Thursday, March 5, 2015

Al-Amin

2NT

Kalau orang tanya apa yang aku dapat daripada Al-Amin, aku takkan kata bahawa aku dapat akedemik. Perkara pertama yang aku kata aku dapat ialah tarbiyyah.

Tarbiyyah itu luas. Bagaimana berinteraksi dengan guru itu juga tarbiyyah. Bagaimana berinteraksi dengan masyarakat juga tarbiyyah. Bagaimana mengendalikan dan menyusun program juga tarbiyyah. Bagaimana bergerak dalam organisasi sebagai penggerak mahupun mengikut juga tarbiyyah.



Usrah Black Army bersama Ust Taufik dan YDP IKRAM Pahang semasa jaulah ke Kuantan 2013 (3 Jun 2013)
Antara figura yang sangat aku hormati ialah Ust Taufik. Beliau amat mementingkan pembinaan diri kami. Pernah sekali sebelum Wafdul Amin, ketika itu perjumpaan dengan penduduk kampung. Aku sebagai AJK Aktiviti dikerah untuk membuat aturcara program di dalam kereta semasa hendak bertolak. Kemudian ust semak, dan beri semula kepada aku untuk dibentangkan kepada penduduk kampung. Apabila sesi soal jawab, apabila kelihatan kami tidak dapat menjawab soalan tersebut barulah Ust membantu.

Perkara seperti inilah yang mematangkan. Yang mengajarku erti kehidupan. (Wafdul Amin rujuk http://kacamatahamba.blogspot.com/2014/06/wafdul-amin-kerna-contract-kita.html)

Di sekolah luar, ada guru-guru yang membantu pelajar dalam membuat kerja kursus mereka. Namun di Al-Amin, sekolah melepaskan kami untuk berdikari.



Ziarah ke HRA. (25 Mac 2012) 
Kami datang ke HRA Enterprise untuk mengkaji syarikat tersebut. Kami jumpa dengan pengurusnya lalu menanyakan namanya. Dengan bersahaja dan begitu berlembut, pengurus tersebut berkata, seeloknya kami memperkenalkan diri kami dahulu.

Maka sehingga sekarang aku ingat perkara ini.



TESPER 2014. Di mana pakaian yang aku pakai itu dijahit sendiri oleh banat Al-Amin (21 Mac 2014)
Pernah Ust Shahrul Nizam tegur, selepas aku beri tazkirah, bahawa aku terlalu banyak menggunakan "antum". Seolah-olah aku ini ma'sum dan tidak perlukan tazkirah. Ketika itu aku belajar untuk lebih banyak menggunakan "kita" dalam memberi tazkirah.

Ketika dalam orgranisasi, kami dikerah memikir bagaimana menyelesaikan masalah. Contohnya pada tahun 2013 Badan Pengawas hendak menyelesaikan masalah kopiah. Kami disuruh memikir bagaimana hendak selesaikan.

Kami lakukan try an error, syura dan syura lagi, untuk menyelesaikan masalah ini. Guru-guru memberikan cetusan idea, dan kami mengembangkan idea dan melaksanakan. Bukanlah guru memikirkan segala perancangan dan pelajar melaksanakan, tetapi kami juga terlibat dengan perancangan tersebut.



Kem Smart Study 2012 (5 Mei 2012) 

Aku juga belajar bagaimana hendak menguruskan program, bagaimana membuat aktiviti, bagaimana menjemput penceramah dan pelbagai lagi.

Aku juga belajar bagaimana berusrah. Bagaimana mengendalikan usrah, bagaimana membawa hati-hati mad'u. Bagaimana melayan orang lain dan sebagainya.

Belum cerita bagaimana menghidupkan api, membuat ikatan, jahitan, memasak dan lain-lain.

Debat MUSLEH 2014 

Belum cerita debat (rujuk http://kacamatahamba.blogspot.com/2014/08/debat-dalam-lembaran-hidupku.html)

Belum cerita Tahfiz (nantikan post tentang tahfiz InsyaAllah)
Kalau nak cerita satu-satu apa yang aku belajar daripada Al-Amin, takkan habis satu bulan aku tulis.


