Showing posts with label Merdeka. Show all posts
Showing posts with label Merdeka. Show all posts

Thursday, August 30, 2018

Universiti Merdeka

UIA Kuantan
Pada era kegemilangan Islam sebagai tamadun ilmu suatu masa dahulu, pendidikan dikelolakan dengan sistem wakaf.

Masyarakat mewakafkan harta yang kekal, seperti tanah dan ladang, untuk membiayai institusi-institusi pendidikan. Maknanya, kerajaan tidak mempunyai sebarang campur tangan dalam hal ehwal institusi pendidikan, dan institusi pendidikan tidak ada keperluan untuk melakukan apa-apa tindakan mengampu kerajaan semasa, kerana kerajaan tidak menyumbang sedikitpun kepada kelestarian institusi pendidikan tersebut. Semuanya dalam kalangan masyarakat, oleh masyarakat, untuk masyarakat.

Hasilnya, lahirlah para ilmuan dan akademik yang tanggungjawab dan kesetiaannya hanya kepada kebenaran. Oleh sebab itulah, mereka boleh mengkritik dasar-dasar kerajaan semasa dan menegur pihak penguasa, di samping terus menerus menurunkan ilmu kepada anak bangsa.

Akhirnya, autonomi sistem pendidikan ini terhapus apabila penjajah memilik negarakan wakaf, maka institusi-institusi pendidikan terkemuka seperti Al-Azhar pun mula mempunyai "tuan" iaitu kerajaan Mesir.

Apa itu autonomi universiti dalam konteks semasa?

Autonomi universiti secara ringkasnya merujuk kepada universiti yang bebas untuk menguruskan hal ehwal pentadbiran dan kurikulum universiti, tanpa sebarang campur tangan daripada kerajaan yang memberikan dana untuk operasi universiti tersebut. Tanpa autonomi universiti, kebebasan akademik menjadi terbatas.

Adakah universiti di Malaysia mempunyai autonomi, dan warga akademik di Malaysia mempunyai kebebasan akademik?

Di Malaysia, universiti-universiti masih mempunyai campur tangan oleh kerajaan semasa dengan kewujudan beberapa jawatan lantikan politik dalam pentadbiran tertinggi universiti. Menurut Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK), jawatan-jawatan ini termasuklah jawatan Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor, pengerusi dan ahli lembaga pengarah, dan lain-lain jawatan tertinggi pentadbiran universiti.

Walaupun pada tahun 2005 Kementerian Pendidikan Tinggi telah dicadangkan untuk membenarkan profesor-profesor memilih staf mereka sendiri untuk memasuki Dewan Senat universiti, memberikan hak mutlak kepada lembaga pengarah universiti untuk sebarang keputusan berkaitan dengan universiti dan pengurusan universiti, serta memastikan semua naib canselor dilantik melalui meritokrasi, namun sehingga kini masih belum dilaksanakan.

Hal ini menunjukkan universiti-universiti di Malaysia masih belum merdeka daripada belenggu politik dan kerajaan. Akibatnya, kebebasan akademik di Malaysia menjadi terhad.

Pada 22 Oktober 2016, empat orang mahasiswa UM memberikan tindakan tatatertib akibat penyertaan dalam perhimpunan "Tangkap MO1", tiga mereka digantung selama 6 bulan dan disaman RM400, serta seorang daripada mereka hanya disaman.

Kes ini pula menggambarkan mahasiswa dihalang daripada menyuarakan pandangan mereka kepada kerajaan dan masyarakat umum, dan pentadbiran universiti sepatutnya menghormati hak mereka untuk bersuara dan berpersatuan.

Pada 13 Ogos 2015, dua orang mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Gombak telah digantung semester selama dua semester kerana menganjurkan debat mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan menjemput ahli parlimen Pandan ketika itu, Rafizi Ramli, seorang ahli parlimen pembangkang. Namun, debat polisi ini dihalang dan dihentikan oleh pihak pentadbiran universiti dan penganjurnya dikenakan tindakan tatatertib.

