Sunday, December 12, 2021

Langkawi Swimming Festival 2021


Alhamdulillah, buat julung kalinya aku sertai dan berjaya tamatkan renang "open water" di Tanjung Rhu, Langkawi.

Ketika aku diajak untuk sertai Langkawi Swimming Festival oleh kenalan aku, Abang Rizal daripada Kompleks Sukan Seri Siantan, aku teragak-agak. Bersungguh dia ajak dan galakkan. Nampak sahabat macam Salahuddin penuh yakin rasa boleh buat 4km, saya pun bersetuju untuk masuk. Tapi akhirnya dia tak ada rezeki untuk masuk. Demi kesihatan, aku teruskan juga.

Alhamdulillah Allah kurniakan sahabat macam Azhad. Aku tanya dia, nak masuk 2km ke 4km eh? Mula rasa diri hebat, nak masuk 4km. Yakin mampu. Dia kata, biasa orang masuk "event" kurang daripada jarak latihan. Ketika itu aku mampu berenang 2km. Jadi aku daftar 2km sahaja lah.

Maka aku berlatihlah. Hampir setiap hari 2km. Dapat sahabat-sahabat yang amat memahami dan menyokong. Kalau Salahuddin ada, dia akan teman buat 2km. Kalau Azhad, Afeeq, Danial, Amiruddin, dan lain-lain, mereka sanggup tunggu aku habiskan 2km. Juga abang Rizal, dan komuniti Kompleks Renang Seri Siantan yang selalu betulkan teknik renang dan cadangkan teknik latihan. Juga abah Azizi, mak, Junaidah, dan kak Nurazlina yang kadang-kadang terpaksa tunggu lewat.

Alhamdulillah aku dikurniakan dengan suasana yang amat menyokong, dan terima kasih tak terhingga atas sokongan anda semua.

Dengan penuh keyakinan aku berlatih. Sampai satu hari aku pergi Port Dickson dengan kawan-kawan. Nak cuba berenang di laut. Tak pernah. Bila cuba, ya Allah! Susahnya! Air masin menusuk lidah, ombak daripada Jet Ski dan Banana Boat, tak nampak dasar, tak nampak depan,...susah sangat. Sejak itu, mula takut, gerun.

Tanya Abang Rizal apa boleh buat dengan air masin masuk mulut? "Tahan jela," jawab dia. Hahahaha... Dunia ini bukan untuk orang-orang yang lembik. Nak takluk lautan? Anda perlu jiwa seteguh karang.

Semalam, ada masa untuk cuba air Tanjung Rhu. Saki baki kegerunan pengalaman buruk di Port Dickson kembali menjengah. Tahan jela masin tu. Tapi masalah lain pula. Ombak, arus, ganas. Menampar muka, menghumban kepala. 300m sahaja pun sudah amat memenatkan. Gerun.

Terus minta kenalan-kenalan mendoakan. Sahabat-sahabat yang turut ke Langkawi teman pastikan aku tidur awal.

Pada hari kejadian, sesampai aku di tempat letak kereta, aku lihat ke arah laut. Aku diberitahu peserta 2km perlu pusing di pelampung merah, peserta 4km dan 8km perlu pusing di pelampung ungu. Jauh di ufuk, nampak pelampung merah. Takkan lah situ? Jauhnya? Mustahillah. Tak mungkin. Tapi tak nampak pelampung merah lain. Telan air liur. Betul lah kot. sejauh itu 2km.

Dengar pengumuman, ketika peserta 8km hendak mula, ada yang tanya mana pelampung ungu nya? Jawab penganjur, ada, walaupun tak nampak. Maknanya ungu lagi jauh sampai tak nampak. Alhamdulillah aku masuk 2km sahaja.

Apabila peserta 2km dipanggil, aku pergi ke pentas permulaan. Tak percaya aku di situ. Betul ke aku ni? Teragak-agak. Tapi dah tak ada pilihan. Jalan terus!

Masuk sahaja ke laut, rasa serba tak kena. Nafas tak kena. Tertelan air laut. Pergerakan tangan tak kemas. Entah kenapa, tak dapat rentak. Sampai semput. Mengah. Panik. Paut sebentar di pelampung peribadi. Susun nafas. Mula balik. Masih tak dapat rentak. Berhenti. Susun nafas. Mula balik.

