Saturday, October 3, 2015

Saiful Nang dan aib tanah suci, satu penilaian

Kecoh tentang Saiful Nang dan aib tanah sucinya.

Hari ini aku ingin buka cerita.


Tahun lepas, sebelum percubaan SPM, aku diizinkan Allah untuk menunaikan umrah pada bulan Ramadan.

Tak pernah terlintas untuk aku jumpa apa-apa sebelum aku pergi. Tetapi, aku jelas terkejut meligat kondisi Ummah di sana.

Malam 27, malam yang dikatakan sebagai malam Lailatulqadar, aku melakukan tawaf umrah. Tahukah anda, sakit melakukan tawaf malam itu.

Mengapa?

Banyaknya biji kurma yang (ter/di)buang oleh Ummah. Aku jalan sedikit, terpijak. Dan terpijak. Dan terpijak.

Selepas Subuh, balik daripada masjid, aku dapati di jalanan tempat orang sembahyang dan sahur, penuh dengan sampah. Kotak yang digunakan pada waktu malam untuk melapik solat ditinggalkan, plastik makanan (Alhamdulillah makanan Arab tak berkuah) dan sebagainya.

Di dalam masjid Al-Haram itu sendiri, di tempat air zamzam, terdapat banyak cawan plastik terpakai bertaburan. Walaupun hanya perlu menoleh ke belakang untuk ke tong sampah.

Di jalan belakang jalan utama (kawan aku ada tunjuk kedai jual air tebu), longgokan sampah takat lutut di tepi jalan. Aku berjalan di tengah jalan pun di celah-celah sampah.

Apa yang aku cuba buktikan?
Tergugatkah kesucian Tanah Suci itu?

Tahukah anda, Baitul Maqdis yang literalnya bermaksud "rumah suci", statusnya tetap suci walaupun dilanyak Zionis.

Tahukah anda, nauzubillah jika Amerika masuk ke Kota Suci Makkah, merobohkan Kaabah, dan menjadikannya tapak pembuangan sampah (sebagaimana orang Rom lakukan kepada Baitul Maqdis sebelum pembukaannya oleh Khalifah Umar), Kota itu tetap kota suci bagi Ummah. Kiblat kita tetap menghala ke Kaabah.

Kota suci itu tetap suci walaupun penghuninya sekotor-kotor manusia.

Tanah suci tidak perlukan kita untuk mempertahankan kesuciannya. Kita yang perlukan tanah suci itu.

Adakah aku enggan pergi lagi ke Makkah?

Wallahi, aku berani sumpah, walaupun aku melihat dengan mata kepala aku sendiri segala masalah dengan penghuninya, ketika aku meninggalkan Makkah, benakku memberontak ingin terus tinggal di sana.

Aku hanya pulang memikirkan aku adalah milik Allah dan milik Ummah di negaraku. Dan aku harus bekerja menyedarkan Ummah. Agar apabila mereka tiba di Makkah kemudian hari, mereka tidak menjadi orang yang buang biji kurma, sampah dan cawan plastik merata-rata.

Aku memomokkan orang lain agar benci Makkah?

Sekali-kali tidak! Pergilah ke Makkah, nescaya anda akan jatuh cinta pandangan pertama melihat Kaabah. Dan perkara paling sedih apabila melakukan tawaf Wada'. Kaki diseret perlahan, jalan di tingkat yang jauh. Langkah dikecilkan. Mata tidak lekang daripada Kaabah.



Maka kenapa aku tuliskan perkara ini?

Tidak lain tidak bukan, aku mendedahkan punca mengapa Ummah kini mundur.

Sabda Nabi:
الطهور شطر الإيمان.
Kebersihan sebahagian Iman.

Makan jangan pelik apabila Ummah yang datang menziarahi Makkah pun boleh menjadi begitu dahsyat tahap ketidak-bersihannya, bagaimana kondisi iman Ummah?

Tatkala di tempat yang sepatutnya keimanan membuak-buak, hati mudah terikat dengan Allah, kebersihan masih gagal dijaga (Bin Laden Group, kontraktor pembersihan Tanah Haram menjaganya dengan sangat baik. Selepas subuh banyak sampah, pukul 7-8 begitu sudah bersih satu sampah pun tidak kelihatan).

Maka, dengan keimanan sebegini lemah, bagaimana Ummah hendak menang?

Kita lihat sendiri akhlak Ummah, yang mengaku kononnya "pejuang mempertahankan kesucian tanah suci", menggunakan bahasa yang kadangkala begitu kesat. Menggelar "bangang", "bodoh", "shiah", "Saiful Na-tang", "pelacur (berat eh tuduh orang pelacur)" dan sebagainya. Begitukah manifestasi iman? Iman itu manifestasinya amal dan akhlak bukan?

Berbeza pendapat, idea menentang idea.     Jangan babitkan nafsu. Jangan melampau dalam menegur. Tak perlu panggil orang penipu. Berikan hujah anda, sediakan fakta, pembaca akan menilai sendiri.

Dan aku juga berpendapat, hendaklah sesuatu itu diberi fakta yang konkrit. Semakan fakta perlu dilakukan sebelum pendedahan.

Aku tuntut fakta jelas, yang rumah pelacuran terdapat di Makkah. Buktikan ianya wujud, beroperasi. Di mana. Berapa.

Juga aku tuntut fakta jelas, yang Iran benar-benar sengaja mencari kesalahan Arab Saudi dan melaga-lagakan Sunni.

Kerana faktanya, pengkastaan Makkah itu jelas. Yang kaya, di Hilton. Yang miskin, di hotel lebih 1km daripada perkarangan Masjid. Sepatutnya siapa cepat dia dapatlah. Pakej Umrah dan Haji Malaysia pun membuktikan pengkomersilan Makkah ini.

Fakta lagi, pengurusan Haji memang milik Saudi. Kalau apa-apa berlaku ketika musim haji, memang telunjuknya pada Saudi jika mereka gagal buktikan sebaliknya. Quraish pra-Islam pun amat berhati-hati bab ini kerana mereka tahu kesannya.

Kira melagakan Sunni ke jika Iran memohon penjelasan terhadap isu Mina tempoh hari? Jemaah Iran ramai terkorban. Salahkah mereka menuntut penjelasan? Buktikanlah apa yang syurtah telah usahakan jika terbukti jemaah Iran itu mencetuskan onar.

Aku anti-conspiracy theories. Dan aku bukan Syiah (jangan tuduh aku taqiyyah, tuduhan murahan untuk mengatakan orang itu syiah tanpa bukti - orang yang kenal aku tahu aku siapa). Aku mahukan fakta konkrit.

Mengapa aku tidak memilih untuk menutup "aib tanah haram" ini?

Kerana ia bukan aib tanah haram. Ini aib kita semua. Dan yang mampu membaikinya, kita semua sebagai satu Ummah.

Aku tak mahu Ummah selesa, dikaburkan dengan persepsi bahawa Tanah Haram itu penghuninya dan pengunjungnya ahli syurga.

No comments:

Post a Comment