Tuesday, July 23, 2019

Resensi Buku Animal Farm : Muhasabah Buat Para Revolusioner


Buku Animal Farm karya George Orwell

"All animals are equals, but some animals are more equal than others."

#HarmoniMembaca

Aku mula berminat dengan buku Animal Farm karya George Orwell ini apabila novel ini disebut oleh Dr Maszlee pada tahun 2017, apabila beliau mengkritik ahli politik saling gelar-menggelar sesama sendiri dengan nama binatang.

Buku ini amat pendek dan sangat mudah difahami. Aku baca lebih kurang 3 jam sahaja sudah habis.

Ketika aku membaca buku ini, ia adalah semasa awal kerajaan Pakatan Harapan memerintah. Ketika itu, jiwaku masih membuak-buak dengan harapan dan keghairahan untuk Malaysia Baharu yang lebih baik.

Akan tetapi, buku ini mengubah persepsi aku terhadap keadaan selepas 9 Mei itu. Aku tidak lagi terlalu ghairah, tetapi aku lebih berhati-hati dan mula mempersoal, sejauh mana harapan rakyat Malaysia itu kekal dibawa oleh kerajaan Pakatan Harapan.

(Spoiler alert)

Buku ini memberi gambaran tentang keadaan sebuah revolusi yang dilakukan oleh warga Animal Farm perlahan-lahan dikhianati oleh babi-babi tanpa dirasai oleh haiwan-haiwan lain.

Haiwan-haiwan di Animal Farm mengharapkan kehidupan yang lebih baik, bebas daripada penghambaan oleh golongan manusia yang menguasai hidup mereka. Akhirnya, sebuah revolusi dibuat untuk menghalau manusia daripada ladang tersebut. Setelah manusia dihalau keluar, golongan babi diberi kepercayaan untuk memerintah kerana mereka ialah pencetus revolusi tersebut.

Asalnya, golongan babi itu mengangkat semangat dan harapan revolusi tersebut. Namun, lama kelamaan, satu per satu tunjang revolusi itu dikhianati oleh babi-babi yang memerintah. Namun, oleh kerana propaganda yang sangat hebat, dan pendidikan haiwan-haiwan lain yang rendah, pengkhianatan ini tidak dirasai oleh haiwan-haiwan lain. Ada sahaja haiwan lain yang berpendidikan dan sedar akan keadaan semasa, namun tidak menggunakan pendidikan mereka untuk menyedarkan masyarakat lain.

Akhirnya, babi-babi itu menjadi tuan yang baharu, sama seperti manusia, kepada haiwan-haiwan dalam Animal Farm.

Selepas membaca buku ini, aku terus teringat kepada revolusi 9 Mei 2018, PRU-14 di Malaysia. Benar, kebanyakan tunjang dan paksi revolusi ini amat baik untuk disokong. Menentang kleptokrasi, meningkatkan akauntabiliti, memberikan hak kebebasan bersuara, dan mengurangkan beban kos sara hidup.

Namun, sebagai rakyat, kita berperanan untuk melakukan semak dan imbang ke atas setiap perilaku kerajaan. Atas pada kita untuk pastikan tunjang-tunjang dan paksi-paksi revolusi 9 Mei itu terpelihara. Kita seharusnya memastikan diri dan masyarakat sekeliling mendapat pendidikan sewajarnya supaya kita tidak mudah ditipu oleh propaganda pemerintah.

Juga sebagai mahasiswa, kita tidak seharusnya menjadi golongan berpendidikan tetapi pendidikan kita tidak membantu memperbaiki keadaan masyarakat. Jika kita membatu, masyarakat akan musnah dan kita akan musnah bersamanya.

Friday, June 7, 2019

Turunkan Had Umur Mengundi Demi Pemerkasaan Belia dan Mahasiswa

YB Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq berkempen untuk #Undi18
Baru-baru ini, timbul kembali perbincangan mengenai isu penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun. Cadangan ini mendapat pelbagai respon daripada masyarakat sama ada menyokong mahupun menentang.

Persoalan sebenar dalam isu ini bukanlah "kenapa" tetapi "kenapa tidak". Asasnya, semua rakyat Malaysia berhak mengundi. Kemudian datangnya pengecualian. Banduan kerana telah melanggar kedaulatan undang-undang, kanak-kanak kerana belum dewasa, dan sebagainya.

Seksyen 2 Akta Umur Dewasa 1971 telah mengklasifikasikan mereka yang berumur 18 tahun sebagai "dewasa". Maknanya, mereka sudah boleh disabitkan kesalahan, mereka sudah boleh membuat keputusan sendiri berkenaan kesihatan, dan lain-lain tanggungjawab yang dipikul oleh orang dewasa.

Jadi, kenapa tidak?

Kata mereka yang menentang cadangan ini, mereka yang berumur 18 tahun belum matang untuk mengundi. Sering juga dikatakan mereka tidak mempunyai kapasiti untuk menilai dan mudah ditipu.

