Showing posts with label ibadah. Show all posts
Showing posts with label ibadah. Show all posts

Tuesday, June 16, 2015

Bulan puasa



"What have you prepared for your Ramadan?" asked our Biology lecturer Mr Muhammad Ng.

"Kurma!" one of the girls in our class answered while others kept silent.

"Food only?"

He looked frustrated but went on teaching Biology.

****

Ramadan. Di Malaysia lebih terkenal dengan istilah "bulan puasa".

Aku tak setuju. Kerana jika hanya puasa yang ditekankan, memanglah hanya puasa yang kita dapat daripada Ramadan.

Sebab itulah apabila ditanya apakah persediaan menghadapi Ramadan jawapannya kurma.

Mungkin persediaan rohani dan amalan itu dirahsiakan. Mungkin.

Aku lihat Ramadan ini sebagai sebuah kursus intensif. Kursus yang di dalamnya peserta (ummah) diminta untuk melakukan praktikal (amal) secara intensif tanpa adanya gangguan (syaitan). Maka, hasil daripada kursus ini, peserta akan lebih mantap melakukan praktikal dan menjadi Muslim yang lebih baik daripada sebelum kursus.

Secara intensif, kita disuruh mengawal nafsu, mengawal lidah daripada mengumpat, mengancam untuk menyiku, melutut, whack dan sebagainya, meningkatkan bacaan dan penghayatan terhadap Al-Quran, meningkatkan solat sunat dan lain-lain.

Maka, apabila kita gunakan istilah "bulan puasa"  jangan pelik jika terdapat orang yang berpuasa tapi tidak menutup aurat. Orang yang puasa tapi sibuk cari gaduh dengan semua orang. Orang yang puasa tapi tak solat.

Kerana mereka tidak menghayati falsafah Ramadan. Kenapa mereka puasa? Ntah. Kerana semua orang lain puasa kot.

Lagi satu perkara tentang pembacaan Al-Quran. Aku lihat ramai yang target nak khatam.

Alhamdulillah. Bagus.

Namun aku nak ingatkan, baca Al-Quran hanya ibarat mantera, dapat pahala membaca InsyaAllah.

Tapi kalau baca dengan menghayati, memahami dan mengamalkan Al-Quran itu pahalanya jauh lebih besar.

Maka tak perlu berlumba untuk khatam. Berlumbalah untuk beramal dengan Al-Quran.

Al-Quran itu datang sebagai petunjuk untuk manusia. Maknanya kita menjadikan Al-Quran itu petunjuk dalam kita membuat pilihan hidup.

Sama ada hendak melabel orang itu pengecut, menceritakan keburukan orang lain atau hendak berdiam diri.

Sama ada kita hendak memakai baju ketat mendedah aurat dalam acara Gimnastik atau tidak.

Sama ada hendak kahwin dengan sambutan melampau atau tidak.

Sama ada hendak menghilangkan, menggunakan duit rakyat untuk kepentingan peribadi atau tidak.

Kita rujuk Al-Quran dalam setiap perbuatan kita untuk semak sama ada perbuatan kita diredhai Allah atau tidak.

Bukan menjadikan Al-Quran sekadar mantera yang dibaca ketika orang mati atau pada malam Jumaat.

****

Maka bersediakah anda untuk Ramadan?

Terlalu lambat dah pun untuk bersedia awal. Usahalah sungguh-sungguh untuk manfaatkan Ramadan ini.

Agar kita berjaya menaik taraf iman dan amal kita selepas Ramadan.

Tak susah nak istiqamah dalam Ramadan. Susahnya nak istiqamah selepas Ramadan.

Hasil sebuah kursus dilihat selepas kursus itu tamat bukan? Maka hasil Kursus Ramadan dilihat selepas Ramadan.

Jom beramal! Moga Allah sampaikan kita kepada Ramadan, moga Allah tingkatkan iman dan amal serta menerimanya dan memudahkan untuk kita istiqamah dengannya.

****

Sedikit tips untuk Al-Quran:
1. Sentiasa dalam keadaan berwudu. InsyaAllah tak rugi. Bil air tak lah mahal mana pun. Maka bila sahaja ada peluang, terus boleh buka mushaf dan baca.

2. Bawa Quran ke mana-mana di tangan anda. Jangan tinggal dalam beg atau di rumah. Kelak anda akan malas hendak membukanya. Anda boleh buka dan baca ketika sedang tunggu bas, tunggu lecturer masuk kelas dan sebagainya jika ia berada di tangan anda.

