Showing posts with label nasihat. Show all posts
Showing posts with label nasihat. Show all posts

Sunday, December 13, 2015

Refleksi Al-Kahfi: Agamawan yang menjauhkan penganut daripada agama

"Segala puji bagi Tuhan yang menurunkan kepada hambaNya Al-Kitab dan Kami tidak jadikan ia bengkok (terseleweng).

"Ia (Al-Quran) kekal untuk menjadi peringatan terhadap azab yang keras daripadaNya, dan sebagai berita gembira kepada orang mukmin yang beramal soleh bahawa mereka akan mendapat balasan yang baik.

"Mereka (orang mukmin) tinggal di dalamnya selamanya.

"Dan ia juga sebagai peringatan kepada mereka yang mengambil Allah sebagai mempunyai anak.

"Tidaklah mereka mempunyai ilmu dan tidak juga bapa mereka (mempunyai ilmu). Besar kata-kata yang keluar daripada nafsu mereka. Tidaklah mereka berkata kecuali berdusta.

"Janganlah engkau (wahai Nabi) membinasakan dirimu kerana risaukan kesan buruk perbuatan mereka jika mereka tidak beriman dengan keterangan ini (Al-Quran).

"Kami jadikan apa yang ada di atas muka bumi sebagai perhiasan untuk mereka, untuk mengetahui siapa yang lebih baik amalannya.

"Dan sesungguhnya kami akan jadikan apa yang di atasnya (bumi) itu tandus.

"Tidakkah engkau mengira bahawa Ashabul Kahfi dan Ar-Raqim itu sebahagian daripada ayat Kami yang ajaib?

"Ketika pemuda itu masuk ke dalam gua seraya berdoa, Tuhan kami berikanlah kepada kami daripada sisiMu rahmat, dan permudahkanlah urusan kami."

[Al-Kahfi 1-10]

Ayat-ayat ini Nabi SAW meminta kita baca jika ingin elak fitnah Dajjal.

Dalam ayat-ayat ini, Allah telah menunjukkan kepada kita satu pengajaran yang sangat dalam.



Menelusuri lipatan sejarah, Eropah bermula dengan pemerintahan oleh golongan agama. Gereja menjadi lebih berkuasa daripada raja. Rakyat memfokuskan diri untuk penyucian jiwa dan rohani. Paderi perdebatkan hakikat ketuhanan. Manusia rela diseksa, membayar harga mahal dan pergi peperangan untuk pengampunan dosa. Baik dan buruk sesuatu perbuatan ditentukan oleh gereja.

Pembelian sijil keampunan.


Mulalah korupsi oleh golongan agamawan. Penggunaan dana secara tidak adil, tetapi mengikut prosedur. Penyalahgunaan kuasa pengampunan paderi. Penyeksaan terhadap mereka yang tidak bersefahaman dengan gereja. Orang biasa tidak dibenarkan membaca dan mempunyai Kitab Suci mereka. Pengkajian ilmu selain agama ditekan dan dianiaya.

Hasilnya, berlakulah kebangkitan dan reformasi. Wujudlah mazhab Protestan yang menentang gereja, memperjuangkan hak membaca Kitab Suci. Pemerintahan gereja ditumbangkan akibat korupsi. Raja-raja mula memisahkan diri dengan gereja. Baik buruk ditentukan dengan akal sendiri tanpa campur tangan agamawan. Bermulalah era pengkajian dan penerokaan.

Perlahan-perlahan, manusia mula mengkaji dan mengkaji meluaskan ilmu sains dan teknologi. Ilmu kerohanian mula ditolak tepi. Apatah lagi apabila dijumpai penemuan-penemuan yang bercanggah dengan Kitab Suci?

Tidak menafikan, kemerosotan ini juga disebabkan faktor lain, termasuklah kejatuhan Rom dan sebagainya.


Moraliti mula ditentukan oleh akal manusia. Mulalah perjuangan mendapatkan hak bersuara. Perbezaan pandangan dibiarkan untuk memakmurkan negara. Matlamat hidup manusia mula beralih kepada benda.

Beralihlah fokus manusia daripada rohani kepada jasmani. Daripada ketuhanan kepada kebendaan. Daripada moraliti berasaskan wahyu kepada moraliti berasaskan akal.

Dan mereka mula menyebarkan pandangan ini kepada manusia sejagat. Slogan sekularisme dan liberalisme dijaja di seluruh benua umat. Dibawa bersama-sama budaya demokrasi sebagai ganti monarki jahat.

Sebenarnya, inilah apa yang dikatakan dalam 10 ayat pertama Al-Kahfi.

Inilah yang dikatakan Nabi risau sehingga memusnahkan diri, akibat daripada perbuatan puak-puak yang mengambil Nabi Isa sebagai anak Tuhan. Risaunya Nabi jika mereka tidak beriman, tangan-tangan mereka akan menyebabkan kebinasaan.

Menanam sifat cintakan dunia dan melupakan akhirat merupakan misi kehadiran dajjal ke dunia. Secara tak sengaja, puak agamawan Kristian telah melaksanakan misi dajjal ini sebelum kehadirannya.

Tidak, aku memilih untuk tidak mempercayai bahawa puak gereja ini dajjal. Jika benar, mengapa mereka juga berjuang untuk mengembalikan kuasa ketika Renaissance?

****
Sebuah pengajaran yang baik untuk kita.

Sebahagian kita menggunakan alasan agama, bahawa anda merupakan manusia pilihan Allah maka anda boleh terus kekal dengan gaya pemerintahan anda yang menekan rakyat.

Sebahagian kita menggunakan alasan menurut prosedur apabila menggunakan harta anak yatim secara membazir.

Sebahagian kita menggunakan alasan ingin menegakkan agama Allah dan hukum Allah ketika mencaci maki orang lain yang tidak sehaluan dengannya.

Sebahagian kita menggunakan alasan menghormati agama dan menghormati orang berpuasa ketika menyuruh orang agama lain makan dalam tandas.

Sebahagian kita menggunakan alasan menghormati ulama ketika memarahi orang yang tidak bersetuju dengan ulama walaupun dalam perkara duniawi.

Sebahagian kita memanipulasikan dalil dan mengeluarkan fatwa-fatwa untuk menghalang hak bersuara rakyat seterusnya menamakan mereka yang berhimpun di jalanan menuntut keadilan sebagai pemberontak yang halal darahnya.