Namun, satu perkara tentang mengundi yang kita perlu faham ialah, kematangan dan keupayaan intelek tidak menghilangkan kelayakan untuk anda mengundi. Sebagai contoh, seorang yang buta huruf, tinggal dalam gua, dan tidak pernah bersekolah pun layak mengundi asalkan mereka berumur 21 tahun dan merupakan warganegara Malaysia.

Maka, alasan untuk mengatakan orang berumur 18 tahun tidak matang sebenarnya bukan isu kerana kematangan bukan kelayakan untuk mengundi.

Bahkan, kalau kita katakan mereka tidak matang, mengapa kita benarkan mereka memilih untuk menyertai angkatan tentera, membeli rokok, dan membuat pinjaman PTPTN? Mengapa kita benarkan mereka berkahwin dan mendapat zuriat?

Namun begitu, kerisauan berkenaan kualiti undi yang dibuang oleh mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun sebenarnya merupakan kerisauan yang berasas. Akan tetapi, ia tidaklah sehingga menafikan mereka hak mengundi.

Isu berkenaan pendidikan politik ini sebenarnya merentas generasi. Ramai sahaja yang tidak benar-benar faham sistem politik dan pentadbiran negara, walaupun ia telah diajar dalam subjek Sejarah tingkatan 5. Berapa ramai sahaja yang tahu beza Dewan Undangan Negeri, Dewan Rakyat dan Dewan Negara? Berapa ramai sahaja yang faham pemisahan kuasa legislatif, eksekutif, dan judisiari? Malah, kadang kala kita boleh lihat tanda-tanda yang wakil-wakil rakyat pun tidak benar-benar menguasai sistem politik dan pentadbiran negara.

Ada sahaja orang yang berumur 18 tahun yang lebih matang, lebih faham isu semasa, berbanding mereka yang lebih tua daripada mereka. Terdapat kritikan tentang mereka yang berumur 18 tahun hanya tahu KPop semata. Bagaimana pula dengan makcik-makcik bawang yang hanya tahu drama Melayu sahaja?

Tindakan memukul rata bahawa semua orang yang berumur 18-20 tahun belum matang ialah tindakan yang tidak matang.

Ringkasnya,

1. Kematangan bukan kelayakan untuk mengundi.

2. Mereka yang berumur 18 tahun sudah dewasa dan dilayan sebagai orang dewasa di bawah undang-undang Malaysia.

3. Ketidak-matangan bukan ciri eksklusif mereka yang berumur 18 tahun.

Mengapa kita perlu benarkan mereka yang berumur 18 tahun mengundi?

Dalam sebuah demokrasi, kerajaan dipilih berdasarkan mandat yang diberikan oleh rakyat. Lebih ramai rakyat yang terlibat dalam proses pengundian, lebih sah keputusan pilihan raya.

Selain itu, pemberian hak mengundi kepada mereka yang berumur 18 tahun juga menjadikan suara mahasiswa lebih didengari oleh ahli-ahli politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang kerana mereka mengharapkan sokongan mahasiswa dalam pilihan raya. Kesannya, dasar-dasar kerajaan akan lebih mesra mahasiswa.

Hal ini amat penting kerana mahasiswa dan belia berumur 18-20 tahun ialah satu-satunya golongan dewasa yang tidak dibenarkan mengundi walaupun menerima kesan langsung daripada dasar-dasar negara.

Pemberian hak mengundi juga memberikan mesej bahawa negara kita prihatin dan menghargai suara generasi muda.

Oleh sebab itu, di negara-negara di serata dunia, kebiasaannya umur mengundi ialah 18 tahun. Bahkan, sekarang ini isu di peringkat global ialah sama ada hendak menurunkan had umur mengundi ke 16 tahun ataupun tidak. Tinggal ada beberapa negara sahaja seperti Singapura yang masih mengekalkan umur mengundi pada umur 21 tahun.

Kata Soekarno, "Beri aku 10 pemuda, niscaya akan kuguncang dunia." Bagaimana hendak guncang dunia kalau mengundi pun tak boleh?

Monday, May 20, 2019

Dilema Perpaduan di Malaysia : Sebuah Diskusi


Satu soalan untuk kita fikirkan bersama.

Berapa lama seseorang itu perlu ada dalam sesebuah daerah sebelum dikira sebagai orang asal daerah tersebut?

Satu generasi? Lima generasi? Atau sampai bila-bila kita akan kira mereka sebagai "orang luar"?

Kita selalu lihat naratif yang sama berulang di Malaysia. Mari kita lihat contoh-contoh terkini:

  1. Ada yang mempersoalkan kuota bumiputera di matrikulasi. Dibalas dengan mengatakan ada diskriminasi dalam sektor swasta.
  2. Ada yang mempersoalkan kewujudan sekolah vernakular. Dibalas dengan persoalan tentang UiTM dan MRSM.
  3. Ada yang mempersoalkan tentang kesamarataan hak dalam kalangan rakyat Malaysia. Dibalas dengan kontrak sosial.

