Wednesday, May 28, 2014

Guru yang terikat tangannya



Sayang. Apabila guru menggunakan kekerasan untuk mendidik pelajar, pelajar melaporkan kepada ibu bapa.

Sayang. Apabila ibu bapa mendengar cerita yang ditambah perisa oleh anak-anak, ibu bapa menelefon sekolah serta mengugut guru dan mengancam saman tanpa mengambil kira salah anaknya.

Sayang. Selepas dilaporkan dan disaman, anak itu tiada siapa lagi mahu rotan bahkan layan. Jika didenda dia akan laporkan bukan? Lantak dia lah dia nak jadi apa!

Wahai pelajar, ketahuilah guru merotan mencubit itu kerana mendidik kita. Agar kita tidak berterusan meludah merata-rata, mengejek dan mengata sampai ke tua. Atas dasar sayang dan tidak mahu kita mengulanginyalah guru memukul kita. Selagi pukul itu bersebab, buat diam sahaja. Insaflah akan dosa. Berazam tidak mengulanginya.

Wahai ibu bapa, jangan terima bulat-bulat kata-kata anak anda. Boleh jadi mereka menipu anda. Jangan terlupa guru memukul mesti ada sebab. Jika anak anda kata tiada sebab, tanya dulu guru tersebut. Jangan marah tak tentu hala. Jika ada sebab, anda harus berterima kasih kerana ada juga orang yang sayang anak anda dan membantu anda mendidik anak anda agar menjadi soleh dan musleh, aset anda semasa di akhirat kelak.

Wahai guru, bersabarlah anda. Moga Allah rahmati anda di mana jua anda berada membina anak-anak manusia.

Wahai, mengapalah mengikat tangan guru dalam mendidik anak bangsa? Bukankan terdapat konsep "carrot and stick" dalam psychology? Bukankah terdapat konsep "targhib dan tarhib" dalam Islam?

Wahai, nabi kita hanya berlembut dengan kanak-kanak. Yang sudah berumur 7 tahun nabi menyuruh untuk rotan jika enggan solat. Umur sekolah menengah bukan lagi umur bermanja mengada. Umur sudah remaja dewasa. Jika perangai tidak diubah ketika ini, akan berlarutan sehingga ke tua. Nabi pernah memukul sahabat yang tidak lurus barisannya semasa Badar bukan?

Saya seorang yang masih sekolah menengah namun saya rimas dengan perkembangan ibu bapa menyaman sana sini. Agak-agak bila guru itu memang gila pukul anak sampai separuh nyawa barulah kalau nak kecoh satu dunia. Ini guru cubit sikit telefon sekolah marah-marah.

Hasil mak saya kejar dengan rotan keliling rumah akhirnya saya boleh mengaji. Hasil guru sekolah rendah merotan saya solat dengan baik. Ingat lagi seorang guru, "Cubit cubit sayaaang!" sambil mencubit dan pulas perut semasa darjah 1. Hasil berdiri atas kerusi, ust pukul semasa sekolah menengah mengajar saya untuk beradab dengan guru.

Dan kalau saya laporkan kepada ibu bapa saya yang saya kena rotan, siaplah saya kena rotan buat kali kedua.

Nah! Tengok "Anakku Sazali" P. Ramlee. Bagaimana kasih sahaja tidak cukup untuk mendidik.

Bukan nak kata satu-satunya cara mendidik adalah menggunakan kekerasan. Tapi salah satu cara mendidik ialah menggunakan kekerasan. Sebahagian murid jika tidak dirotan tak jalan. Sebahagian cukup dengan kasih sayang dan kaunseling.

Tuesday, May 27, 2014

Tiada solat tanpa toma'ninah



Pernah suatu ketika Nabi SAW meminta seorang sahabat solat semula. Selepas beberapa kali beliau solat, Nabi masih meminta beliau solat semula kerana "Sesungguhnya engkau belum solat." Sehingga sahabat tersebut tanya kepada Rasulullah, mengapa dikatakan dia belum solat?