Kes ini menunjukkan mahasiswa disekat akses kepada sumber ilmu dan dihalang daripada mengadakan diskusi ilmiah. Mahasiswa sepatutnya bebas mengadakan sebarang jenis dialog, diskusi, forum, debat, dan sebagainya untuk membincangkan isu-isu semasa dalam kerangka akademik, serta melibatkan sesiapa sahaja yang berkelayakan tanpa mengira jantina, bangsa, agama, dan ideologi politik.

Malah, kakitangan akademik universiti juga terkesan dek ketiadaan kebebasan akademik ini. Akhir tahun lepas, pada November 2017, Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) telah membantah sebuah peringatan yang dikeluarkan oleh Universiti Malaya (UM) yang melarang staf dan mahasiswa UM untuk membuat apa-apa jenis kenyataan umum. PKAUM mengatakan bahawa peringatan tersebut menunjukkan bahawa pentadbiran universiti tersebut gagal memahami salah satu tujuan akademik, iaitu untuk menilai keadaan masyarakat secara kritis. Hal ini merupakan suatu halangan untuk melakukan kajian dan sebarang penilaian kritis terhadap kerajaan.

Kes ini amat signifikan kerana ia melanggar kebebasan untuk ahli akademik menyuarakan pandangan kritis mereka kepada kerajaan. Ahli-ahli akademik sepatutnya diberikan kebebasan untuk menganalisa, mengkritik, dan merespon isu-isu kemasyarakatan dan kenegaraan, tanpa harus ada sebarang ancaman terhadap pegangan dan pandangan profesional mereka.

Kata rektor UIAM, Prof Tan Sri Dato Dzulkifli Abdul Razak, warga akademik sepatutnya menjadi "intelektual awam", iaitu ahli akademik yang berkhidmat untuk kepentingan masyarakat umum. Tindakan menyekat kebebasan akademik ini menghalang dan menghambat peranan ahli akademik sebagai "intelektual awam".

Pasca Pilihanraya Umum ke-14 yang lepas, banyak petunjuk-petunjuk positif yang akhirnya universiti akan dimerdekakan, iaitu autonomi universiti dan kebebasan akademik akan dikembalikan. Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik ada memberi jaminan bahawa universiti akan menikmati autonomi dan bebas daripada campur tangan politik termasuklah daripada beliau sendiri. Dalam manifesto Pakatan Harapan sendiri terdapat janji ke-50, yang juga menjanjikan autonomi universiti dan kebebasan akademik, serta memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Akan tetapi, selagi perkara ini tidak termaktub secara jelas dan kekal dalam undang-undang dan dasar, warga akademik seharusnya belum boleh berpuas hati. Warga akademik haruslah terus menuntut janji dan jaminan yang diberikan ini supaya diabadikan dalam hitam putih, agar nasib autonomi universiti dan kebebasan akademik bukan lagi bergantung kepada belas ihsan kerajaan semasa semata-mata.

Dalam era Malaysia Baharu, ayuh semua, kita tuntut Universiti Baharu!

Tuesday, September 1, 2015

Masalah-masalah BERSIH 4.0



Beberapa perkara mengenai perhimpunan BERSIH 4.0:

1. Menyusahkan peniaga

Kita lihat bagaimana syarikat-syarikat di Jalan TAR tetap meneruskan operasi. Terutamanya kedai makan, akan mendapat manfaat yang besar daripada ramainya orang yang berkumpul. Lihat Nando's yang pekerjanya turun untuk mempromosikan keberadaan kedai mereka. Lihat 7-Eleven yang kehabisan makanan. Katanya beratur untuk pesan makanan itu 10-15 minit, dan nakntunggu makanan smapai lebih 30 minit.


2. Pergilah buat di Bukit Bintang, Low Yat atau Petaling Street! Biar peniaga Cina rugi!

Mengapa Dataran Merdeka? Kerana ia merupakan simbolik kepada kemerdekaan Malaysia daripada korupsi. Kenapa pula nak buat di Low Yat?


3. Bersih tidak demokratik. Tunggu sahajalah Pilihanraya!

Inilah apa yang Bersih tuntut. Pilihanraya yang telus dan adil. Ya, kita boleh tunggu PRU, kita pangkah selain BN. Tapi, jika pilihanraya masih blackout, bangla, gerrymandering, dan sebagainya, sampai bila kita nak atasi kezaliman?