****
Sekarang sudah tamat.

Alhamdulillah alhamdulillah alhamdulillah.

Segala puji bagi Tuhan atas segala nikmat dan rahmat. Maha Suci Allah daripada sebarang kecacatan. Dialah yang mengetahui segala isi hati manusia.


1. Pertama dan terutama terima kasih kepada semua guru-guru yang pernah mengajar ana dan juga yang tak pernah ajar ana secara formal, terima kasih kerana berada sebahagian daripada sistem pendidikan Al-Amin.


Walaupun tanpa "overtime", mereka sanggup meluangkan masa pada waktu petang semata-mata kerana hendak memastikan kami mampu menguasai subjek mereka.

Bukan sahaja mendidik mengenai pelajaran, mereka juga mendidik akhlak, iman, Islam dan lain-lain. Benar-benar agar kami menjadi pelajar soleh wa musleh, bukan sekadar pelajar 11A SPM.

Tiada kata mampu membalas jasa. Allah lah sebaik-baik pembalas amal. Moga Allah kurniakan semua guru ana daripada tadika, sekolah rendah sehingga ke ke sekolah menengah, rahmat, nikmat, berkat, dan kejayaan di dunia dan di akhirat.

Aku bersaksi bahawa mereka telah banyak memberikanku ilmu ya Tuhan! Tanpa mereka tiadalah daku sampai ke tahap ini...


2. Terima kasih juga buat mak abah, kerana telah mendidik dengan didikan kelas tertinggi. Maafkan Azhari yang banyak buat salah. Moga Allah berikan mak abah firdaus Al-A'la minal jannah.

Jangan kecewa...


3. Terima kasih juga buat Kelab Kelas Tingkatan 5. Juga buat ibu bapa yang sudi menjadikan rumah (atau tadika) mereka tempat belajar berkumpulan, makcik Suriatie, makcik Saripah, makcik Lihanna, makcik Tihanni, makcik Nushan dan lain-lain.



Belajar berkumpulan di rumah Makcik Lihanna (9 Ogos 2014) 

4. Terima kasih buat KakLina yang sentiasa memegang Azhari dalam setiap tapak dalam hidup Azhari. Allahlah tempat membalas jasa.

Boleh belanja Azhari ah selepas ini. Hahahaha...

5. Terima kasih buat semua 2NT terutamanya warga Black Army.



Warga 2NT semasa Hari Guru 2014 (24 May 2014)

Dalam banyak-banyak perkara di Al-Amin, 2NTlah yang paling memberi makna. Jika diberikan ana masuk ke alam persekolahan semula, ana tidak rela kerana tiada 2NT di sisi. Biar segala kenangan terpahat di dada selama-lamanya.

Sungguh ana tak sangka suasana hari itu. Berbeza sungguh dengan keadaan ketika mengambil keputusan PMR dulu. Mungkin ketika kita PMR, masa depan kita pasti. Namun ketika SPM, masing-masing merisaukan masa depan masing-masing.

Jangan lupa, pesan Cg Arash, kita bertanding dengan diri kita sendiri. Maknanya kita berusaha untuk jadi lebih baik daripada diri kita yang lepas.

Jadi, jangan banding dengan orang lain. Bandinglah dengan diri sendiri. Kerana akhirnya kejayaan itu abstrak. Tidak ada sesiapa menentukan sama ada kita berjaya atau tidak. Definisi berjaya itu hanya kita yang tahu.

Jangan pula kita tersalahkan Allah kerana tidak menerima doa kita. Sesungguhnya doa jika Allah tidak menerimanya di dunia, Allah menerimanya di akhirat. Jika kita tahu apa itu penerimaan doa ketika di akhirat, maka kita akan berharap semua doa kita tidak diterima di dunia.

Teruskan berusaha. Hidup belum tamat.



Merenung masa depan. Moga ianya cerah sentiasa.(Lawatan Biologi 2013 - 8 November 2013) 

Ana minta maaf sangat-sangat. Impian kita untuk kejayaan bersama kelihatan seperti belum tercapai. Melihatkan kepada raut wajah masing-masing tadi...