Dalam kepala, "sumpah tak nak dah masuk benda macam ni." Cuma yang memotivasikan, aku tak nak gagal. AKU TAK NAK GAGAL!

Lebih kurang 700m baru dapat rentak untuk berenang seperti biasa. Alhamdulillah. Sebaik sahaja dapat rentak, terus rasa ombak lebih kuat daripada biasa. Hadap saja lah. Aku nak habis.

Sejak sekolah lagi, aku selalu jadi yang terakhir ketika merentas desa. Sering aku lambat sehingga dijemput naik kereta. Kali ini aku nak habiskan dalam masanya. Tak nak naik kayak.

Banyak kali berenang arah silap. Tersasar jauh. Sehingga abang kayak panggil kata "ke tepi dik!" Rasa badan gatal-gatal. Kaki tersepak orang. Orang terpegang badan aku. Menarik lah. Apabila hampir ke hujung, aku rasa seronok. Bila ya ada acara renang "open water" lagi? Nak masuk, dan nak belajar lagi!

Sampai sahaja di pantai, aku perlu naik ke gerbang penamat. "Lari dik, takpe ramai lagi kat belakang!" jerit seorang akak. Sengih je aku. Lutut aku pun ketar-ketar, nak lari? Hahahaha

Apapun Alhamdulillah, sampai! Tamat!

Alhamdulillah ala kulli hal wa nikmah!

Aku memang sasarkan untuk tamat dalam masanya dengan selamat.

1 jam 17 minit 57 saat

2km (Jumlah 2.27km, campur hanyut)

162bpm purata nadi per minit

Terima kasih kepada semua yang menyokong dan mendoakan. Moga Allah balas jasa anda semua.

Doakan saya istiqamah. Doakan saya sihat.

#LangkawiSwimmingFestival2021

#LangkawiSwimmingFestival

Wednesday, May 12, 2021

Al-Aqsa Memanggil Anda!



Apabila berlaku serangan terhadap mereka yang sedang solat di Masjid Al-Aqsa, ramai di media sosial yang mengecam perbuatan Amerika Syarikat yang masih berdiri teguh di belakang Israel. Ramai pula yang seolah-olah mengharapkan sesuatu daripada presiden baharu Amerika Syarikat, Joe Biden.


Sudah beberapa kali Amerika Syarikat menukar presiden, tak pernah ada presiden yang tidak menyebelahi Israel. Kita juga melihat calon-calon presiden AS dalam kalangan parti demokrat seperti Andrew Yang pun menyebelahi Israel walaupun Israel secara jelas melanggar nilai-nilai liberal yang dipegang oleh mereka.


Tidak boleh tidak, solusi untuk mempertahankan dan memerdekakan Al-Aqsa tentunya perlu datang daripada kita. Kita sebagai manusia. Kita sebagai umat Islam. Kita sebagai warga yang teguh mempertahankan keadilan dan menentang kezaliman.


Apa yang kita boleh buat untuk memerdekakan Al-Aqsa daripada penjajah-penjajah Yahudi Zionis selama-lamanya?



1. Doakan Palestin.


Ini yang paling mudah untuk kita lakukan. Jangan pernah meragui kuasa doa.


Suatu ketika dahulu pada tahun 1071, seorang raja Turki Seljuk bernama Alp Arslan apabila menghadapi musuh yang kuat di peperangan Manzikert, baginda menyusun agar peperangan itu berlaku pada hari Jumaat, kerana ketika itu umat Islam di serata dunia sedang mendoakan kejayaan mereka. Hasilnya, mereka telah memenangi peperangan tersebut dengan sangat gilang gemilang.


Namun, doa tanpa usaha tidak akan menyebabkan kemenangan. Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum yang tidak mengubah nasib diri mereka sendiri. Itu janji Tuhan. Begitu juga sunnah Nabi SAW. Baginda tidak berteleku di hadapan Kaabah dan hanya berdoa. Baginda berjuang dan berkorban menyampaikan dakwah.



2. Dermakan harta.


Bagi mereka yang berkemampuan, mereka boleh menderma ke tabung-tabung Palestin termasuklah daripada NGO seperti Aqsa Syarif dan lain-lain. Kewajipan berjihad dengan harta sering disebut bersama berjihad dengan jiwa.


3. Tingkatkan kesedaran masyarakat.


Kita boleh bercerita kepada kawan-kawan, ibu bapa, adik beradik, dan semua kenalan kita tentang Palestin. 


