Semalam, berlangsungnya perhimpunan atau forum solidariti untuk Aleppo di UIAM Kuantan. Sebuah himpunan yang menggabungkan semua persatuan mahasiswa Islam (sebab UIAM Kuantan tak ada persatuan bukan Islam) untuk menunjukkan solidariti untuk Aleppo.
#WeStandForAleppo
Saya amat tertarik dengan ucapan yang diberikan oleh wakil daripada HALUAN Siswa. Kata beliau, keadaan di Syria sebelum Arab Spring ialah aman, tetapi rakyat hidup dalam ketakutan. Sehinggalah, mungkin mengambil semangat daripada Arab Spring yang bermula di Tunisia, sekumpulan pemuda menconteng dinding mengatakan bahawa rakyat mahu jatuhkan kerajaan. Kata beliau, itulah titik tolak krisis ini.
Kemudian, kesemua pemuda itu telah ditangkap dan dipenjarakan oleh gabenor kota berkenaan. Tindakan beliau ini telah menyebabkan rakyat marah, dicampur dengan kemarahan dan ketakutan yang terpendam, mereka bangkit ke jalan raya. Apa yang bermula dengan sebuah demonstrasi aman, berubah menjadi sebuah perang saudara yang berdarah.
Apa yang menarik perhatian saya ialah permulaan krisis ini. Ia bermula dengan sekatan terhadap kebebasan. Kebebasan bersuara rakyat disekat, akhirnya menimbulkan kemarahan rakyat.
Sehingga kini, tiada siapa pun yang akan kata, saluran pemuda itu menyuarakan kemarahan ialah salah dan sebagainya. Kita semua akan kata, salah kerajaan Syria kerana tidak memperuntukkan saluran yang baik untuk menunjukkan perasaan, juga kerana mereka gagal menerima teguran dengan baik.
Teringat tanah yang dipijak, langit yang dijunjung. Semenanjung Emas, kata sejarawan lama.
Di tanah air tercinta ini, tidaklah jauh bezanya dengan keadaan di sana. Kita aman, dalam keadaan ketakutan. Hendak suarakan kritikan terhadap kerajaan, bimbang dibuang kerja, digantung universiti, malah dipenjara.
Lihatlah keadaan ketika perhimpunan BERSIH yang lepas. Walaupun saya tak pergi, tetapi ketegangannya terasa. Sebenarnya, teknik menakut-nakutkan rakyat berjaya. Kita sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan ketika itu. Malah, sebahagian kita takut Akta Majlis Keselamatan Negara akan diguna pakai untuk menghalang perhimpunan itu berlangsung.
Walaupun ketika itu, tuntutannya bukan hendak menjatuhkan kerajaan pun. Mereka hanya hendak menuntut pilihanraya yang bersih dan adil. Tetapi masih ketakutan.
Banyak sebenarnya isu kebebasan bersuara baru-baru ini di Malaysia.
1. Semua penjawat awam yang menyertai BERSIH boleh dibuang kerja, kata Ketua Setiausaha Negara.
2. Isu saudari Anis Syafiqah dan UM4, tentang Tangkap MO1.
3. Isu Jufazli Shi Ahmad ditangkap kerana menyuarakan mengenai kerajaan negeri dan Jabatan Bekalan Air Sabah di Facebook.
4. Isu Asheeq Ali Sethi Alivi untuk demonstrasi Tangkap MO1, digantung semester.
5. Pelajar Universiti Monash di Malaysia diugut akan dikenakan tindakan disiplin jika menghadiri BERSIH.
6. Isu Hanif Mahpa dan Afiqah Zulkifli yang digantung dua semester ketika ingin menganjurkan forum mengenai GST.
Senarai ini akan jadi terlalu panjang jika hendak menyenaraikan semua. Cukuplah enam ini isu ini yang secara terus terang melibatkan orang muda. Malah, lima daripada enam isu yang saya senaraikan itu melibatkan mahasiswa.
Manusia boleh dipenjara, dibunuh. Tetapi idea tidak akan mati. Buat apa nak halang kebebasan bersuara? Lihatlah sejarah, betapa idea takkan dapat dibunuh dengan kekerasan. Bahkan, Islam sendiri datang sebagai idea yang ditentang.
Jufazli ditangkap kerana kalamnya di Facebook sahaja. Tetapi pemerhatian saya, perjuangan beliau semakin diangkat dek penangkapan beliau. Bukti kukuh, idea tidak boleh dipenjarakan.
Hentikanlah mengongkong suara rakyat dengan menakut-nakutkan rakyat. Kata-kata dalam filem Star Wars yang saya ingat sampai sekarang, "fear leads to anger, anger leads to hate, hate leads to suffering". Akhirnya, ketakutan hanya akan menyebabkan keberangan, kebencian, dan kesengsaraan.
