Showing posts with label Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Malaysia. Show all posts

Tuesday, July 23, 2019

Resensi Buku Animal Farm : Muhasabah Buat Para Revolusioner


Buku Animal Farm karya George Orwell

"All animals are equals, but some animals are more equal than others."

#HarmoniMembaca

Aku mula berminat dengan buku Animal Farm karya George Orwell ini apabila novel ini disebut oleh Dr Maszlee pada tahun 2017, apabila beliau mengkritik ahli politik saling gelar-menggelar sesama sendiri dengan nama binatang.

Buku ini amat pendek dan sangat mudah difahami. Aku baca lebih kurang 3 jam sahaja sudah habis.

Ketika aku membaca buku ini, ia adalah semasa awal kerajaan Pakatan Harapan memerintah. Ketika itu, jiwaku masih membuak-buak dengan harapan dan keghairahan untuk Malaysia Baharu yang lebih baik.

Akan tetapi, buku ini mengubah persepsi aku terhadap keadaan selepas 9 Mei itu. Aku tidak lagi terlalu ghairah, tetapi aku lebih berhati-hati dan mula mempersoal, sejauh mana harapan rakyat Malaysia itu kekal dibawa oleh kerajaan Pakatan Harapan.

(Spoiler alert)

Buku ini memberi gambaran tentang keadaan sebuah revolusi yang dilakukan oleh warga Animal Farm perlahan-lahan dikhianati oleh babi-babi tanpa dirasai oleh haiwan-haiwan lain.

Haiwan-haiwan di Animal Farm mengharapkan kehidupan yang lebih baik, bebas daripada penghambaan oleh golongan manusia yang menguasai hidup mereka. Akhirnya, sebuah revolusi dibuat untuk menghalau manusia daripada ladang tersebut. Setelah manusia dihalau keluar, golongan babi diberi kepercayaan untuk memerintah kerana mereka ialah pencetus revolusi tersebut.

Asalnya, golongan babi itu mengangkat semangat dan harapan revolusi tersebut. Namun, lama kelamaan, satu per satu tunjang revolusi itu dikhianati oleh babi-babi yang memerintah. Namun, oleh kerana propaganda yang sangat hebat, dan pendidikan haiwan-haiwan lain yang rendah, pengkhianatan ini tidak dirasai oleh haiwan-haiwan lain. Ada sahaja haiwan lain yang berpendidikan dan sedar akan keadaan semasa, namun tidak menggunakan pendidikan mereka untuk menyedarkan masyarakat lain.

Akhirnya, babi-babi itu menjadi tuan yang baharu, sama seperti manusia, kepada haiwan-haiwan dalam Animal Farm.

Selepas membaca buku ini, aku terus teringat kepada revolusi 9 Mei 2018, PRU-14 di Malaysia. Benar, kebanyakan tunjang dan paksi revolusi ini amat baik untuk disokong. Menentang kleptokrasi, meningkatkan akauntabiliti, memberikan hak kebebasan bersuara, dan mengurangkan beban kos sara hidup.

Namun, sebagai rakyat, kita berperanan untuk melakukan semak dan imbang ke atas setiap perilaku kerajaan. Atas pada kita untuk pastikan tunjang-tunjang dan paksi-paksi revolusi 9 Mei itu terpelihara. Kita seharusnya memastikan diri dan masyarakat sekeliling mendapat pendidikan sewajarnya supaya kita tidak mudah ditipu oleh propaganda pemerintah.

Juga sebagai mahasiswa, kita tidak seharusnya menjadi golongan berpendidikan tetapi pendidikan kita tidak membantu memperbaiki keadaan masyarakat. Jika kita membatu, masyarakat akan musnah dan kita akan musnah bersamanya.

Friday, June 7, 2019

Turunkan Had Umur Mengundi Demi Pemerkasaan Belia dan Mahasiswa

YB Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq berkempen untuk #Undi18
Baru-baru ini, timbul kembali perbincangan mengenai isu penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun. Cadangan ini mendapat pelbagai respon daripada masyarakat sama ada menyokong mahupun menentang.

Persoalan sebenar dalam isu ini bukanlah "kenapa" tetapi "kenapa tidak". Asasnya, semua rakyat Malaysia berhak mengundi. Kemudian datangnya pengecualian. Banduan kerana telah melanggar kedaulatan undang-undang, kanak-kanak kerana belum dewasa, dan sebagainya.

Seksyen 2 Akta Umur Dewasa 1971 telah mengklasifikasikan mereka yang berumur 18 tahun sebagai "dewasa". Maknanya, mereka sudah boleh disabitkan kesalahan, mereka sudah boleh membuat keputusan sendiri berkenaan kesihatan, dan lain-lain tanggungjawab yang dipikul oleh orang dewasa.

Jadi, kenapa tidak?

Kata mereka yang menentang cadangan ini, mereka yang berumur 18 tahun belum matang untuk mengundi. Sering juga dikatakan mereka tidak mempunyai kapasiti untuk menilai dan mudah ditipu.

Namun, satu perkara tentang mengundi yang kita perlu faham ialah, kematangan dan keupayaan intelek tidak menghilangkan kelayakan untuk anda mengundi. Sebagai contoh, seorang yang buta huruf, tinggal dalam gua, dan tidak pernah bersekolah pun layak mengundi asalkan mereka berumur 21 tahun dan merupakan warganegara Malaysia.

Maka, alasan untuk mengatakan orang berumur 18 tahun tidak matang sebenarnya bukan isu kerana kematangan bukan kelayakan untuk mengundi.

Bahkan, kalau kita katakan mereka tidak matang, mengapa kita benarkan mereka memilih untuk menyertai angkatan tentera, membeli rokok, dan membuat pinjaman PTPTN? Mengapa kita benarkan mereka berkahwin dan mendapat zuriat?

Namun begitu, kerisauan berkenaan kualiti undi yang dibuang oleh mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun sebenarnya merupakan kerisauan yang berasas. Akan tetapi, ia tidaklah sehingga menafikan mereka hak mengundi.

Isu berkenaan pendidikan politik ini sebenarnya merentas generasi. Ramai sahaja yang tidak benar-benar faham sistem politik dan pentadbiran negara, walaupun ia telah diajar dalam subjek Sejarah tingkatan 5. Berapa ramai sahaja yang tahu beza Dewan Undangan Negeri, Dewan Rakyat dan Dewan Negara? Berapa ramai sahaja yang faham pemisahan kuasa legislatif, eksekutif, dan judisiari? Malah, kadang kala kita boleh lihat tanda-tanda yang wakil-wakil rakyat pun tidak benar-benar menguasai sistem politik dan pentadbiran negara.

Ada sahaja orang yang berumur 18 tahun yang lebih matang, lebih faham isu semasa, berbanding mereka yang lebih tua daripada mereka. Terdapat kritikan tentang mereka yang berumur 18 tahun hanya tahu KPop semata. Bagaimana pula dengan makcik-makcik bawang yang hanya tahu drama Melayu sahaja?

Tindakan memukul rata bahawa semua orang yang berumur 18-20 tahun belum matang ialah tindakan yang tidak matang.

Ringkasnya,

1. Kematangan bukan kelayakan untuk mengundi.

2. Mereka yang berumur 18 tahun sudah dewasa dan dilayan sebagai orang dewasa di bawah undang-undang Malaysia.

3. Ketidak-matangan bukan ciri eksklusif mereka yang berumur 18 tahun.

Mengapa kita perlu benarkan mereka yang berumur 18 tahun mengundi?

Dalam sebuah demokrasi, kerajaan dipilih berdasarkan mandat yang diberikan oleh rakyat. Lebih ramai rakyat yang terlibat dalam proses pengundian, lebih sah keputusan pilihan raya.

Selain itu, pemberian hak mengundi kepada mereka yang berumur 18 tahun juga menjadikan suara mahasiswa lebih didengari oleh ahli-ahli politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang kerana mereka mengharapkan sokongan mahasiswa dalam pilihan raya. Kesannya, dasar-dasar kerajaan akan lebih mesra mahasiswa.

Hal ini amat penting kerana mahasiswa dan belia berumur 18-20 tahun ialah satu-satunya golongan dewasa yang tidak dibenarkan mengundi walaupun menerima kesan langsung daripada dasar-dasar negara.

Pemberian hak mengundi juga memberikan mesej bahawa negara kita prihatin dan menghargai suara generasi muda.

Oleh sebab itu, di negara-negara di serata dunia, kebiasaannya umur mengundi ialah 18 tahun. Bahkan, sekarang ini isu di peringkat global ialah sama ada hendak menurunkan had umur mengundi ke 16 tahun ataupun tidak. Tinggal ada beberapa negara sahaja seperti Singapura yang masih mengekalkan umur mengundi pada umur 21 tahun.

Kata Soekarno, "Beri aku 10 pemuda, niscaya akan kuguncang dunia." Bagaimana hendak guncang dunia kalau mengundi pun tak boleh?

Monday, May 20, 2019

Dilema Perpaduan di Malaysia : Sebuah Diskusi


Satu soalan untuk kita fikirkan bersama.

Berapa lama seseorang itu perlu ada dalam sesebuah daerah sebelum dikira sebagai orang asal daerah tersebut?

Satu generasi? Lima generasi? Atau sampai bila-bila kita akan kira mereka sebagai "orang luar"?

Kita selalu lihat naratif yang sama berulang di Malaysia. Mari kita lihat contoh-contoh terkini:

  1. Ada yang mempersoalkan kuota bumiputera di matrikulasi. Dibalas dengan mengatakan ada diskriminasi dalam sektor swasta.
  2. Ada yang mempersoalkan kewujudan sekolah vernakular. Dibalas dengan persoalan tentang UiTM dan MRSM.
  3. Ada yang mempersoalkan tentang kesamarataan hak dalam kalangan rakyat Malaysia. Dibalas dengan kontrak sosial.