3. Tandakan Quran anda dengan post-it notes pada ayat-ayat yang anda suka atau tersentap dengannya. Quran itu milik anda. Allah berikan kepada anda. Jangan takut nak highlight Quran itu atau membuat apa-apa tanda. Lain kali anda membaca Al-Quran, anda boleh ingat ayat-ayat tersebut. Dan ketika waktu lapang, anda cari sahaja tanda-tanda itu untuk memperbaharui Iman.

Seperti ini. 


4. Jika anda mengaji tak lancar, baca juga Al-Quran. Biar tidak khatam asalkan baca. Anda dapat 2 pahala. Pahala membaca dan pahala susah payah anda membaca. Aku tau sebab dulu aku pun begitu.

Wednesday, October 15, 2014

Mengapa anda ketagih?



Anda pernah memerhati dan mendalami orang yang merokok? Tahukah anda, merokok itu menenangkan? Tahukah anda rokok itu menjana ketagihan? Sebab itu remaja yang cuba merokok akan menjadi perokok tegar. Lebih banyak masalah yang ditimpa oleh remaja tersebut, lebih banyak batang rokok yang dihisapnya. Tak kesahlah harga naik ke, kena kanser ke, asalkan ketenangan itu tercapai.

Anda pernah memerhati dan mengkaji orang yang menagih dadah? Bukankah mereka itu mengambil pil khayal dan ubat pelali dan penenang? Tidakkah sebenarnya mereka hanya ingin lari daripada masalah harian mereka? Sebab itu orang yang hisap dadah itu ketagihan.

Anda pernah lihat orang yang ketagihan permainan video? Tidakkah mereka itu merasakan mereka berada di dunia lain semasa bermain? Segala masalah mereka di dunia dilupakan untuk beberapa ketika. Kerana itu mereka kerap bermain permainan video.

Anda. Jika anda analisa, anda akan nampak apa yang cuba disampaikan.

Kita semua akan ketagih dengan perkara yang membawa kita tenang. Memberikan kita kesejahteraan. Membebaskan kita daripada masalah duniawi yang kita hadapi tiap-tiap hari. Hal ini kerana semua manusia idamkan kebahagiaan iaitu ketenangan dan kepuasan.

Firman Allah:

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah". Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia." [Ar-Ra'd 28]

Itu janji Tuhan. Anda ragu?

Mengapa solat kita tidak membawa kepada ketenangan yang kita cari? Mengapa kita tidak ketagih solat?

Itu membawa kepada soalan yang lebih membingungkan.

Selama ini betulkah solat kita? Mengapa tidak mendapat efek yang dijanjikan?

... dan...

Masa kita solat kita ingat Allah ke ingat apa? Exam? Tadi cikgu marah dalam kelas? Lapar?

Patutlah tak tenang-tenang. Haih.

Jika sesuatu pisau itu terjamin tajam sekalipun, jika anda menggunakan belakang pisau, agar-agar yang anda buat itu takkan terpotong. Betul tak?

Samalah dengan solat. Jika kita tak solat dengan betul, kita tidak khusyuk, bagaimana kita hendak mencapai ketenangan yang kita cari?

Bila mencapai kemanisan iman, barulah ibadah itu mengasyikkan.

Nabi SAW mengatakan bahawa 3 cara untuk merasai kemanisan iman.
1. Mencintai Allah dan Rasul, lebih daripada orang lain (termasuk diri sendiri).
2. Mencintai sahabat/kawan kerana Allah.
3. Benci untuk kembali kepada kemaksiatan sebagaimana benci untuk masuk neraka.

Maka, berusahalah untuk mencapai kemanisan iman. Agar kita dapat mencapai kebahagiaan yang kita idamkan. Barulah kita ketagih zikrullah. Kerana kita rasakan kita bebas daripada segala masalah yang kita tempuhi. Kerana kita rasa tenang dan tenteram.

Wednesday, June 4, 2014

Mukmin mencapai Inner Peace!



"Clear your mind! Focus your spiritual energy!" - Master Mutaito, Dragon Ball.
"Inner peaaace!" - Master Shi Fu, Kungfu Panda 2.
"You must let go of your earthly attachment" - Guru Pathik, Avatar The Last Airbender.

Au kama qal.

Semuanya menyeru kepada satu dogma yang sama. Meminta kita fokus. Meminta kita melepaskan diri daripada sejarah buruk, keduniaan. Menghasilkan suatu kuasa yang hebat, menjadikan mereka pahlawan yang tidak tertanding dek mana-mana musuh.

Tidak peliklah jika kita lihat, Avatar Aang, Po, dan Goku begitu tenang menghadapi musuhnya. Tidak segaris takut muncul di kening mereka. Kerana mereka telah "tenang". Mencapai ketenangan tertinggi. Berjaya melepaskan diri daripada dunia. Kononnya.