Sedar ataupun tidak, sebenarnya kita sedikit demi sedikit mengikuti tapak-tapak puak paderi. Penyalahgunaan agama, penggunaan alasan agama untuk menghalalkan perbuatan dan sebagainya.

Golongan intelektual semakin bosan dengan agamawan yang korup.

Jangan marahlah, apabila fatwa mufti tidak lagi didengari, kerana sebahagian mufti tidak pernah cakna dan tidak pernah mengeluarkan fatwa untuk meringankan bebanan rakyat. Daripada institusi yang sama jugalah datangnya fatwa menghalalkan darah demonstran. Maka siapa yang masih percaya?

Jangan marahlah, apabila rakyat enggan membayar zakat kepada Pusat Zakat. Rakyat sanggup mencari sendiri orang miskin supaya mereka yakin zalat mereka bermakna, walaupun bayar zakat ke Pusat Zakat mendapat potongan cukai pendapatan.

Jangan marahlah, apabila rakyat meminta JAKIM dihapuskan, kerana kegagalan JAKIM menggunakan kuasanya untuk memperbaiki keadaan sedia ada.

Jangan marahlah, apabila rakyat sudah tidak lagi menghormati para ustaz, kerana daripada mulut-mulut sebahagian mereka, mengeluarkan kata-kata kesat, mem"bodoh"kan orang lain, saling bermusuhan dan menyesatkan. Agamawan yang sepatutnya menunjukkan kecantikan dan kasih sayang agama, terus melaksanakan tugas menghantar manusia ke neraka.

Jangan marahlah, apabila rakyat tidak menyokong terlaksananya hudud, kerana mahkamah syariah tidak menunjukkan kredibiliti yang baik dan efisien.

Jangan marahlah, apabila rakyat memandang graduan dan mahasiswa syariah lebih rendah daripada graduan dan mahasiswa sains. Kerana dilihatnya, lambakan graduan agama terus mengajar kitab di masjid-masjid tetapi tidak membawa masyarakat melihat realiti umat dan bertindak membaiki permasalahan sedia ada.

Jangan marahlah, orang mula bosan dengan ceramah-ceramah apabila wujud elemen mensyiahkan dan mewahabikan orang lain.

Jangan marahlah, ramai yang murtad, kerana kita sibuk menunjukkan kesalahan agama lain tetapi lupa menguatkan iman masyarakat. Apa anda fikir ceramah tentang bahaya Syiah itu mrnguatkan akidah umat?

Jangan marahlah, apabila masalah sosial meningkat. Kurang agamawan yang menyediakan solusi yang rahmah kepada masalah sosial remaja. Rasa cinta kepada silang jantina tetapi tidak boleh kahwin, puasalah. Nak puasa sampai bila? Setiap hari? Zina berleluasa solusinya? Laksanakan hudud. Sebat. Rejam. Tanpa menyelidik sebenarnya masalah zina wujud disebabkan kurang kasih sayang keluarga dan sebagainya.

Jangan marah. Anda yang tidak mengambil iktibar tentang sejarah.

Allah telah tunjukkan dalam Al-Kahfi, yang tindakan korup agamawan Kristian walaupun bukan semua, menyebabkan penolakan umat Eropah kepada agama. Sehingga kini.

Maka tidakkah kita lihat corak yang sama dalam agamawan kini?

Bukan niat aku hendak pukul rata. Tidak dinafikan, memang ada agamawan yang tidak seperti umumnya. Tetapi akibat jila setitik, rosak susu sebelanga. Akibat setitik najis, mutanajjis air sebaldi.

Maka, untuk memulihkan keadaan, eloklah bermula dengan agamawan. Sebelum terlewat, kembalikanlah kredibiliti agamawan di mata rakyat. Khuatir apa yang terjadi kepada institusi gereja, berlaku pula kepada kita.

Agamawan harus berganding bahu, bukan saling mensyiah-wahabikan.
Agamawan harus sedar, hormat itu diperoleh, bukan diminta.

Tuesday, September 1, 2015

Perubahan habitat pelajar menghampiri peperiksaan

Nak musim peperiksaan sekolah, saya dapat mesej ini (ini mesej lama, tengok tarikh):

Di Ambang Peperiksaan 2015
Apa Tindakan Mak-Ayah ?
Hari ini 28 Julai 2015
Bermulanya:
UPSR : 8 Sep ---- lagi 43 Hari
PT3 : 12 Okt ---- lagi 77 Hari
SPM : 2 Nov ---- lagi 98 Hari
Nak anak berjaya biasa-biasa 
Atau tak kisah anak berjaya atau tidak
Maka ...stop baca tulisan ini dan biarkan anak dengan cara dia.
Mahu anak cemerlang, ibubapa kena
TEGAS, BERANI, BERHIKMAH
Sama ada anak anda Tahun 6, Tktn 3 atau Tktn 5 ... lakukan tindakan berikut:
1. NO MORE TV .... hingga tamat exam. Usah risau, anak tak akan mati.
2. NO MORE GAME KOMPUTER ... hingga tamat exam. Usah takut anak tak akan jadi bodoh.
3. NO MORE LEPAK2, JALAN2 ... hingga tamat exam. Usah bimbang anak tak akan jadi biol
4. NO MORE TIDUR, TIDUR, TIDUR ... hingga tamat exam. Usah kesian anak dah cukup rehat selama ini
5. NO MORE CINTA2 ... PACARAN .... hingga tamat SEKOLAH !!
Usah sedih anak anda (terutama anak dara) tak akan jadi apa2 ... ada jodoh nanti, adalah orangnya. Doa banyak2.
Dan tren ten ten ... jeng jeng jeng :
6. NO MORE HP : FB, WeChat, WApps, Instagram dsb, selfie2.
Ya NO MORE memang NO MORE ....
Usah risau, usah takut, usah bimbang, usah kesian ...
Tak akan jadi apa-apa pada anak kesayangan intan payung anda tu !!
Mana lebih penting.
Pelaburan untuk masa depan anak yang terbilang
Memastikan anak berjaya ke sekolah / kolej-univ terbaik ...
Atau kesian biar anak buang masa sekarang. ...
Kesian anak tak dapat HP
Kesian anak tak boleh berFB
Kesian anak tak boleh enjoy di alam maya.
Kesian anak ditarik balik keseronokan.
Kesian kena bertempat.
Berani bertindak tegas tetapi berhikmah.
Kemudian anak kena guna masa YANG BANYAK
Buat LATIHAN / LATIHTUBI
Buat ULANGKAJI
Buat HAFALAN
Buat SOALAN PEPERIKSAAN
Dimantapkan dengan
IBADAH, DOA dan RESTU MAK-AYAH
Sila Share untuk sebarkan ke sebanyak mungkin Mak-Ayah lain.
Agar sebanyak mungkin anak-anak dibantu.
** dri group edutips

****

Saya tak 100% bersetuju (bezakan "tak 100% setuju" dengan "tak bersetuju 100%"). Kenapa? 