Ana sayang antum semua kerana Allah. Jagalah hati, jaga akhlak, jagalah Allah, semoga Allah jaga kita semua.


6. Buat junior-junior, belajarlah. Ketahuilah bahawasanya SPM itu susah (Eceh...).



Belajar berkumpulan (10 September 2014) 

Sentiasa tolong kawan. Walaupun kalau kita tak perlukan pembelajaran dalam kumpulan (study group), buatlah pembelajaran dalam kumpulan untuk membantu orang lain. Dalam dunia ini bukan ada kita seorang sahaja. Kalau kita ikhlas InsyaAllah Allah akan balas.

Jaga hubungan dengan Allah. Kalau kita jaga hubungan dengan Allah, InsyaAllah Allah akan mudahkan urusan kita.


Jangan jadikan belajar sebagai alasan untuk tidak menjalankan kerja dakwah. Tidak percayakah kamu akan janji Allah bahawa jika kita membantu Agama Allah Allah akan membantu kita?



Bersama mutarabbi membuat projek usrah (28 Ogos 2014) 

Termasuk dalam kerja dakwah ialah menjadi murabbi, pengawas, kerja-kerja ANDALUS, Syabab dan sebagainya. Jangan sesekali letak jawatan sebab nak belajar. Kita tak tahu di mana terletaknya keberkatan masa itu.


Rehlah di Taman Tasik Metropolitan. SPM itu SPM. Tanggungjawab itu tanggungjawab! (5 November 2014) 

Jaga hubungan dengan guru-guru. Tahulah anda? Ana tak pernah tuisyen kecuali sekejap sahaja masa sekolah rendah subjek Bahasa Arab. Subhanallah. Berkat guru-guru inilah yang akhirnya menyampaikan ana ke tahap ini. Ana takkan letakkan kredit kejayaan ana kepada sesiapapun selain kepada guru-guru Al-Amin.

Kalau minta rahsia kejayaan, ana tak rasa ada apa-apa untuk ana beritahu selain daripada beberapa perkara.



Belajar berkumpulan, namun solat tetap solat - di rumah makcik Suriatie (24 September 2015)

a. Hormat guru. Jangan mengumpat dan sebagainya.

b. Tolong Agama Allah. Ana rasa tak ada faktor lain yang lebih besar keberkatan masa ana selain daripada ini.

c. Tolong kawan melalui belajar berkumpulan. Ada berkatnya tolong kawan InsyaAllah. Kalau ikhlas.

d. Jagalah Allah. Sesibuk manapun anda, janganlah tinggalkan Al-Quran, solat dan lain-lain.

Kalau ditanya bagaimana ana membahagi masa, ia adalah satu soalan yang lebih susah daripada SPM.

Pada ana, semua akhirnya akan kembali kepada keberkatan masa.

Jika anda benar-benar sibuk, perlu bergiat dalam Dakwah dan Tarbiyyah, pelajaran, debat, tahfiz, dan sebagainya, masih adakah masa untuk anda bermain?

Jika anda mempunyai masa untuk bermain, CoC mahupun Assassin's Creed dan sebagainya, dengar lagu layan movie, maknanya anda belum benar-benar sibuk.

Maknanya jangan salahkan DnT, debat, tahfiz semua lah jika pelajaran anda kurang elok.

Dan kita perlu percaya. Kalau kita laburkan masa kita kepada Allah, Allah akan ganti.



"Siapakah orangnya yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipat-gandakan balasannya? Dan (selain itu) ia akan beroleh pahala yang besar!" [al-Hadid 11]

Percayakah anda?

Allah akan ganti. Itu janji Allah. Mungkin dalam bentuk kita belajar sikit sudah faham. Atau kita dengar guru mengajar sudah faham dan ingat. Mungkin juga bantuan itu datang ketika peperiksaan. Bagaimanapun kita perlu percayalah.
Tak bermakna anda tidak perlu belajar langsung ya. Kerana melanggar sunnatullah kalau anda berjaya tanpa belajar langsung. Seimbangkanlah masa anda. Buang semua lagha daripada 24 jam anda. InsyaAllah isu tak cukup masa itu tiada.