In God We Trust |
Atheism merupakan masalah yang dialami oleh semua agama. Di barat, Kristian pun mempunyai masalah penganutnya menjadi atheistic.
Jika kita perhatikan dalam media sosial dan laman-laman jenaka seperti 9GAG dan sebagainya, kita akan lihat propaganda Atheism di mana-mana sahaja. Mereka mengatakan dan "membuktikan" bahawa agamalah yang menyebabkan kebanyakan konflik berdarah, yang menghambat kemajuan, bahkan agama adalah sesuatu yang sudah tidak diperlukan manusia.
Tunjang pendirian mereka ialah rasional dan logik. Mereka membawa teori-teori falsafah yang sekilas memang kelihatan logik.
Malangnya, jarang kita lihat agamawan di Malaysia membahaskan hujah-hujah golongan atheist ini. Kalau ada pun, mereka banyak membahas melalui hujah era Ahmad Deedat yang telahpun dibidas oleh golongan atheists.
Ceramah-ceramah kita banyak berkisar tentang fiqh dan hukum. Ataupun tentang politik. Kita bergerak kepasa perkara yang lebih kompleks, seperti memperjuangkan hukum jenayah Islam dan sebagainya. Kita fokuskan kepada perkara itu, sehinggakan boleh dikatakan paksi perjuangan salah satu parti Islam di Malaysia ialah untuk perkara tersebut, mencanangkan ia di masjid-masjid dan surau-surau sebagai penyelesai kepada semua masalah sosial.
Kita juga bergerak ke arah memahami hukum-hukum cabang, seperti mengetahui dengan cara mengeluarkan hukum, membanding-banding pendapat. Kita mula membahaskan sama ada wanita patut menutup dagu atau tidak, maulid Nabi harus sambut atau tidak.
Ibaratnya, perkembangan Muslim di Malaysia bercambah seperti sebuah roket. Laju ke atas tetapi yang biasa-biasa mula tertinggal. Akidah jarang diperbahaskan. Bahkan, kita juga tidak menggalakkan orang bertanya. Kita juga tidak mengajar anak-anak kita tentang akidah. Kalau kita semak, berapa ramai Muslim yang hanya Muslim kerana ibu dan ayahnya juga Muslim?
Sebab itu, apabila kita bertemu dengan propaganda Atheism yang menyeru kita berfikir, kita mudah terpengaruh. Soalan-soalan seperti, "mengapa Allah cipta bencana dan kejahatan?", "mengapa Tuhan wujud, bukankah ia adalah hukum alam yang boleh dibuktikan dengan sains?", "kamu doa Tuhan tak dengar pun?", dan "apa bukti Tuhan wujud?"
Ia menuntut pemahaman dan pemikiran yang sangat tinggi.
Belum lagi cerita mereka mengambil hadis dan ayat Quran dan mendakwa terdapat masalah moral dan kononnya buktikan Islam merupakan agama yang bermasalah dan tidak berperikemanusiaan.
Pendekatan kita, kita haramkan sahaja fahaman seperti ini. Bukunya kita haramkan. Orang yang bersuara kita tangkap. Sedangkan kita sendiri tahu, idea takkan terhapus dengan keganasan. Orang boleh mati, tapi idea akan terus hidup.
Cara melawan idea ialah dengan idea. Lihatlah bagaimana ulama-ulama dahulu menentang golongan-golongan yang sesat dalam Islam. Mereka menulis buku, mengeluarkan hujah, dan berfikir, sehinggalah nama gerakan ajaran sesat itu hanya tinggal dalam buku-buku tinggalan ulama terdahulu. Begitulah juga sekarang.
Belajar lah daripada sejarah.
Prioriti kita sekarang bukanlah memenjarakan dan menghukum bunuh orang atheist. Sekarang ini kita harus menjadi masyarakat yang berfikir dan tidak segan silu bertanya. Kita lawan idea dengan idea. Jika tidak pasti, rujuk agamawan di barat yang memang menjadi barisan pertama menentang golongan Islamofobia dan Atheism.
Perkukuhkan kembali asas kita. Lari daripada masalah bukanlah penyelesaian.
No comments:
Post a Comment