1. Jangan bersifat memilih-milih masa untuk mengehadkan berfoya-foya anak-anak.

Latih sejak kecil untuk tidak banyak membuang masa, banyak membaca dan sebagainya.

Anda yang besarkan anak anda dengan membeli PlayStation, memasang TV dan sebagainya, kemudian anda hendak marah dan paksa ubah gaya hidup anak serta-merta kerana peperiksaan. Tidakkah memeningkan anak-anak?

Anda kena ingat, sampai bila anda ada kuasa legislatif terhadap anak anda? Di IPT kuasa legislatif anda berkurang dengan mendadak. Ketika itu siapakah yang akan memberitahu anak anda agar "No TV, No WhatsApp" dan sebagainya?

Maka pendidikan untuk memanfaatkan masa, banyak membaca ini harus bermula sejak kecil, bukan lah ketika besar, darjah 6, tingkatan 3 dan tingkatan 5 baru memberi perhatian terhadap banyaknya anak anda berfoya-foya.

2. Di sinilah kelebihan anak-anak yang tinggal di rumah berbanding di asrama. 

Di rumah, anak anda mempunyai segala perkara ini. Maka jika mereka sudah terbiasa mampu mengabaikan segala tarikan dunia ini, mereka akan mampu mengabaikan tarikan ini di IPT.

Selain itu, selaku lepasan SPM, group WhatsApp batch dan sebagainya amat memainkan peranan berkongsi maklumat, jika tak faham ambil gambar soalan hantar kepada kawan, kawan ambil gambar jawapan hantar kembali kepada kita. Sungguh, WhatsApp amat memainkan peranan dalam pembelajaran jika pandai menggunakannya.

Walaupun dah beberapa kali menyaring untuk buang, masih berbaki sisa WhatsApp Matematik Tambahan dalam WhatsApp images.

Di samping itu, kawan saya selalu menggunakan Youtube untuk mengulang kaji. Di YouTube, ada pelbagai jenis cara untuk mendapat maklumat. Jika malas buka buku, dia hanya tengok video itu untuk ulang kaji.

Belum sebut satu aplikasi yang didewakan semasa saya SPM tahun lepas. Guru App. Aplikasi itu mengumpulkan soalan percubaan negeri tahun lepas, memberi anak anda menjawab semua soalan-soalan itu di atas talian, kemudian terus mendapat keputusan. Saya tak tahu sekarang ini masih berguna atau tidak tetapi saya pasti akan ada pengusaha aplikasi seperti itu lagi.

3. Anda larang anak anda keluar rumah. Maka bagaimana anak anda hendak berbincang dengan kawan, saling bantu membantu untuk kejayaan bersama?

Dah lah anda sekat hubungan anak anda di alam maya, anda sekat juga hubungan fizikal. Bagaimana?

Banyak juga kawan-kawan saya yang bukanlah pelajar yang "nerd" atau lebih dikenali oleh masyarakat sebagai "gangster" (perhatikan, bukan saya setuju dengan label tersebut, cuma memudahkan pemahaman), melepak kedai mamak dan belajar bersama hingga lewat malam.

Kami 2NT sering adakan pusingan rumah ke rumah membuat belajar berkumpulan. Kemudian kami ambil gambar, hantar ke ibu ayah masing-masing bukti kami benar-benar belajar.

Belajar di rumah kawan. Jika tidak dibenarkan keluar rumah bagaimana?

Perhatikan anak anda berkawan dengan siapa di sekolah. Aktif dalam persatuan ibu bapa supaya anda kenal perangai anak anda di sekolah. Supaya anda boleh tenang jika anak anda keluar bersama kawan-kawannya.

Mak ayah saya, moga Allah rahmati mereka berdua, kenal sampai ke mak kawan-kawan
saya. Saya pergi rumah kawan untuk belajar berkumpulan, mak dia akan pantau, malah ada yang siap beri soalan ekstra lagi, kemudian ambil gambar hantar ke group WhatApp ibu bapa 2NT. InsyaAllah kami takkan melalut. Moga Allah rahmati juga semua ibu bapa 2NT yang membantu menjadikan belajar berkumpulan kami menjadi kenyataan. 

4. Supaya dapat hantar ke universiti terbaik? Adakah itu matlamat anda membesarkan anak anda?

Selepas dah masuk universiti apa? Melepak mereput?

Tabiat anak anda di universiti akan mengikuti tabiat yang anda didik sejak kecil TANPA TEKANAN. Itu sahaja. Jika anda hanya tekan ketika peperiksaan, itu takkan kekal. Yang kekal ialah tabiat yang biasa dan normal.

Maaf sedikit terkasar. Tapi semua harus faham kita membina generasi akan datang. Bukan sekadar membina mahasiswa. Maka kita perlu membina anak-anak supaya mampu berkekalan tabiatnya. Supaya sehingga kerja pun mampu mengekalkan budaya kerja yang positif.

5. Ekstra. Jangan halang anak anda sertai aktiviti seperti kem sekolah dan sebagainya. Ia akan menyebabkan anak anda tertinggal pakej yang anda telah bayar ketika menghantar anak ke sekolah tersebut. Ini khas terutamanya di Al-Amin.

Beberapa bulan sebelum SPM study group di Port Dickson bersama guru AddMaths yang juga murabbi usrah, Ust Taufik (Of course la masa study tak ambil gambar. Fokus!)

Anda hantar ke Al-Amin kerana nilai tambah yang ada di Al-Amin. Jika anda halang pergi Usrah atau jadi murabbi usrah, halang jadi pengawas ANDALUS Syabab, halang pergi Kem dan Mukhayyam Dakhili, kawad Sabtu, WAFA dan sebagainya, baik anda hantar ke sekolah biasa.

Anak anda rugi. Pelaburan anda pun rugi. InsyaAllah ada manfaat dan objektif setiap kem dan program itu. Bukan akademik tetapi manfaat untuk kemahiran kehidupan.

No more tidur, tidur, tidur?
Hehehehe *senyum kambing*
Tidur biarlah. Kalau tengah letih belajar bukan masuk pun.

