Thursday, September 14, 2017

Refleksi Kebakaran Maahad Tahfiz Darul Ittifaqiyyah

Tragedi Kebakaran Maahad Tahfiz Darul Ittifaqiyyah
Takziah buat mangsa kebakaran Maahad Tahfiz Darul Ittifaqiyyah

Kata orang, masih terlalu awal untuk kita bincangkan pengajaran. Tetapi kalau bukan bincang sekarang, bila?

Perkara ini ialah hasil muhasabah daripada pemerhatian sekeliling, bukan sekadar daripada isu Maahad ini semata-mata.

1. Pesan ibu saya, "kalau tak ada apa-apa jadi tak mengapa. Kalau ada apa-apa jadi?"

Amanah menjaga keselamatan pelajar dalam sesebuah institusi pendidikan ialah sama berat dengan amanah memastikan mereka cukup makan minum serta taraf kesihatan pelajar. Termasuklah ia mempunyai sistem respons kebakaran yang baik, seperti loceng kebakaran yang berfungsi, pemadam api yang masih elok, dan pelan evakuasi yang baik.

Kadang-kadang, kita dengar berita kemalangan, kita akan selalu rasa, "InsyaAllah tak jadi pada kita". Tapi kena ingat, kemalangan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja pada bila-bila masa sahaja.

Saya masih ingat semester lepas kerosakan pada loceng kebakaran menyebabkan ia asyik berbunyi beberapa kali sehari di Mahallah. Orang dah tak lut bahkan berang kerana loceng tersebut mengganggu waktu tidur dan waktu belajar. Nauzubillah ketika itu, kalaulah salah satu loceng itu kebakaran betul, orang takkan perasan.

Alangkah lucunya negera ini, apabila kita dengar loceng, perkara pertama muncul di minda ialah, "haizz, loceng kebakaran rosak pula..."

2. Berikan tumpuan kepada latihan kebakaran.

Kita sering memperlekeh latihan kebakaran malahan merasakan ia mengganggu proses pembelajaran. Sebahagian guru meneruskan pembelajaran malah sempat memberikan kerja rumah kepada pelajar sebelum proses evakuasi.

Baru-baru ini latihan kebakaran di Kuliyyah kami, hanya pelajar tahun 2 dan 3 sahaja yang berkumpul. Ketika itu, kami fikirkan, bagaimana hendak tahu sama ada ia sekadar latihan ataupun benar-benar kemalangan? Kami simpulkan, "nak tahu ianya sekadar latihan ataupun tidak, perhatikan sama ada evakuasi ini disertai oleh pensyarah ataupun tidak". Maka iya, ia hanyalah latihan.

Teringat juga kepada kisah Korea Selatan yang telah melakukan latihan menghadapi serangan Korea Utara terlalu banyak kali sehingga rakyatnya sudah tidak lut dengan latihan, meneruskan kehidupan seperti biasa.

3. Jadilah manusia bertanggungjawab.

Apabila berlaku kesilapan pada kita, bertanggungjawablah. Jangan cepat berlepas tangan. Jangan cepat salahkan takdir. Ia mencemarkan imej agama kita.

4. Jangan jual keselamatan.

Keselamatan ialah prioriti yang paling utama. Abaikan keselamatan, maka anda akan membayar dengan harga yang sangat mahal, iaitu nyawa. Sekalipun kesempitan dana, jangan abaikan keselamatan.

Semoga kes ini menjadi pengajaran buat semua sekolah-sekolah swasta di luar sana, khasnya sekolah-sekolah persendirian yang tidak dikawal oleh kerajaan.

The threat is real. Better to be safe than sorry.

Yang benar,

Budak yang sangat paranoid masa kecil dahulu, sampai masuk hotel pun akan perhatikan 'fire exit' di mana.

DISCLAIMER: Walaupun telah dinyatakan di atas, saya ulang. Ini adalah muhasabah saya, iaitu perkara yang bermain dalam fikiran saya ketika mendapat berita ini. Tidak semestinya berkaitan isu Maahad tersebut.