Dilema di Malaysia, apabila semua kelihatan enggan berganjak daripada kelebihan atau keselesaan yang dinikmati dalam status quo. Maka, semua pihak mengambil jalan mudah menyalahkan puak atau etnik lain apabila berlakunya masalah perpaduan. Situasi tuding jari ini tidak akan berhenti, tidak memulihkan keadaan, apatah lagi memberi penyelesaian.

Dah lama di Malaysia kita tidak membuat diskusi mengenai pembinaan negara bangsa. Diskusi serius, bukan menghafal buku teks sejarah tingkatan 5.

Dahulu kata Malaysia hendak bina negara bangsa Malaysia dengan acuan sendiri. Akan tetapi, jika seseorang hari ini mengaku "aku bangsa Malaysia", terus digelar membawa agenda "Malaysian Malaysia", dan dibakul sampahkan sebagai komunis. Hasilnya, topik pembentukan bangsa Malaysia ialah sesuatu yang sangat sensitif, dan boleh dikatakan sebagai "political suicide" untuk sesiapa sahaja yang ingin membawanya secara terbuka.

Sepatutnya, semua rakyat Malaysia secara sistematik perlu ditanam dengan semangat "saya anak Malaysia" sebelum sibuk mengelaskan bangsa. Lensa yang pertama yang kita sebagai rakyat Malaysia perlu lihat ialah melalui lensa sebagai rakyat Malaysia, sebelum lensa etnik dan kaum.

Untuk mencapai keadaan ini, sebuah pengorbanan yang besar perlu dibuat oleh semua pihak. Semua kaum dan etnik perlu bersetuju untuk bergabung menjadi satu entiti iaitu bangsa Malaysia. Bahasa kita bahasa Malaysia, sebagai bahasa pengantar dan bahasa rasmi. Agama persekutuan ialah Islam, dan agama lain bebas diamalkan.

Dengan pembentukan bangsa Malaysia, tentunya tidak boleh ada keistimewaan yang abadi untuk mana-mana kaum. Namun, ia tidak menafikan ruang untuk adanya tindakan afirmatif (affirmative action), tetapi keistimewaan hanya akan terhenti selepas kezaliman yang lalu telah dibetulkan.

Tentunya, tiada lagi sekolah vernakular, dan amalan meritokrasi akan dijalankan sepenuhnya kepada semua warganegara Malaysia.

Sebuah undang-undang untuk mengelakkan diskriminasi juga boleh dirangka. Maknanya, selepas ini jika terdapatnya diskriminasi kaum di tempat kerja, majikan boleh dikenakan tindakan di mahkamah.

Kesemua ini boleh dilakukan walaupun tidak mewujudkan bangsa Malaysia, namun ia seolah-olah merawat simptom tanpa merawat punca penyakit.

Persoalan mungkin timbul, mengapa hendak hapuskan hak keistimewaan Bumiputera?

Kerana, selagi adanya yang "istimewa", tentu ada yang "tidak istimewa". Selagi ada konotasi darjat ini, sukar untuk mencapai asimilasi dan perpaduan yang utuh.

Jika tiada jaminan yang hak keistimewaan ini hanyalah tindakan afirmatif, maka ia adalah sebuah bentuk diskriminasi kepada kaum lain, apatah lagi kaum lain itu kaum minoriti. Status quo di Malaysia, kita memberikan keistimewaan semata-mata kerana sesebuah kaum itu "penduduk asal", bukan merit, bukan tindakan afirmatif.

Tapi, ia kan dah termaktub dalam kontrak sosial?

Kontrak sosial merupakan apa yang datuk nenek kita buat, yang sesuai dengan zaman tersebut. Setelah hampir 63 tahun merdeka, keadaan sudah berubah, generasi pun sedah berubah. Sudah tiba masanya kita kaji semula kandungan kontrak sosial tersebut.

Satu lagi, kontrak sosial hanyalah sebuah kontrak. Seperti mana-mana kontrak lain, kandungannya boleh jadi sudah tidak lagi relevan, atau telah ketinggalan zaman. Bahkan, setelah zaman berlalu, kandungan sesebuah kontrak itu boleh jadi tidak adil dan menzalimi sesetengah pihak dalam kontrak tersebut. Perlembagaan pun boleh dipinda.

Tapi kan kontrak sosial dah dipersetujui? Perjanjian Pangkor pun dipersetujui, tak bermakna kandungan perjanjian tersebut adil.

Gimik hendakkan perpaduan tanpa mengambil langkah konkrit ke arah pembinaan identiti dan bangsa Malaysia telah lama dimainkan. Contoh, kempen 1Malaysia, kempen yang cukup mengelirukan. Salah satu tunjang asasinya ialah meritokrasi, tetapi segala kuota masih ada.

Bagaimana? Ahli politik perlu mempunyai iltizam politik untuk membumikan idea bangsa Malaysia, dan rakyat Malaysia harus bersedia menerima perubahan ini. Bagaimana? Dalam situasi semasa, impian pembentukan bangsa Malaysia kelihatan masih jauh. Parti-parti politik yang ada mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu untuk dilindungi. UMNO, PPBM, dan mutakhir ini PAS kelihatan tegas enggan berganjak daripada hak keistimewaan Melayu. MCA dan DAP juga condong ke arah mempertahankan sekolah vernakular.

Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan tanah air, kita seharusnya memulakan hasrat perpaduan itu dalam diri dan masyarakat sekeliling kita. Jangan mudah terpengaruh dengan dakyah yang cuba melaga-lagakan kita. Kitakan anak Malaysia?

Maka, kembali kepada soalan yang pertama saya ajukan. Berapa lama untuk seseorang itu dikira sebagai penduduk asal sesebuah negara? Pada saya, tak perlu pun bincang tentang penduduk asal. Asalkan warganegara dan mengamalkan identiti bangsa Malaysia, cukuplah menjadi sebahagian daripada bangsa Malaysia.

Saturday, September 22, 2018

Pengharaman Plastik Sekali Guna: Di Mana Ada Kemahuan Di SItu Ada Jalan

Sebahagian poster mempersenda pengharaman straw
Satu hari saya pergi ke Klinik Kesihatan di Selayang. Saya intai kaunter farmasi, maklumlah, pelajar farmasi kan.

Saya lihat sesuatu yang aneh. Setiap kali nombor dipanggil, mesti pakcik atau makcik tersebut akan bawa keluar sebuah beg plastik atau kain untuk ambil ubat tersebut. Ia kelihatan rutin, tidak lagi menjadi kejanggalan, dan setakat yang saya lihat, tidak ada yang merungut. Seusai pulang baru saya difahamkan polisi KKM bahawa tiada beg plastik akan diberikan.

Bukanlah suatu rahsia yang mereka yang datang ke KK ini kebanyakannya golongan berpendapatan rendah dan "lower middle-class". Tapi mereka kelihatan tidak mempunyai masalah pun hendak mengikut polisi mesra alam yang diperkenalkan.

Ada seorang kawan saya yang pernah bekerja sebagai juruwang di 7-Eleven pula pernah menceritakan bahawa setiap hari lebih kurang 3 kali dia perlu "bergaduh" dengan pelanggan mengenai caj beg plastik 20 sen. Pelik kan? Biasanya yang membeli belah di 7-Eleven ini bukanlah orang berpendapatan rendah, tetapi kesedaran berkenaan polisi alam sekitar masih rendah.

Iya. Polisi mesra alam sekitar sebenarnya sedikit sebanyak berjaya mendidik masyarakat. Sebelum ini, kita tidak terfikir pun penggunaan beg plastik boleh dihentikan terus. Namun, jika di KK Selayang itu berjaya, mengapa tidak di semua tempat lain?

Saya masih ingat, ketika awal-awal Selangor memperkenalkan hari tanpa beg plastik. Agak kecoh ketika itu. Semua, termasuk keluarga saya, pun merasai susahnya meninggalkan tabiat menggunakan beg plastik ketika membeli belah. Tetapi akhirnya, setelah beberapa tahun, kita belajar, dan kita sudah terbiasa.

Samalah, polemik pengharaman straw plastik. Saya sendiri merasakan ia satu langkah yang sukar untuk saya untuk tidak lagi menggunakan straw plastik. Akan tetapi, kita harus sedar, hendak selamatkan bumi perlukan pengorbanan.

Biasalah, langkah pertama ialah langkah paling sukar. Percayalah, sama seperti polemik beg plastik suatu ketika dahulu, satu hari nanti kita akan terbiasa dengan keadaan tanpa straw plastik. Bukannya kita tidak tahu kesan straw plastik terhadap alam sekitar.

Berapa banyak lagi video straw plastik melekat dalam hidung penyu yang hendak kita tengok sebelum kita mengangguk dan mengaku bahawa langkah ini langkah positif dan perlu?

Thursday, August 30, 2018

Universiti Merdeka

UIA Kuantan
Pada era kegemilangan Islam sebagai tamadun ilmu suatu masa dahulu, pendidikan dikelolakan dengan sistem wakaf.

Masyarakat mewakafkan harta yang kekal, seperti tanah dan ladang, untuk membiayai institusi-institusi pendidikan. Maknanya, kerajaan tidak mempunyai sebarang campur tangan dalam hal ehwal institusi pendidikan, dan institusi pendidikan tidak ada keperluan untuk melakukan apa-apa tindakan mengampu kerajaan semasa, kerana kerajaan tidak menyumbang sedikitpun kepada kelestarian institusi pendidikan tersebut. Semuanya dalam kalangan masyarakat, oleh masyarakat, untuk masyarakat.