Rakyat semakin marah.
Teringat saya kepada sebuah posting Facebook oleh One Pint of Normal Saline yang menyindir Kementerian Kesihatan Malaysia kerana tidak mempertahankan doktor yang dihambat oleh anggota polis di salah sebuah hospital kerajaan tahun ini.
Menariknya, di bawah posting tersebut, ramai (para doktor mungkin) yang memberikan komentar mengharap Ketua Polis Negara masuk ke wad jagaan mereka, dan mereka ingin melakukan pelbagai prosedur yang menyakitkan kepada beliau. Memanglah ianya nada bergurau, tetapi, iya, rakyat marah.
Sudah-sudahlah menyorok di sebalik serban agamawan. Nabi SAW sendiri menerima teguran daripada para sahabat baginda secara berdepan. Saya bagi anda dua situasi dalam sirah.
1. Sebelum perang Badar, baginda hendak berhenti di sesuatu tempat untuk dibuat kem dan berperang esoknya. Seorang sahabat yang tidaklah masyhur pun, bersuara menanyakan adakah ini wahyu ataupun strategi baginda semata? Apabila baginda menjawab strategi, sahabat tersebut mencadangkan supaya tempat perkhemahan dan peperangan itu dialih untuk memberikan kelebihan kepada tentera Islam. Baginda SAW menerima cadangan tersebut.
2. Sebelum perang Uhud, baginda adakan perjumpaan satu Madinah untuk bermesyuarat perang. Baginda tidak hanya menjemput penyokongnya sahaja, tetapi juga orang seperti Abdullah bin Ubay, bapa segala munafiq. Asalnya, baginda hendak bertahan dalam kota Madinah, dan idea ini dipersetujui oleh Abdullah bin Ubay. Tetapi, sahabat-sahabat yang lebih muda dan terlepas peluang menyertai perang Badar mencadangkan mereka keluar berperang di luar Madinah. Baginda akhirnya akur, walaupun kemudiannya para sahabat tersebut memohon maaf dan ingin menarik balik cadangan mereka kerana dilihat tidak wajar menolak strategi Nabi SAW.
Ya, Islam benarkan kita menyuarakan ketidakpuasan hati kepada pemerintah.
Kata orang putih, "I may not agree with what you say, but I will fight to death for your right to say it". Jangan sesekali kita ambil pendekatan, selagi anak menantu kita selamat, tidak perlu perjuangkan hak bersuara. Kelak, apabila tiba giliran kita, tiada sesiapa juga akan pertahankan kita.
Perjuangkan hak orang lain, baru orang lain akan perjuangkan hak kita. |
Pemuda yang menconteng dinding di Syria itu tidak pernah terfikir idea dan keberanian mereka memberikan kesan yang mendalam.
Tetapi, suatu perkara yang boleh kita fikirkan, adakah idea pemuda ini memberikan kesan kepada masyarakat andai idea mereka tidak ditekan? Bagaimana pula keadaannya agaknya, jika Basyar daripada awal mendengar pendapat rakyat, tidakkah kemarahan seperti ini dapat dibendung? Akan berlakukah pertumpahan darah seperti ini?
Moga jawapan kepada persoalan-persoalan ini memberi petuntuk bagaimana menyelesaikan kemelut di negara kita.
Akhir sekali, kepada siapa kita patut marah untuk isu pertumpahan darah di Syria ini?
Tentunya, kepada rejim Assad sendiri. Ketika perkara seperti ini berlaku, tiada yang akan salahkan pemuda itu kerana saluran kemarahan mereka itu salah. Hal ini kerana, punca kemarahan itulah yang paling bersalah.
Hal yang sama seharusnya dibawa ke Malaysia. Tidak patut kita bertikam lidah sama ada mahasiswa sepatutnya terlibat ataupun tidak dengan kemelut 1MDB, BERSIH, GST, dan sebagainya. Sebaliknya, kita seharusnya menilai sama ada perkara yang diperjuangkan oleh mahasiswa itu betul ataupun tidak, selagi mana tindakan tersebut masih dalam lingkungan rasional dan dapat diterima oleh norma masyarakat abad ke-21.
Suatu muhasabah daripada peristiwa bersejarah yang berlaku awal 2011 yang lalu untuk kita bersama. Kata orang, jika kita tidak belajar daripada sejarah, kita akan mengulanginya.
Semoga Allah bantu umat Islam di seluruh dunia, membebaskan mereka daripada belenggu kezaliman dan kesengsaraan.
Semoga Allah bantu mereka yang dizalimi ke atas mereka yang menzalimi.
No comments:
Post a Comment