Dilema di Malaysia, apabila semua kelihatan enggan berganjak daripada kelebihan atau keselesaan yang dinikmati dalam status quo. Maka, semua pihak mengambil jalan mudah menyalahkan puak atau etnik lain apabila berlakunya masalah perpaduan. Situasi tuding jari ini tidak akan berhenti, tidak memulihkan keadaan, apatah lagi memberi penyelesaian.

Dah lama di Malaysia kita tidak membuat diskusi mengenai pembinaan negara bangsa. Diskusi serius, bukan menghafal buku teks sejarah tingkatan 5.

Dahulu kata Malaysia hendak bina negara bangsa Malaysia dengan acuan sendiri. Akan tetapi, jika seseorang hari ini mengaku "aku bangsa Malaysia", terus digelar membawa agenda "Malaysian Malaysia", dan dibakul sampahkan sebagai komunis. Hasilnya, topik pembentukan bangsa Malaysia ialah sesuatu yang sangat sensitif, dan boleh dikatakan sebagai "political suicide" untuk sesiapa sahaja yang ingin membawanya secara terbuka.

Sepatutnya, semua rakyat Malaysia secara sistematik perlu ditanam dengan semangat "saya anak Malaysia" sebelum sibuk mengelaskan bangsa. Lensa yang pertama yang kita sebagai rakyat Malaysia perlu lihat ialah melalui lensa sebagai rakyat Malaysia, sebelum lensa etnik dan kaum.

Untuk mencapai keadaan ini, sebuah pengorbanan yang besar perlu dibuat oleh semua pihak. Semua kaum dan etnik perlu bersetuju untuk bergabung menjadi satu entiti iaitu bangsa Malaysia. Bahasa kita bahasa Malaysia, sebagai bahasa pengantar dan bahasa rasmi. Agama persekutuan ialah Islam, dan agama lain bebas diamalkan.

Dengan pembentukan bangsa Malaysia, tentunya tidak boleh ada keistimewaan yang abadi untuk mana-mana kaum. Namun, ia tidak menafikan ruang untuk adanya tindakan afirmatif (affirmative action), tetapi keistimewaan hanya akan terhenti selepas kezaliman yang lalu telah dibetulkan.

Tentunya, tiada lagi sekolah vernakular, dan amalan meritokrasi akan dijalankan sepenuhnya kepada semua warganegara Malaysia.

Sebuah undang-undang untuk mengelakkan diskriminasi juga boleh dirangka. Maknanya, selepas ini jika terdapatnya diskriminasi kaum di tempat kerja, majikan boleh dikenakan tindakan di mahkamah.

Kesemua ini boleh dilakukan walaupun tidak mewujudkan bangsa Malaysia, namun ia seolah-olah merawat simptom tanpa merawat punca penyakit.

Persoalan mungkin timbul, mengapa hendak hapuskan hak keistimewaan Bumiputera?

Kerana, selagi adanya yang "istimewa", tentu ada yang "tidak istimewa". Selagi ada konotasi darjat ini, sukar untuk mencapai asimilasi dan perpaduan yang utuh.

Jika tiada jaminan yang hak keistimewaan ini hanyalah tindakan afirmatif, maka ia adalah sebuah bentuk diskriminasi kepada kaum lain, apatah lagi kaum lain itu kaum minoriti. Status quo di Malaysia, kita memberikan keistimewaan semata-mata kerana sesebuah kaum itu "penduduk asal", bukan merit, bukan tindakan afirmatif.

Tapi, ia kan dah termaktub dalam kontrak sosial?

Kontrak sosial merupakan apa yang datuk nenek kita buat, yang sesuai dengan zaman tersebut. Setelah hampir 63 tahun merdeka, keadaan sudah berubah, generasi pun sedah berubah. Sudah tiba masanya kita kaji semula kandungan kontrak sosial tersebut.

Satu lagi, kontrak sosial hanyalah sebuah kontrak. Seperti mana-mana kontrak lain, kandungannya boleh jadi sudah tidak lagi relevan, atau telah ketinggalan zaman. Bahkan, setelah zaman berlalu, kandungan sesebuah kontrak itu boleh jadi tidak adil dan menzalimi sesetengah pihak dalam kontrak tersebut. Perlembagaan pun boleh dipinda.

Tapi kan kontrak sosial dah dipersetujui? Perjanjian Pangkor pun dipersetujui, tak bermakna kandungan perjanjian tersebut adil.

Gimik hendakkan perpaduan tanpa mengambil langkah konkrit ke arah pembinaan identiti dan bangsa Malaysia telah lama dimainkan. Contoh, kempen 1Malaysia, kempen yang cukup mengelirukan. Salah satu tunjang asasinya ialah meritokrasi, tetapi segala kuota masih ada.

