Tuesday, December 6, 2016

Hipokrit dan ironi perjuangan solidriti untuk Rohingya.

Hipokrit.


Kata-kata Aung San Suu Kyi, yang kononnya berjuang untuk demokrasi dan hak asasi.

Penerima hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi rupanya hanya memperjuangkan kelompoknya sahaja. Dia tidak pernah kesah pun pasal etnik minoritinya.

Bahkan, Myanmar juga tidak membenarkan mana-mana wartawan akhbar antarabangsa untuk masuk pun ke Rakhine untuk melihat sendiri keadaan Rohingya.

Myanmar secara konsisten menganggap tindakan mereka betul mengikut undang-undang, kerana etnik Rohingya dianggap pendatang tanpa izin daripada Bangladesh. Justeru, tidak layak mendapat perlindungan dan hak.

Diamnya dia, bahkan berdekah-dekah ketawa sambil mengatakan pembunuhan ini palsu. Tidak dapat diterima langsung.


Ironi.

Apabila ada dalam kalangan pemimpin negara yang tiba-tiba lantang menentang pembunuhan di Rohingya.


Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya (HSUUR)

Beliaulah juara isu ini, siap menganjurkan himpunan solidariti lagi untuk membela nasib Rohingya.


Tetapi, tidak pernah beliau ingat, tindakan beliau juga persis tindakan Aung San Suu Kyi terhadap Rohingya?

Lupakah beliau, bagaimana di sebahagian kawasan di Malaysia, orang Asli masih dipinggirkan daripada pembangunan?

Kita sendiri lihat baru ini, orang Asli di Gua Musang ditangkap apabila mempertahankan tanah adat yang diduduki oleh mereka sejak zaman-berzaman, menentang tindakan kerajaan negeri Kelantan yang mewartakan tanah itu sebagai tanah pembalakan.

Bahkan, apabila diminta untuk berhenti melakukan pembalakan, pihak berkuasa telah mengatakan bahawa ia adalah mengikut prosedur. Kata mereka, tanah itu ialah tanah pembalakan, tanpa sedikitpun menghiraukan bahawa tanah itu telah diduduki zaman berzaman oleh Orang Asli.


Sekatan orang Asli di Pos Bihai, Gua Musang, menentang pembalakan di tanah yang telah diduduki oleh mereka sejak sekian lama.

Lebih teruk lagi, mereka menuntut kerajaan pusat memberikan mereka royalti minyak, barulah mereka akan hentikan pembalakan. Secara langsung, pihak berkuasa Kelantan menjadikan orang Asli tebusan untuk memastikan kerajaan pusat memenuhi permintaan mereka.


Kita sendiri juga lihat bagaimana Malaysia Timur diketepikan dalam agenda pembangunan, walhal mereka lah yang menyumbang banyak kepada ekonomi negara melalui petroleum, serta memberikan majoriti mudah kepada kerajaan kita sekarang dalam setiap pilihanraya. Tidak ada jalan raya, bahkan sebahagian kawasan masih berjalan tanah.

Lihat pula, bagaimana etnik Penan ditindas. Pada tahun 2010, orang Penan telah digemparkan dengan projek pembinaan empangan Hidroelektrik Murum yang bakal menenggelamkan 6 kampung mereka. Empangan tersebut dibina di atas tanah orang Penan, dan ia dibina tanpa persetujuan orang Penan. Protes mereka berakhir apabila air empangan itu mula membanjiri rumah-rumah mereka. Itu adalah salah satu contoh, daripada banyak contoh lain penindasan terhadap etnik minoriti di Malaysia.



Protes etnik Penan terhadap projek Empangan Murum yang merampas tanah adat.

Pijak henyak bunga di taman sendiri, kemudian protes orang lain memijak henyak bunga di taman mereka.

Buktikanlah kata-kata anda, jika benar anda menentang perbuatan Myanmar.


Sekurang-kurangnya, buatlah seperti yang dilakukan oleh Turki.


Lawatan dan agihan bantuan kemanusiaan Menteri Luar Turki dan isteri PM Turki ke Rakhine.

Saat negara-negara Asia Tenggara menolak kehadiran kapal-kapal usang pelarian Rohingya, Turki telah menghantar tentera lautnya untuk menyelamatkan mereka dan membwa bantuan kemanusiaan. 

Menteri Luar Turki juga pada awal tahun ni membuat lawatan ke Rakhine, mengadakan iftar bersama penduduk di kawasan tersebut dan telah memberikan bantuan kemanusiaan. Mereka juga telah berbincang dengan kerajaan Myanmar tentang isu-isu berkaitan etnik Rohingya.

Sebelum ini juga, Menteri Luar Turki bersama isteri Perdana Menteri Turki juga pernah menghantar bantuan kemanusiaan kepada Rohingya bernilai 3.4 juta Lira Turki, membawa bersama hormat rakyat Turki kepada Arakan dan Persatuan Bulan Sabit Merah Turki untuk membantu penduduk di sana. Dalam rombongan yang sama, Menteri Luar mereka telah berjumpa dengan Aung San Suu Kyi dan berbincang mengenai isu ini.