"Tiada solat kecuali dengan toma'ninah."

****
Toma'ninah. Iaitu ketenangan. Selalu orang kita mentafsirkan toma'ninah sebagai berhenti sekejap sebelum rukun seterusnya.

Tetapi apa yang pasti, toma'nimah adalah tenang. Tiada solat tanpa ketenangan. Jika kita ruku' dan sujud sejam pun tak dikira jika tidak mempunyai ketenangan.

Kita? Agaknya jika nabi berkata kepada kita, "Sesungguhnya engkau belum solat," mau kita mengamuk kata "Dah solat dah tadi!" Namun inilah generasi sahabat yang unggul. Mereka taat dan akur.

Kita? Jika Nabi muncul di masjid-masjid kita, terutamanya di surau tempat kerja, tentu ramai yang Nabi paksa solat semula. Kerana hati kita tidak tenang. Kerana hati kita banyak dosa. Kerana kita terbelenggu dek fatamorgana nikmat dunia.

Kita? Ramai yang solat tergesa-gesa. Kalau nak pergi dating bukan main lama pun takpa. Kalau jumpa Pencipta secepat mungkin nak ditamatkannya. Padahal dosa banyak macam buih di lautan lagaknya.

Patutlah solat yang sepatutnya mencegah perbuatan keji dan mungkar tidak memberi kesan terhadap kita. Kerana jasad solat tetapi ruh ntah ke mana. Ruku' dan sujud kadangkala bolrh termengah terlalu segera. Mata dan hati memelilau ke alam fana.

Argh! Diterimakah solat kita? Ayuh perbaiki solat kita!

Monday, May 26, 2014

Dustakah kita?



"Siapa Tuhan kau?"
"Mana Kiblat kau?"
"Siapa Nabi kau?"
"Siapa Saudara kau?"
"Apakah Agama kau?"

Kita mampu bermaharaja lela menjawab soalan-soalan di dunia. Malah sebahagian kita telah menghafalnya. Bait-bait talqin sentiasa dialunkan ketika majlis pengkebumian saudara kita.

Namun adakah kita berdusta dalam mengucapkan ikrar itu?

Bagaimana kita hendak mengatakan Allah itu Tuhan kita sedangkan kita tidak meletakkan ketaatan itu hanya untuk Allah semata? Meletakkan apa orang kata lebih tinggi daripada arahan kalamNya?

Bagaimana kita mengatakan Kaabah itu kiblat kita sedangkan yang kita idamkan ialah pergi berbulan madu di pantai Florida sana? Teringin menghidu keseronokan yang sementara?

Bagaimana kita mengatakan Nabi Muhammad Nabi kita sedangkan kita tidak mengambil contoh teladan daripadanya? Sibuk berjoget-joget lucah menyanyi yang ntah apa-apa?

Bagaimana kita mengatakan saudara kita semua orang Islam sedangkan kita sanggup membelanjakan banyak wang untuk bersuka-ria sedangkan Ummah ada yang sedang menderita? Mengabaikan mereka seperti mereka bukanlah manusia?

Bagaimana kita mengaku Islam agama kita sedangkan solat 5 waktu pun tidak sempurna? Kalau puasa pun hanya sekadar lapar dan dahaga?

Jadi bagaimana? Adakah selama ini kita berdusta?

Maka kepada siapa kita berdusta? Kepada Allahkah?

Tidak. Hakikatnya kita sedang menipu diri kita sahaja. Membiarkan diri binasa sedang kita sendiri menyedarinya.

Dan ingat. Hari itu bukan lagi lidah yang berbicara bahkan segala amalan dan semua anggota.

Justeru jujurlah,
"Siapa Tuhan kau?"
"Mana Kiblat kau?"
"Siapa Nabi kau?"
"Siapa Saudara kau?"
"Apakah Agama kau?"

Aku mengingatkan sebelum tiba masanya. Bila sudah tiba maka menangis air mata darah sekalipun tidak akan diterima taubatnya.