Hasilnya, lahirlah para ilmuan dan akademik yang tanggungjawab dan kesetiaannya hanya kepada kebenaran. Oleh sebab itulah, mereka boleh mengkritik dasar-dasar kerajaan semasa dan menegur pihak penguasa, di samping terus menerus menurunkan ilmu kepada anak bangsa.

Akhirnya, autonomi sistem pendidikan ini terhapus apabila penjajah memilik negarakan wakaf, maka institusi-institusi pendidikan terkemuka seperti Al-Azhar pun mula mempunyai "tuan" iaitu kerajaan Mesir.

Apa itu autonomi universiti dalam konteks semasa?

Autonomi universiti secara ringkasnya merujuk kepada universiti yang bebas untuk menguruskan hal ehwal pentadbiran dan kurikulum universiti, tanpa sebarang campur tangan daripada kerajaan yang memberikan dana untuk operasi universiti tersebut. Tanpa autonomi universiti, kebebasan akademik menjadi terbatas.

Adakah universiti di Malaysia mempunyai autonomi, dan warga akademik di Malaysia mempunyai kebebasan akademik?

Di Malaysia, universiti-universiti masih mempunyai campur tangan oleh kerajaan semasa dengan kewujudan beberapa jawatan lantikan politik dalam pentadbiran tertinggi universiti. Menurut Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK), jawatan-jawatan ini termasuklah jawatan Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor, pengerusi dan ahli lembaga pengarah, dan lain-lain jawatan tertinggi pentadbiran universiti.

Walaupun pada tahun 2005 Kementerian Pendidikan Tinggi telah dicadangkan untuk membenarkan profesor-profesor memilih staf mereka sendiri untuk memasuki Dewan Senat universiti, memberikan hak mutlak kepada lembaga pengarah universiti untuk sebarang keputusan berkaitan dengan universiti dan pengurusan universiti, serta memastikan semua naib canselor dilantik melalui meritokrasi, namun sehingga kini masih belum dilaksanakan.

Hal ini menunjukkan universiti-universiti di Malaysia masih belum merdeka daripada belenggu politik dan kerajaan. Akibatnya, kebebasan akademik di Malaysia menjadi terhad.

Pada 22 Oktober 2016, empat orang mahasiswa UM memberikan tindakan tatatertib akibat penyertaan dalam perhimpunan "Tangkap MO1", tiga mereka digantung selama 6 bulan dan disaman RM400, serta seorang daripada mereka hanya disaman.

Kes ini pula menggambarkan mahasiswa dihalang daripada menyuarakan pandangan mereka kepada kerajaan dan masyarakat umum, dan pentadbiran universiti sepatutnya menghormati hak mereka untuk bersuara dan berpersatuan.

Pada 13 Ogos 2015, dua orang mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Gombak telah digantung semester selama dua semester kerana menganjurkan debat mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan menjemput ahli parlimen Pandan ketika itu, Rafizi Ramli, seorang ahli parlimen pembangkang. Namun, debat polisi ini dihalang dan dihentikan oleh pihak pentadbiran universiti dan penganjurnya dikenakan tindakan tatatertib.

Kes ini menunjukkan mahasiswa disekat akses kepada sumber ilmu dan dihalang daripada mengadakan diskusi ilmiah. Mahasiswa sepatutnya bebas mengadakan sebarang jenis dialog, diskusi, forum, debat, dan sebagainya untuk membincangkan isu-isu semasa dalam kerangka akademik, serta melibatkan sesiapa sahaja yang berkelayakan tanpa mengira jantina, bangsa, agama, dan ideologi politik.

Malah, kakitangan akademik universiti juga terkesan dek ketiadaan kebebasan akademik ini. Akhir tahun lepas, pada November 2017, Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) telah membantah sebuah peringatan yang dikeluarkan oleh Universiti Malaya (UM) yang melarang staf dan mahasiswa UM untuk membuat apa-apa jenis kenyataan umum. PKAUM mengatakan bahawa peringatan tersebut menunjukkan bahawa pentadbiran universiti tersebut gagal memahami salah satu tujuan akademik, iaitu untuk menilai keadaan masyarakat secara kritis. Hal ini merupakan suatu halangan untuk melakukan kajian dan sebarang penilaian kritis terhadap kerajaan.

Kes ini amat signifikan kerana ia melanggar kebebasan untuk ahli akademik menyuarakan pandangan kritis mereka kepada kerajaan. Ahli-ahli akademik sepatutnya diberikan kebebasan untuk menganalisa, mengkritik, dan merespon isu-isu kemasyarakatan dan kenegaraan, tanpa harus ada sebarang ancaman terhadap pegangan dan pandangan profesional mereka.

Kata rektor UIAM, Prof Tan Sri Dato Dzulkifli Abdul Razak, warga akademik sepatutnya menjadi "intelektual awam", iaitu ahli akademik yang berkhidmat untuk kepentingan masyarakat umum. Tindakan menyekat kebebasan akademik ini menghalang dan menghambat peranan ahli akademik sebagai "intelektual awam".

Pasca Pilihanraya Umum ke-14 yang lepas, banyak petunjuk-petunjuk positif yang akhirnya universiti akan dimerdekakan, iaitu autonomi universiti dan kebebasan akademik akan dikembalikan. Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik ada memberi jaminan bahawa universiti akan menikmati autonomi dan bebas daripada campur tangan politik termasuklah daripada beliau sendiri. Dalam manifesto Pakatan Harapan sendiri terdapat janji ke-50, yang juga menjanjikan autonomi universiti dan kebebasan akademik, serta memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Akan tetapi, selagi perkara ini tidak termaktub secara jelas dan kekal dalam undang-undang dan dasar, warga akademik seharusnya belum boleh berpuas hati. Warga akademik haruslah terus menuntut janji dan jaminan yang diberikan ini supaya diabadikan dalam hitam putih, agar nasib autonomi universiti dan kebebasan akademik bukan lagi bergantung kepada belas ihsan kerajaan semasa semata-mata.

Dalam era Malaysia Baharu, ayuh semua, kita tuntut Universiti Baharu!

Friday, May 11, 2018

Malaysia Baharu : Harapan Saya Untuk Malaysia

8 Mei 2018


10 Mei 2018.

Tanggal yang cukup bersejarah, yang saya pasti ia akan dimasukkan dalam buku sejarah kita suatu hari nanti.

Monopoli oleh Barisan Nasional selama 6 dekad telahpun ditamatkan. Tiada lagi istilah "kerajaan" dikhaskan untuk Barisan Nasional, dan "pembangkang" dikhaskan untuk yang menentang Barisan Nasional.

Malaysia telahpun membuktikan mereka mampu bersuara menolak kerajaan yang mereka rasakan tidak elok untuk negara.

Sebagai anak muda yang tidak dapat mengundi, inilah harapan saya untuk Malaysia tanah airku yang tercinta ini.

Saya berharap selepas ini kita keluar daripada kepompong politik lama dalam memerintah negara.

PERTAMA : POLITIK NILAI

Saya berharap selepas ini Malaysia menjunjung prinsip politik nilai dalam berpolitik.

Politik Nilai yang saya maksudkan ialah, apabila kita berpegang pada nilai yang dikongsi bersama,

Secara lebih spesifik, saya berharap kita semua menjunjung menjunjung asas-asas dalam kita bernegara, termasuklah berpegang teguh dengan rukun negara yang kita ikrarkan selama ini. Kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada Raja dan negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, dan kesopanan dan kesusilaan.

Saya tidak lagi ingin mendengar politik identiti. Apa itu politik identiti? Politik identiti ialah politik yang bertujuan mementingkan sebahagian pihak sahaja, bukan menjaga kepentingan semua. Di negara tercinta ini, kelihatan politik identiti sangat rancak dipermainkan, khasnya identiti bangsa dan agama. Sebelum, semasa bahkan selepas PRU, kita sering dengar usaha-usaha memecahbelahkan kita. Mereka cuba menjadikan undi kita berdasarkan identiti, bukan lagi manifesto dan kredibiliti.

Di Malaysia Baru, saya berharap kita berpegang kepada nilai dan asas kita bernegara.

Politik nilai yang saya maksudkan juga ialah politik memberdayakan masyarakat.

Harapan saya, masyarakat bukan sahaja bergantung kepada kerajaan untuk berubah, tetapi boleh melakukan inisiatif daripada masyarakat untuk masyarakat. Putik-putik kesedaran oleh masyarakat untuk masyarakat ini telahpun ada. Kempen #pulangmengundi, #CarpoolGE14, ialah contoh politik nilai yang saya maksudkan.

Saya tidak lagi ingin melihat politik yang mendewakan pemerintah. Segalanya yang dikatakan oleh pemerintah ialah benar dan segalanya yang dikatakan orang lain ialah salah. Politik taksub dan mensucikan pemimpin seperti ini tidak harus berlaku samada oleh kerajaan, parti-parti pembangkang, mahupun mana-mana organisasi. Satu lagi bentuk pendewaan pemerintah apabila segalanya yang salah dikatakan sebagai salah pemerintah. Contohnya ketika sebelum PRU14, ada yang cuba meletakkan kesalahan di bahu bekas perdana menteri Najib Razak atas peristiwa hitam MH370.

Di Malaysia Baru, saya berharap kita meninggalkan pergantungan kita kepada pemerintah dan berusaha membangkitkan gerakan masyarakat untuk masyarakat.

Politik nilai yang saya maksudkan juga ialah politik berteraskan kebajikan.