Itulah apa yang dilakukan oleh sebuah negara yang berada berganda-ganda jauh dari segi jarak geografi, tetapi masih ingin membantu.

Tetapi bukan pahlawan Rohingya itu.


Ilustrasi bagimana bot pelarian Rohingya ditolak oleh negara-negara ASEAN.

Ketika warga Rohingya datang menjejakkan kaki ke Semenanjung Emas ini dengan bot-bot terlebih muatan yang hampir karam, apakah tindakan pertama yang konco-konco beliau lakukan? Menolak bot itu kembali ke laut, sedang beliau diam seribu bahasa.

Ketika warga Rohingya lari ke tanah bertuah ini, konco-konco beliau tidak memberi mereka kerja, melayan mereka seperti pendatang asing tanpa izin, tidak memberikan mereka akses kepada pendidikan, kesihatan, dan lain-lain kemudahan, sedang beliau diam tidak berkata apa-apa.

Ketika ahli parlimen yang tidak sekufu dengan mereka membawakan cadangan usul ke Parlimen berkaitan Rohingya dan ditolak oleh Speaker Dewan, mereka tidakpun protes.

Ketika seruan datang untuk mengambil tindakan yang tegas terhadap Myanmar, menarik diri daripada AFF Suzuki, tidak mereka ambil serius.

Mahathir yang sering dikutuk-kutuk ketika Perhimpunan Agung parti yang dinakhodai oleh pahlawan itu, telah melakukan lebih banyak apabila berlakunya Perang di Bosnia dan lain-lain. Yang dikutuk itu telah menyuarakan di OIC, membawa ke PBB, menghantar pasukan pengaman ke sana, dan sebagainya. Tetapi bukan pahlawan ini. Mungkin, atas ghairahnya pahlawan ini untuk membuktikan yang beliau lebih baik daripada yang dikutuk, beliau enggan melakukan apa-apa yang dilakukan oleh yang dikutuk itu.


Akhir sekali, kita harus faham tujuan kita adakan perhimpunan solidariti untuk masyarakat antarabangsa.

Contohnya, Walk to Jerusalem. Ia menunjukkan solidariti masyarakat luar dunia terhadap Palestin. Apa kesan yang diharapkan?

Kita mengharapkan, dengan menunjukkan ramainya yang sokong Palestin, dunia akan meletakkan tekanan kepada Israel. Akhirnya, kita mengharapkan lebih banyak negara-negara melakukan embargo, memutuskan talian diplomatik, mengundi menentang Israel dalam PBB. Tekanan demi tekanan sehingga Israel tunduk kepada permintaan kita.

Kalau setakat membuat perhimpunan, Israel takkan takut. Israel takutkan tindakan. Contohnya, gerakan Boycott, Divestment, and Sanction (BDS), amat ditakuti oleh Israel kerana ia memberikan tekanan ekonomi.

Samalah seperti demonstrasi R4BIA di hadapan kedutaan Mesir, untuk memaksa As-Sisi tunduk kepada tekanan antarabangsa, melalui tekanan terhadap duta Mesir melalui penyerahan memorandum.

Tetapi, jika kita buat perhimpunan sesama kita sahaja, tidak pun mendesak kedutaan Myanmar untuk dengar perkara yang hendak disampaikan, tidak pun mengusahakan tindakan antarabangsa, tidak pun menyuarakan di pertubuhan-pertubuhan antarabangsa seperti PBB dan ASEAN, maka berita gembiralah kepada Myanmar. Tidak apa yang anda perlu takutkan.

Demonstrasi dilakukan sebagai jalan terakhir, biasanya oleh golongan yang tidak berkuasa kepada golongan berkuasa supaya mereka mengambil tindakan. Ia digunakan oleh rakyat marhaen untuk memberi tekanan. Contohnya isu Palestin, apabila sudah disuarakan di PBB, OIC, dan lain-lain, tidaklah salah untuk seorang pemimpin negara mengambil jalan terakhir ini.

Kadang-kadang, demonstrasi digunakan untuk memberikan kesedaran, seperti BERSIH. Namun, pemimpin yang media sentiasa mengekori tidak memerlukan demonstrasi untuk menyedarkan masyarakat.

Harus diingatkan, isu ini sudah lama. Sejak Myanmar merdeka, sejak Aung San Suu Kyi dipenjarakan, dibebaskan, dan kini sudahpun memenangi pilihanraya.


Tidak salah pun membuat demonstrasi, tetapi buktikanlah, jika benar anda cakna tentang warga Rohingya,

1. Berikan hak yang sepatutnya kepada minoriti (orang asli, peribumi Sabah Sarawak, dan lain-lain) di Malaysia. Dengar dan ikutilah tuntutan mereka yang ditindas dalam negara, supaya tidak kelihatan hipokrit. Lakukan pembangunan yang setara di Malaysia Timur dan Barat.