Bangkitkan minat mereka. Ceritakan kepada mereka kenapa pentingnya Al-Aqsa. Ceritakan kepada mereka kekejaman Israel. Ceritakan kepada mereka, agar mereka pun menjadi aktivis yang menyampaikan kepada masyarakat mengenai kezaliman Israel.


Lebih ramai umat Islam tahu tentang isu ini, lebih ramai akan mendoakan Palestin dan berusaha untuk membebaskan Al-Aqsa. Lebih ramai masyarakat dunia yang tahu tentang isu ini, lebih ramai yang simpati dengan Palestin, maka lebih kuat tekanan yang boleh diberikan oleh dunia terhadap Israel.


4. Membaca sebanyak mungkin tentang sejarah konflik Israel-Palestin.


Era ini era informasi. Israel akan menggunakan segala cara untuk menyebarkan propaganda mereka. Mereka akan menerobos media sosial dan cuba mengubah persepsi masyarakat.


Maka kita harus persiapkan diri kita dengan pengetahuan tentang isu Palestin. Kita mesti tahu bagaimana Israel menyebabkan perjanjian damai untuk mewujudkan solusi dua negara antara Palestin dan Israel menjadi mustahil melalui pendudukan haram Israel di Tebing Barat. Kita mesti tahu PBB sudahpun mengisytihar bahawa penempatan Israel di Tebing Barat itu dikira penempatan haram melalui Resolusi 2334. Kita mesti tahu bagaimana Israel diberikan kepada Yahudi oleh penjajah British yang menjajah tanah Palestin walaupun penduduk asalnya ialah penduduk Arab yang telah tinggal di sana zaman berzaman lalu disesarkan dan dihalau pada tahun 1948.


Yang paling penting, kita kena tahu Al-Aqsa sudahpun dibakar berkali-kali sebelum ini oleh penceroboh-penceroboh ini.


Dalam isu kali ini pun, Israel cuba mengatakan bahawa HAMAS yang memulakan serangan, sedangkan sudah jelas memang Israel yang menyerang Al-Aqsa terlebih dahulu dan HAMAS cuma menyerang balas. Bahkan, HAMAS hanya berjuang untuk tanah air mereka yang dijajah. Penjajah tidak perlu berlakon menjadi mangsa.


Mempersiapkan diri dengan pengetahuan akan mempertahankan diri daripada termakan propaganda Israel, dan membolehkan anda menjadi pahlawan papan kekunci yang lebih efektif untuk melawan propaganda Israel.


5. Boikot syarikat yang menyokong Israel.


Di Malaysia, kita tidak mempunyai hubungan ekonomi secara rasmi dengan Israel, maka produk-produk buatan Israel tidak terdapat di Malaysia. Pun begitu, beberapa produk yang menyokong kerajaan haram Israel patut diboikot oleh simpatisan Palestin dan Al-Aqsa.


Pertamanya ialah produk elektronik HP atau Hewlett-Packard. Syarikat ini membekalkan teknologi yang membolehkan Israel mengawal penduduk Palestin, termasuklah penggunaan oleh tentera Israel untuk menyekat keluar masuk penduduk Gaza.


Kedua ialah G4S, sebuah syarikat yang menawarkan khidmat sekuriti yang beroperasi di serata dunia. Di Israel, mereka memberikan latihan kepada polis Israel yang cukup terkenal dengan kekejaman dan penderaan terhadap warga Palestin.


Ketiga ialah syarikat Caterpillar, pembekal jentolak yang sering digunakan untuk merobohkan rumah-rumah orang Palestin.


Keempat ialah PUMA, penaja utama Persatuan Bola Sepak Israel (IFA). Mereka sering menaja pasukan-pasukan bola sepak Israel, kelab-kelab bola yang ditubuhkan di tanah-tanah yang dirampas secara haram oleh Israel.


Gerakan boikot ini amatlah berkesan, sehinggakan berkali-kali Israel meminta dunia untuk berhenti memboikot dan mengatakan bahawa ia adalah gerakan anti-Yahudi. Tidak, gerakan boikot bukan anti-Yahudi. Bahkan, ada banyak sahaja Yahudi yang menyokong Palestin. Gerakan boikot bersifat anti-kezaliman yang dilakukan oleh Yahudi Zionis terhadap Palestin.