Akibat terlalu banyak belajar, berehat sebentar.

Kesimpulannya, didik anak tidak berfoya-foya sejak kecil. Jangan ubah gaya hidup anak secara mendadak. Manfaatkan teknologi yang ada. Pastikan kenal kawan anak dan libatkan diri dalam PIBG untuk kenal anak. Benarkan anak keluar untuk belajar berkumpulan (kenali anak dan kawan anak dulu).

****

"Kau balik Raya Haji ini?"

"Study Week kan? Memang tak balik la. Kat rumah tak boleh study punya..."

Bukan niat nak memburukkan asrama, tapi ini sebahagian daripada kesannya. Tak semua yang tertimpa kesan ini. Tapi kes ini ada.

Kerana sentiasa belajar dalam habitat (suasana) yang terkawal sehingga di rumah tak boleh belajar. Sehingga Raya Haji pun sanggup pertimbangkan tak balik akibat tak boleh belajar tanpa suasana yang kondusif terkawal.

****

Selamat Maju Jaya kepada adik-adik sekalian. Moga berjaya di dunia dan akhirat.

Jangan memberontak pula jika ibu ayah anda mengetatkan kawalan kepada anda.

Ketahuilah apa yang mereka mahukan hanyalah yang terbaik buat masa depan anda.

Maka taatlah. InsyaAllah ada berkatnya dalam hidup anda.

Khas buat:
Adik adik Usrah ana

Dan

Adik adik debat ana

Friday, June 12, 2015

Stop being racists!

Warning. Controversial post.





I don't bother to hide their names. Whatever you post in the social media I assumed it to be a public declaration. You know that any Facebook posting can be viral on the Internet.

I am very disturbed by the increase of racism among Malaysians especially Malays. Above are among the statements that get on my mixed Malay and Chinese nerves.

What is wrong with you? If you are a Malay you expect to be treated like a royalty? You wish the government will never interfere with your business just because you are a Malay? Shame on you.

I am surprised those people who made such racist statements don't get arrested under the famous Sedition Act. They are indirectly instigating hatred amongst Malaysians. Not that I want them to be convicted. It is just as a warning on how severe it is.

Whatever your race is, what you do is against the law. If you break the law, then don't complain when the government enforce those laws.

You may complaint about the unfairness of the law enforcement. But keep your race out of this.

What's more, I am sure that the Petaling Street is being raided too every now and then. I've heard stories about such raids. Google it. Many illegal immigrants got caught during such raids.

About the registration of cosmetic products sold online, I totally agree with the KKM without agreeing with the method of enforcement. If you are sure that your cosmetic product is not harmful in any way, why won't you register it?

If a cosmetic product cause any harm towards the users, the public will point their fingers towards the KKM for not enforcing the law. It is always easier to prevent than to cure.

But then, I think there are better ways to enforce the law than ripping open the packages. Use an x-ray machine or open the package carefully without damaging the contents. That's a win-win situation isn't it?

Oh yes. I would like to comment on "DAP is a Chinese Party" thingy. How can that be possible? You think Karpal Singh, Gobind Singh and other Malays, Indians and Sikhs would join a party which is only for Chinese?

Sometimes academic debate on the policies of the DAP is worthless while talking to these people.

Oh, don't go and call me a DAP. I'm not even 21 yet. And don't label me as a Malay-hater. I am half Malay half Chinese, a proud Malaysian and a proud human. Any insult to any race is an insult to me.

I even condemn insults towards the Jews. I disagree with what the Zionists does towards Palestine and is against their actions, not the people. The Jews are innocent in that matter. Some Jews even condemn those inhuman acts.

These are what Islam thought me.

Saturday, June 6, 2015

Ragging dan hedonisme di IPT

Masa mendaftar di Mahallah Al-Biruni, CFS IIUM Gambang (31 Mei 2015)

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.
Allah tempatkan aku di CFS IIUM Gambang Asasi Farmasi. Aku sudah mendaftar pada 31 Mei 2015.

Dapat bilik tingkat 4. Haih, nak bagi kurus kot. Tapi bak kata senior aku Akhi Afif, aku hanya boleh kurus kalau aku tak selalu balik. Hahahaha

Alhamdulillah sekali lagi, Taaruf Week di sini, kami dilayan seperti orang dewasa. Tidak lagi seperti kanak-kanak sekolah yang memerlukan orang mengarah ke sana ke mari.

Cuma aku musykil. Khabarnya daripada rakan-rakan 2NT yang lain, di IPT lain wujud agenda "ragging" dan konsert ketika minggu orientasi mereka. Setahu aku, pelajar yang dapat memasuki IPT ini semuanya pelajar yang dewasa. Jikalau bukan dewasa sekalipun, mereka sekurang-kurangnya merupakan pelapis golongan akademik masa hadapan.

Maka, apakah mesej yang kita cuba sampaikan kepada bakal ahli akademik pemimpin masa depan kita?

Ragging pada pendapatku, ialah sesuatu perkara yang dibuat untuk memastikan adanya ketaatan tanpa soal. Ia digunakan oleh tentera untuk mestikan askar-askar ini taat tanpa banyak soal.

Namun, ahli akademik tidak perlukan sifat ini. Malah, perkembangan ilmu bergantung kepada sifat inkuiri mahasiswa, Apabila kita memaksakan ketaatan tanpa soal, ia bertentangan dengan budaya golongan terpelajar. Maka haruskah mahasiswa diragging?

Ragging, tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada pelajar. Sebarang bentuk "manfaat" yang dicanangkan itu semuanya sama ada dusta ataupun direka-reka.

Apakah mesej yang cuba disampaikan kepada pelajar, sehingga mereka perlu menyanyi lagu kolej kuat-kuat malam-malam buta, baring di atas jalan tar selepas hujan, denda sana denda sini pada pukul 2-3 pagi? Menerapkan rasa takut untuk melanggar peraturan? Sedangkan, pelajar akan lebih cenderung untuk memberontak.

Cuba berikan sebab, pemahaman dan sebagainya tentang kenapa perlu taat. Ketaatan hasil daripada takut hanya akan kekal selagi faktor untuk takut itu wujud. Selepas itu ketaatan itu akan hilang. Ketaatan hasil daripada pemahaman akan kekal.

Aku suka sistem UIA. Anda buat masalah, anda akan didenda RM50 dan sebagainya. Buat lagi, akan ada surat amaran, yang juga akan sampai kepada ibu bapa. Buat masalah juga, boleh dibuang universiti. Berani buat berani tanggung. Itu yang mengajar untuk menjadi dewasa. Sistem denda yang bukan keanak-anakan.