4. Tapi kan ada yang Pembangkang menang?

Dah kalau semua Kerajaan menang, nampak sangatlah kan? Cuba lihat kisah Gelang Patah, Lim Kit Siang menang walaupun 3000 lebih (katanya) orang bangla dibawa masuk. Tetap kotor. Tapi masih boleh menang.

Tentang PRK Permatang Pauh Wan Azizah, itu strategi kerajaan. Logiklah, mesti orang bersimpati dengan Wan Azizah baru kehilangan suami. Takkanlah nak main tipu lagi?


5. Bersih tidak berkesan. Kenapa adakan lagi?

Macam mana tidak berkesan?

Bersih 1: Abdullah Badawi letak jawatan.
Bersih 2: Dakwat kekal digunakan.
Bersih 3: Akta Perhimpunan Aman 2012 diwujudkan.
Bersih 4?

Sekalipun tiada kesan, inilah ikhtiar terakhir. Setelah PAC diganggu, SPRM ditangkap, Peguam Negara dipecat, apa lagi jalan yang ada?

Doa? Siapa ajar doa tanpa usaha?
Redha? Siapa ajar redha dengan kezaliman?



6. Ini semua Cina nak menentang Melayu-Islam.

Samada Melayu ada atau tidak, Cina tetap akan datang menentang kezaliman yang dihadapi mereka.

Mereka tak redha dengan derma RM2.6 billion itu. Mereka tak redha Rosmah terbang ke sana sini dengan jet kerajaan.

Maka tak boleh prejudis seolah-olah apabila mereka turun beramai-ramai terus dianggap hendak menggulingkan Melayu-Islam.

Kebangkitan rakyat menentang kezaliman akan tetap diteruskan samada Melayu sertai ataupun tidak.

Dan Islam tak pernah ajar sangka buruk. Berwaspada ya, kepada kafir harbi. Takkan sebab hudud ditentang sebelum usaha menerangkan hudud dan sebelum berbincang dalam mesyuarat Pakatan Rakyat dijalankan terus dilabel kafir harbi?


7. Pakai seksi dan sebagainya

Pakai seksi, biarlah mereka. Apa kita hendak jadi Taliban nak suruh semua Muslim dan Non-Muslim tutup aurat? Tanggungjawab Muslim lah untuk menundukkan pandangan. Itukan arahan Tuhan.

Sudah, nak buat bagaimana? Muslimin berkumpul di Masjid Negara, Muslimat di Brickfields, Belum Muslim di Jalan TAR baru dikira syarie?

Kenapa tak buat macam itu? Kerana bahaya. Kalau apa-apa berlaku kan bahaya kalau suami dan isteri dipisahkan?

Kerana BERSIH ini berbilang bangsa dan agama lah kita boleh tunjukkan Islam kepada mereka. Ada yang tak pernah tengok Muslim solat. Ada yang tak tahu apa pandangan Islam tentang keadilan.

Maka Ust Ahmad Awang, Ust Parid, Dr Mazlee dan sebagainya tampil menjelaskan dan menyelitkan tentang Islam dalam ucapan mereka. Muslim yang hadir tampil menjadi duta kepada Islam menunjukkan bagaimana kita solat.


8. Haram menentang kerajaan yang sah.

BERSIH menentang kezaliman dan penipuan ketika pilihanraya. Serta memohon Najib meletak jawatan. Itu sahaja. Kita bukan nak gulingkan kerajaan seperti yang berlaku di Libya dan sebagainya.



Kita menentang kerajaan ini dengan cara yang demokratik jua akhirnya. Melalui apa yang dibenarkan dalam perlembagaan.

Sejauh mana sahnya pilihanraya itu? Bersih kah?


8. Dapat duit daripada AS? Ini agenda Yahudi!

Nabi pernah berkata, "Allah akan membantu Agama ini dengan orang yang jahat"

Sekalipun benar AS yang taja, kita lihat sejarah.

Perhimpunan di Mesir yang menjatuhkan Hosni Mubarak itu disokong oleh AS. Kerana demonstrasi memang digalakkan oleh mereka.