Mengapa politik harus berteraskan kebajikan? Kerana konsep demokrasi ialah kerajaan dalam kalangan rakyat, dipilih oleh rakyat, dan bekerja untuk rakyat. Atau seperti yang Abraham Lincoln bekas presiden Amerika Syarikat katakan, "kerajaan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat". Maka seharusnya ia berpaksikan rakyat. Kebajikan yang saya maksudkan ini meliputi semua perkara, daripada kesihatan sehinggalah pendidikan, daripada prasarana sehinggalah perkhidmatan; semua ini haruslah berteraskan kebajikan rakyat.

Saya juga tidak lagi ingin melihat politik tidak rakyat. Politik rasuah, politik kroni, dan sebagainya yang tidak rakyat berpaksikan rakyat seharusnya dinyahkan daripada Malaysia.

Di Malaysia Baru, saya berharap politik toksik seperti ini dinyahkan daripada tanah tercinta ini selama-lamanya!

KEDUA : KEBEBASAN BERSUARA

Saya berharap selepas ini Malaysia menjunjung kebebasan bersuara, kebebasan berkarya, dan kebebasan akademik.

Kembalikan kredibiliti media massa dalam kalangan masyarakat. Benarkan saluran-saluran televisyen, akhbar-akhbar, untuk bebas menyampaikan berita. Media-media alternatif perlu mewujudkan stesen televisyen dan menjadi saluran alternatif rakyat Malaysia mendapat maklumat. Dalam bidang ini, negara jiran telahpun lebih terkedepan berbanding kita.

Saya juga berharap adanya akhbar, portal berita, stesen televisyen, dan stesen radio yang mengeluarkan berita secara bebas tanpa terikat dengan mana-mana parti. Hal ini hanya boleh berlaku andai hak kebebasan bersuara diangkat.

Karya-karya, filem-filem tempatan juga harus dibenarkan untuk lebih berani dan lebih bebas dalam berkarya. Andai kita bandingkan dengan negara jiran, mereka boleh keluarkan filem satira seperti "Alangkah Lucunya Negeri Ini" dan mendapat sambutan hangat. Bahkan, jika kita kaji semula, di negara-negara yang industri filemnya maju, mereka tidak takut untuk menjadikan kerajaan dan pihak berkuasa negara mereka sebagai watak jahat, seperti filem India "Bajrangi Bhaijaan" dan drama Korea "Doctor Stranger".

Para ahli akademik, mahasiswa juga seharusnya tidak dihalang daripada berbincang dan menganalisa berkenaan politik partisan di kampus-kampus. Saya berharap selepas ini tiada lagi isu andai pemimpin pembangkang untuk dijemput ke universiti-universiti dengan syarat ia perbincangan bersifat ilmiah, bukan bersifat kempen.

KETIGA : KEADILAN

Saya berharap sebagai rakyat Malaysia, agar keadilan ditegakkan di bumi bertuah ini, sama ada daripada aspek polisi mahupun perundangan.

Isu defisit kepercayaan terhadap kerajaan dan pihak berkuasa harus diselesaikan dengan segera agar negara ini dapat kembali berfungsi dengan baik.

Semoga selepas ini tiada polisi yang menguntungkan pihak yang tidak layak, dan tiada hukuman secara memilih-milih berlaku di Malaysia.

Semua, baik perdana menteri mahupun ketua pembangkang, jika disiasat dan terbukti melakukan penyelewengan, maka mereka patut dihukum. Peguam Negara, PDRM, tentera, SPR, SPRM, badan-badan kerajaan, syarikat-syarikat kerajaan, dan lain-lain seharusnya berkhidmat untuk rakyat, bukan hanya parti pemerintah.

Saya juga berharap suatu siasatan dijalankan untuk mengkaji semula kelemahan-kelemahan pilihanraya yang lepas, khasnya dakwaan penerimaan kertas undi lambat di luar negara, masalah-masalah berkaitan kertas undi, kesilapan melabel kotak undi, dan kelewatan dalam keluarnya keputusan rasmi PRU. Jika ada sebarang perkara yang melanggar SOP dan layak dihukum, maka hukumlah sewajarnya. Perkara ini ialah perkara yang amat penting kerana pemerintahan, hala tuju masa depan negara bergantung kepada pilihanraya yang bersih dan adil. Isu-isu seperti ini hanya akan menambah kesangsian rakyat terhadap SPR.

KEEMPAT : PERPADUAN

Negara kita mempunyai krisis perpaduan yang sangat meruncing, walaupun kelihatannya majoriti rakyat Malaysia telah menolak politik berasaskan bangsa dalam PRU14. Namun, kelihatan kegiatan memecahbelahkan kita ini masih terbudaya dalam masyarakat kita.

Sehingga kini, masih ada yang menggunakan sentimen perbezaan bangsa dan agama untuk menakut-nakutkan orang sesama kita. Bahkan, ada yang cuba mengapi-apikan semangat rasis dan saling benci-membenci sesama kita, lalu menuduh bukan-bukan untuk menjustifikasi benci dan amarah mereka. Hendak berbeza pandangan dan ijtihad politik tiada masalah, namun jangan libatkan bangsa dan agama. Berpolitiklah dengan hujah, fakta, dan justifikasi yang baik.

Saya percaya, kebencian ini berakar daripada kita tidak saling mengenal antara kita. Jika kita semakin kenal, maka perkara ini tidak lagi menjadi suatu masalah. Maka ayuhlah, libatkan diri dalam program bercampur bangsa dan agama, dan berbaik dengan semua orang.

Saya benar-benar harap kita boleh tinggalkan sentimen ini dan bersama bersatu membina Malaysia baru, tidak kiralah pembangkang mahupun kerajaan.

Tuesday, December 20, 2016

Solidariti Aleppo, kebebasan bersuara, dan idea.



Semalam, berlangsungnya perhimpunan atau forum solidariti untuk Aleppo di UIAM Kuantan. Sebuah himpunan yang menggabungkan semua persatuan mahasiswa Islam (sebab UIAM Kuantan tak ada persatuan bukan Islam) untuk menunjukkan solidariti untuk Aleppo.

#WeStandForAleppo

Saya amat tertarik dengan ucapan yang diberikan oleh wakil daripada HALUAN Siswa. Kata beliau, keadaan di Syria sebelum Arab Spring ialah aman, tetapi rakyat hidup dalam ketakutan. Sehinggalah, mungkin mengambil semangat daripada Arab Spring yang bermula di Tunisia, sekumpulan pemuda menconteng dinding mengatakan bahawa rakyat mahu jatuhkan kerajaan. Kata beliau, itulah titik tolak krisis ini.

Kemudian, kesemua pemuda itu telah ditangkap dan dipenjarakan oleh gabenor kota berkenaan. Tindakan beliau ini telah menyebabkan rakyat marah, dicampur dengan kemarahan dan ketakutan yang terpendam, mereka bangkit ke jalan raya. Apa yang bermula dengan sebuah demonstrasi aman, berubah menjadi sebuah perang saudara yang berdarah.

Apa yang menarik perhatian saya ialah permulaan krisis ini. Ia bermula dengan sekatan terhadap kebebasan. Kebebasan bersuara rakyat disekat, akhirnya menimbulkan kemarahan rakyat.

Sehingga kini, tiada siapa pun yang akan kata, saluran pemuda itu menyuarakan kemarahan ialah salah dan sebagainya. Kita semua akan kata, salah kerajaan Syria kerana tidak memperuntukkan saluran yang baik untuk menunjukkan perasaan, juga kerana mereka gagal menerima teguran dengan baik.

Teringat tanah yang dipijak, langit yang dijunjung. Semenanjung Emas, kata sejarawan lama.

Di tanah air tercinta ini, tidaklah jauh bezanya dengan keadaan di sana. Kita aman, dalam keadaan ketakutan. Hendak suarakan kritikan terhadap kerajaan, bimbang dibuang kerja, digantung universiti, malah dipenjara.

Lihatlah keadaan ketika perhimpunan BERSIH yang lepas. Walaupun saya tak pergi, tetapi ketegangannya terasa. Sebenarnya, teknik menakut-nakutkan rakyat berjaya. Kita sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan ketika itu. Malah, sebahagian kita takut Akta Majlis Keselamatan Negara akan diguna pakai untuk menghalang perhimpunan itu berlangsung.

Walaupun ketika itu, tuntutannya bukan hendak menjatuhkan kerajaan pun. Mereka hanya hendak menuntut pilihanraya yang bersih dan adil. Tetapi masih ketakutan.

Banyak sebenarnya isu kebebasan bersuara baru-baru ini di Malaysia.

1. Semua penjawat awam yang menyertai BERSIH boleh dibuang kerja, kata Ketua Setiausaha Negara.

2. Isu saudari Anis Syafiqah dan UM4, tentang Tangkap MO1.

3. Isu Jufazli Shi Ahmad ditangkap kerana menyuarakan mengenai kerajaan negeri dan Jabatan Bekalan Air Sabah di Facebook.

4. Isu Asheeq Ali Sethi Alivi untuk demonstrasi Tangkap MO1, digantung semester.

5. Pelajar Universiti Monash di Malaysia diugut akan dikenakan tindakan disiplin jika menghadiri BERSIH.

6. Isu Hanif Mahpa dan Afiqah Zulkifli yang digantung dua semester ketika ingin menganjurkan forum mengenai GST.

Senarai ini akan jadi terlalu panjang jika hendak menyenaraikan semua. Cukuplah enam ini isu ini yang secara terus terang melibatkan orang muda. Malah, lima daripada enam isu yang saya senaraikan itu melibatkan mahasiswa.