Apabila timbul isu pelajar perempuan di UiTM Pulau Pinang diragging sehingga dipanggil pada pukul 3 pagi, disuruh baring di atas jalan tar sehingga terdapat 20 mahasiswa yang histeria, pada aku ini sudah melampau.

Pertama, apa manfaat anda suruh mereka baring di atas jalan tar jam 3 pagi? Membuat perkara sia-sia menyalahi budaya golongan terpelajar.

Kedua, anda sudah membahayakan keselamatan pelajar. Pelajar yang dihantar oleh ibu dan ayah supaya anda jaga, anda khianati. Anda juga khianati universiti anda yang mengamanahkan anda.

Ketiga, anda berjaya memalukan universiti anda. Tahniah.

Keempat, anda sudah diberi amaran bahawa tempat itu keras, mengapa anda bawa siswi ke tempat tersebut? Bukankah siswi ini golongan yang lemah dan wajar dijaga dengan teliti? Siapa ajar anda, meminta perempuan keluar malam-malam? Anda mengundang masalah sebenarnya, kemudian menyorok di belakang "kami pertama kali jaga program".

Atas sebab-sebab di atas, aku yakin sepatutnya AJK program tersebut patut dikenakan tindakan tatatertib. Dosa yang sangat besar setiap satunya.

Nasihat aku terhadap mahasiswa, janganlah teruskan budaya ragging ini. Ini adalah budaya lapuk ketinggalan zaman, digunakan oleh orang yang kurang pandai memimpin dan kurang berpendidikan, untuk mengawal kegiatan orang bawahan.

Yang paling mulia antara kita ialah yang paling bertaqwa. Boleh jadi orang yang anda ragging itu lebih mulia daripada anda di sisi Allah.

Juga nasihat kepada mana-mana penganjur program, janganlah buat perkara sia-sia. Dulu aku antara orang yang sangat marah jika program suruh sapu telur campur mustard campur tepung di muka, beri makan benda pelik-pelik dan sebagainya. Selagi ia dalam bidang kuasaku, aku akan halang. Ia menjatuhkan maruah di samping tidak mendatangkan sebarang bentuk manfaat. Dan aku biasa memberontak tidak membuat sebarang denda yang difikir menjatuhkan maruah. Ia bertentangan dengan agama.

Buat program, biar mengikut objektif. Jika ia tidak akan mencapai apa-apa objektif program, tak perlu buat.

Aku tahu memang susah. Aku dahulu banyak menganjurkan program sebagai program manager mahupun program coordinator. Tapi buat apa belanja duit dalam jumlah yang banyak jika tidak mencapai objektif program?

Muka teruja nak balik KL. (5 Jun 2015)

Seterusnya tentang konsert. Aku tak tahu sejak bila budaya ilmu terdapat hedonisme. Siap ada dance move la, Menyanyi melalak bagai.

Jika inilah pendedahan yang diberikan kepada mahasiswa, jangan pelik jika satu hari nanti mereka menjadi pemimpin yang sukakan hedonisme. Jangan pelik lebih banyak artis K-Pop yang diundang dan dibayar dengan duit rakyat satu hari nanti. Jangan pelik lebih banyak kematian akibat dadah dalam konsert-konsert seperti Future Music Asia Festival tahun lepas.

Jangan pelik. Dan jangan marah.

Kerana inilah yang anda ajar kepada mahasiswa yang bakal memegang tampuk pimpinan negara saat anda semua tidak lagi berdaya menjalankan amanah tersebut.

Oh ya, jangan pelik juga apabila mahasiswa tidak boleh memberikan tumpuan untuk pembelajaran dalam jangka masa yang lama. Kerana mereka diajar sukakan hiburan. Tidak boleh hidup tanpa berhibur.

Jika mesej-mesej inilah yang cuba disampaikan kepada mahasiswa bakal pemimpin negara, aku tak pasti ke arah manakah negara kita akan tuju.

Bosanlah hidup kau, ragging tak nak konsert tak nak. Macam mana nak wujudkan individu yang seimbang?

Hidup ini sementara, Jika aku ditarik nyawa dalam konsert yang kau wajibkan aku pergi, adakah kau akan tanggung malu aku berjumpa dengan Allah?

Jika kita pandang, hidup cuma sekali, maka perlu berhibur, maka pandangan anda sempit. Tak salah berhibur sekali sekala. Namun bukanlah berlebihan. Bukanlah berjoget. Banyak lagi cara berhibur. Riadah juga satu bentuk hiburan bukan? Rekreasi juga satu bentuk hiburan bukan?

Malah lebih membentuk individu seimbang kerana merehatkan minda, menenangkan emosi di samping menguatkan jasmani. Kenapa kita perlu semarakkan budaya hedonisme ini?

Bukan niat nak memburukkan mana-mana IPT eh. Tapi niat nak basmi 2 budaya ini daripada mahasiswa.

Thursday, March 5, 2015

Al-Amin

2NT

Kalau orang tanya apa yang aku dapat daripada Al-Amin, aku takkan kata bahawa aku dapat akedemik. Perkara pertama yang aku kata aku dapat ialah tarbiyyah.

Tarbiyyah itu luas. Bagaimana berinteraksi dengan guru itu juga tarbiyyah. Bagaimana berinteraksi dengan masyarakat juga tarbiyyah. Bagaimana mengendalikan dan menyusun program juga tarbiyyah. Bagaimana bergerak dalam organisasi sebagai penggerak mahupun mengikut juga tarbiyyah.



Usrah Black Army bersama Ust Taufik dan YDP IKRAM Pahang semasa jaulah ke Kuantan 2013 (3 Jun 2013)
Antara figura yang sangat aku hormati ialah Ust Taufik. Beliau amat mementingkan pembinaan diri kami. Pernah sekali sebelum Wafdul Amin, ketika itu perjumpaan dengan penduduk kampung. Aku sebagai AJK Aktiviti dikerah untuk membuat aturcara program di dalam kereta semasa hendak bertolak. Kemudian ust semak, dan beri semula kepada aku untuk dibentangkan kepada penduduk kampung. Apabila sesi soal jawab, apabila kelihatan kami tidak dapat menjawab soalan tersebut barulah Ust membantu.

