Friday, March 25, 2022

Kapas-Marang Openwater Challenge 2022



Alhamdulillah aku berjaya tamatkan acara 6.5km renang merentas lautan daripada Pulau Kapas hingga Pantai Kelulut, Marang.

Aku memang dah lama menyimpan hasrat untuk tawan Kapas-Marang. Sejak melihat Asif & Akmalhady berjaya menawannya lagi. Tapi apabila tahu acara ini wujud kembali selepas COVID-19, aku teragak-agak adakah aku mampu lakukannya. 6.5km ialah jarak yang jauh, melihatkan aku Disember lalu baru mampu menamatkan 2km acara renang di lautan lepas di Langkawi Swimming Festival.

Tapi hati teringin.

Lepas berbincang dengan kawan-kawan, ada yang kata jangan. Belum lagi. Aku akur, kerana kata-kata dia betul. Masih jauh perjalanan aku untuk mampu berenang 6.5km di lautan. Jadi aku batalkanlah hasrat.

26 Januari aku ada hantar gambar tangkap layar Strava latihan renang aku. Abang Rizal balas, “Alhamdulillah, bagus. Dah boleh register Kapas-Marang.” Aku balas, “Abang rasa saya mampu ke?” Abg Rizal jawab, “InsyaAllah mampu, if consistent training. Tapi mesti ada program, tak nak swim leisure dah.”

Kemudian beliau kongsikan teknik-teknik latihan intensif yang berstruktur. Beliau kemudian sering bertanya perkembangan latihan, kemudian beri panduan cara hendak untuk menambah baik.

Dua tiga hari sebelum, aku mula gemuruh yang amat sangat. Melihat gambar, aduhai jauhnya pulau Kapas! Mampu ke ni? Kegerunan itu, ialah seperti kegerunan berdepan kematian. Yalah, kalau marathon penat pengsan tepi jalan. Kalau pengsan tengah laut?

Nak batalkan, malu dengan Abang Rizal. Jadi aku pergi juga.

Aku bertolak ke Marang dengan mak dan abah pada Jumaat petang, tiba di Marang jam 12 lebih malam. Kemudian ke jeti pukul 5:15 pagi untuk ambil bot ke Pulau Kapas. Aku tak banyak bercakap. Kegerunan, kerisauan, kegundahan. Diam je sambil merenung ke arah Marang. Jauh. Pelampung penunjuk arah pun tak kelihatan semuanya.

Lepas sarapan, lepas badan ditanda dengan nombor, aku jumpa Abang Rizal. Dia beri saranan-saranan terakhir. Beliau minta aku sapu Vaseline sebab khuatir melecet. Beliau ingatkan aku supaya tuju ke arah “Mount Fuji” (sebuah bukit yang tirus di Marang).

Lepas jumpa beliau baru aku lebih bertenang dan lebih berkeyakinan. Boleh gelak boleh sembang. Penting sebenarnya sahabat seperjuangan ni. Aku ada ajak junior sertai bersama, tapi beliau ada hal pula. Lain kali lah insyaAllah.

Ketika betul-betul hendak mula, bukan seperti di Langkawi yang aku teragak-agak. Aku masuk sahaja laut dalam keadaan otak tak fikir apa-apa. Aku cuma anggap ini renang biasa saja. Kata Salahuddin ketika aku kongsi yang aku takut aku tak mampu tamatkan, “just do ur best and keep swimming”. Aku ikut saja mantra beliau, “just keep swimming.”

Pijak air, aduh sakit. Pijak lagi, sakit lagi. Nampak peserta lain terus masuk air dalam posisi berenang. Aku pun ambil posisi dan benamkan kepala.

SUBHANALLAH, CANTIKNYAA!!!

Nampak segala terumbu karang, ikan-ikan. Indah nian. Tapi agak mencabar dalam keadaan air yang masih cetek tapi perlu berenang tanpa menyentuh terumbu karang dan tanpa belanggar dengan perenang lain.

Pemandangan amat mengasyikkan. Lautannya sangat jernih. Sehingga jauh ke dalam aku masih nampak dasar laut. Ada satu ketika, ada sekumpulan ikan bawal datang berenang bersama aku. Ke sana, ke mari. Agaknya pelik apa aku buat di situ.