Kemudian Pilihanraya Umum, Muhammad Morsi menjadi presiden. Dilantik secara demokratik. Juga dikatakan alat AS.

Kemudian atas sokongannya yang padu terhadap Palestin, AS dan Israel terpaksa taja kudeta Fattah As-Sisi untuk menjatuhkan pemimpin yang dilantik melalui cara yang ditaja sendiri oleh mereka.

Bukankah itu apa yang dikatakan strategi? Kita gunakan apa yang mereka bawa untuk menjatuhkan mereka. Maka adakah kita lebih berfikiran cetek dan jumud daripada orang Mesir (bukan merendahkan Mesir tapi menyesali keadaan masyarakat yang tak dapat tandingi rakyat Mesir)?

Ya. Muslim ada kapasiti untuk menentang rancangan Yahudi. Jika mereka keluar daripada belenggu takutkan Yahudi.


10. Tentang Color Revolution.

Fakta yang selalu diberikan ini terlalu memilih. Tunjukkan yang tidak berjaya memanglah. Padahal yang berjaya banyak sahaja. Yang pergi tunjuk Ukraine, Thailand kenapa?

Kalau susah, tengok sahaja kejayaan di Mesir. Yang kudeta As-Sisi itu lain ceritalah, itu diluar kuasa semua orang pun. Tapi sebelum kudeta sudah memperlihatkan kejayaannya.


11. Kenapa Melayu tak hadir? Adakah mereka redha?

Elakkan sangkaan. Sesungguhnya sebahagian sangkaan itu dosa.

Tetapi, perlu faham. Majoriti anak muda Melayu merupakan penjawat awam, pelajar IPTA. Jika ditangkap, banyak kerugian ditimpa individu tersebut. Juga ramai yang balik kampung nak eratkan hubungan silaturahim mungkin.

Tapi yang terus menentang penganjuran Bersih itu, itu hak mereka. Biarkan. Sebagaimana kita mengikut perlembagaan dan hak asasi manusia, seperti itulah mereka juga menggunakan hak asasi manusia mereka.


12. Campur aduk antara hak dan batil, maka akan jadi seluruhnya batil.

Tentang masalah percampuran lelaki dan perempuan sudah dijelaskan di atas. Mustahil untuk elakkan kerana negara kita berbilang bangsa.

Tentang perkara tak bermoral, perlu faham. Dalam jumlah 500,000 orang jumlah keseluruhan yang diwartakan oleh piahk penganjur, Bersih 2.0, mustahil tak ada satu dua yang buat onar. Buktikan 1 sekolah yang ada 1,000 pelajar tak pernah wujud 1 pun kes disiplin. Tentu tiada.

Namun daripada pengalaman sendiri, memang kawasan itu perhimpunan itu sangat bersih tidak mempunyai sampah langsung walaupun setelah 34 jam ratusan ribu berhimpun.


13. Kes Mat Sabu.

Mereka yang mempertikaikan perkara ini, tentu tidak pernah jadi selebriti dan tidak pernah mempunyai kerabat kahwin campur. Tidak ada sesi khas bergambar. Tiba-tiba muncul dan hulur kamera, mana sempat nak buat apa-apa?

Tentang hukum, enggan disentuh kerana bukan pakar dalam bidang itu. Cuma logiknya begitulah. Dalam keadaan sesak dan sibuk, beberapa perkara mungkin terlepas.

Perkara berlaku dalam beberapa saat sahaja. Bayangkan eh, "Mat Sabu! Look at the camera!" *snap* Tak sempat senyum pun mamat tu.


14. Hati tak bersih ada hati nak bersihkan negara.

Ini tak logik. Akan sampaikah masa kita kata, "Oh hati saya dah bersih. Bolehlah nak bersihkan negara!". Mengaku baik adalah berdosa.

Maka kalau ikut logik ini, sampai bila-bila takkan bersih negara. Kita makin miskin, pemimpin makin kaya.


15. Tak Islamik.

Dalam Islam ada sesuatu yang dipanggil Thabat wal Murunah.