Bagaimana? Ahli politik perlu mempunyai iltizam politik untuk membumikan idea bangsa Malaysia, dan rakyat Malaysia harus bersedia menerima perubahan ini. Bagaimana? Dalam situasi semasa, impian pembentukan bangsa Malaysia kelihatan masih jauh. Parti-parti politik yang ada mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu untuk dilindungi. UMNO, PPBM, dan mutakhir ini PAS kelihatan tegas enggan berganjak daripada hak keistimewaan Melayu. MCA dan DAP juga condong ke arah mempertahankan sekolah vernakular.

Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan tanah air, kita seharusnya memulakan hasrat perpaduan itu dalam diri dan masyarakat sekeliling kita. Jangan mudah terpengaruh dengan dakyah yang cuba melaga-lagakan kita. Kitakan anak Malaysia?

Maka, kembali kepada soalan yang pertama saya ajukan. Berapa lama untuk seseorang itu dikira sebagai penduduk asal sesebuah negara? Pada saya, tak perlu pun bincang tentang penduduk asal. Asalkan warganegara dan mengamalkan identiti bangsa Malaysia, cukuplah menjadi sebahagian daripada bangsa Malaysia.

Tuesday, January 1, 2019

5 Tahun Dah Berlalu Sejak Aku Belajar di Al-Amin

Retreat ANDALUS 2019
Awal-awal tahun begini, teringat kenangan masa di Al-Amin Gombak dulu. Mesti tengah sedih cuti nak habis, tapi seronok nak jumpa kawan-kawan, walaupun waktu cuti memang berkampung je di sekolah beraktiviti macam-macam.

Baru-baru ini, aku tengah stress belajar untuk peperiksaan akhir semester, aku tanya junior dan cikgu Syaheera, kalau nak datang Retreat ANDALUS (Angkatan Dakwah dan Latihan Ummah Sekolah) boleh? Nak lepaskan stress. Hahahaha...

Maka jumpalah adik-adik batch 25, 26 dan 27 Al-Amin (aku batch 20), tengok mereka bincang masalah ummah, fikir bagaimana nak memperbaiki aqidah, ibadah, dan akhlak ummah sekolah, dan sebagainya.

Nampaknya, masalah yang dibincangkan lebih kurang sahaja dengan dahulu. Ada beberapa pelajar tidak solat, dan tidak menjaga batas pergaulan lelaki (banin) dan perempuan (banat). Sampai pukul 1 pagi pimpinan ANDALUS fikir cara nak baiki dua masalah ini, serta beberapa masalah lain.

Maklumlah, kami sekolah harian. Waktu sekolah kita boleh didik, balik rumah mereka tidak semestinya teruskan. Bukan seperti asrama yang kita boleh kawal dan pantau 24/7. Tidak semua ibu bapa yang cakna akan perihal ibadah anak-anak, bahkan ada juga yang tidak solat! Suasana sekolah kami yang merupakan sekolah "budak-budak KL" serta pengaruh media alternatif juga tidak membantu.

Jadi, fokus untuk diperbaiki ialah iman. Bagaimana hendak membina keteguhanq iman supaya kekal sepanjang masa pada tahap yang baik?

Terimbau pula zaman aku dulu.

2014.

Waktu itu, aku lihat masalah paling besar dalam ummah sekolah ini ialah masalah ikhtilat. Jadi, aku pun buat kertas kerja kempen untuk menyedarkan ummah sekolah tentang batas pergaulan banin dan banat.

Apabila aku bentang kertas kerja tersebut, guru ANDALUS ketika itu kata, bagus, cuma kita ada masalah yang lebih besar. Aku pelik, masalah apa lagi?

Cikgu tersebut bentangkan kepada aku satu kajian yang dilakukan atas nasihat Puan Pengetua sendiri berkenaan penjagaan solat pelajar sekolah. Keputusan kajian itu amat membimbangkan, dan (rasanya) buat pertama kalinya Al-Amin mengadakan Kempen "Sudahkah Anda Solat?"

Sehingga kini, kajian diteruskan, dan selagi tidak mencapai 100% kadar pelajar solat, selagi itu kita takkan rehat. Selagi itu kita kempen, kita ajar dalam usrah, kita bina suasana di sekolah mahupun di media sosial, kita masukkan elemen Islam dalam subjek-subjek (ala-ala Islamization of Knowledge lah), berusaha sehabis daya supaya kita dapat capai matlamat membina Generasi Soleh wa Musleh.
Pelancaran Kempen "Sudahkah Anda Solat?" 2014
Tak ada masa pula lah nak bincang politik, apabila guru-guru dan kepimpinan pelajar bertungkus lumus untuk memastikan apabila pelajar tamat pengajian di Al-Amin, mereka terus menjadi mukmin yang Soleh wa Musleh, yang berguna buat masyarakat. Tidaklah terdetik pun rasanya dalam hati guru-guru kami, untuk fikir parti mana anak muridnya akan undi selepas tamat persekolahan. Juga jauh sekali mereka anggap meninggalkan solat dan zina sebagai dosa peribadi yang tidak patut dikenakan apa-apa tindakan.

