Monday, May 20, 2019

Dilema Perpaduan di Malaysia : Sebuah Diskusi


Satu soalan untuk kita fikirkan bersama.

Berapa lama seseorang itu perlu ada dalam sesebuah daerah sebelum dikira sebagai orang asal daerah tersebut?

Satu generasi? Lima generasi? Atau sampai bila-bila kita akan kira mereka sebagai "orang luar"?

Kita selalu lihat naratif yang sama berulang di Malaysia. Mari kita lihat contoh-contoh terkini:

  1. Ada yang mempersoalkan kuota bumiputera di matrikulasi. Dibalas dengan mengatakan ada diskriminasi dalam sektor swasta.
  2. Ada yang mempersoalkan kewujudan sekolah vernakular. Dibalas dengan persoalan tentang UiTM dan MRSM.
  3. Ada yang mempersoalkan tentang kesamarataan hak dalam kalangan rakyat Malaysia. Dibalas dengan kontrak sosial.

Dilema di Malaysia, apabila semua kelihatan enggan berganjak daripada kelebihan atau keselesaan yang dinikmati dalam status quo. Maka, semua pihak mengambil jalan mudah menyalahkan puak atau etnik lain apabila berlakunya masalah perpaduan. Situasi tuding jari ini tidak akan berhenti, tidak memulihkan keadaan, apatah lagi memberi penyelesaian.

Dah lama di Malaysia kita tidak membuat diskusi mengenai pembinaan negara bangsa. Diskusi serius, bukan menghafal buku teks sejarah tingkatan 5.

Dahulu kata Malaysia hendak bina negara bangsa Malaysia dengan acuan sendiri. Akan tetapi, jika seseorang hari ini mengaku "aku bangsa Malaysia", terus digelar membawa agenda "Malaysian Malaysia", dan dibakul sampahkan sebagai komunis. Hasilnya, topik pembentukan bangsa Malaysia ialah sesuatu yang sangat sensitif, dan boleh dikatakan sebagai "political suicide" untuk sesiapa sahaja yang ingin membawanya secara terbuka.

Sepatutnya, semua rakyat Malaysia secara sistematik perlu ditanam dengan semangat "saya anak Malaysia" sebelum sibuk mengelaskan bangsa. Lensa yang pertama yang kita sebagai rakyat Malaysia perlu lihat ialah melalui lensa sebagai rakyat Malaysia, sebelum lensa etnik dan kaum.

Untuk mencapai keadaan ini, sebuah pengorbanan yang besar perlu dibuat oleh semua pihak. Semua kaum dan etnik perlu bersetuju untuk bergabung menjadi satu entiti iaitu bangsa Malaysia. Bahasa kita bahasa Malaysia, sebagai bahasa pengantar dan bahasa rasmi. Agama persekutuan ialah Islam, dan agama lain bebas diamalkan.

Dengan pembentukan bangsa Malaysia, tentunya tidak boleh ada keistimewaan yang abadi untuk mana-mana kaum. Namun, ia tidak menafikan ruang untuk adanya tindakan afirmatif (affirmative action), tetapi keistimewaan hanya akan terhenti selepas kezaliman yang lalu telah dibetulkan.

Tentunya, tiada lagi sekolah vernakular, dan amalan meritokrasi akan dijalankan sepenuhnya kepada semua warganegara Malaysia.

Sebuah undang-undang untuk mengelakkan diskriminasi juga boleh dirangka. Maknanya, selepas ini jika terdapatnya diskriminasi kaum di tempat kerja, majikan boleh dikenakan tindakan di mahkamah.

Kesemua ini boleh dilakukan walaupun tidak mewujudkan bangsa Malaysia, namun ia seolah-olah merawat simptom tanpa merawat punca penyakit.

Persoalan mungkin timbul, mengapa hendak hapuskan hak keistimewaan Bumiputera?

Kerana, selagi adanya yang "istimewa", tentu ada yang "tidak istimewa". Selagi ada konotasi darjat ini, sukar untuk mencapai asimilasi dan perpaduan yang utuh.

Jika tiada jaminan yang hak keistimewaan ini hanyalah tindakan afirmatif, maka ia adalah sebuah bentuk diskriminasi kepada kaum lain, apatah lagi kaum lain itu kaum minoriti. Status quo di Malaysia, kita memberikan keistimewaan semata-mata kerana sesebuah kaum itu "penduduk asal", bukan merit, bukan tindakan afirmatif.

Tapi, ia kan dah termaktub dalam kontrak sosial?

Kontrak sosial merupakan apa yang datuk nenek kita buat, yang sesuai dengan zaman tersebut. Setelah hampir 63 tahun merdeka, keadaan sudah berubah, generasi pun sedah berubah. Sudah tiba masanya kita kaji semula kandungan kontrak sosial tersebut.

Satu lagi, kontrak sosial hanyalah sebuah kontrak. Seperti mana-mana kontrak lain, kandungannya boleh jadi sudah tidak lagi relevan, atau telah ketinggalan zaman. Bahkan, setelah zaman berlalu, kandungan sesebuah kontrak itu boleh jadi tidak adil dan menzalimi sesetengah pihak dalam kontrak tersebut. Perlembagaan pun boleh dipinda.

Tapi kan kontrak sosial dah dipersetujui? Perjanjian Pangkor pun dipersetujui, tak bermakna kandungan perjanjian tersebut adil.

Gimik hendakkan perpaduan tanpa mengambil langkah konkrit ke arah pembinaan identiti dan bangsa Malaysia telah lama dimainkan. Contoh, kempen 1Malaysia, kempen yang cukup mengelirukan. Salah satu tunjang asasinya ialah meritokrasi, tetapi segala kuota masih ada.

Bagaimana? Ahli politik perlu mempunyai iltizam politik untuk membumikan idea bangsa Malaysia, dan rakyat Malaysia harus bersedia menerima perubahan ini. Bagaimana? Dalam situasi semasa, impian pembentukan bangsa Malaysia kelihatan masih jauh. Parti-parti politik yang ada mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu untuk dilindungi. UMNO, PPBM, dan mutakhir ini PAS kelihatan tegas enggan berganjak daripada hak keistimewaan Melayu. MCA dan DAP juga condong ke arah mempertahankan sekolah vernakular.

Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan tanah air, kita seharusnya memulakan hasrat perpaduan itu dalam diri dan masyarakat sekeliling kita. Jangan mudah terpengaruh dengan dakyah yang cuba melaga-lagakan kita. Kitakan anak Malaysia?

Maka, kembali kepada soalan yang pertama saya ajukan. Berapa lama untuk seseorang itu dikira sebagai penduduk asal sesebuah negara? Pada saya, tak perlu pun bincang tentang penduduk asal. Asalkan warganegara dan mengamalkan identiti bangsa Malaysia, cukuplah menjadi sebahagian daripada bangsa Malaysia.