Tuesday, July 23, 2019

Resensi Buku Animal Farm : Muhasabah Buat Para Revolusioner


Buku Animal Farm karya George Orwell

"All animals are equals, but some animals are more equal than others."

#HarmoniMembaca

Aku mula berminat dengan buku Animal Farm karya George Orwell ini apabila novel ini disebut oleh Dr Maszlee pada tahun 2017, apabila beliau mengkritik ahli politik saling gelar-menggelar sesama sendiri dengan nama binatang.

Buku ini amat pendek dan sangat mudah difahami. Aku baca lebih kurang 3 jam sahaja sudah habis.

Ketika aku membaca buku ini, ia adalah semasa awal kerajaan Pakatan Harapan memerintah. Ketika itu, jiwaku masih membuak-buak dengan harapan dan keghairahan untuk Malaysia Baharu yang lebih baik.

Akan tetapi, buku ini mengubah persepsi aku terhadap keadaan selepas 9 Mei itu. Aku tidak lagi terlalu ghairah, tetapi aku lebih berhati-hati dan mula mempersoal, sejauh mana harapan rakyat Malaysia itu kekal dibawa oleh kerajaan Pakatan Harapan.

(Spoiler alert)

Buku ini memberi gambaran tentang keadaan sebuah revolusi yang dilakukan oleh warga Animal Farm perlahan-lahan dikhianati oleh babi-babi tanpa dirasai oleh haiwan-haiwan lain.

Haiwan-haiwan di Animal Farm mengharapkan kehidupan yang lebih baik, bebas daripada penghambaan oleh golongan manusia yang menguasai hidup mereka. Akhirnya, sebuah revolusi dibuat untuk menghalau manusia daripada ladang tersebut. Setelah manusia dihalau keluar, golongan babi diberi kepercayaan untuk memerintah kerana mereka ialah pencetus revolusi tersebut.

Asalnya, golongan babi itu mengangkat semangat dan harapan revolusi tersebut. Namun, lama kelamaan, satu per satu tunjang revolusi itu dikhianati oleh babi-babi yang memerintah. Namun, oleh kerana propaganda yang sangat hebat, dan pendidikan haiwan-haiwan lain yang rendah, pengkhianatan ini tidak dirasai oleh haiwan-haiwan lain. Ada sahaja haiwan lain yang berpendidikan dan sedar akan keadaan semasa, namun tidak menggunakan pendidikan mereka untuk menyedarkan masyarakat lain.

Akhirnya, babi-babi itu menjadi tuan yang baharu, sama seperti manusia, kepada haiwan-haiwan dalam Animal Farm.

Selepas membaca buku ini, aku terus teringat kepada revolusi 9 Mei 2018, PRU-14 di Malaysia. Benar, kebanyakan tunjang dan paksi revolusi ini amat baik untuk disokong. Menentang kleptokrasi, meningkatkan akauntabiliti, memberikan hak kebebasan bersuara, dan mengurangkan beban kos sara hidup.

Namun, sebagai rakyat, kita berperanan untuk melakukan semak dan imbang ke atas setiap perilaku kerajaan. Atas pada kita untuk pastikan tunjang-tunjang dan paksi-paksi revolusi 9 Mei itu terpelihara. Kita seharusnya memastikan diri dan masyarakat sekeliling mendapat pendidikan sewajarnya supaya kita tidak mudah ditipu oleh propaganda pemerintah.

Juga sebagai mahasiswa, kita tidak seharusnya menjadi golongan berpendidikan tetapi pendidikan kita tidak membantu memperbaiki keadaan masyarakat. Jika kita membatu, masyarakat akan musnah dan kita akan musnah bersamanya.