Perkara seperti inilah yang mematangkan. Yang mengajarku erti kehidupan. (Wafdul Amin rujuk http://kacamatahamba.blogspot.com/2014/06/wafdul-amin-kerna-contract-kita.html)

Di sekolah luar, ada guru-guru yang membantu pelajar dalam membuat kerja kursus mereka. Namun di Al-Amin, sekolah melepaskan kami untuk berdikari.



Ziarah ke HRA. (25 Mac 2012) 
Kami datang ke HRA Enterprise untuk mengkaji syarikat tersebut. Kami jumpa dengan pengurusnya lalu menanyakan namanya. Dengan bersahaja dan begitu berlembut, pengurus tersebut berkata, seeloknya kami memperkenalkan diri kami dahulu.

Maka sehingga sekarang aku ingat perkara ini.



TESPER 2014. Di mana pakaian yang aku pakai itu dijahit sendiri oleh banat Al-Amin (21 Mac 2014)
Pernah Ust Shahrul Nizam tegur, selepas aku beri tazkirah, bahawa aku terlalu banyak menggunakan "antum". Seolah-olah aku ini ma'sum dan tidak perlukan tazkirah. Ketika itu aku belajar untuk lebih banyak menggunakan "kita" dalam memberi tazkirah.

Ketika dalam orgranisasi, kami dikerah memikir bagaimana menyelesaikan masalah. Contohnya pada tahun 2013 Badan Pengawas hendak menyelesaikan masalah kopiah. Kami disuruh memikir bagaimana hendak selesaikan.

Kami lakukan try an error, syura dan syura lagi, untuk menyelesaikan masalah ini. Guru-guru memberikan cetusan idea, dan kami mengembangkan idea dan melaksanakan. Bukanlah guru memikirkan segala perancangan dan pelajar melaksanakan, tetapi kami juga terlibat dengan perancangan tersebut.



Kem Smart Study 2012 (5 Mei 2012) 

Aku juga belajar bagaimana hendak menguruskan program, bagaimana membuat aktiviti, bagaimana menjemput penceramah dan pelbagai lagi.

Aku juga belajar bagaimana berusrah. Bagaimana mengendalikan usrah, bagaimana membawa hati-hati mad'u. Bagaimana melayan orang lain dan sebagainya.

Belum cerita bagaimana menghidupkan api, membuat ikatan, jahitan, memasak dan lain-lain.

Debat MUSLEH 2014 

Belum cerita debat (rujuk http://kacamatahamba.blogspot.com/2014/08/debat-dalam-lembaran-hidupku.html)

Belum cerita Tahfiz (nantikan post tentang tahfiz InsyaAllah)
Kalau nak cerita satu-satu apa yang aku belajar daripada Al-Amin, takkan habis satu bulan aku tulis.


****
Sekarang sudah tamat.

Alhamdulillah alhamdulillah alhamdulillah.

Segala puji bagi Tuhan atas segala nikmat dan rahmat. Maha Suci Allah daripada sebarang kecacatan. Dialah yang mengetahui segala isi hati manusia.


1. Pertama dan terutama terima kasih kepada semua guru-guru yang pernah mengajar ana dan juga yang tak pernah ajar ana secara formal, terima kasih kerana berada sebahagian daripada sistem pendidikan Al-Amin.


Walaupun tanpa "overtime", mereka sanggup meluangkan masa pada waktu petang semata-mata kerana hendak memastikan kami mampu menguasai subjek mereka.

Bukan sahaja mendidik mengenai pelajaran, mereka juga mendidik akhlak, iman, Islam dan lain-lain. Benar-benar agar kami menjadi pelajar soleh wa musleh, bukan sekadar pelajar 11A SPM.

Tiada kata mampu membalas jasa. Allah lah sebaik-baik pembalas amal. Moga Allah kurniakan semua guru ana daripada tadika, sekolah rendah sehingga ke ke sekolah menengah, rahmat, nikmat, berkat, dan kejayaan di dunia dan di akhirat.

Aku bersaksi bahawa mereka telah banyak memberikanku ilmu ya Tuhan! Tanpa mereka tiadalah daku sampai ke tahap ini...


2. Terima kasih juga buat mak abah, kerana telah mendidik dengan didikan kelas tertinggi. Maafkan Azhari yang banyak buat salah. Moga Allah berikan mak abah firdaus Al-A'la minal jannah.

Jangan kecewa...


3. Terima kasih juga buat Kelab Kelas Tingkatan 5. Juga buat ibu bapa yang sudi menjadikan rumah (atau tadika) mereka tempat belajar berkumpulan, makcik Suriatie, makcik Saripah, makcik Lihanna, makcik Tihanni, makcik Nushan dan lain-lain.



Belajar berkumpulan di rumah Makcik Lihanna (9 Ogos 2014) 

4. Terima kasih buat KakLina yang sentiasa memegang Azhari dalam setiap tapak dalam hidup Azhari. Allahlah tempat membalas jasa.

Boleh belanja Azhari ah selepas ini. Hahahaha...

5. Terima kasih buat semua 2NT terutamanya warga Black Army.



Warga 2NT semasa Hari Guru 2014 (24 May 2014)

Dalam banyak-banyak perkara di Al-Amin, 2NTlah yang paling memberi makna. Jika diberikan ana masuk ke alam persekolahan semula, ana tidak rela kerana tiada 2NT di sisi. Biar segala kenangan terpahat di dada selama-lamanya.

Sungguh ana tak sangka suasana hari itu. Berbeza sungguh dengan keadaan ketika mengambil keputusan PMR dulu. Mungkin ketika kita PMR, masa depan kita pasti. Namun ketika SPM, masing-masing merisaukan masa depan masing-masing.

Jangan lupa, pesan Cg Arash, kita bertanding dengan diri kita sendiri. Maknanya kita berusaha untuk jadi lebih baik daripada diri kita yang lepas.

Jadi, jangan banding dengan orang lain. Bandinglah dengan diri sendiri. Kerana akhirnya kejayaan itu abstrak. Tidak ada sesiapa menentukan sama ada kita berjaya atau tidak. Definisi berjaya itu hanya kita yang tahu.

Jangan pula kita tersalahkan Allah kerana tidak menerima doa kita. Sesungguhnya doa jika Allah tidak menerimanya di dunia, Allah menerimanya di akhirat. Jika kita tahu apa itu penerimaan doa ketika di akhirat, maka kita akan berharap semua doa kita tidak diterima di dunia.

Teruskan berusaha. Hidup belum tamat.



