikku iaitu nasyid Qunut Nazilah nyanyian UNIC tak silap.

Cumanya pagi ini aku perasan, sebenarnya mirip benar situasi kita dengan kaum Bani Israel itu.

Kita enggan bertindak untuk menyelamatkan ummah.

Kemudian kita hanya berdoa dan terus berdoa. Memohon kepada Allah agar ummah dimenangkan.

Pergilah, warga Palestin dengan Tuhanmu dan perangilah! Kami tunggu.

Pergilah, warga Rohingya dengan Tuhanmu dan perangilah! Kami tunggu.

Pergilah, warga Uighur dengan Tuhanmu dan perangilah! Kami tunggu.

Maka di sini masalahnya kita. Orang kafir itu memang kafir harbi. Mereka memang akan menentang ummah Islam. Samada kita hendak jadi orang yang menang, atau kita hendak merayau-rayau dengan bingung seperti keadaan sekarang.

Bukankah kita dapat lihat sekarang ini ramai daripada ummah kita tidak lagi mempunyai pedoman hidup? Mereka bertuhankan harta dan hedonisme serta bingung dan kosong.



Itulah bukti kebenaran Al-Quran sudah tunjukkan, bagaimana Bani Israel, begitulah kita. Mereka degil, mereka merayau-rayau bingung. Kita degil, kita pun merayau-rayau bingung.

Ingatkan Al-Quran itu sia-sia?

Tahukah anda, kata Al-Qurtubi, ulama' bersepakat bahawa jika terdapat sebuah wilayah ummah yang diserang, maka wajib bagi penduduk di situ menentang tak kira orang tua mahupun wanita.

Jika mereka tidak mampu mempertahankannya, kewajipan itu jatuh kepada wilayah-wilayah sekelilingnya. Jika mereka tak mampu juga, kewajipan itu jatuh kepada yang sekeliling wilayah tersebut.

Dan seterusnya. Dan seterusnya.

Kerana itu kita lihat ummah di Palestin wanitanya pun berperang. Itu kewajipan mereka.

Maka kita lihat sekarang, masing-masing negara Islam diuji. Jiran kepada negara-negara Timur Tengah terdapat Palestin. Jiran kepada negara-negara Asia Tengah terdapat Uighur. Jiran kepada negara-negara Asia Tenggara terdapat Rohingya.

Masing-masing sudah dapat dilihat tidak mampu menentang penjajah dan penguasa zalim mereka.

Maka tugas kita untuk menentang mereka dan menghentikan kezaliman itu daripada terus berlaku atas apa cara sekalipun.

Tak kesahlah semangat ASEAN tidak membenarkan. Semangat manusiawi dan semangat ISLAM menyuruh. Maka apa hak kita hendak menolak?

Kalau doa sahaja memadai, anda ingat Allah tak nak kabulkan doa Syeikh Abdurrahman As-Sudais Imam Masjidil Haram yang mendoakan ummah setiap kali Ramadan merintih di hadapan Kaabah?

Apa guna ada kapal selam dan kapal perang kalau musuh ada di depan mata membunuh saudara, duduk diam?

Bab ini aku memang hormat kepada Erdogan. Itulah pemimpin yang lelaki. Sedikit lucah tetapi itulah hakikat.

Saat tiada siapa kesah langsung tentang Rohingya, mereka menjadi pingpong manusia dimainkan oleh Indonesia, Malaysia dan Thailand, Turki muncul dengan kapal-kapal perang mengambil mereka walaupun terpaksa mengharungi lautan Mediterranean, Laut Merah, Lautan Hindi untuk sampai ke perairan Nusantara ini.

Lebuh teruk lagi apabila ada yang melabel orang Rohingya dan imam-imam Palestin yang datang ke Malaysia sebagai pengecut yang lari daripada medan perang. Padahal yang bacul itu kita. Jiran tak guna!

Qunut Nazilah itu untuk pejuang. Kerana itu ayat pertamanya "Ya Allah kami letakkan kamu di batang leher musuh-musuh kami".

Kalau kita, kita ada musuh ke? Nampak macam kawan saja. Tidak bergaduh, siap boleh berikan bantuan ekonomi pula.

Bantu.

Berikan sumbangan.

Boikot. Sanggup anda membeli dengan mereka yang membantu pembunuh saudara anda?

Tingkatkan kesedaran.

Gesa pemimpin kita mengambil tindakan diplomatik. OIC itu patut malu akan kebaculan dan kedayusan mereka. 

Suruh kepada makruf dan cegah mungkar. Ingat Allah nak menangkan ummah kalau semua asyik leka bermain PS dan handphone, akhlak lebih buruk daripada binatang (gaduh di bazar Ramadan, membazir, tak datang persidangan parlimen, tidak tutup aurat dan lain-lain) . ibadah entah ke mana?

Doa sahaja takkan ke mana. Tak dinafikan doa juga usaha. Allah mahu melihat usaha lebih daripada itu.

Ramadan kareem!

Tuesday, June 16, 2015

Bulan puasa



"What have you prepared for your Ramadan?" asked our Biology lecturer Mr Muhammad Ng.