Akhirnya, memang banyak kekurangan pada madrasah tarbiyyah ini. Tidaklah semua graduannya sempurna, Soleh wa Musleh. Namun usaha sudah dilakukan dan sedang dilakukan dengan semaksima mungkin dan sebaik mungkin untuk memperbaiki dan membina generasi ummah akan datang ini.

Moga Allah rahmati dan ganjari semua guru-guru ana, muallim muallimah, serta seluruh guru-guru sedunia yang bertungkus lumus membina manusia agar menjadi abid dan khalifah yang berguna buat ummah.

#MuslehKita

Sunday, December 23, 2018

Penindasan China Terhadap Etnik Uighur

Etnik Uighur
Baru-baru ini, kita digemparkan dengan penindasan etnik Uighur oleh kerajaan China pimpinan Xi Jinping. Namun, siapakah Uighur ini, dan apa yang berlaku sebenarnya?

Etnik Uighur menetap di daerah Xinjiang, iaitu sebuah daerah yang terletak di bahagian barat laut negara China. Walaupun terletak di bawah pemerintahan negara China, budaya yang diamalkan oleh etnik Uighur ini lebih hampir dengan budaya masyarakat Turki di Asia Tengah, yang mempunyai kebudayaan yang sangat berbeza dengan mereka yang berbangsa Cina Han, penduduk majoriti di sebelah timur negara China.

Asal pendudukan Islam di daerah Xinjiang ialah kerana Xinjiang merupakan sebahagian daripada jalan sutera darat, iaitu jalan yang menghubungkan aktiviti perdagangan antara negara China dan negara-negara di Timur Tengah dan Eropah. Daerah Xinjiang secara sejarahnya merupakan daerah yang majoriti penduduknya ialah etnik Uighur yang beragama Islam. Namun, belakangan ini, terdapat migrasi etnik Cina Han daripada timur ke dalam wilayah Xinjiang, menyebabkan penduduk etnik Cina Han kini mewakili 40% penduduk Xinjiang.

Oleh kerana perbezaan etnik dan budaya masyarakat Uighur, penduduk daerah ini tidak merasai identiti China, dan sering kali menuntut autonomi daripada negara China. Daerah ini mula diperintah oleh China pada kurun ke-18 masihi. Pada tahun 1949, daerah ini mendapat kemerdekaan dan menjadi negara Turkestan Timur, namun kemerdekaan tersebut tidak kekal lama dan wilayah ini kembali berada di bawah kekuasaan China tidak lama kemudian. Pada tahun 1955, pemerintah China, Mao Zedong, mengisytiharkan wilayah Xinjiang sebagai Wilayah Autonomi Uighur (Xinjiang Uighur Autonomous Region).

Pada tahun 1990an, apabila jatuhnya Kesatuan Soviet dan munculnya negara-negara Asia Tengah yang merdeka seperti Turkmenistan, Kazakhstan, dan sebagainya, wilayah Xinjiang juga sekali lagi menuntut kemerdekaan daripada China namun tidak dilayan bahkan ditentang dengan kekerasan.

Ketegangan antara China dan etnik Uighur di wilayah Xinjiang ini berterusan sehingga kini. Ada dalam kalangan penduduk Uighur mengambil langkah menggunakan kekerasan juga untuk menentang China, sekali gus memberikan alasan untuk China menindas dan terus menekan Uighur.

Tekanan terhadap etnik Uighur ini meningkat pada tahun 1990an ketika tuntutan kemerdekaan itu diadakan, dan sekali lagi pada tahun 2008 ketika menghampiri kejuaraan Olimpik di Beijing. Situasi ini bertambah teruk pada tahun-tahun yang berikutjya sehingga kini.

Entik Uighur dipaksa oleh kerajaan China untuk asimilasi dengan budaya dan agama dengan etnik majoriti Cina Han.

Pada tahun 2016, penduduk Xinjiang dipaksa untuk memberikan sampel DNA, iris, sampel darah, rakaman suara, dan gambar 3D sebelum dibenarkan untuk mendapatkan passport. Beberapa bulan kemudian, passport penduduk Xinjiang dirampas, dan mereka perlu memohon kebenaran jika ingin ke luar negara.

Kebebasan beragama juga disekat. Penduduk beragama Islam tidak dibenarkan untuk berpuasa, sembahyang, mempunyai makanan halal, menyimpan janggut yang "terlalu panjang", memakai niqab dan sebagainya, dikira sebagai satu jenayah atas kesalahan "keganasan" dan "ekstremisme".

Untuk memastikan mereka berpuasa dan sembahyang, seorang pegawai kerajaan China ditempatkan di dalam rumah-rumah Uighur sehingga 15 hari. Mereka juga dipaksa untuk menandatangan perjanjian bahawa mereka tidak akan sembahyang dan berpuasa, serta mengawasi keluarga dan jiran untuk memastikan mereka tidak berpuasa.

