Friday, May 11, 2018

Malaysia Baharu : Harapan Saya Untuk Malaysia

8 Mei 2018


10 Mei 2018.

Tanggal yang cukup bersejarah, yang saya pasti ia akan dimasukkan dalam buku sejarah kita suatu hari nanti.

Monopoli oleh Barisan Nasional selama 6 dekad telahpun ditamatkan. Tiada lagi istilah "kerajaan" dikhaskan untuk Barisan Nasional, dan "pembangkang" dikhaskan untuk yang menentang Barisan Nasional.

Malaysia telahpun membuktikan mereka mampu bersuara menolak kerajaan yang mereka rasakan tidak elok untuk negara.

Sebagai anak muda yang tidak dapat mengundi, inilah harapan saya untuk Malaysia tanah airku yang tercinta ini.

Saya berharap selepas ini kita keluar daripada kepompong politik lama dalam memerintah negara.

PERTAMA : POLITIK NILAI

Saya berharap selepas ini Malaysia menjunjung prinsip politik nilai dalam berpolitik.

Politik Nilai yang saya maksudkan ialah, apabila kita berpegang pada nilai yang dikongsi bersama,

Secara lebih spesifik, saya berharap kita semua menjunjung menjunjung asas-asas dalam kita bernegara, termasuklah berpegang teguh dengan rukun negara yang kita ikrarkan selama ini. Kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada Raja dan negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, dan kesopanan dan kesusilaan.

Saya tidak lagi ingin mendengar politik identiti. Apa itu politik identiti? Politik identiti ialah politik yang bertujuan mementingkan sebahagian pihak sahaja, bukan menjaga kepentingan semua. Di negara tercinta ini, kelihatan politik identiti sangat rancak dipermainkan, khasnya identiti bangsa dan agama. Sebelum, semasa bahkan selepas PRU, kita sering dengar usaha-usaha memecahbelahkan kita. Mereka cuba menjadikan undi kita berdasarkan identiti, bukan lagi manifesto dan kredibiliti.

Di Malaysia Baru, saya berharap kita berpegang kepada nilai dan asas kita bernegara.

Politik nilai yang saya maksudkan juga ialah politik memberdayakan masyarakat.

Harapan saya, masyarakat bukan sahaja bergantung kepada kerajaan untuk berubah, tetapi boleh melakukan inisiatif daripada masyarakat untuk masyarakat. Putik-putik kesedaran oleh masyarakat untuk masyarakat ini telahpun ada. Kempen #pulangmengundi, #CarpoolGE14, ialah contoh politik nilai yang saya maksudkan.

Saya tidak lagi ingin melihat politik yang mendewakan pemerintah. Segalanya yang dikatakan oleh pemerintah ialah benar dan segalanya yang dikatakan orang lain ialah salah. Politik taksub dan mensucikan pemimpin seperti ini tidak harus berlaku samada oleh kerajaan, parti-parti pembangkang, mahupun mana-mana organisasi. Satu lagi bentuk pendewaan pemerintah apabila segalanya yang salah dikatakan sebagai salah pemerintah. Contohnya ketika sebelum PRU14, ada yang cuba meletakkan kesalahan di bahu bekas perdana menteri Najib Razak atas peristiwa hitam MH370.

Di Malaysia Baru, saya berharap kita meninggalkan pergantungan kita kepada pemerintah dan berusaha membangkitkan gerakan masyarakat untuk masyarakat.

Politik nilai yang saya maksudkan juga ialah politik berteraskan kebajikan.

Mengapa politik harus berteraskan kebajikan? Kerana konsep demokrasi ialah kerajaan dalam kalangan rakyat, dipilih oleh rakyat, dan bekerja untuk rakyat. Atau seperti yang Abraham Lincoln bekas presiden Amerika Syarikat katakan, "kerajaan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat". Maka seharusnya ia berpaksikan rakyat. Kebajikan yang saya maksudkan ini meliputi semua perkara, daripada kesihatan sehinggalah pendidikan, daripada prasarana sehinggalah perkhidmatan; semua ini haruslah berteraskan kebajikan rakyat.

Saya juga tidak lagi ingin melihat politik tidak rakyat. Politik rasuah, politik kroni, dan sebagainya yang tidak rakyat berpaksikan rakyat seharusnya dinyahkan daripada Malaysia.

Di Malaysia Baru, saya berharap politik toksik seperti ini dinyahkan daripada tanah tercinta ini selama-lamanya!

KEDUA : KEBEBASAN BERSUARA

Saya berharap selepas ini Malaysia menjunjung kebebasan bersuara, kebebasan berkarya, dan kebebasan akademik.