6. Belajar bersungguh-sungguh.


Keunggulan tamadun Barat sekarang ialah kerana mereka mengepalai bidang-bidang ilmu. Melalui penguasaan ilmu, mereka menguasai teknologi seterusnya menguasai ekonomi. Apabila China berkembang menjadi kuasa besar pun, China mengembangkan penguasaan ilmu dan menguasai bidang teknologi seterusnya meningkatkan ekonomi mereka.


Atas sebab itu, kita seharusnya belajar bersungguh-sungguh dan berazam untuk merampas tampuk penguasaan ilmu daripada mereka. Tanpa ilmu, kita takkan boleh bersaing dengan AS yang menjadi sekutu kuat Israel. Akhirnya, kita akan dibuli dan terus dibuli sampai bila-bila.


Rasulullah SAW ketika berdepan dengan tentera yang ramai memanfaatkan strategi daripada Salman Al-Farisi untuk membina parit untuk mempertahankan diri. Ketika berdepan dengan kubu-kubu, baginda menghantar pula orang untuk belajar teknologi manjanik iaitu pelontar batu untuk menghancurkan kubu. Ketika awal Khilafah Bani Umayyah, mereka juga menggiatkan pengalihan bahasa ilmu-ilmu daripada Rom dan Yunani untuk dimanfaatkan dan dikembangkan oleh umat Islam.


Ya. Ilmu kunci kegemilangan.


7. Kukuhkan kuasa ekonomi.


Israel kelihatan begitu kuat kerana terdapatnya Amerika Syarikat yang memberi wang yang sangat banyak kepada mereka. Teknologi dan senjata memerlukan wang. Pengaruh memerlukan wang. Makan minum pun memerlukan wang. Segalanya lebih mudah dengan kuasa ekonomi. Atas sebab itu, kita harus membina kekuatan ekonomi kita agar kita dapat menyaingi AS, Israel, dan sekutu-sekutunya.


Nampak mustahil?


Suraqah bin Malik RA ketika sedang mengejar Nabi SAW dan Abu Bakar RA yang berhijrah, berasa pelik apabila Nabi SAW menjanjikan beliau gelang Maharaja Parsi, sebuah empayar gergasi ketika itu. Ketika itu, Nabi SAW tidak pun mempunyai seribu pengikut, dan belum pun mempunyai negara. Tetapi pada zaman Khalifah Umar, Umar RA memakaikan gelang Maharaja Parsi di tangan Suraqah sebagai bukti kebenaran Nabi.


Ketika umat Islam di Madinah diancam untuk dikepung oleh 10,000 tentera, dan dirasakan seluruh Arab datang menyerang Madinah. Dalam keadaan umat tengah dikepung dan diserang, Nabi SAW menjanjikan istana-istana Rom dan Parsi kepada umat Islam. Tak sampai 100 tahun selepas kewafatan baginda, umat Islam telahpun menawan Rom dan Parsi.


Kita boleh.


8. Membina masyarakat.


Untuk membina tamadun yang kuat dan tidak dibuli oleh orang lain, kita harus membina masyarakat yang baik. Kita takkan boleh bina tamadun seorang diri. Oleh itu, kita perlu bina masyarakat yang berdaya saing, berintegriti, dan bersemangat juang.


Atas sebab itu, kita perlu turun ke akar umbi masyarakat, mendidik mereka, menjaga kebajikan mereka, dan memberi mereka kehidupan yang lebih baik. Agar mereka boleh menjadi aktivis yang menjadikan dunia ini lebih baik. Agar anak-anak mereka dapat belajar bersungguh-sungguh menjadi orang yang menguasai ilmu dan teknologi. Agar orang yang mereka undi ialah orang yang mampu membawa negara ini menjadi negara yang disegani di peringkat dunia.



Palestin akan menang. Al-Aqsa akan dibebaskan. Itu janji Tuhan. Adakah kita akan menjadi orang yang duduk diam menunggu takdir, ataukah kita yang berjuang membuktikan takdir Allah itu benar? Kita berbangga dengan briged Al-Qassam. Tetapi, sorak sorai kita takkan menyebabkan mereka mampu membebaskan Al-Aqsa. Mereka menunggu kita untuk membebaskan Al-Aqsa. Sementara kita bangkit, mereka mempertahankan maruah Al-Aqsa semampu mereka.


Ayuh sahabat, kita dah lambat!


AZHARI AZIZI

Aktivis IKRAM Muda Pahang