Manusia boleh dipenjara, dibunuh. Tetapi idea tidak akan mati. Buat apa nak halang kebebasan bersuara? Lihatlah sejarah, betapa idea takkan dapat dibunuh dengan kekerasan. Bahkan, Islam sendiri datang sebagai idea yang ditentang.

Jufazli ditangkap kerana kalamnya di Facebook sahaja. Tetapi pemerhatian saya, perjuangan beliau semakin diangkat dek penangkapan beliau. Bukti kukuh, idea tidak boleh dipenjarakan.

Hentikanlah mengongkong suara rakyat dengan menakut-nakutkan rakyat. Kata-kata dalam filem Star Wars yang saya ingat sampai sekarang, "fear leads to anger, anger leads to hate, hate leads to suffering". Akhirnya, ketakutan hanya akan menyebabkan keberangan, kebencian, dan kesengsaraan.

Rakyat semakin marah.

Teringat saya kepada sebuah posting Facebook oleh One Pint of Normal Saline yang menyindir Kementerian Kesihatan Malaysia kerana tidak mempertahankan doktor yang dihambat oleh anggota polis di salah sebuah hospital kerajaan tahun ini.

Menariknya, di bawah posting tersebut, ramai (para doktor mungkin) yang memberikan komentar mengharap Ketua Polis Negara masuk ke wad jagaan mereka, dan mereka ingin melakukan pelbagai prosedur yang menyakitkan kepada beliau. Memanglah ianya nada bergurau, tetapi, iya, rakyat marah.

Sudah-sudahlah menyorok di sebalik serban agamawan. Nabi SAW sendiri menerima teguran daripada para sahabat baginda secara berdepan. Saya bagi anda dua situasi dalam sirah.

1. Sebelum perang Badar, baginda hendak berhenti di sesuatu tempat untuk dibuat kem dan berperang esoknya. Seorang sahabat yang tidaklah masyhur pun, bersuara menanyakan adakah ini wahyu ataupun strategi baginda semata? Apabila baginda menjawab strategi, sahabat tersebut mencadangkan supaya tempat perkhemahan dan peperangan itu dialih untuk memberikan kelebihan kepada tentera Islam. Baginda SAW menerima cadangan tersebut.

2. Sebelum perang Uhud, baginda adakan perjumpaan satu Madinah untuk bermesyuarat perang. Baginda tidak hanya menjemput penyokongnya sahaja, tetapi juga orang seperti Abdullah bin Ubay, bapa segala munafiq. Asalnya, baginda hendak bertahan dalam kota Madinah, dan idea ini dipersetujui oleh Abdullah bin Ubay. Tetapi, sahabat-sahabat yang lebih muda dan terlepas peluang menyertai perang Badar mencadangkan mereka keluar berperang di luar Madinah. Baginda akhirnya akur, walaupun kemudiannya para sahabat tersebut memohon maaf dan ingin menarik balik cadangan mereka kerana dilihat tidak wajar menolak strategi Nabi SAW.

Ya, Islam benarkan kita menyuarakan ketidakpuasan hati kepada pemerintah.

Kata orang putih, "I may not agree with what you say, but I will fight to death for your right to say it". Jangan sesekali kita ambil pendekatan, selagi anak menantu kita selamat, tidak perlu perjuangkan hak bersuara. Kelak, apabila tiba giliran kita, tiada sesiapa juga akan pertahankan kita.

Perjuangkan hak orang lain, baru orang lain akan perjuangkan hak kita.

Pemuda yang menconteng dinding di Syria itu tidak pernah terfikir idea dan keberanian mereka memberikan kesan yang mendalam.

Tetapi, suatu perkara yang boleh kita fikirkan, adakah idea pemuda ini memberikan kesan kepada masyarakat andai idea mereka tidak ditekan? Bagaimana pula keadaannya agaknya, jika Basyar daripada awal mendengar pendapat rakyat, tidakkah kemarahan seperti ini dapat dibendung? Akan berlakukah pertumpahan darah seperti ini?

Moga jawapan kepada persoalan-persoalan ini memberi petuntuk bagaimana menyelesaikan kemelut di negara kita.

Akhir sekali, kepada siapa kita patut marah untuk isu pertumpahan darah di Syria ini?

Tentunya, kepada rejim Assad sendiri. Ketika perkara seperti ini berlaku, tiada yang akan salahkan pemuda itu kerana saluran kemarahan mereka itu salah. Hal ini kerana, punca kemarahan itulah yang paling bersalah.

Hal yang sama seharusnya dibawa ke Malaysia. Tidak patut kita bertikam lidah sama ada mahasiswa sepatutnya terlibat ataupun tidak dengan kemelut 1MDB, BERSIH, GST, dan sebagainya. Sebaliknya, kita seharusnya menilai sama ada perkara yang diperjuangkan oleh mahasiswa itu betul ataupun tidak, selagi mana tindakan tersebut masih dalam lingkungan rasional dan dapat diterima oleh norma masyarakat abad ke-21.

Suatu muhasabah daripada peristiwa bersejarah yang berlaku awal 2011 yang lalu untuk kita bersama. Kata orang, jika kita tidak belajar daripada sejarah, kita akan mengulanginya.

Semoga Allah bantu umat Islam di seluruh dunia, membebaskan mereka daripada belenggu kezaliman dan kesengsaraan.

Semoga Allah bantu mereka yang dizalimi ke atas mereka yang menzalimi.


Friday, November 18, 2016

BERSIH 5 bukan Arab Spring


Siapa yang kata BERSIH ialah Arab Spring, memang tidak membaca dan tidak memahami ataupun sengaja menakut-nakutkan orang ramai.

Apa beza Arab Spring dan BERSIH?

1. MATLAMAT

Arab Spring tujuan utamanya untuk menjatuhkan pemerintah. Contohnya, Mesir meminta Hosni Mubarak, seorang diktator.

BERSIH meminta Pilihanraya yang bersih dan adil. Supaya Perdana Menteri benar-benar pilihan rakyat, serta tuntutan-tuntutan hak yang lain seperti hak Sabah dan Sarawak. Sekalipun akan ada peserta BERSIH yang akan meminta Perdana Menteri meletakkan jawatan, ia tetap tidak pernah ada dalam mana-mana tuntutan rasmi BERSIH.

Jika (tidak ada pun dalam tuntutan BERSIH, tapi jika) BERSIH menuntut Perdana Menteri meletakkan jawatan, ianya dituntut secara demokratik. Sama seperti demonstrasi anti-Trump setelah kemenangan Trump dalam pilihanraya Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini, demonstrasi penduduk Jepun meminta Shinzo Abe meletak jawatan, demonstrasi Downing Street meminta David Cameron meletak jawatan.

Baca selanjutnya:
1. Obama sokong demonstrasi anti-Trump.
2. Demonstrasi Downing Street meminta David Cameron meletakkan jawatan.
3. Demonstrasi di Jepun meminta Shinzo Abe meletakkan jawatan.

Ia tidak menjejaskan demokrasi di negara-negara itu dan ia tidak pula dimomokkan oleh pihak berkuasa dan agamawan yang ia adalah seperti Arab Spring.

2. CARA PERLAKSANAAN

Arab Spring berprinsip takkan berganjak selagi tuntutan tidak dipenuhi. Contoh mudah, Mesir. Rakyat tidak mahu berganjak langsung selagi Hosni Mubarak tidak turun. Mereka terus berada di jalan raya selagi mereka tidak berpuas hati. Mereka takkan pergi kerja, takkan balik rumah. Hanya apabila Hosni Mubarak meletakkan jawatan barulah mereka pulang.

BERSIH memang hanya 1 hari sahaja. Gagal atau berjaya, Sabtu itu juga semua orang akan balik rumah dan hari bekerja berikutnya masing-masing akan mula bekerja seperti biasa.

Dua perbezaan besar ini memadai untuk kita katakan, BERSIH dan Arab Spring tidak sama. Belum dicampur dengan keadaan sebelum dan semasa yang sangat berbeza di negara-negara Arab Spring dan Malaysia.

****

Nota untuk PM, tak perlulah nak memomokkan rakyat yang dengan mengatakan bahawa takkan meletakkan jawatan, nasib hanya akan ditentukan oleh kotak undi bukan demonstrasi, dan sebagainya.

BERSIH hanya meminta pilihanraya yang bersih dan adil. Supaya rakyat mempunyai peluang untuk membenarkan kata-kata anda, iaitu untuk menentukan nasib anda dengan peti undi yang adil.

****

Nota untuk IGP, AG, SPRM, dan SPR.

Amat difahami PM akan melakukan apa sahaja untuk menang pilihanraya akan datang. Anda diwujudkan oleh perlembagaan untuk memastikan PM menggunakan landasan yang betul. Semak dan imbang.

JIKA anda melakukan perkara yang tidak adil atau mendiamkan perkara yang tidak adil dan sebarang kezaliman yang dilakukan oleh PM, anda bertanggungjawab di hadapan rakyat Malaysia, dan di hadapan Tuhan.

****

Adakah anda merasa selamat bahawa Dia (Pemegang Segala Kuasa) di Langit tidak akan menyebabkan menyebabkan dunia ini menelan anda apabila ia bergegar?

Ataukah anda merasa selamat bahawa Dia (Pemegang Segala Kuasa) di Langit tidak akan menghantar ribut batu, maka anda akan tahu bagaimana beratnya amaranKu?

[Al-Mulk 67:16-17]

Saturday, October 3, 2015

Ketuanan Islam di Malaysia & pengajaran daripada Empayar Mughal



Isu pembesar suara di Pulau Pinang.
Isu Hudud Kelantan dan Khutbah Pahang.
Isu Perhimpunan Merah.
Isu perpecahan Pakatan Rakyat.

