Sunday, May 22, 2016

Pengkastaan pelarian: Perbezaan nasib pelarian Syria dan Rohingya.




Aku tak dapat bayang apa perasaan pelarian warga Rohingya yang ada di Malaysia, saat membaca berita bahawa pelarian Syria, negara yang berada berganda-ganda jauhnya jika dibandingkan dengan bumi Arakan, disambut baik oleh rakyat Malaysia.

Mereka ditindas di tempat sendiri. Istilah "Rohingya" pun diharamkan daripada digunakan oleh duta Amerika Syarikat. Mereka dianggap sebagai warga Bangladesh, pendatang asing tanpa izin. Mereka boleh dibunuh bila-bila masa. Tiada yang akan halang, tiada yang akan bela.



Mereka lari. Lari ke Malaysia, mengharapkan kehidupan lebih baik. Lari ke Malaysia, mencari kehidupan baru. Lari ke Malaysia, mengharapkan perlindungan dan keselamatan. Menempuhi jaringan pemerdagangan manusia, segala orang yang ingin mengambil kesempatan terhadap mereka.

Mereka membayar harga yang mahal, bahkan ada yang membayar dengan nyawa, untuk sampai ke Malaysia.



Hanya untuk dilayan sebagai pendatang asing tanpa izin.

Ada mereka datang ke pejabat UNHCR untuk meminta kad pelarian, untuk membuktikan bahawa mereka pelarian Rohingya. Awalnya UNHCR beri, namun, kerajaan yang sama yang menjemput pelarian Syria datang, menghalang UNHCR daripada memberikan kad pelarian tanpa kebenaran kerajaan, menyebabkan warga Rohingya amat susah untuk mendapatkan kad pelarian tersebut.

Mereka dinafikan hak. Iras mereka yang seolah-olah orang Bangladesh itu tidak membantu mereka. Mereka tidak dibenarkan bekerja. Mereka tidak dibenarkan belajar. Mereka tidak dibenarkan mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

Mereka tidak dibenarkan hidup.

Mereka bangkit. Apabila anak-anak mereka dihalang daripada memasuki sekolah kerajaan, mereka bina sekolah mereka sendiri. Mereka mengajar kembali anak-anak Rohingya.

Seorang guru mereka bertanya kepada anak-anak di sekolah ini, apakah cita-cita mereka?

Anak-anak ini menjawab jawapan yang biasa, polis, doktor, jurutera dan sebagainya.

Guru tersebut hanya mampu menggalakkan anak-anak ini menggapai cita-cita, walaupun mengetahui bahawa beliau hanya menanam harapan palsu. Anak-anak ini takkan boleh melanjutkan pelajaran.

Kerana, mereka ini anak-anak Rohingya. Bukan pelarian Syria, yang kehadiran mereka disambut megah oleh rakyat Malaysia.

Krisis di tanah air mereka sudah lama. Usia konflik di Arakan dengan kerajaan Myanmar adalah konflik yang setahun lebih tua daripada konflik Israel-Palestin. Pelarian Rohingya ada yang sudah beranak pinak di Malaysia. Namun konflik ini tidaklah sepopular konflik di timur tengah.

Mungkin kerana yang menindas mereka bukanlah Syiah. Mungkin kerana mereka bukan tinggal di bumi anbiya'. Mungkin kerana mereka bukan orang Arab. Entah mengapa, di mata sebahagian kita, seolah-olah menganggap Islamnya orang Arab Syria lebih mulia berbanding Islamnya orang Bangladesh, orang Rohingya, orang India.

Sedangkan, yang tinggi di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa.

Sedangkan, kewajipan untuk menentang penindasan itu terletak pada orang yang berada di tempat tersebut, dan orang yang berada berhampiran dengan tempat tersebut.

Tahniah buat pelarian Syria, kerana penduduk Malaysia memberikan layanan yang cukup baik kepada anda. Anda takkan dapat layanan yang sama jika anda dilahirkan di bumi Rakhine. Moga urusan anda dipermudahkan oleh yang maha Kaya.

Baca lagi:

1. Malaysia memberikan rumah, permit kerja dan belajar, perabot, pengangkutan dan pelbagai lagi kepada pelarian Syria. http://themalaymailonline.com/malaysia/article/300-syrian-immigrants-due-to-arrive-in-malaysia-this-year-dpm-says

2. UNHCR dilarang memberikan kad pelarian kepada pelarian tanpa kebenaran. http://www.channelnewsasia.com/mobile/asiapacific/unhcr-in-malaysia-told-to/2052334.html

3. Perbezaan kasta pelarian Syria dan Rohingya di Malaysia. http://www.aljazeera.com/indepth/features/2015/12/class-refugees-malaysia-tier-system-151221061627431.html

4.
Keadaan pelarian Rohingya di Malaysia dari aspek pendidikan. https://malaysiakini.com/news/327130

5. Keadaan pelarian Rohingya di Malaysia, tidak diberi kad pelarian, tidak diberi bekerja, polis selalu ganggu, tidak diberikan perkhidmatan kesihatan dan lain-lain. http://nytimes.com/2015/06/04/world/asia/rohingya-migrants-malaysia.html?referer=

6. Kerajaan Malaysia tidak benarkan pelarian Rohingya bekerja dan diambil bekerja. https://malaysiakini.com/news/303080

7. Tajuk berita ini, "Malaysia tells thousands of Rohingya refugees to go back to your country". http://www.theguardian.com/world/2015/may/13/malaysia-tells-thousands-of-rohingya-refugees-to-go-back-to-your-country