Lihat pula pengamal yoga. Begitu asyik melakukannya dengan penuh fokus dan khusyuk. Malah mereka berjaya merasai kemanisan "khusyuk" dan "ibadah" mereka sehingga mereka terdorong untuk melakukannya berulang kali.

Hakikatnya, kita sudah tahu perkara ini. Dalam solat kita diseru untuk khusyuk bukan? Kan kita diseru untuk fokus, mengosongkan minda terhadap dunia, melupakan segala yang berkaitan dengan dunia? Tidakkah khusyuk kita menjadikan ibadah kita manis? Adakah kita berjaya melakukannya?

Maka, mukmin itu mampu mencapai Inner Peace. Harness spiritual energy. dan sebagainya. Solat kita menjadikan kita hebat. Tidak peliklah jika 3,000 sahabat dahulu mampu menewaskan 200,000 tentera Rom. Bayangkan satu angkatan tentera semuanya segagah, setenang dan sefokus Goku. Dicampur dengan bantuan Allah, kekuatan mereka tak terbayang bukan?

Mereka, orang belum Islam, ingin mencapai ketenangan mereka dengan bertapa seberapa lama. Kita mampu mencapai perkara ini lebih 5 kali sehari. Dan jangan lupa, mukmin itu hatinya sentiasa terikat dengan Allah. Sentiasa ingat kepada Dia. Maknanya kita sentiasa mempunyai Inner Peace! Sepatutnyalah.




Kerana itulah Allah melatih kita dengan solat 5 waktu setiap hari. Dan Allah mewajibkan toma'ninah (ketenangan) sebagai salah satu rukun dalam solat. Kerana itulah mukmin itu seharusnya tenang sebagaimana sabda nabi, 
"Sungguh ajaib dalam urusan orang mukmin! Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang mukmin. Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka kebaikan baginya dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka kebaikan baginya." - (Hadis riwayat Muslim) 
 MAKA, adakah kita sebahagian daripada orang mukmin? Adakah kita mempu khusyuk dalam solat? Adakah kita mencapai ketenangan itu? Adakah kita termasuk dalam golongan yang dikatakan ajaib itu?

Jika tidak, teruslah berusaha dan selamat beramal!

Nota: Jangan cuba sambut peluru meriam jika anda rasa anda sudah mencapai Inner Peace. Jangan cuba membelah api jika anda rasa anda sudah mengosongkan minda. Kelak anda mungkin kembali kepada Sang Pencipta serta-merta.

Tuesday, May 27, 2014

Tiada solat tanpa toma'ninah



Pernah suatu ketika Nabi SAW meminta seorang sahabat solat semula. Selepas beberapa kali beliau solat, Nabi masih meminta beliau solat semula kerana "Sesungguhnya engkau belum solat." Sehingga sahabat tersebut tanya kepada Rasulullah, mengapa dikatakan dia belum solat?

"Tiada solat kecuali dengan toma'ninah."

****
Toma'ninah. Iaitu ketenangan. Selalu orang kita mentafsirkan toma'ninah sebagai berhenti sekejap sebelum rukun seterusnya.

Tetapi apa yang pasti, toma'nimah adalah tenang. Tiada solat tanpa ketenangan. Jika kita ruku' dan sujud sejam pun tak dikira jika tidak mempunyai ketenangan.

Kita? Agaknya jika nabi berkata kepada kita, "Sesungguhnya engkau belum solat," mau kita mengamuk kata "Dah solat dah tadi!" Namun inilah generasi sahabat yang unggul. Mereka taat dan akur.

Kita? Jika Nabi muncul di masjid-masjid kita, terutamanya di surau tempat kerja, tentu ramai yang Nabi paksa solat semula. Kerana hati kita tidak tenang. Kerana hati kita banyak dosa. Kerana kita terbelenggu dek fatamorgana nikmat dunia.

Kita? Ramai yang solat tergesa-gesa. Kalau nak pergi dating bukan main lama pun takpa. Kalau jumpa Pencipta secepat mungkin nak ditamatkannya. Padahal dosa banyak macam buih di lautan lagaknya.

Patutlah solat yang sepatutnya mencegah perbuatan keji dan mungkar tidak memberi kesan terhadap kita. Kerana jasad solat tetapi ruh ntah ke mana. Ruku' dan sujud kadangkala bolrh termengah terlalu segera. Mata dan hati memelilau ke alam fana.

Argh! Diterimakah solat kita? Ayuh perbaiki solat kita!