Thursday, October 26, 2017

Media Berasaskan Keuntungan



"Media _____ putar alam!"

Biasa kita dengar ayat ini kan?

Kita sering tuntut para wartawan mematuhi etika kewartawanan. Kita tuntut ketelusan dan keadilan dalam melapor.

Pada pendapat saya, ia takkan berlaku selagi agensi berita kita berorientasikan keuntungan.


Beberapa perkara yang kita semua perlu terima.


PERTAMA
Manusia sukakan berita yang sensasi.

Lebih sensasi satu berita, lebih banyak orang baca, lebih banyak orang tularkan. Kalau semua perkara berjalan seperti biasa, bukanlah berita kan?

Agensi berita bergantung kepada bilangan pembaca untuk memastikan mereka kekal hidup. Untuk itu, mereka sentiasa mengkaji siapakah pembaca mereka dan menyesuaikan berita mengikut kehendak pembaca.

Contohnya, 100,000 orang berhimpun menuntut pilihanraya yang bersih dan adil tanpa sebarang insiden atau keganasan, 1 orang kibar bendera LGBT. Agensi media akan terus fokus kepada 1 orang tersebut. 100,000 orang berhimpun menuntut pentadbiran yang bersih, 2 orang pihak gambar Tuan Guru Haji Hadi. Agensi media akan terus fokus kepada 2 orang tersebut. Akhirnya, beratus ribu peserta himpunan tersebut akan terpalit sama dek kelakuan para "outliers" dalam himpunan tersebut.

Namun, akhirnya, tidak semua perkara yang sensasi ini baik untuk diketahui semua. Contoh terbesar, kes liwat DS Anwar Ibrahim. Kanak-kanak berumur kurang 12 tahun yang membaca surat khabar atau berita telah didedahkan dengan berita-berita sebegini. Saya sendiri telah mendapat gambaran apa itu "liwat" sejak sekolah rendah, kerana melakukan sesuatu yang amat digalakkan, iaitu membaca surat khabar.

Menjadikan jenayah-jenayah dahsyat ini sesuatu yang dibaca hampir setiap hari di dada akhbar dan newsfeed hanya akan menyebabkan kita hilang sensitif terhadap dahsyatnya jenayah tersebut.

Contoh mudah, kini berita bapa rogol anak tidak lagi menjadi muka depan. Bapa rogol anak berkali-kali, waaah! Beberapa hari kemudian berita itu mula bosan, timbul pula berita lebih dahsyat. Bapa rogol anak berkali-kali di Makkah, waaah! Selepas beberapa kerap berita-berita begitu, agaknya masyarakat masih begitu terkesan kah dengan hanya bapa rogol anak sekali sahaja?

Lain, buat apa pula kita nak tahu kalau Alvin Tan hina azan? Buat apa kita nak tahu Jamal Yunos panggil "Cina babi"? Memarakkan api perkauman? Tak cukupkah lagi sentimen perkauman yang ada? Bak kata orang, berhentilah daripada menjadikan orang-orang bodoh terkenal (stop making stupid people famous).


KEDUA
Agensi media bersaing dengan hebat antara satu sama lain.

Jika kita tubuhkan sesuatu agensi media yang baik, tidak melaporkan kontroversi-kontroversi atau perkara-perkara yang masih samar, kita akan rugi. Anda tidak laporkan, orang akan membaca daripada agensi berita lain yang lebih menarik minat mereka.

Lihat sahaja di laman Facebook portal berita atas talian. Berita yang sensasi boleh mendapat beratus-ratus share. Lihat sahaja baru-baru ini FMT melaporkan mengenai hospital kerajaan yang mengguna semula peralatan pakai buang. Setakat artikel ini ditulis, 660+ shares untuk artikel berbahasa Melayu dan 1100+ shares untuk artikel berbahasa Inggeris, dengan lebih 1000 responses, 400+ komentar. Perhatikan, jarang FMT mendapat lebih daripada 100 shares, tetapi apabila mengeluarkan artikel yang samar-samar, terus melonjak naik populariti.






KETIGA
Agensi berita dimiliki oleh sekelompok manusia.

Jarang kita nak cari orang yang benar-benar neutral dan telus. Apatah lagi jika sesuatu agensi berita itu milik sesuatu parti politik. Agensi berita milik PAS tentu akan menyiarkan berita yang baik untuk parti mereka. Agensi berita AMANAH tentu akan menyiarkan berita yang baik untuk parti mereka. Ini lumrah, takkanlah sesuatu parti atau kumpulan melaburkan sejumlah wang yang besar untuk memiliki agensi media yang menggigit jari sendiri?

Sekalipun ia dimiliki oleh non-partisan, pemiliknya tentu ada kecenderungan tertentu. Kiri atau kanan, dan lain-lain kecenderungan.

Jaranglah kita hendak cari agensi berita serius yang benar-benar neutral, adil, dan telus.


KEEMPAT
Berita mempunyai 2 sisi.

Sesuatu berita ialah fakta. Tapi tafsiran berita tersebut boleh jadi berbeza-beza, mengikut kaca mata apa yang kita gunakan. Contoh mudah, faktanya kerajaan memperkenalkan GST. Hendak mengatakan ia membantu ekonomi negara atau membebankan rakyat ialah interpretasi yang kedua-duanya boleh diterima akal. Sesuatu artikel berita tidak akan hanya mengeluarkan fakta. Ia akan datang bersama interpretasi yang berbeza-beza.

****

Akhir sekali, kita sebagai pengguna media sosial zaman kini, kita mendapat pelbagai maklumat daripada berlaksa-laksa jenis pengamal media. Melalui perkongsian kita juga, kita menyumbang kepada sebuah media yang baru, iaitu media sosial. Kitalah yang memproses segala maklumat yang ada dalam media sekarang, dan menyaring yang mana yang baik dan buruk. Kitalah yang terlibat secara aktif untuk pastikan apa yang kita sebarkan itu baik dan menghentikan sebaran perkara yang buruk.

Baru-baru ini, saya terjumpa sebuah tulisan rakan saya yang share pautan akhbar Sinar Harian mengenai seorang paderi yang ditahan akibat tuduhan melakukan kegiatan seks dengan kanak-kanak. Kata beliau, jika yang melakukan ini seorang ustaz, tentu akan heboh satu dunia. Maka beliau share. Mungkin pada beliau inilah keadilan.

Namun pada saya, inilah masalahnya. Bukankah Nabi kita telah bersabda ketika khutbah terakhir, "Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar kamu tidak disakiti lagi"? Dalam hadis lain Nabi ada sebut, "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka dia berkata baik atau diam". Bukankah hamba Ar-Rahman itu, “Jika orang-orang bodoh mengajak bicara mereka (menujukan kepada mereka ucapan-ucapan buruk), mereka mengatakan, ‘salaman’ (perkataan yang baik).” (al-Furqan: 63)?

Nasihat saya, bacalah daripada banyak-banyak sumber. Nilai dengan pertimbangan rasional. Jangan taksub kepada mana-mana individu atau agensi media. Apabila membaca sesuatu berita, bacalah dengan akal dan minda yang terbuka. Jauhilah provokasi dan seruan-seruan agar kita berpecah belah.

Di saat media kita berasaskan keuntungan, jadilah pengguna yang bijak!

No comments:

Post a Comment