Aku terkejut kerana di Langkawi, pemandangan memang sekitar 1-2 meter ke hadapan sahaja. Di Kapas-Marang aku boleh lihat lebih kurang 10-15 meter ke hadapan. Kadang-kadang aku malas nak lihat “Mount Fuji” aku tengok saja peserta di hadapan saya pergi mana. Lebih mudah dan kurang penat begitu. Nak angkat kepala cari “Mount Fuji” agak memenatkan.

Selepas beberapa lama berenang aku fikir, tentu sudah 3km. Saya berhenti di sebuah kayak untuk minum air. Tanya abang kayak, dah berapa km? “Dua kot tak pastilah.” Aku seperti tak percaya. Tengok jam, iya memang 2km. Ya Tuhan ingatkan dah separuh!

Just keep swimming. Just keep swimming. Kawan aku Amiruddin, seorang atlet yang sangat aktif kata, kalau bosan cuba murajaah. Dalam kolam aku murajaah mudah sahaja. Dalam laut tak boleh. Bila murajaah, aku hilang fokus pada renang dan lupa nak tengok “Mount Fuji”.

Dalam kepala duk terdengar-dengar lagu “Harapan Ramadan” & “Iman Mutiara”, persembahan masa program Semarak Ramadan. Aku fikir, alhamdulillah tenaga masih ada. Tak penat lagi.

Kemudian tiba pula episod sakit.

Bahagian rahang, leher, kaki, belakang badan mula pedih sebab melecet. Mungkin kerana air garam, pedih rasa seperti terbakar. Mungkin juga sebab panas terik membakar badan. Setiap kayuhan tangan terasa perit dan pedih. Kadang-kadang aku berhenti dan tenggelamkan diri ke dalam laut yang sejuk supaya rasa kurang sakit.

Nafas pun jadi sakit. Setiap hembusan, pedih hidung. Lidah pun kebas, kering, sebab air masin. Ada jugalah sengatan kutu laut, tapi tidak begitu rasa terganggu. Pedih melecet lebih sakit.

Sehinggalah aku tiba di kilometer terakhir, aku akhirnya dah nampak khemah-khemah di garisan penamat. Hati melompat girang. Alhamdulillah, dah nak sampai! Tengok jam, masa pun 3 jam lebih. Mantap, tak terlalu lambat.

Itu semua tipu daya setan rupanya. Di hujung terdapat arus yang agak kuat. Aku yang telah penat setelah berjam-jam berenang, aku merasakan seperti aku tidak bergerak. Bukan ada apa-apa penanda yang jelas untuk aku lihat aku bergerak atau tidak. Tapi berenang terasa tak sampai-sampai. Setelah beberapa lama aku cuba, rasa nak menangis di situ. Garisan penamat di depan mata sahaja! Sikit lagi! Kenapa tak bergerak ni?!

Aku kerah sepenuh tenaga cuba lagi. Masih rasa tak bergerak. Sebenarnya aku bergerak saja, cuma disebabkan arus, pergerakan aku amat perlahan. Tapi ketika itu semangat memang patah lah. Tapi aku cuba lagi. Dalam kepala, mustahil nak menyerah sekarang. Sikit lagi. Cuba tukar ke kuak dada, tapi lengan dah terlalu lemah. Teruskan juga kuak bebas.

Akhirnya yang memotivasikan aku ialah, bila boleh cecah sahaja kaki, aku nak berjalan. Akhirnya bila boleh cecah sahaja kaki, aku rasa seperti nak menangis. Ya Allah, aku tamatkan! Alhamdulillah!

Tapi masih kena jalan ke garisan penamat. Aku jalan perlahan. Nak kejar apa? Misi aku ialah nak tamatkan.

Tiba sahaja mak abah datang ke pantai bagi sokongan. Di garisan penamat Abang Rizal tunggu. “Azhari ada di sini sahaja pun dah cukup tanda Azhari berani.” Berbunga hati.

Aku tengok balik Pulau Kapas. Aku tak sangka, berenang 6.5km selama 4 jam 19 minit 14 saat, bermula pada jam 8:07 pagi dan tamat pada jam 12:27 tengah hari.

“Next year masuk lagi, improve time!”

Baik insyaAllah Abang Rizal, terima kasih sebab percaya!

Doakan saya istiqamah dalam mengamalkan gaya hidup sihat, selari dengan ciri individu Muslim, kuat tubuh badan.