"Kurma!" one of the girls in our class answered while others kept silent.

"Food only?"

He looked frustrated but went on teaching Biology.

****

Ramadan. Di Malaysia lebih terkenal dengan istilah "bulan puasa".

Aku tak setuju. Kerana jika hanya puasa yang ditekankan, memanglah hanya puasa yang kita dapat daripada Ramadan.

Sebab itulah apabila ditanya apakah persediaan menghadapi Ramadan jawapannya kurma.

Mungkin persediaan rohani dan amalan itu dirahsiakan. Mungkin.

Aku lihat Ramadan ini sebagai sebuah kursus intensif. Kursus yang di dalamnya peserta (ummah) diminta untuk melakukan praktikal (amal) secara intensif tanpa adanya gangguan (syaitan). Maka, hasil daripada kursus ini, peserta akan lebih mantap melakukan praktikal dan menjadi Muslim yang lebih baik daripada sebelum kursus.

Secara intensif, kita disuruh mengawal nafsu, mengawal lidah daripada mengumpat, mengancam untuk menyiku, melutut, whack dan sebagainya, meningkatkan bacaan dan penghayatan terhadap Al-Quran, meningkatkan solat sunat dan lain-lain.

Maka, apabila kita gunakan istilah "bulan puasa"  jangan pelik jika terdapat orang yang berpuasa tapi tidak menutup aurat. Orang yang puasa tapi sibuk cari gaduh dengan semua orang. Orang yang puasa tapi tak solat.

Kerana mereka tidak menghayati falsafah Ramadan. Kenapa mereka puasa? Ntah. Kerana semua orang lain puasa kot.

Lagi satu perkara tentang pembacaan Al-Quran. Aku lihat ramai yang target nak khatam.

Alhamdulillah. Bagus.

Namun aku nak ingatkan, baca Al-Quran hanya ibarat mantera, dapat pahala membaca InsyaAllah.

Tapi kalau baca dengan menghayati, memahami dan mengamalkan Al-Quran itu pahalanya jauh lebih besar.

Maka tak perlu berlumba untuk khatam. Berlumbalah untuk beramal dengan Al-Quran.

Al-Quran itu datang sebagai petunjuk untuk manusia. Maknanya kita menjadikan Al-Quran itu petunjuk dalam kita membuat pilihan hidup.

Sama ada hendak melabel orang itu pengecut, menceritakan keburukan orang lain atau hendak berdiam diri.

Sama ada kita hendak memakai baju ketat mendedah aurat dalam acara Gimnastik atau tidak.

Sama ada hendak kahwin dengan sambutan melampau atau tidak.

Sama ada hendak menghilangkan, menggunakan duit rakyat untuk kepentingan peribadi atau tidak.

Kita rujuk Al-Quran dalam setiap perbuatan kita untuk semak sama ada perbuatan kita diredhai Allah atau tidak.

Bukan menjadikan Al-Quran sekadar mantera yang dibaca ketika orang mati atau pada malam Jumaat.

****

Maka bersediakah anda untuk Ramadan?

Terlalu lambat dah pun untuk bersedia awal. Usahalah sungguh-sungguh untuk manfaatkan Ramadan ini.

Agar kita berjaya menaik taraf iman dan amal kita selepas Ramadan.

Tak susah nak istiqamah dalam Ramadan. Susahnya nak istiqamah selepas Ramadan.

Hasil sebuah kursus dilihat selepas kursus itu tamat bukan? Maka hasil Kursus Ramadan dilihat selepas Ramadan.

Jom beramal! Moga Allah sampaikan kita kepada Ramadan, moga Allah tingkatkan iman dan amal serta menerimanya dan memudahkan untuk kita istiqamah dengannya.

****

Sedikit tips untuk Al-Quran:
1. Sentiasa dalam keadaan berwudu. InsyaAllah tak rugi. Bil air tak lah mahal mana pun. Maka bila sahaja ada peluang, terus boleh buka mushaf dan baca.

2. Bawa Quran ke mana-mana di tangan anda. Jangan tinggal dalam beg atau di rumah. Kelak anda akan malas hendak membukanya. Anda boleh buka dan baca ketika sedang tunggu bas, tunggu lecturer masuk kelas dan sebagainya jika ia berada di tangan anda.

3. Tandakan Quran anda dengan post-it notes pada ayat-ayat yang anda suka atau tersentap dengannya. Quran itu milik anda. Allah berikan kepada anda. Jangan takut nak highlight Quran itu atau membuat apa-apa tanda. Lain kali anda membaca Al-Quran, anda boleh ingat ayat-ayat tersebut. Dan ketika waktu lapang, anda cari sahaja tanda-tanda itu untuk memperbaharui Iman.

Seperti ini. 


4. Jika anda mengaji tak lancar, baca juga Al-Quran. Biar tidak khatam asalkan baca. Anda dapat 2 pahala. Pahala membaca dan pahala susah payah anda membaca. Aku tau sebab dulu aku pun begitu.