Selain itu, bayi-bayi yang baru dilahirkan juga tidak dibenarkan untuk dinamakan dengan nama-nama Islamik. Masjid-masjid yang dibina juga tidak diberikan permit dan dirobohkan, serta penduduk Muslim ditegah daripada melaksanakan Solat Jumaat melalui penganjuran program wajib untuk "belajar", menonton filem berunsur komunis, serta bersukan pada hari Jumaat. Penduduk Muslim di sana bahkan tidak dibenarkan untuk memberi salam!

Pindaan-pindaan terhadap undang-undang China meninggalkan definisi yang terlalu luas dan tidak tepat untuk kesalahan-kesalahan keganasan dan ekstremisme yang akhirnya menyebabkan undang-undang ini disalah-gunakan untuk menindas, serta pendakwaan secara berat sebelah dan arbitrari.

Pada tahun 2018, sebanyak 1 juta warga Uighur dan etnik-etnik Muslim minoriti yang lain diaggarkan telah ditahan di pusat kawalan ekstremisme, dan lagi 2 juta lagi ditahan di "kem pemulihan" untuk indoktrinasi politik dan budaya. Pembantu Pelapor (Co-Rapporteur) Komiti Penghapusan Diskriminasi Bangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Gay MacDougall menyifatkan wilayah Xinjiang sebagai "zon tanpa hak asasi", sebuah kem tahanan besar-besaran. Mereka yang mengaku sebagai Muslim akan dilayan sebagai musuh negara, hanya kerana agama dan etnik mereka.

Bagi etnik Uighur dan penduduk Muslim China yang kini berada di negara-negara lain, mereka juga tidak selamat. Contohnya, kerajaan Mesir telah menangkap dan memenjarakan warganegara China etnik Uighur, Hui, dan Han yang sedang belajar di Universiti Al-Azhar, serta memulangkan mereka ke China. Sekembalinya mereka ke China, mereka dilaporkan "hilang" dan tidak lagi dapat dihubungi. Nasib yang sama juga menimpa warga Uighur di beberapa negara lain termasuklah Thailand.

Mengikut undang-undang hak asasi antarabangsa, negara-negara penerima suaka tidak dibenarkan untuk memaksa atau menghantar pulang pencari suaka ke negara asal.

Sebahagian mereka pula dipaksa balik melalui ugutan dan seksaan terhadap kaum keluarga mereka jika mereka enggan pulang.

Seorang ulama' Uighur, Hebibulla Tohti, telah dipenjarakan selama 10 tahun setelah pulang ke negara China daripada Mesir. Beliau merupakan seorang graduan Universiti Islam Xinjiang, dan dihantar ke Universiti Al-Azhar untuk mengambil doktor falsafah dalam bidang ketuhanan oleh Persatuan Islam China. Beliau pulang secara sukarela ke China selepas menamatkan pelajaran untuk "mendaftarkan diri" dengan kerajaan China.

Beliau kemudian ditahan dan disiasat atas tiga kesalahan yang beliau telah lakukan, iaitu mengajarkan Islam kepada warga Uighur di Mesir tanpa kebenaran kerajaan China, mengikuti sebuah persidangan agama di Arab Saudi tanpa kebenaran kerajaan China, dan menekankan kejayaan etnik Uighur dalam tesis beliau. Beliau juga dikatakan bersalah kerana gagal menzahirkan kebaikan polisi-polisi kerajaan China terhadap Xinjiang dalam tesis beliau.

Selain itu, seorang ahli ekonomi etnik Uighur, Ilham Tohti, telah dipenjarakan seumur hidup pada tahun 2014 kerana memberikan kritikan terhadap dasar-dasar kerajaan China terhadap Uighur.

Malaysia juga pernah menerima 11 orang etnik Uighur yang telah melarikan diri daripada penjara Thailand. Namun, walaupun Beijing meminta agar 11 orang tersebut dipulangkan ke China, Malaysia telah melepaskan mereka atas persetujuan Jabatan Peguam Negara pada Oktober 2018. Kini, mereka telah berjaya tiba di Turki. Walau bagaimanapun, Malaysia juga pernah menghantar kembali warga Uighur ke China sebelum-sebelum ini.

Keengganan Malaysia untuk menghantar pulang warga Uighur menjadikan Malaysia negara Islam sekutu China kedua selepas Pakistan yang telah mengkritik kezaliman China terhadap Uighur.

Selain Malaysia dan Pakistan, Turki juga telah mengecam keganasan etnik yang dilakukan oleh China di Xinjiang pada tahun 2009, dan telah membenarkan pemohon suaka Uighur untuk berlindung di Turki pada tahun 2015.