Semua isu di atas mempunyai satu persamaan:

Mengatakan ketuanan Islam.

Pejuang-pejuangnya mengatakan, bahawa Islam sebagai agama rasmi negara, perlu mempertahankan Islam dan tidak harus bertolak ansur dengan yang belum Muslim.

Memang betul Al-Quran kata Ummah Islam ialah sebaik-baik ummah. Tetapi tidak bermakna anda boleh menganggap penganut agama lain kasta lebih rendah.

Stigma Islam itu agama rasmi negara, Islam itu tuan kepada belum Islam maka boleh buat apa sahaja, harus dibuang.

Bukankah Islam itu rahmat buat semua?

Kita berkongsi negara. Muslim di negara ini bukanlah majoriti besar pun. Lebih sedikit daripada separuh sahaja. Maka sokongan belum Muslim adalah sesuatu yang besar yang wajar diambil kira.

ISU PEMBESAR SUARA DI PULAU PINANG

Ramai pendekar papan kekunci mengutuk DAP, mengatakan seharusnya kerajaan dan Mufti tidak bertolak ansur langsung terhadap aduan tentang pembesar suara Masjid menganggu.

Isu ini sudah banyak di media sosial. Ringkasnya, adalah sunnah, untuk tidak membaca Al-Quran dengan kuat hingga mengganggu orang lain, apatah lagi kuliah agama.

Pernah anda berhenti dan solat di masjid ketika dalam perjalanan? Sudah solat di beranda, dalam dan luar itu dipasang dengan kuat (bukan ramai orang pun) ketika kuliah agama, yang bacaan dalam solat itu tidak dapat didengar langsung walaupun sudak meninggikan suara. Mereka yang qiyam bersendirian berhampiran masjid juga pasti akan faham isu ini.

ISU HUDUD KELANTAN DAN KHUTBAH PAHANG



Mereka juga menyorak JAIP yang secara jelas mengatakan bahawa DAP adalah parti yang jelas menentang Islam, termasuklah portal pejuang Melayu-Islam ISMAWeb yang menggelar DAP sebagai "cauvinis dan rasis" dan Dewan Ulama PAS Perak menyokong tindakan mufti yang enggan meminta maaf kepada DAP.

Aku jelaskan beberapa perkara.

1. Bukan tempatnya. Sekalipun mufti tersebut ingin menyatakan tidak puas hatinya terhadap DAP, khutbah bukan tempatnya. Keluarkan kenyataan. Tunjukkan bukti beserta dalil yang sesuai dengan keadaan Malaysia. Samanlah. Ambil tindakan. Negara kita mempunyai undang-undang.

Terhadap syiah anda berani, dengan hujah ajaran sesat. Terhadap DAP mengapa tidak melakukan perkara yang sama? Bukankah menentang Islam itu lebih besar daripada menyebarkan ajaran sesat, Ayah Pin contohnya?

2. Hormat institusi Mufti, kata pejuang papan kekunci.

Semua manusia membuat kesilapan. Adakah apa-apa yang dilakukan oleh institusi Mufti tidak boleh dipertikaikan? Ada DAP mengeluarkan kenyataan hendak siku lutut, mencarut?

Tidak. Mereka cuma mengatakan, ini fitnah, sila tarik balik kenyataan atau saman. Pun sudah ditarik balik samannya untuk berbincang.

Agamawan bukan Tuhan.

3. Penggunaan mimbar untuk menyerang mana-mana parti politik secara terang, adalah menyalahgunakan mimbar dan melanggar etika demokrasi. Anda boleh perli, tapi jangan sebut nama.

"Lebih mengecewakan, ramai umat Islam menyertai UMNO walaupun jelas banyak korupsi."

Cantik ke bunyinya? Walaupun aku tidak bersetuju dengan UMNO, aku tak rela mimbar dijadikan tempat kempen parti politik walaupun menentang UMNO. Sebut isu, bukan melabel.

Dah lah anda wajibkan semua khatib bawah seliaan JAIP menyampaikan teks itu, jika tidak, boleh diambil tindakan.

Tentang hudud, boleh baca di sini:
www.thestar.com.my/Opinion/Columnists/Reflecting-On-The-Law/Profile/Articles/2014/05/01/Hudud-test-for-the-Constitution/

Banyak perkara yang perlu diubah dalam perlembagaan dan negara untuk adakan hudud. Jadi, mempunyai majoriti yang besar adalah penting. Maka, tak boleh nak tolak tepi golongan belum Muslim sebagai penentang Islam begitu sahaja. Kerana, nak tak nak, kita perlukan sokongan mereka untuk ini.

Lagipun, ramai mempertikaikan ketelusan sistem legislatif di Malaysia. Tentang "Bebas Anwar", Khir Toyo dipenjara 12 bulan, Altantuya dan sebagainya. Jika kehakiman selalu dipertikai, bagaimana pula hendak memberi kuasa kepada mereka untuk laksanakan hudud?


KISAH AURANGZEB DAN KERUNTUHAN EMPAYAR ISLAM MUGHAL

Aurangzeb merupakan seorang pemerintah empayar Mughal di India, sebuah empayar Islam yang penduduknya berbilang agama.

Beliau merupakan pemimpin yang patuh syariah, membatalkan segala undang-undang liberal, memperkenalkan kembali undang-undang syariah.

Beliau mengharamkan muzik, joget, nyanyi (ketiga-tiga yang amat penting dalam Hinduism) arak, dadah dan lain-lain. Selain itu, terdapat sebahagian kuil Hindu yang dirobohkan dan kuil baru dilarang untuk dibina untuk tunjuan politik, bukan keagamaan.

Beliau juga menentang kegiatan Sufism ekstrem. Beliau merupakan pemimpin yang zuhud, tidak bermewah mewah.

Beliau juga menghapuskan cukai yang tiada dalam Islam (ada yang mengatakan beliau memperkenalkan kembali jizyah dan meminta bukan Muslim membayarnya).

Beliau tidak menggunakan perbendaharaan negara sedikitpun. Malah bekerja membuat topi dan menulis Al-Quran untuk menyara hidup.

(Sumber, lostislamichistory. Sejarawan Barat mengatakan lebih banyak perkara tidak baik berkenaan beliau seperti membunuh Sufi dan lawan politik, tetapi kita abaikan fakta ini.)

Kelihatan seperti baldatun tayyibah bukan?

Namun, akibat tindakan yang kelihatan seperti menentang kebebasan beragama dalam empayar Mughal ini, banyak pemberontakan berlaku termasuklah oleh golongan Sufi.

Pemerintahan beliau dikira sebagai titik akhir kestabilan empayar Mughal, dan selepas itu tiada lagi pemimpin Mughal yang berjaya menyelamatkan empayar tersebut sehingga jatuh.

PERKAITAN DENGAN ISU

Perkaitannya, aku mahu anda semua fikir, mengapa agaknya Aurangzeb ini ditentang? Bukankah undang-undang Islam itu adil buat semua? Bukankah mengharamkan arak itu bagus?

Mengapa tidak menjadi "baldatun tayyibah wa rabbun ghafur" itu?

Islam kan mulia dan memuliakan.
Aurangzeb kan pemerintah.
Negara dia kan negara Islam Mughal.
Islam kan tuan ketika itu.
Suka hati dialah nak laksanakan Syariah bukan?

Hal ini bangkit kerana kegagalan Aurangzeb menjelaskan kepada bukan Muslim dalam empayarnya tentang kebaikan dan keindahan Islam dan syariah, juga kegagalan Aurangzeb memberi kebebasan beragama kepada agama lain.

Beliau secara tak langsung membuat musuh, bukan memanfaatkan perbezaan itu sebaiknya.

Kekurangan hikmah dalam menghamparkan Islam kepada masyarakat Hindu itulah punca kejatuhan Mughal.

Kerana akhirnya, mereka menganggap Islam itu menekan. Islam itu ganas. Islam itu tidak toleran. Semua kerana salah tafsiran terhadap Syariah yang diperjuangkan oleh Aurangzeb.

Musuh politik Aurangzeb berkumpul di kuil, Aurangzeb meruntuhkannya. Logiknya apa tindakan musuh politik tersebut? Memberontak.

Maka, inginkah kita melakukan kesilapan yang sama?

Laksanakan Hudud segera. Siapa menentang, menentang Islam!

Seru dalam khutbah. Beritahu semua, mereka ini penentang Islam. Ini perang suci.

Lantaklah apa yang ada dalam perlembagaan, asalkan Hudud ada. Ahli Parlimen tak setuju? Biar. Yang penting usaha ada, walaupun tahu takkan berjaya tanpa majoriti besar.

Tegur Mufti? Orang Islam ancam saman mufti? Tidak hormat, menghina institusi Mufti! Pengkhianat agama!

Haramkan penggunaan pembesar suara selain azan dan iqamah? Belum muslim tidak setuju dengan hudud? Kita negara Islam! Mengapa harus tunduk kepada KAFIR?! Mereka KAFIR HARBI kerana menentang hudud dan menghina mufti.

Ramai Cina turun Bersih? Penentang Melayu! Turun ke Petaling Street! Laungkan Allahu Akbar!

Kamilah pejuang Islam!

Oh ummatku...

Tuesday, September 1, 2015

Masalah-masalah BERSIH 4.0



Beberapa perkara mengenai perhimpunan BERSIH 4.0:

1. Menyusahkan peniaga

Kita lihat bagaimana syarikat-syarikat di Jalan TAR tetap meneruskan operasi. Terutamanya kedai makan, akan mendapat manfaat yang besar daripada ramainya orang yang berkumpul. Lihat Nando's yang pekerjanya turun untuk mempromosikan keberadaan kedai mereka. Lihat 7-Eleven yang kehabisan makanan. Katanya beratur untuk pesan makanan itu 10-15 minit, dan nakntunggu makanan smapai lebih 30 minit.