Kembalikan kredibiliti media massa dalam kalangan masyarakat. Benarkan saluran-saluran televisyen, akhbar-akhbar, untuk bebas menyampaikan berita. Media-media alternatif perlu mewujudkan stesen televisyen dan menjadi saluran alternatif rakyat Malaysia mendapat maklumat. Dalam bidang ini, negara jiran telahpun lebih terkedepan berbanding kita.

Saya juga berharap adanya akhbar, portal berita, stesen televisyen, dan stesen radio yang mengeluarkan berita secara bebas tanpa terikat dengan mana-mana parti. Hal ini hanya boleh berlaku andai hak kebebasan bersuara diangkat.

Karya-karya, filem-filem tempatan juga harus dibenarkan untuk lebih berani dan lebih bebas dalam berkarya. Andai kita bandingkan dengan negara jiran, mereka boleh keluarkan filem satira seperti "Alangkah Lucunya Negeri Ini" dan mendapat sambutan hangat. Bahkan, jika kita kaji semula, di negara-negara yang industri filemnya maju, mereka tidak takut untuk menjadikan kerajaan dan pihak berkuasa negara mereka sebagai watak jahat, seperti filem India "Bajrangi Bhaijaan" dan drama Korea "Doctor Stranger".

Para ahli akademik, mahasiswa juga seharusnya tidak dihalang daripada berbincang dan menganalisa berkenaan politik partisan di kampus-kampus. Saya berharap selepas ini tiada lagi isu andai pemimpin pembangkang untuk dijemput ke universiti-universiti dengan syarat ia perbincangan bersifat ilmiah, bukan bersifat kempen.

KETIGA : KEADILAN

Saya berharap sebagai rakyat Malaysia, agar keadilan ditegakkan di bumi bertuah ini, sama ada daripada aspek polisi mahupun perundangan.

Isu defisit kepercayaan terhadap kerajaan dan pihak berkuasa harus diselesaikan dengan segera agar negara ini dapat kembali berfungsi dengan baik.

Semoga selepas ini tiada polisi yang menguntungkan pihak yang tidak layak, dan tiada hukuman secara memilih-milih berlaku di Malaysia.

Semua, baik perdana menteri mahupun ketua pembangkang, jika disiasat dan terbukti melakukan penyelewengan, maka mereka patut dihukum. Peguam Negara, PDRM, tentera, SPR, SPRM, badan-badan kerajaan, syarikat-syarikat kerajaan, dan lain-lain seharusnya berkhidmat untuk rakyat, bukan hanya parti pemerintah.

Saya juga berharap suatu siasatan dijalankan untuk mengkaji semula kelemahan-kelemahan pilihanraya yang lepas, khasnya dakwaan penerimaan kertas undi lambat di luar negara, masalah-masalah berkaitan kertas undi, kesilapan melabel kotak undi, dan kelewatan dalam keluarnya keputusan rasmi PRU. Jika ada sebarang perkara yang melanggar SOP dan layak dihukum, maka hukumlah sewajarnya. Perkara ini ialah perkara yang amat penting kerana pemerintahan, hala tuju masa depan negara bergantung kepada pilihanraya yang bersih dan adil. Isu-isu seperti ini hanya akan menambah kesangsian rakyat terhadap SPR.

KEEMPAT : PERPADUAN

Negara kita mempunyai krisis perpaduan yang sangat meruncing, walaupun kelihatannya majoriti rakyat Malaysia telah menolak politik berasaskan bangsa dalam PRU14. Namun, kelihatan kegiatan memecahbelahkan kita ini masih terbudaya dalam masyarakat kita.

Sehingga kini, masih ada yang menggunakan sentimen perbezaan bangsa dan agama untuk menakut-nakutkan orang sesama kita. Bahkan, ada yang cuba mengapi-apikan semangat rasis dan saling benci-membenci sesama kita, lalu menuduh bukan-bukan untuk menjustifikasi benci dan amarah mereka. Hendak berbeza pandangan dan ijtihad politik tiada masalah, namun jangan libatkan bangsa dan agama. Berpolitiklah dengan hujah, fakta, dan justifikasi yang baik.

Saya percaya, kebencian ini berakar daripada kita tidak saling mengenal antara kita. Jika kita semakin kenal, maka perkara ini tidak lagi menjadi suatu masalah. Maka ayuhlah, libatkan diri dalam program bercampur bangsa dan agama, dan berbaik dengan semua orang.

Saya benar-benar harap kita boleh tinggalkan sentimen ini dan bersama bersatu membina Malaysia baru, tidak kiralah pembangkang mahupun kerajaan.