2. Berilah hak sewajarnya kepada pelarian Rohingya yang ada di sini. Jika pelarian Syria disambut dengan diberi rumah siap perabot, mengapa mereka tidak diberikan yang sama? Iktiraf kehadiran pelarian di sini. Percepatkan proses untuk benarkan mereka bekerja. Anak-anak Rohingya ini tidak dapat bersekolah, jika sakit hanya mencari herba-herba kerana tidak dapat membayar hospital. Pelarian ini bukan baru datang ketika peningkatan ketegangan yang baru ini atau tahun lepas. Mereka sudah lari ke Malaysia ketika fasa-fasa konflik di Myanmar yang telah berlanjutan sejak 1970an, bahkan 1940an lagi.

3. Sokonglah usul Rohingya apabila dibawa ke parlimen.

4. Bersuaralah di PBB, alang-alang Malaysia negara anggota Majlis Keselamatan PBB. Gunakanlah ASEAN, OIC, zahirkan solidariti anda. Zahirkan ketegasan anda. Lihatlah contoh bagaimana pemimpin negara lain menunjukkan penentangan apabil tuntutan tidak dipenuhi.

5. Ziarahlah dan berilah bantuan kemanusiaan. Emine Erdogan pernah melakukannya, takkan peneraju berjaya Permata Pintar itu tidak mampu?

Isteri PM Turki, Emine Erdogan bersama warga Rohingya.


Sumber dan bacaan lanjut:

Aung San Suu Kyi ketawa tentang Rohingya.
http://theindependent.sg/aung-san-suu-kyi-laughs-out-loud-at-rohingya-genocide-allegations-while-in-singapore/

Kenyataan pertubuhan-pertubuhan masyarakat madani mengenai tanah adat orang Asli di Kelantan.
http://aliran.com/civil-society-voices/2016-civil-society-voices/kerajaan-kelantan-harus-iktiraf-hak-orang-asli-ke-atas-tanah-adat-pelihara-hutan/

Kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, mengatakan pembalakan boleh berhenti jika Kelantan kerajaan pusat beri royalti minyak.
http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/10/04/pembalakan-boleh-henti-jika-bayar-royalti-minyak-kata-timbalan-mb/

Penindasan kaum Penan di Sarawak.
https://www.theguardian.com/world/2009/apr/16/indonesia-endangered-habitats

Peristiwa Empangan Murum.
http://www.minorityvoices.org/news.php/en/1275/malaysia-the-road-to-murum-dam

Pengakhiran protes Empangan Murum apabila rumah etnik Penan mula ditenggelami air.
http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/malaysia-tribe-end-protest-as-mega-dam-floods-their-homes

Bantuan tentera laut Turki untuk pelarian Rohingya.
http://www.hurriyetdailynews.com/turkish-military-ship-joins-efforts-to-reach-rohingya-muslims.aspx?pageID=238&nid=82639

Ziarah dan Iftar Menteri Luar Turki di Rakhine.
http://www.dailysabah.com/diplomacy/2016/06/15/turkish-fm-cavusoglu-visits-rohingya-muslims-vows-further-support-through-myanmar-govt

Ziarah Menteri Luar Turki bersama isteri Perdana Menteri Turki.
http://www.hurriyetdailynews.com/fm-davutoglu-pledges-to-help-rohingya-muslims.aspx?pageID=238&nID=27556&NewsCatID=338

Parti daripada pakatan pembangkang membawa usul mengenai Rohingya ke parlimen namun ditolak.
http://amanahdaily.com/index.php/2016/12/02/rohingya-tiba-tiba-di-luar-mereka-nak-jadi-juara-dalam-parlimen-diam/

Mahathir mendesak Myanmar dikeluarkan daripada ASEAN.
http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2015/06/12/tun-m-desak-asean-pecat-myanmar/

Syed Saddiq mengemukakan hujah mengapa Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya "gimik politik".
https://www.facebook.com/syed.saddiq.1/posts/10154332072504794

Kegerunan Israel terhadap BDS.
http://www.nytimes.com/2014/02/01/opinion/sunday/why-the-boycott-movement-scares-israel.html?_r=0

Sejarah krisis Rohingya.
https://en.wikipedia.org/wiki/Rohingya_insurgency_in_Western_Myanmar

Artikel mengenai pelarian Rohingya dan Syria menerima nasib berbeza di Malaysia.
http://kacamatahamba.blogspot.my/2016/05/pengkastaan-pelarian-perbezaan-nasib.html

Keadaan pelarian Rohingya di Malaysia, tidak diberi kad pelarian, tidak diberi bekerja, polis selalu ganggu, tidak diberikan perkhidmatan kesihatan dan lain-lain.
http://www.nytimes.com/2015/06/04/world/asia/rohingya-migrants-malaysia.html?referer=

Parti pembangkang mendesak status pelarian Rohingya disahkan di Malaysia.
http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2016/12/05/dap-rohingya-protest-worthless-if-no-refugees-status-here/

Malaysia baru memulakan inisiatif untuk membenarkan 300 (daripada 137,261) orang pelarian Rohingya bekerja.
http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/11/22/pelarian-rohingya-akan-diberi-kebenaran-bekerja-di-malaysia/

Erdogan keluar daripada sebuah majlis ketika bersemuka dengan wakil Israel.
https://www.theguardian.com/world/2009/jan/30/turkish-prime-minister-gaza-davos

No comments:

Post a Comment