Saturday, January 23, 2016

Tak faham apa-apa. Baca sahaja.



Hari ini aku membaca jurnal. Tugasan subjek bahasa Inggeris. Aku tak faham apa-apa. Aku baca dan terus membaca.

Sampai aku pening sebab aku tak faham. Aku baca semula.

Tapi masih tak faham.

Maka aku ambil langkah untuk baca sampai habis. Manalah tahu kalau baca sampai habis faham apa yang cuba disampaikan.

Sambil baca boleh khayal ke benda lain, sebab tak faham apa yang dibaca.

Aku mula cari teknik lain. Aku cuba baca, jumpa sahaja perkataan tak faham, aku buka Google, cari makna perkataan tersebut.

Google pula sabotaj. Definisi yang dia bagi pun aku tak faham. Aku bingung. Aku cari sinonim. Alhamdulillah, sinonimnya aku faham.

Bila masukkan dalam artikel, aku tak faham bagaimana ia sesuai dengan ayat tersebut.

Oh, baru aku faham. Ianya istilah rupanya. Aku pun cari sekali lagi apa maksud istilah tersebut.

Sekali lagi Google sabotaj. Istilah diolah dengan lagi dua tiga istilah. Terbaik!

Aku pun tulis blog. Nak meroyan.

****

Aku teringat masa kecil-kecil dahulu. Sebab di sekolah rendah dah diprogramkan untuk hafal surah-surah juzu 30, aku boleh baca juzu tersebut (ketika itu) sambil berkhayal. Tak faham apa-apa. Baca sahaja.

Aku teringat masa aku sekolah menengah, aku baca Mathurat. Aku mula tengok kiri kanan, gelakkan orang yang tidur atau tersengguk. Tak faham apa-apa. Baca sahaja.

Ya, Tuhan janjikan pahala. Tapi apa yang kita dapat untuk perbaiki diri jika tak faham apa yang kita baca?

Doa Mathurat itu perlindungan. Kalau kita tak faham apa-apa, seolah-olah kita meminta sesuatu yang kita tak tahu.

Macam kita pergi kedai mamak, pesan sesuatu dalam bahasa mamak. Kita tak tahu pun apa yang kita pesan, sama ada air atau makanan, sama ada mee atau roti, tapi kita cuma mengharapkan mamak itu bawa sesuatu yang baik.

Belum lagi baca Quran. Tak faham apa-apa. Maka tak boleh ambil apa-apa pengajaran. Maka tak boleh beramal.

Oleh kerana itu, ayuhlah cuba fahamkan apa yang kita baca bersama-sama.