Yang tetap (thabat), seperti contoh, Allah wajibkan ummah menegakkan keadilan.

Dan yang boleh ubah (murunah). Cara untuk menegakkan keadilan itu boleh berubah mengikut keadaan semasa, keadaan setempat dan sebagainya.

Allah tak ubah nasib kita kalau kita tak ubah diri sendiri. Usaha itu penting.


16. BERSIH bermotifkan politik Pakatan Rakyat. 

BERSIH adalah sebuah NGO. Ia mengajak kepada kebebasan dan keadilan. Sesiapa sahaja dijemput datang.

Kerana itu MCA pun benarkan ahlinya ikut serta.

Maka agak luculah apabila ada pihak yang kecil hati apabila tidak dijemput dan terus menghukum katanya ada agenda tersembunyi.


17. BERSIH merosakkan imej negara.

Balik kepada Mesir. Kita pandang Hosni Mubarak sebagai watak jahat bukan? Tetapi kita teruja dengan semangat rakyatnya yang tak kenal putus asa menentang kezaliman.


Akhir kalam,

Saya ajak anda semua berfikir,
Apa lagi cara kita membina masa depan? PRU tak bersih. Perhimpunan dikatakan permainan Yahudi. Memorandum tak dilayan. Nasihat sultan diabaikan malah TMJ diugut ingin di"whack" lagi.

Takkan nak biar sahaja negara mengalami kehancuran dan duit kita dalam perbendaharaan negara dihilangkan?

Kalau kita senyap, seolah-olah redha duit kita diambil. Pilihanraya kita dibeli dengan harga RM2.6 Billion.

Apa yang pasti, saya bangga menegakkan keadilan dan kebebasan. Berdiri sama dengan semua warga Malaysia yang cintakan keadilan.

Satu mesej kepada semua pemimpin politik.

Relevankanlah diri anda. Saya amat terkesan dengan ucapan wakil Orang Asal. Saya percaya, mereka wajar diberi hak sama rata. Begitu juga bumiputera Sabah Sarawak.


Juga nota kepada mereka yang berucap ketika BERSIH 4.0.

Anda tidak ada hak langsung nak kutuk Rosmah kerana rupanya. Itu sangat tidak berakhlak. "Rumah besar, katil besar, bini besar!", "Najib sangat suka barang second-hand!"

Maka apa beza anda dengan yang membangsatkan bangsa sendiri itu?

Tak suka orang, jangan kutuk fizikal. Jangan kutuk hal peribadi. Profesional. Kutuk perbuatan dia. Bukan dia.

Segala laungan keadilan anda dicatat oleh para malaikat. Jika anda berdusta, anda telah berdosa kepada semua 500,000 orang yang berhimpun dan seluruh rakyat Malaysia.

Teguran buat pejuang papan kekunci.

Berhati-hatilah dalam menulis. Tulisan seperti "Hidup akan sentiasa selamat dunia dan akhirat selagi ikut Tok Guru" boleh merosakkan akidah.

Saya yakin Tn Guru Haji Hadi tidak pernah mengatakan demikian. Tentang ilmu agama beliau saya tak pernah ragui. Beliau tidak pernah mengaku maksum. Saya juga yakin Tok Guru sentiasa ingatkan buang yang keruh ambil yang jernih.

Maka ambillah yang baik dan buanglah yang keruh. Kata-kata seperti itu memberikan konotasi bahawa Tok Guru itu maksum yang ke mana sahaja beliau bawa, pasti benar. Sedangkan kita semua manusia.

Yang layak mendapat gelaran "akan selamat dunia akhirat jika kita ikut" hanyalah Al-Quran dan Sunnah.

Juga kepada yang memaki ulama'.

Apapun yang mereka lakukan, mereka tetap ulama'.

Tak salah nak tak setuju dengan pendapat ulama' tentang politik. Sahabat pun pernah tidak setuju dengan Nabi SAW dalam Perang Badar ketika Nabi menempatkan tentera di kawasan kurang air. Juga tentang samada perlu keluar atau tidak ketika Perang Uhud. Juga tentang perjanjian Hudaibiyyah. Juga tentang pembahagian harta rampasan perang yang Nabi lebihkan Quraish berbanding Ansar.