Namun begitu, sehingga kini, negara-negara Islam yang lain masih mendiamkan diri. Persatuan Kerjasama Islam (OIC) juga tidak mengemukakan sebarang komentar. Seorang pengkaji politik China, Simone van Nieuwenhuizen, mengatakan, umum mengetahui bahawa penentangan terhadap situasi di Xinjiang akan menjejaskan hubungan ekonomi.

Tidak seperti pencabulan hak asasi manusia yang lain, pihak Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu kelihatan tidak melakukan apa-apa langkah konkrit untuk mencegah dan merawat kezaliman yang dilakukan ini. Hal ini ditinggalkan sepi oleh masyarakat antarabangsa, walaupun ia telah diketengahkan oleh media-media terkemuka barat.

Oleh itu, sebagai manusia yang cintakan kebebasan dan keadilan, kita seharuskan cakna dan menyampaikan perihal masyarakat Muslim di China yang mengalami penindasan secara sistematik, hanya kerana perbezaan agama dan bangsa.

Suara masyarakat Uighur mungkin ditekan oleh kerajaan China, tetapi kita, sebagai saudara seagama, atau setidak-tidaknya sebagai saudara sesama manusia, mampu menyebabkan rayuan mereka didengari dan diambil endah.

Kerajaan China tentunya, menafikan sekeras-kerasnya segala yang pertuduhan. Kata mereka, disebabkan oleh kekayaan dan kestabilan yang dibawa oleh polisi-polisi kerajaan China terhadap Xinjiang, penduduk Uighur merupakan Muslim yang paling "bahagia" dalam dunia. Memanglah, dah kalau kata tak bahagia kena penjara seumur hidup!

Tuesday, November 20, 2018

Perutusan Maulidur Rasul untuk Mahasiswa Sains

Taman Ilmu dan Budi, Kampus Kuantan

Sebagai mahasiswa kampus sains, kadangkala agak sukar untuk kita kaitkan perkara yang kita pelajari dengan Islam, apatah lagj dengan sirah baginda Ar-Rasul SAW.

Namun, satu perkara yang kita kena ingat, bahawa Rasulullah SAW tidak pernah mengabaikan pembangunan sains dan teknologi dalam pembinaan negara Islam Madinah.

Contoh yang cukup diketahui umum ialah penggunaan teknologi ketenteraan, iaitu pembinaan parit sebagai benteng pertahanan bagi kota Madinah daripada serangan tentera bersekutu, tentera Ahzab yang ingin menghancurkan Madinah, Rasulullah SAW, dan Islam secara amnya. Akhirnya, parit yang dibina itu menjadi salah satu faktor penyebab utama tentera Ahzab gagal mencapai objektif keji mereka.

Selain itu, Rasulullah SAW juga pernah membina 'catapult' dan 'battering rams' dalam pengepungan kota Taif pada tahun 8 hijrah. Seperti pembinaan parit di kota Madinah, teknologi ini juga amatlah jarang digunakan di tanah Arab pada ketika itu.

Atas keterbukaan Rasulullah SAW dan galakan baginda untuk meneroka dan menggunakan teknologi yang paling baru, ketika ummah berhadapan dengan dua kuasa gergasi pada zaman tersebut, Rom Timur dan Parsi, kita sudah pun mempunyai teknologi yang sedikit sebanyak setara dengan kuasa-kuasa besar tersebut.

Baginda SAW juga sentiasa menggalakkan umatnya membaca, bahkan memberi tawaran kepasa tawanan perang Badr yang tidak mampu membayar tebusan tetapi celik huruf, untuk mengajar anak-anak orang Islam di Madinah menulis dan membaca.

Hal ini menunjukkan, uswah hasanah kita, Al-Quran berjalan kita, tidaklah hanya mengfokuskan kepada pembinaan spiritual para sahabat semata-mata, tetapi pada pembinaan individu-individu Muslim yang syumul.

Baginda SAW juga telah memaknakan makna hadis yang menyuruh supaya tambat unta kemudian tawakkal. Baginda tidak pernah ajar ummah untuk hanya berdoa memohon pertolongan Allah semata, tetapi baginda juga mempersiapkan intelek dan teknologi untuk mencapai matlamat.

Inilah peranan kita sebagai mahasiswa Islam dalam bidang sains tulen. Selagi ketamadunan khasnya daripada aspek ilmu sains dan teknologi kita tidak mampu menyaingi dan mengatasi ketamadunan barat, selagi itu ummah akan dipandang remeh dan terkebelakang. Peranan kita sebagai 'abid, iaitu sebagai ahli ibadah kepada Allah, haruslah diimbangkan dengan peranan kita sebagai khalifah, iaitu pentadbir bumi. Pembangunan kita seharusnya seimbang lahiriyyah (fizikal) dan ruhiyyah (spiritual).

Pada kita, ialah tanggungjawab fardu kifayah untuk melonjakkan pembangunan lahiriyyah umat Islam, tanpa mengabaikan pembangunan ruhiyyah dalam hidup kita. Inilah dia yang ada dalam falsafah UIAM sendiri, iaitu islamisasi ilmu (Islamization of knowledge).