Merenung masa depan. Moga ianya cerah sentiasa.(Lawatan Biologi 2013 - 8 November 2013) 

Ana minta maaf sangat-sangat. Impian kita untuk kejayaan bersama kelihatan seperti belum tercapai. Melihatkan kepada raut wajah masing-masing tadi...

Ana sayang antum semua kerana Allah. Jagalah hati, jaga akhlak, jagalah Allah, semoga Allah jaga kita semua.


6. Buat junior-junior, belajarlah. Ketahuilah bahawasanya SPM itu susah (Eceh...).



Belajar berkumpulan (10 September 2014) 

Sentiasa tolong kawan. Walaupun kalau kita tak perlukan pembelajaran dalam kumpulan (study group), buatlah pembelajaran dalam kumpulan untuk membantu orang lain. Dalam dunia ini bukan ada kita seorang sahaja. Kalau kita ikhlas InsyaAllah Allah akan balas.

Jaga hubungan dengan Allah. Kalau kita jaga hubungan dengan Allah, InsyaAllah Allah akan mudahkan urusan kita.


Jangan jadikan belajar sebagai alasan untuk tidak menjalankan kerja dakwah. Tidak percayakah kamu akan janji Allah bahawa jika kita membantu Agama Allah Allah akan membantu kita?



Bersama mutarabbi membuat projek usrah (28 Ogos 2014) 

Termasuk dalam kerja dakwah ialah menjadi murabbi, pengawas, kerja-kerja ANDALUS, Syabab dan sebagainya. Jangan sesekali letak jawatan sebab nak belajar. Kita tak tahu di mana terletaknya keberkatan masa itu.


Rehlah di Taman Tasik Metropolitan. SPM itu SPM. Tanggungjawab itu tanggungjawab! (5 November 2014) 

Jaga hubungan dengan guru-guru. Tahulah anda? Ana tak pernah tuisyen kecuali sekejap sahaja masa sekolah rendah subjek Bahasa Arab. Subhanallah. Berkat guru-guru inilah yang akhirnya menyampaikan ana ke tahap ini. Ana takkan letakkan kredit kejayaan ana kepada sesiapapun selain kepada guru-guru Al-Amin.

Kalau minta rahsia kejayaan, ana tak rasa ada apa-apa untuk ana beritahu selain daripada beberapa perkara.



Belajar berkumpulan, namun solat tetap solat - di rumah makcik Suriatie (24 September 2015)

a. Hormat guru. Jangan mengumpat dan sebagainya.

b. Tolong Agama Allah. Ana rasa tak ada faktor lain yang lebih besar keberkatan masa ana selain daripada ini.

c. Tolong kawan melalui belajar berkumpulan. Ada berkatnya tolong kawan InsyaAllah. Kalau ikhlas.

d. Jagalah Allah. Sesibuk manapun anda, janganlah tinggalkan Al-Quran, solat dan lain-lain.

Kalau ditanya bagaimana ana membahagi masa, ia adalah satu soalan yang lebih susah daripada SPM.

Pada ana, semua akhirnya akan kembali kepada keberkatan masa.

Jika anda benar-benar sibuk, perlu bergiat dalam Dakwah dan Tarbiyyah, pelajaran, debat, tahfiz, dan sebagainya, masih adakah masa untuk anda bermain?

Jika anda mempunyai masa untuk bermain, CoC mahupun Assassin's Creed dan sebagainya, dengar lagu layan movie, maknanya anda belum benar-benar sibuk.

Maknanya jangan salahkan DnT, debat, tahfiz semua lah jika pelajaran anda kurang elok.

Dan kita perlu percaya. Kalau kita laburkan masa kita kepada Allah, Allah akan ganti.



"Siapakah orangnya yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipat-gandakan balasannya? Dan (selain itu) ia akan beroleh pahala yang besar!" [al-Hadid 11]

Percayakah anda?

Allah akan ganti. Itu janji Allah. Mungkin dalam bentuk kita belajar sikit sudah faham. Atau kita dengar guru mengajar sudah faham dan ingat. Mungkin juga bantuan itu datang ketika peperiksaan. Bagaimanapun kita perlu percayalah.
Tak bermakna anda tidak perlu belajar langsung ya. Kerana melanggar sunnatullah kalau anda berjaya tanpa belajar langsung. Seimbangkanlah masa anda. Buang semua lagha daripada 24 jam anda. InsyaAllah isu tak cukup masa itu tiada.






Saturday, June 7, 2014

Isu Cadbury: Jangan sampai salah orang lain, kita yang berdosa.



Justeru, jika bukan JAKIM, kepada siapa lagi harus kita meletakkan kepercayaan? Jika bukan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan, kepada siapa lagi kita hendak meletakkan kepercayaan?

Jika anda tidak percaya kepada JAKIM, mengapa coklat lain yang halalnya juga diberi oleh JAKIM anda makan? Anda marah JAKIM kerana sekejap haram sekejap halal, sedangkan JAKIM tidak pernah mengatakan ianya haram. Mereka cuma menyiasat kajian KKM. Anda yang menghukum Cadbury haram melalui laman sosial Facebook dan Twitter.

Jika anda tidak mahu makan Cadbury kerana was-was, tidak perlu anda menyebarkan kempen anda kepada orang ramai. Anda yang was-was. Bukan orang lain.

Melakukan dosa besar dalam respon terhadap isu Cadbury

Kesilapan kita apabila kita mengharamkan benda yang halal itu adalah besar. Cadbury dah disahkan halal. Mengapa kita sibuk mengatakan ianya haram? Bertambah besar apabila kita mendakyah orang lain untuk mengharamkan yang halal ini. Dan makin besar apabila kita menuduh Cadbury itu agen Yahudi, menuduh JAKIM rasuah malah timbul pula tuduhan PM dan bekas PM kita minum arak. Bertambah besar lagi apabila kita menimbulkan semangat rasis dalam kalangan Muslim dan Non-Muslim. Lagi-lagi apabila nama Islam tercemar dek orang yang sibuk menunjukkan kepada dunia khususnya masyarakat Malaysia kepayahan Islam yang sebenarnya mudah.

Dalam senarai dosa-dosa besar, mengfitnah, mengumpat, mengutuk orang Islam ada. Makan babi tak ada. Kalau iya pun kita termakan babi, tidak dosa. Tetapi kita mengumpat, menuduh tak menentu hala, mengatakan JAKIM telah rasuah, mengatakan Cadbabi sana-sini, itu semua adalah dosa besar. Mengapa kita melakukan dosa besar dalam marah kita kepada orang lain?

