Saturday, May 16, 2020

Selamat Hari Guru, Hargailah Guru Kita!



Semasa cuti semester Januari lepas, saya berkesempatan untuk menjadi guru ganti untuk 2 minggu sahaja. Mengajar subjek sejarah tingkatan 2, 3, 4, dan 5.

Awalnya, saya yakin. Kerana antara subjek yang paling saya minat di sekolah dahulu ialah sejarah. Antara guru yang saya idolakan dahulu ialah guru sejarah. Sehingga kini, antara perkara yang saya suka buat pada masa lapang ialah belajar sejarah.

Bila nak mengajar mula risau pelbagai perkara. Bagaimana kalau saya silap ajar? Bagaimana kalau ada pelajar tanya soalan saya tidak boleh jawab? Bagaimana kalau ada fakta sejarah yang saya tahu sebenarnya ialah fakta palsu yang diperoleh daripada novel-novel sejarah dan laman-laman pseudo-akademik?

Menyebabkan untuk mengajar selama sejam, saya terpaksa membuat bacaan daripada makalah-makalah panjang malam sebelumnya. Mencari sejarah daripada sumber-sumber primer dan sekunder, bukan daripada olahan sesiapa semata-mata.

Untuk mengajar strategi British menawan negara-negara selat, saya korek sumber-sumber British untuk benar-benar faham apa yang ada dalam fikiran Francis Light, Raffles dan sebagainya. Untuk mengajar tentang Revolusi Perancis dan Amerika juga begitu, untuk mendalami semangat nasionalisme, dan benar-benar memahami apa yang berlaku. Apabila saya telah baca lebih dalam, baru lebih mudah untuk membuat refleksi terhadap sejarah.

Akhirnya saya akan tetap mengajar mengikut apa yang ada dalam buku. Mungkin tambah sedikit di sana dan di sini sebagai fakta menarik. Cuma, apabila saya tahu berganda-ganda lagi banyak daripada apa yang ada dalam buku teks, ia memberi keyakinan untuk saya mengajar.

Pun begitu ada beberapa ketika bila ada anak murid tanya, saya tak boleh jawab. Segan jugalah. Mungkin kalau guru yang saya ganti yang ditanya, jawapannya beliau tahu. "Gambir tu apa? Kenapa orang nak gambir eh?". Alahai, bagusnya anak murid begini. Sepanjang saya belajar sejarah saya tak pernah terfikir nak tanya apa itu gambir. Apa lagi? Google jangan tak Google!

Sebagai guru yang tak berpengalaman, saya tetap cuba mengikut PAK-21. Kadang-kadang ia mengambil masa yang lama juga untuk saya jadikan sesi pengajaran dan pembelajaran saya "menarik" (pada saya la). Bila nampak usaha saya kadang-kadang gagal menarik minat pelajar, agak menyedihkan juga lah. Penat sebenarnya. Tak apalah. Yang penting Allah tahu saya dah cuba, dan atas kelemahan saya saya tidak berjaya.

Ada juga satu topik yang saya puas fikir tak tahu bagaimana nak jadikan ia tidak membosankan. Saya baca pun bosan. Sampai ke hujung, saya masuk kelas pasrah. Bila nampak anak-anak murid bosan, saya rasa bersalah lah juga. Maafkan saya adik-adik. Saya dah cuba.

Pernah sekali saya rancang nak buat kuiz. Iya lah, ada ke pelajar yang tak nak kuiz? Jawapannya ada. Saya masuk kelas saya acah-acah bertanya, nak kuiz ke nak belajar? Terkejut saya jawapan semua budak kata nak belajar. Biar betul budak-budak ini? Saya tak bersedia. Saya teruskan sahaja kuiz. Kalau ajar benda baru yang saya tak sedia, khuatir menzalimi pula nanti. Haihla budak-budak, kenapa pula awak tak nak kuiz?

Melihat muka bosan adik-adik, saya teringat diri saya di tempat adik-adik tersebut. Dahulu, sepanjang saya belajar, saya banyak juga berpengalaman dengan guru-guru baharu. Hari pertama mereka menjadi guru. Begitulah agaknya muka saya. Muka "apa lah cikgu ini".

Sekarang, 6 tahun setelah saya tinggalkan sekolah, guru-guru tersebut ada yang dah jadi guru panitia dah. Saya pernah lalu di sebelah kelas guru yang pertama kali mengajar semasa saya tingkatan 1. Ya Allah, hebat cikgu itu sekarang. Saya asyik tengok beliau. Memandangkan memori saya, beliau ialah guru baharu yang, baharu lah. Setiap guru yang hebat pasti ada permulaan. Ada yang memang berbakat. Ada yang memerlukan lebih usaha dan pengalaman. Tetapi semuanya tentu bermula sebagai seorang guru baharu.

Mesej saya daripada coretan panjang saya ialah, tidak mudah sebenarnya nak jadi guru. Susah. Itu saya tidak dibebankan dengan tanggungjawab-tanggungjawab guru yang lain seperti kokurikulum, sukan, penyediaan kertas soalan, kepimpinan, dan lain-lain.

Setelah menjadi guru ganti, saya lebih memahami dan menghargai jasa guru-guru saya. Sudahlah saya orangnya yang suka tanya soalan pelik-pelik, pertikai skema jawapan, dan macam-macam onar. Ada guru saya pernah kata, muka saya kalau bosan memang tak boleh sorok. Ye ke? Maafkan saya.

Saya bayangkan saya ialah sehelai kain putih. Tanpa guru-guru saya, saya tidak tahu apa-apa. Semua lah yang pernah mendidik saya, daripada rumah sehinggalah di universiti, mereka inilah yang membentuk saya sehingga saya menjadi diri saya sekarang. Yang formal sehinggalah yang tidak formal. Guru tahfiz, trainer debat, murabbi usrah, semua-semua lah.

Merekalah tangan-tangan yang menjulang saya.
Di atas bahu-bahu mereka, saya berdiri.
Hasil sabar mereka, saya jadi manusia.

Sempena hari guru hari ini, saya mengucapkan selamat hari guru kepada semua guru-guru saya. Terima kasih kerana sudi mendidik ana dengan bersungguh-sungguh.

Moga Allah ganjari anda semua dengan sebaik-baik ganjaran. Moga Allah ampunkan segala dosa anda semua. Moga Allah letakkan anda semua di syurga yang tertinggi. Moga Allah berikan anda semua kekuatan untuk menghadapi hari-hari mendidik ummah ini.

Saya juga memohon maaf atas segala salah silap saya. Terima kasih atas kesabaran anda semua melayan saya selama ini.

2001-2003
Sri Gombak Montessori

2004-2009
Sekolah Rendah Islam Al-Amin Gombak

2010-2014
Sekolah Menengah Islam Al-Amin Gombak

2015
Center for Foundation Studies IIUM, Gambang

2015-2016
Center for Foundation Studies IIUM, Petaling Jaya

2016-sekarang
Kulliyyah of Pharmacy, International Islamic University Malaysia.

Ps. Saya tak PM peribadi kerana saya khuatir ada yang saya tidak sengaja tercicir, takut mereka terasa.