Friday, June 7, 2019

Turunkan Had Umur Mengundi Demi Pemerkasaan Belia dan Mahasiswa

YB Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq berkempen untuk #Undi18
Baru-baru ini, timbul kembali perbincangan mengenai isu penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun. Cadangan ini mendapat pelbagai respon daripada masyarakat sama ada menyokong mahupun menentang.

Persoalan sebenar dalam isu ini bukanlah "kenapa" tetapi "kenapa tidak". Asasnya, semua rakyat Malaysia berhak mengundi. Kemudian datangnya pengecualian. Banduan kerana telah melanggar kedaulatan undang-undang, kanak-kanak kerana belum dewasa, dan sebagainya.

Seksyen 2 Akta Umur Dewasa 1971 telah mengklasifikasikan mereka yang berumur 18 tahun sebagai "dewasa". Maknanya, mereka sudah boleh disabitkan kesalahan, mereka sudah boleh membuat keputusan sendiri berkenaan kesihatan, dan lain-lain tanggungjawab yang dipikul oleh orang dewasa.

Jadi, kenapa tidak?

Kata mereka yang menentang cadangan ini, mereka yang berumur 18 tahun belum matang untuk mengundi. Sering juga dikatakan mereka tidak mempunyai kapasiti untuk menilai dan mudah ditipu.

Namun, satu perkara tentang mengundi yang kita perlu faham ialah, kematangan dan keupayaan intelek tidak menghilangkan kelayakan untuk anda mengundi. Sebagai contoh, seorang yang buta huruf, tinggal dalam gua, dan tidak pernah bersekolah pun layak mengundi asalkan mereka berumur 21 tahun dan merupakan warganegara Malaysia.

Maka, alasan untuk mengatakan orang berumur 18 tahun tidak matang sebenarnya bukan isu kerana kematangan bukan kelayakan untuk mengundi.

Bahkan, kalau kita katakan mereka tidak matang, mengapa kita benarkan mereka memilih untuk menyertai angkatan tentera, membeli rokok, dan membuat pinjaman PTPTN? Mengapa kita benarkan mereka berkahwin dan mendapat zuriat?

Namun begitu, kerisauan berkenaan kualiti undi yang dibuang oleh mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun sebenarnya merupakan kerisauan yang berasas. Akan tetapi, ia tidaklah sehingga menafikan mereka hak mengundi.

Isu berkenaan pendidikan politik ini sebenarnya merentas generasi. Ramai sahaja yang tidak benar-benar faham sistem politik dan pentadbiran negara, walaupun ia telah diajar dalam subjek Sejarah tingkatan 5. Berapa ramai sahaja yang tahu beza Dewan Undangan Negeri, Dewan Rakyat dan Dewan Negara? Berapa ramai sahaja yang faham pemisahan kuasa legislatif, eksekutif, dan judisiari? Malah, kadang kala kita boleh lihat tanda-tanda yang wakil-wakil rakyat pun tidak benar-benar menguasai sistem politik dan pentadbiran negara.

Ada sahaja orang yang berumur 18 tahun yang lebih matang, lebih faham isu semasa, berbanding mereka yang lebih tua daripada mereka. Terdapat kritikan tentang mereka yang berumur 18 tahun hanya tahu KPop semata. Bagaimana pula dengan makcik-makcik bawang yang hanya tahu drama Melayu sahaja?

Tindakan memukul rata bahawa semua orang yang berumur 18-20 tahun belum matang ialah tindakan yang tidak matang.

Ringkasnya,

1. Kematangan bukan kelayakan untuk mengundi.

2. Mereka yang berumur 18 tahun sudah dewasa dan dilayan sebagai orang dewasa di bawah undang-undang Malaysia.

3. Ketidak-matangan bukan ciri eksklusif mereka yang berumur 18 tahun.

Mengapa kita perlu benarkan mereka yang berumur 18 tahun mengundi?

Dalam sebuah demokrasi, kerajaan dipilih berdasarkan mandat yang diberikan oleh rakyat. Lebih ramai rakyat yang terlibat dalam proses pengundian, lebih sah keputusan pilihan raya.

Selain itu, pemberian hak mengundi kepada mereka yang berumur 18 tahun juga menjadikan suara mahasiswa lebih didengari oleh ahli-ahli politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang kerana mereka mengharapkan sokongan mahasiswa dalam pilihan raya. Kesannya, dasar-dasar kerajaan akan lebih mesra mahasiswa.

Hal ini amat penting kerana mahasiswa dan belia berumur 18-20 tahun ialah satu-satunya golongan dewasa yang tidak dibenarkan mengundi walaupun menerima kesan langsung daripada dasar-dasar negara.

Pemberian hak mengundi juga memberikan mesej bahawa negara kita prihatin dan menghargai suara generasi muda.

Oleh sebab itu, di negara-negara di serata dunia, kebiasaannya umur mengundi ialah 18 tahun. Bahkan, sekarang ini isu di peringkat global ialah sama ada hendak menurunkan had umur mengundi ke 16 tahun ataupun tidak. Tinggal ada beberapa negara sahaja seperti Singapura yang masih mengekalkan umur mengundi pada umur 21 tahun.

Kata Soekarno, "Beri aku 10 pemuda, niscaya akan kuguncang dunia." Bagaimana hendak guncang dunia kalau mengundi pun tak boleh?