Kalaupun mereka yang tipu, mereka yang berdosa. Dan Allah akan memberikan balasan setimpal kepada mereka. Tetapi apabila kita yang buat dosa, kita yang tanggung. Allah itu Maha Adil. Tahu?

Agen Yahudi?

Apabila anda komen, "Cadbury itu agen yahudi. Saja nak rosakkan Islam. Baik tak payah beli. Have a break, have a KitKat =D"

Ironinya, yang memang terang dan jelas menyokong Israel, melabur di Israel, membuka kilang dan pusat penyelidikan di Israel ialah Nestle, pengeluar KitKat, Milo, Maggi, Nescafe dan sebagainya. Yang dituduh dalang Zionis ialah Cadbury. Siapa yang lebih patut diboikot sebenarnya?



















Mengatakan Ulama' tidak boleh dipercayai

Menggunakan hadis yang mengatakan Ulama' akhir zaman itu "seteruk-teruk manusia di bawah naungan langit" untuk semua ulama' ialah perkara yang tidak baik dan tidak adil. Anda telah menzalimi. Hanya dengan datang kuliah-kuliah di masjid, merujuk Ustaz Wikipedia dan Ustazah Google, anda sudah rasa anda lebih berilmu daripada ulama'-ulama' ini?

Lainlah kalau memang apa yang ulama' itu seru tidak kena dengan hak asasi manusia dan tidak kena dnegan logik akal. Lainlah kalau hanya satu ulama' yang berbeza pendapat dengan ratusan ulama' lain. Dalam Isu Cadbury, para Ilmuan Islam sudah mengesahkan kehalalannya. Dan tiada yang mengatakan hukumnya tetap haram.

Meninggalkan yang syubhah

Benar Islam meminta kita meninggalkan perkara syubhah. Jika kita masih was-was, kita tinggalkan.Tetapi tidak memberi lesen untuk kita tidak meletakkan percaya kepada JAKIM dan Majlis Fatwa Kebangsaan. Dan juga tidak memberi lesen untuk kita membangkitkan was-was orang lain.

Jangan lupa, hadis ke-6 Imam Nawawi itu mengatakan yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antaranya terdapat perkara syubhah. Bagi mereka yang meninggalkan syubhah, ia telah menyelamatkan dirinya dan agamanya.

Masalahnya, anda menggolongkan Cadbury dalam yang syubhah sedangkan pihak berkuasa telah mengatakan bahawa ianya halal yang jelas.

Perbezaan pendapat makmal KKM dan makmal Jabatan Kimia



Anologi makmal KKM dan Jabatan Kimia itu mudah. Bayangkan anda disahkan menghidap kanser oleh doktor A. Anda pergi mencari second opinion doktor lain yang lebih pakar daripada doktor A iaitu doktor B. Doktor B mengesahkan anda tidak menghidap kanser.

Kemudian anda marah doktor B kerana mengesahkan anda tidak kanser dan terus menerus mempercayai doktor A.

Wednesday, May 28, 2014

Guru yang terikat tangannya



Sayang. Apabila guru menggunakan kekerasan untuk mendidik pelajar, pelajar melaporkan kepada ibu bapa.

Sayang. Apabila ibu bapa mendengar cerita yang ditambah perisa oleh anak-anak, ibu bapa menelefon sekolah serta mengugut guru dan mengancam saman tanpa mengambil kira salah anaknya.

Sayang. Selepas dilaporkan dan disaman, anak itu tiada siapa lagi mahu rotan bahkan layan. Jika didenda dia akan laporkan bukan? Lantak dia lah dia nak jadi apa!

Wahai pelajar, ketahuilah guru merotan mencubit itu kerana mendidik kita. Agar kita tidak berterusan meludah merata-rata, mengejek dan mengata sampai ke tua. Atas dasar sayang dan tidak mahu kita mengulanginyalah guru memukul kita. Selagi pukul itu bersebab, buat diam sahaja. Insaflah akan dosa. Berazam tidak mengulanginya.

Wahai ibu bapa, jangan terima bulat-bulat kata-kata anak anda. Boleh jadi mereka menipu anda. Jangan terlupa guru memukul mesti ada sebab. Jika anak anda kata tiada sebab, tanya dulu guru tersebut. Jangan marah tak tentu hala. Jika ada sebab, anda harus berterima kasih kerana ada juga orang yang sayang anak anda dan membantu anda mendidik anak anda agar menjadi soleh dan musleh, aset anda semasa di akhirat kelak.

Wahai guru, bersabarlah anda. Moga Allah rahmati anda di mana jua anda berada membina anak-anak manusia.

Wahai, mengapalah mengikat tangan guru dalam mendidik anak bangsa? Bukankan terdapat konsep "carrot and stick" dalam psychology? Bukankah terdapat konsep "targhib dan tarhib" dalam Islam?

Wahai, nabi kita hanya berlembut dengan kanak-kanak. Yang sudah berumur 7 tahun nabi menyuruh untuk rotan jika enggan solat. Umur sekolah menengah bukan lagi umur bermanja mengada. Umur sudah remaja dewasa. Jika perangai tidak diubah ketika ini, akan berlarutan sehingga ke tua. Nabi pernah memukul sahabat yang tidak lurus barisannya semasa Badar bukan?

Saya seorang yang masih sekolah menengah namun saya rimas dengan perkembangan ibu bapa menyaman sana sini. Agak-agak bila guru itu memang gila pukul anak sampai separuh nyawa barulah kalau nak kecoh satu dunia. Ini guru cubit sikit telefon sekolah marah-marah.

Hasil mak saya kejar dengan rotan keliling rumah akhirnya saya boleh mengaji. Hasil guru sekolah rendah merotan saya solat dengan baik. Ingat lagi seorang guru, "Cubit cubit sayaaang!" sambil mencubit dan pulas perut semasa darjah 1. Hasil berdiri atas kerusi, ust pukul semasa sekolah menengah mengajar saya untuk beradab dengan guru.

Dan kalau saya laporkan kepada ibu bapa saya yang saya kena rotan, siaplah saya kena rotan buat kali kedua.

Nah! Tengok "Anakku Sazali" P. Ramlee. Bagaimana kasih sahaja tidak cukup untuk mendidik.

Bukan nak kata satu-satunya cara mendidik adalah menggunakan kekerasan. Tapi salah satu cara mendidik ialah menggunakan kekerasan. Sebahagian murid jika tidak dirotan tak jalan. Sebahagian cukup dengan kasih sayang dan kaunseling.