Sunday, December 12, 2021

Langkawi Swimming Festival 2021


Alhamdulillah, buat julung kalinya aku sertai dan berjaya tamatkan renang "open water" di Tanjung Rhu, Langkawi.

Ketika aku diajak untuk sertai Langkawi Swimming Festival oleh kenalan aku, Abang Rizal daripada Kompleks Sukan Seri Siantan, aku teragak-agak. Bersungguh dia ajak dan galakkan. Nampak sahabat macam Salahuddin penuh yakin rasa boleh buat 4km, saya pun bersetuju untuk masuk. Tapi akhirnya dia tak ada rezeki untuk masuk. Demi kesihatan, aku teruskan juga.

Alhamdulillah Allah kurniakan sahabat macam Azhad. Aku tanya dia, nak masuk 2km ke 4km eh? Mula rasa diri hebat, nak masuk 4km. Yakin mampu. Dia kata, biasa orang masuk "event" kurang daripada jarak latihan. Ketika itu aku mampu berenang 2km. Jadi aku daftar 2km sahaja lah.

Maka aku berlatihlah. Hampir setiap hari 2km. Dapat sahabat-sahabat yang amat memahami dan menyokong. Kalau Salahuddin ada, dia akan teman buat 2km. Kalau Azhad, Afeeq, Danial, Amiruddin, dan lain-lain, mereka sanggup tunggu aku habiskan 2km. Juga abang Rizal, dan komuniti Kompleks Renang Seri Siantan yang selalu betulkan teknik renang dan cadangkan teknik latihan. Juga abah Azizi, mak, Junaidah, dan kak Nurazlina yang kadang-kadang terpaksa tunggu lewat.

Alhamdulillah aku dikurniakan dengan suasana yang amat menyokong, dan terima kasih tak terhingga atas sokongan anda semua.

Dengan penuh keyakinan aku berlatih. Sampai satu hari aku pergi Port Dickson dengan kawan-kawan. Nak cuba berenang di laut. Tak pernah. Bila cuba, ya Allah! Susahnya! Air masin menusuk lidah, ombak daripada Jet Ski dan Banana Boat, tak nampak dasar, tak nampak depan,...susah sangat. Sejak itu, mula takut, gerun.

Tanya Abang Rizal apa boleh buat dengan air masin masuk mulut? "Tahan jela," jawab dia. Hahahaha... Dunia ini bukan untuk orang-orang yang lembik. Nak takluk lautan? Anda perlu jiwa seteguh karang.

Semalam, ada masa untuk cuba air Tanjung Rhu. Saki baki kegerunan pengalaman buruk di Port Dickson kembali menjengah. Tahan jela masin tu. Tapi masalah lain pula. Ombak, arus, ganas. Menampar muka, menghumban kepala. 300m sahaja pun sudah amat memenatkan. Gerun.

Terus minta kenalan-kenalan mendoakan. Sahabat-sahabat yang turut ke Langkawi teman pastikan aku tidur awal.

Pada hari kejadian, sesampai aku di tempat letak kereta, aku lihat ke arah laut. Aku diberitahu peserta 2km perlu pusing di pelampung merah, peserta 4km dan 8km perlu pusing di pelampung ungu. Jauh di ufuk, nampak pelampung merah. Takkan lah situ? Jauhnya? Mustahillah. Tak mungkin. Tapi tak nampak pelampung merah lain. Telan air liur. Betul lah kot. sejauh itu 2km.

Dengar pengumuman, ketika peserta 8km hendak mula, ada yang tanya mana pelampung ungu nya? Jawab penganjur, ada, walaupun tak nampak. Maknanya ungu lagi jauh sampai tak nampak. Alhamdulillah aku masuk 2km sahaja.

Apabila peserta 2km dipanggil, aku pergi ke pentas permulaan. Tak percaya aku di situ. Betul ke aku ni? Teragak-agak. Tapi dah tak ada pilihan. Jalan terus!

Masuk sahaja ke laut, rasa serba tak kena. Nafas tak kena. Tertelan air laut. Pergerakan tangan tak kemas. Entah kenapa, tak dapat rentak. Sampai semput. Mengah. Panik. Paut sebentar di pelampung peribadi. Susun nafas. Mula balik. Masih tak dapat rentak. Berhenti. Susun nafas. Mula balik.

Dalam kepala, "sumpah tak nak dah masuk benda macam ni." Cuma yang memotivasikan, aku tak nak gagal. AKU TAK NAK GAGAL!

Lebih kurang 700m baru dapat rentak untuk berenang seperti biasa. Alhamdulillah. Sebaik sahaja dapat rentak, terus rasa ombak lebih kuat daripada biasa. Hadap saja lah. Aku nak habis.

Sejak sekolah lagi, aku selalu jadi yang terakhir ketika merentas desa. Sering aku lambat sehingga dijemput naik kereta. Kali ini aku nak habiskan dalam masanya. Tak nak naik kayak.

Banyak kali berenang arah silap. Tersasar jauh. Sehingga abang kayak panggil kata "ke tepi dik!" Rasa badan gatal-gatal. Kaki tersepak orang. Orang terpegang badan aku. Menarik lah. Apabila hampir ke hujung, aku rasa seronok. Bila ya ada acara renang "open water" lagi? Nak masuk, dan nak belajar lagi!

Sampai sahaja di pantai, aku perlu naik ke gerbang penamat. "Lari dik, takpe ramai lagi kat belakang!" jerit seorang akak. Sengih je aku. Lutut aku pun ketar-ketar, nak lari? Hahahaha

Apapun Alhamdulillah, sampai! Tamat!

Alhamdulillah ala kulli hal wa nikmah!

Aku memang sasarkan untuk tamat dalam masanya dengan selamat.

1 jam 17 minit 57 saat

2km (Jumlah 2.27km, campur hanyut)

162bpm purata nadi per minit

Terima kasih kepada semua yang menyokong dan mendoakan. Moga Allah balas jasa anda semua.

Doakan saya istiqamah. Doakan saya sihat.

#LangkawiSwimmingFestival2021

#LangkawiSwimmingFestival