AL-QURAN BERJALAN

Mustahil untuk kita katakan kalimah toyyibah, kalimah La Ilaha Illallah, melainkan dengan kita mengakui, bahawa Muhammad ar-rasulullah. Kerana bagindalah yang membawakan kalimah suci ini kepada manusia, membawa manusia kembali kepada tauhid dan ubudiyyah kepada Allah.

Baginda diutuskan bersama Al-Quran, untuk menjadi model kepada Al-Quran. Baginda menterjemahkan Al-Quran dalam kehidupan kita semua, sehinggakan apabila ditanya kepasa Aisyah RA, tentang akhlak Rasulullah, beliau menjawab, akhlak beliau ialah Al-Quran.

Sebab itu lah, dalam surah Al-Ahzab Allah berfirman:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu CONTOH IKUTAN YANG BAIK, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

[Al-Ahzab 33:21]

FATTABI'UNI

Bahkan, mengikuti contoh ikutan yang baik ini dijadikan sebagai cara membuktikan kecintaan kita kepada Allah.

Mengapa?

Kerana melalui baginda, Allah menunjukkan kepada kita cara untuk menjadi hambaNya yang redha akan Allah sebagai Rabb dan Ilah, dan Allah meredhai kita. Bagaimana kita hendak tahu sama ada perkara yang kita buat itu disukai atau dibenci Allah? Melalui Al-Quran dan Sunnah.

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka IKUTILAH DAKU, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

[Ali Imran 3:31]

Ada yang kata, dan menyanggah perbuatan menyambut Maulid Ar-Rasul ini. Namun, tidaklah salah untuk kita jadikan satu hari ini sebagai batu loncatan untuk kita kembali kepada ajaran dan sunnah Ar-Rasul. Jangan pula kita jadikan hari ini sebagai satu hari perayaan khas untuk memperingati Nabi, lalu meninggalkan selawat dan sunnah Nabi pada hari-hari berikutnya.

Saturday, September 22, 2018

Pengharaman Plastik Sekali Guna: Di Mana Ada Kemahuan Di SItu Ada Jalan

Sebahagian poster mempersenda pengharaman straw
Satu hari saya pergi ke Klinik Kesihatan di Selayang. Saya intai kaunter farmasi, maklumlah, pelajar farmasi kan.

Saya lihat sesuatu yang aneh. Setiap kali nombor dipanggil, mesti pakcik atau makcik tersebut akan bawa keluar sebuah beg plastik atau kain untuk ambil ubat tersebut. Ia kelihatan rutin, tidak lagi menjadi kejanggalan, dan setakat yang saya lihat, tidak ada yang merungut. Seusai pulang baru saya difahamkan polisi KKM bahawa tiada beg plastik akan diberikan.

Bukanlah suatu rahsia yang mereka yang datang ke KK ini kebanyakannya golongan berpendapatan rendah dan "lower middle-class". Tapi mereka kelihatan tidak mempunyai masalah pun hendak mengikut polisi mesra alam yang diperkenalkan.

Ada seorang kawan saya yang pernah bekerja sebagai juruwang di 7-Eleven pula pernah menceritakan bahawa setiap hari lebih kurang 3 kali dia perlu "bergaduh" dengan pelanggan mengenai caj beg plastik 20 sen. Pelik kan? Biasanya yang membeli belah di 7-Eleven ini bukanlah orang berpendapatan rendah, tetapi kesedaran berkenaan polisi alam sekitar masih rendah.

Iya. Polisi mesra alam sekitar sebenarnya sedikit sebanyak berjaya mendidik masyarakat. Sebelum ini, kita tidak terfikir pun penggunaan beg plastik boleh dihentikan terus. Namun, jika di KK Selayang itu berjaya, mengapa tidak di semua tempat lain?

Saya masih ingat, ketika awal-awal Selangor memperkenalkan hari tanpa beg plastik. Agak kecoh ketika itu. Semua, termasuk keluarga saya, pun merasai susahnya meninggalkan tabiat menggunakan beg plastik ketika membeli belah. Tetapi akhirnya, setelah beberapa tahun, kita belajar, dan kita sudah terbiasa.

Samalah, polemik pengharaman straw plastik. Saya sendiri merasakan ia satu langkah yang sukar untuk saya untuk tidak lagi menggunakan straw plastik. Akan tetapi, kita harus sedar, hendak selamatkan bumi perlukan pengorbanan.

Biasalah, langkah pertama ialah langkah paling sukar. Percayalah, sama seperti polemik beg plastik suatu ketika dahulu, satu hari nanti kita akan terbiasa dengan keadaan tanpa straw plastik. Bukannya kita tidak tahu kesan straw plastik terhadap alam sekitar.

Berapa banyak lagi video straw plastik melekat dalam hidung penyu yang hendak kita tengok sebelum kita mengangguk dan mengaku bahawa langkah ini langkah positif dan perlu?