2. Pergilah buat di Bukit Bintang, Low Yat atau Petaling Street! Biar peniaga Cina rugi!

Mengapa Dataran Merdeka? Kerana ia merupakan simbolik kepada kemerdekaan Malaysia daripada korupsi. Kenapa pula nak buat di Low Yat?


3. Bersih tidak demokratik. Tunggu sahajalah Pilihanraya!

Inilah apa yang Bersih tuntut. Pilihanraya yang telus dan adil. Ya, kita boleh tunggu PRU, kita pangkah selain BN. Tapi, jika pilihanraya masih blackout, bangla, gerrymandering, dan sebagainya, sampai bila kita nak atasi kezaliman?


4. Tapi kan ada yang Pembangkang menang?

Dah kalau semua Kerajaan menang, nampak sangatlah kan? Cuba lihat kisah Gelang Patah, Lim Kit Siang menang walaupun 3000 lebih (katanya) orang bangla dibawa masuk. Tetap kotor. Tapi masih boleh menang.

Tentang PRK Permatang Pauh Wan Azizah, itu strategi kerajaan. Logiklah, mesti orang bersimpati dengan Wan Azizah baru kehilangan suami. Takkanlah nak main tipu lagi?


5. Bersih tidak berkesan. Kenapa adakan lagi?

Macam mana tidak berkesan?

Bersih 1: Abdullah Badawi letak jawatan.
Bersih 2: Dakwat kekal digunakan.
Bersih 3: Akta Perhimpunan Aman 2012 diwujudkan.
Bersih 4?

Sekalipun tiada kesan, inilah ikhtiar terakhir. Setelah PAC diganggu, SPRM ditangkap, Peguam Negara dipecat, apa lagi jalan yang ada?

Doa? Siapa ajar doa tanpa usaha?
Redha? Siapa ajar redha dengan kezaliman?



6. Ini semua Cina nak menentang Melayu-Islam.

Samada Melayu ada atau tidak, Cina tetap akan datang menentang kezaliman yang dihadapi mereka.

Mereka tak redha dengan derma RM2.6 billion itu. Mereka tak redha Rosmah terbang ke sana sini dengan jet kerajaan.

Maka tak boleh prejudis seolah-olah apabila mereka turun beramai-ramai terus dianggap hendak menggulingkan Melayu-Islam.

Kebangkitan rakyat menentang kezaliman akan tetap diteruskan samada Melayu sertai ataupun tidak.

Dan Islam tak pernah ajar sangka buruk. Berwaspada ya, kepada kafir harbi. Takkan sebab hudud ditentang sebelum usaha menerangkan hudud dan sebelum berbincang dalam mesyuarat Pakatan Rakyat dijalankan terus dilabel kafir harbi?


7. Pakai seksi dan sebagainya

Pakai seksi, biarlah mereka. Apa kita hendak jadi Taliban nak suruh semua Muslim dan Non-Muslim tutup aurat? Tanggungjawab Muslim lah untuk menundukkan pandangan. Itukan arahan Tuhan.

Sudah, nak buat bagaimana? Muslimin berkumpul di Masjid Negara, Muslimat di Brickfields, Belum Muslim di Jalan TAR baru dikira syarie?

Kenapa tak buat macam itu? Kerana bahaya. Kalau apa-apa berlaku kan bahaya kalau suami dan isteri dipisahkan?

Kerana BERSIH ini berbilang bangsa dan agama lah kita boleh tunjukkan Islam kepada mereka. Ada yang tak pernah tengok Muslim solat. Ada yang tak tahu apa pandangan Islam tentang keadilan.

Maka Ust Ahmad Awang, Ust Parid, Dr Mazlee dan sebagainya tampil menjelaskan dan menyelitkan tentang Islam dalam ucapan mereka. Muslim yang hadir tampil menjadi duta kepada Islam menunjukkan bagaimana kita solat.


8. Haram menentang kerajaan yang sah.

BERSIH menentang kezaliman dan penipuan ketika pilihanraya. Serta memohon Najib meletak jawatan. Itu sahaja. Kita bukan nak gulingkan kerajaan seperti yang berlaku di Libya dan sebagainya.



Kita menentang kerajaan ini dengan cara yang demokratik jua akhirnya. Melalui apa yang dibenarkan dalam perlembagaan.

Sejauh mana sahnya pilihanraya itu? Bersih kah?


8. Dapat duit daripada AS? Ini agenda Yahudi!

Nabi pernah berkata, "Allah akan membantu Agama ini dengan orang yang jahat"

Sekalipun benar AS yang taja, kita lihat sejarah.

Perhimpunan di Mesir yang menjatuhkan Hosni Mubarak itu disokong oleh AS. Kerana demonstrasi memang digalakkan oleh mereka.

Kemudian Pilihanraya Umum, Muhammad Morsi menjadi presiden. Dilantik secara demokratik. Juga dikatakan alat AS.

Kemudian atas sokongannya yang padu terhadap Palestin, AS dan Israel terpaksa taja kudeta Fattah As-Sisi untuk menjatuhkan pemimpin yang dilantik melalui cara yang ditaja sendiri oleh mereka.

Bukankah itu apa yang dikatakan strategi? Kita gunakan apa yang mereka bawa untuk menjatuhkan mereka. Maka adakah kita lebih berfikiran cetek dan jumud daripada orang Mesir (bukan merendahkan Mesir tapi menyesali keadaan masyarakat yang tak dapat tandingi rakyat Mesir)?

Ya. Muslim ada kapasiti untuk menentang rancangan Yahudi. Jika mereka keluar daripada belenggu takutkan Yahudi.


10. Tentang Color Revolution.

Fakta yang selalu diberikan ini terlalu memilih. Tunjukkan yang tidak berjaya memanglah. Padahal yang berjaya banyak sahaja. Yang pergi tunjuk Ukraine, Thailand kenapa?

Kalau susah, tengok sahaja kejayaan di Mesir. Yang kudeta As-Sisi itu lain ceritalah, itu diluar kuasa semua orang pun. Tapi sebelum kudeta sudah memperlihatkan kejayaannya.


11. Kenapa Melayu tak hadir? Adakah mereka redha?

Elakkan sangkaan. Sesungguhnya sebahagian sangkaan itu dosa.

Tetapi, perlu faham. Majoriti anak muda Melayu merupakan penjawat awam, pelajar IPTA. Jika ditangkap, banyak kerugian ditimpa individu tersebut. Juga ramai yang balik kampung nak eratkan hubungan silaturahim mungkin.

Tapi yang terus menentang penganjuran Bersih itu, itu hak mereka. Biarkan. Sebagaimana kita mengikut perlembagaan dan hak asasi manusia, seperti itulah mereka juga menggunakan hak asasi manusia mereka.


12. Campur aduk antara hak dan batil, maka akan jadi seluruhnya batil.

Tentang masalah percampuran lelaki dan perempuan sudah dijelaskan di atas. Mustahil untuk elakkan kerana negara kita berbilang bangsa.

Tentang perkara tak bermoral, perlu faham. Dalam jumlah 500,000 orang jumlah keseluruhan yang diwartakan oleh piahk penganjur, Bersih 2.0, mustahil tak ada satu dua yang buat onar. Buktikan 1 sekolah yang ada 1,000 pelajar tak pernah wujud 1 pun kes disiplin. Tentu tiada.

Namun daripada pengalaman sendiri, memang kawasan itu perhimpunan itu sangat bersih tidak mempunyai sampah langsung walaupun setelah 34 jam ratusan ribu berhimpun.


13. Kes Mat Sabu.

Mereka yang mempertikaikan perkara ini, tentu tidak pernah jadi selebriti dan tidak pernah mempunyai kerabat kahwin campur. Tidak ada sesi khas bergambar. Tiba-tiba muncul dan hulur kamera, mana sempat nak buat apa-apa?

Tentang hukum, enggan disentuh kerana bukan pakar dalam bidang itu. Cuma logiknya begitulah. Dalam keadaan sesak dan sibuk, beberapa perkara mungkin terlepas.

Perkara berlaku dalam beberapa saat sahaja. Bayangkan eh, "Mat Sabu! Look at the camera!" *snap* Tak sempat senyum pun mamat tu.


14. Hati tak bersih ada hati nak bersihkan negara.

Ini tak logik. Akan sampaikah masa kita kata, "Oh hati saya dah bersih. Bolehlah nak bersihkan negara!". Mengaku baik adalah berdosa.

Maka kalau ikut logik ini, sampai bila-bila takkan bersih negara. Kita makin miskin, pemimpin makin kaya.


15. Tak Islamik.

Dalam Islam ada sesuatu yang dipanggil Thabat wal Murunah.

Yang tetap (thabat), seperti contoh, Allah wajibkan ummah menegakkan keadilan.

Dan yang boleh ubah (murunah). Cara untuk menegakkan keadilan itu boleh berubah mengikut keadaan semasa, keadaan setempat dan sebagainya.

Allah tak ubah nasib kita kalau kita tak ubah diri sendiri. Usaha itu penting.


16. BERSIH bermotifkan politik Pakatan Rakyat. 

BERSIH adalah sebuah NGO. Ia mengajak kepada kebebasan dan keadilan. Sesiapa sahaja dijemput datang.

Kerana itu MCA pun benarkan ahlinya ikut serta.

Maka agak luculah apabila ada pihak yang kecil hati apabila tidak dijemput dan terus menghukum katanya ada agenda tersembunyi.