Tapi semuanya dengar dan taat bab akidah, ibadah dan lain-lain. Menunjukkan bab politik, tidak salah mempersoalkan tindakan ulama' kerana Nabi pun pernah dipersoalkan oleh para sahabat, dan Nabi tak pernah marah mereka melakukan demikian.

Jaga akhlak anda!

Moga Allah berikan kita keadilan dan kebebasan.

Thursday, September 1, 2011

Merdekakah kita?



Merdeka. Sudahkah kita merdeka? Ye, mestilah. Tak kan dah 54 tahun merdeka pun tak tahu lagi.

Sudahkan minda kita merdeka? Sudahkah hati kita merdeka? Sudahkah politik, sosial, dan ekonomi kita merdeka? Errr...

Ya, tak dinafikan, memang kita sudah merdeka secara fizikal. Namun, kita masih dijajah hakikatnya.

Kita lihat penjajah, kita lihat realiti masyarakat kini. Adakah kita mengikuti, beridentiti dengan identiti penjajah ataupun identiti kita sendiri.

Bila kita hendak berpakaian, adakah kita ikut fesyen kita? Adakah berskirt pendek itu identiti kita? Tidak! Sebenarnya, ianya identiti barat! Siapa boleh nafikan berskirt, berseluar jeans, berpakaian ketat itu datangnya daripada barat? Pernah anda lihat gambar orang dahulu berpakaian seperti tidak berpakaian.

Bila kita hendak bersolek, kita bergincu, dye dan sebagainya. Majoriti masyarakat kini rambutnya ber"dye", blonde,  merah, ungu, perang dan pelbagai warna lagi. Bila barat memperkenalkan men"dye" separuh, kita pun ikut. Separuh perang separuh hitam. Bila barat memperkenalkan style rambut cacak ditengah ataupun "punk" kita pun, apa lagi, ikut lah. Terima kasih kepada pihak barat.

Malas nak cakap panjang mesti ada yang mengatakan penulis ni, kuno, jumud, tertinggal arus globalisasi dan sebagainya. Namun kita harus sedar, Melayu kini melambangkan Islam di Malaysia. Apa yang tinggal dengan perkataan "Melayu" selain namanya sahaja jikalau kita mengikuti tindak tanduk penjajah? Kalau dulu Melayu berbangga menjadi lubuk budi bahasa, berbangga dengan kesultanannya, berbangga dengan sopan santunnya, berbangga dengan ilmunya dan juga bahasanya. Tapi Melayu kini, budi bahasanya, kesopanannya entah kemana, Bahasa Inggeris dimartabatkan terlebih (contoh: Semakin banyak keluarga yang berbahasa Inggeris dirumah). Bukan ingin menidakkan kepentingan bahasa Inggeris, namun, berpada-pada lah. Ilmunya, erhh... malas nak kata. Yang tidak mahu belajar, yang tidak menumpukan perhatian dalam kelas, Melayu... Kalau Cina boleh berbangga dengan pengusaan dalam bidang perniagaan, automobil, kejuruteraan, dan pertanian, India dengan industri guaman, tekstil dan makanan, Siam dengan kedai makan yang sentiasa penuh, Acheh dengan kedai runcit dan kedai gunting rambutnya. Buruh dikuasai oleh orang Indonesia dan Bagladesh. Melayu? Perubatan? pun sudah banyak doktor pakar daripada kaum Cina dan India. Melayu? Nelayan, kerani, arhh.... Opss, jangan lupa, pengedar, penagih dadah, ahli politik yang sering menuduh, menfitnah, memburukkan saingannya (bukan semua. Harap maklum).

Bangkitlah wahai Melayu sekalian! Apa gunanya berbangga dengan perkataan "Melayu" kalau hanya pada namanya sahaja?! Buat apa berjuang untuk memartabatkan melayu kalau kita tidak merdeka dengan penjajahan yang halus ini?



Selamat menyambut kemerdekaan ke-54 dan Salam Aidil Fitri. Semoga kemerdekaan ini pemangkin kemerdekaan secara menyeluruh, secara total.