17. BERSIH merosakkan imej negara.

Balik kepada Mesir. Kita pandang Hosni Mubarak sebagai watak jahat bukan? Tetapi kita teruja dengan semangat rakyatnya yang tak kenal putus asa menentang kezaliman.


Akhir kalam,

Saya ajak anda semua berfikir,
Apa lagi cara kita membina masa depan? PRU tak bersih. Perhimpunan dikatakan permainan Yahudi. Memorandum tak dilayan. Nasihat sultan diabaikan malah TMJ diugut ingin di"whack" lagi.

Takkan nak biar sahaja negara mengalami kehancuran dan duit kita dalam perbendaharaan negara dihilangkan?

Kalau kita senyap, seolah-olah redha duit kita diambil. Pilihanraya kita dibeli dengan harga RM2.6 Billion.

Apa yang pasti, saya bangga menegakkan keadilan dan kebebasan. Berdiri sama dengan semua warga Malaysia yang cintakan keadilan.

Satu mesej kepada semua pemimpin politik.

Relevankanlah diri anda. Saya amat terkesan dengan ucapan wakil Orang Asal. Saya percaya, mereka wajar diberi hak sama rata. Begitu juga bumiputera Sabah Sarawak.


Juga nota kepada mereka yang berucap ketika BERSIH 4.0.

Anda tidak ada hak langsung nak kutuk Rosmah kerana rupanya. Itu sangat tidak berakhlak. "Rumah besar, katil besar, bini besar!", "Najib sangat suka barang second-hand!"

Maka apa beza anda dengan yang membangsatkan bangsa sendiri itu?

Tak suka orang, jangan kutuk fizikal. Jangan kutuk hal peribadi. Profesional. Kutuk perbuatan dia. Bukan dia.

Segala laungan keadilan anda dicatat oleh para malaikat. Jika anda berdusta, anda telah berdosa kepada semua 500,000 orang yang berhimpun dan seluruh rakyat Malaysia.

Teguran buat pejuang papan kekunci.

Berhati-hatilah dalam menulis. Tulisan seperti "Hidup akan sentiasa selamat dunia dan akhirat selagi ikut Tok Guru" boleh merosakkan akidah.

Saya yakin Tn Guru Haji Hadi tidak pernah mengatakan demikian. Tentang ilmu agama beliau saya tak pernah ragui. Beliau tidak pernah mengaku maksum. Saya juga yakin Tok Guru sentiasa ingatkan buang yang keruh ambil yang jernih.

Maka ambillah yang baik dan buanglah yang keruh. Kata-kata seperti itu memberikan konotasi bahawa Tok Guru itu maksum yang ke mana sahaja beliau bawa, pasti benar. Sedangkan kita semua manusia.

Yang layak mendapat gelaran "akan selamat dunia akhirat jika kita ikut" hanyalah Al-Quran dan Sunnah.

Juga kepada yang memaki ulama'.

Apapun yang mereka lakukan, mereka tetap ulama'.

Tak salah nak tak setuju dengan pendapat ulama' tentang politik. Sahabat pun pernah tidak setuju dengan Nabi SAW dalam Perang Badar ketika Nabi menempatkan tentera di kawasan kurang air. Juga tentang samada perlu keluar atau tidak ketika Perang Uhud. Juga tentang perjanjian Hudaibiyyah. Juga tentang pembahagian harta rampasan perang yang Nabi lebihkan Quraish berbanding Ansar.

Tapi semuanya dengar dan taat bab akidah, ibadah dan lain-lain. Menunjukkan bab politik, tidak salah mempersoalkan tindakan ulama' kerana Nabi pun pernah dipersoalkan oleh para sahabat, dan Nabi tak pernah marah mereka melakukan demikian.

Jaga akhlak anda!

Moga Allah berikan kita keadilan dan kebebasan.

Wednesday, July 1, 2015

Bekerjasama dan rasional tangani masalah ekonomi



Pendapat peribadi, rakyat tak perlu marah dengan GST, rasionalisasi subsidi dan sebagainya serta menuntut macam-macam daripada kerajaan. Faktanya ekonomi Malaysia memang tidak baik.

Nilai mata wang kita jatuh, inflasi, peristiwa-peristiwa belakangan ini, memang menyebabkan ekonomi kita tidak baik. Mana taknya, kapal terbang hilang, kapal hilang, mana orang nak percaya? Awal-awal dahulu nak naik MAS pun takut.

Nak tak nak, kena juga ambil langkah-langkah ini.

Situasi ini sebenarnya kalah-kalah. Sekalipun Pakatan Rakyat memerintah, mereka pasti tidak boleh menghapuskan GST dan memberikan subsidi.

Bajet negara sentiasa defisit. Jika tidak mahu GST, mungkin elaun, bonus pegawai kerajaan akan dikurangkan.

Ataupun lebih teruk, tingkatkan sahaja hutang negara lagi.

Sama ada rakyat susah sekarang, atau kemudian seperti di Greece.

Jika rakyat mengambil langkah yang sama dengan rakyat Greece, mogok dan tunjuk perasaan, ia bukan sahaja tidak membantu menyelesaikan masalah malah menyulitkan lagi masalah.

Kini, rakyat di sana tidak boleh keluarkan duit daripada mesin ATM. Hal ini menyebabkan pelancongan kurang. Pelaburan hampir tiada. Pengangguran tinggi melangit. Kerajaan bertukar tangan pun tak menyelesaikan masalah.

Hampir 10 pelan penjimatan telah dikeluarkan oleh kerajaan Greece.

Maka sama ada susah sekarang, kos sara hidup tinggi, ataupun hendak jadi seperti mereka.

Sekalipun anda tidak bersetuju dengan GST, untuk menghapuskannya memerlukan masa dan kos sekali lagi. Hampir mustahil.

Maka, kita harapkan negara kita ke arah negara berkebajikan, pendidikan percuma, kesihatan percuma, pengangkutan awal efisien dan sebagainya. Bila tiba masanya nanti. Sekarang tengah nazak.

Kedua-dua pihak, kerajaan mahupun pembangkang, perlu bekerjasama dalam hal ini. Rasional. Takkan kerajaan nak bagi lagi subsidi dalam keadaan seperti ini? Takkan nak tiris dan rasuah lagi?

Yang patut kita marah itu kerajaan yang buat 1MDB, isu MARA, ketirisan sana sini itu.

Kemewahan dan pembaziran yang berlaku.

Tak kesah lah sebanyak mana pun mereka sudah berikan kepada rakyat, walaupun itu duit hasil kerja mereka sendiri, pada penulis, masih tidak wajar untuk berfoya-foya dan bermewah.

Seolah-olah dirasakan sudah cukup apa yang diberi. Sedang rakyat ada yang lapar lagi. Sudah cukup berkhidmat untuk negeri sendiri, maka bolehlah membazir sedikit lagi.

Ini bukanlah pemimpin rakyat. Ini adalah golongan yang berlepas tangan.

Aku dah tolong, sudah. Jangan banyak cakap. Orang lain ramai lagi tak tolong.

Jika benar pemimpin rakyat, dia akan mengutamakan perut rakyat sebelum dirinya dan keluarganya.

Dah lah ekonomi masalah, mereka-mereka ini menambahkan lagi masalah dan berlepas tangan terhadap negara kita.

Ayuh. Bantu yang memerlukan. Jangan komen dan marah dengan nafsu.

Kita boleh kata kasihan kepada rakyat, tetapi apa yang kita sendiri telah lakukan?

Friday, June 12, 2015

Stop being racists!

Warning. Controversial post.





I don't bother to hide their names. Whatever you post in the social media I assumed it to be a public declaration. You know that any Facebook posting can be viral on the Internet.

I am very disturbed by the increase of racism among Malaysians especially Malays. Above are among the statements that get on my mixed Malay and Chinese nerves.

What is wrong with you? If you are a Malay you expect to be treated like a royalty? You wish the government will never interfere with your business just because you are a Malay? Shame on you.

I am surprised those people who made such racist statements don't get arrested under the famous Sedition Act. They are indirectly instigating hatred amongst Malaysians. Not that I want them to be convicted. It is just as a warning on how severe it is.

Whatever your race is, what you do is against the law. If you break the law, then don't complain when the government enforce those laws.

You may complaint about the unfairness of the law enforcement. But keep your race out of this.

What's more, I am sure that the Petaling Street is being raided too every now and then. I've heard stories about such raids. Google it. Many illegal immigrants got caught during such raids.

About the registration of cosmetic products sold online, I totally agree with the KKM without agreeing with the method of enforcement. If you are sure that your cosmetic product is not harmful in any way, why won't you register it?

If a cosmetic product cause any harm towards the users, the public will point their fingers towards the KKM for not enforcing the law. It is always easier to prevent than to cure.

But then, I think there are better ways to enforce the law than ripping open the packages. Use an x-ray machine or open the package carefully without damaging the contents. That's a win-win situation isn't it?

Oh yes. I would like to comment on "DAP is a Chinese Party" thingy. How can that be possible? You think Karpal Singh, Gobind Singh and other Malays, Indians and Sikhs would join a party which is only for Chinese?

Sometimes academic debate on the policies of the DAP is worthless while talking to these people.

Oh, don't go and call me a DAP. I'm not even 21 yet. And don't label me as a Malay-hater. I am half Malay half Chinese, a proud Malaysian and a proud human. Any insult to any race is an insult to me.

I even condemn insults towards the Jews. I disagree with what the Zionists does towards Palestine and is against their actions, not the people. The Jews are innocent in that matter. Some Jews even condemn those inhuman acts.

These are what Islam thought me.