Saturday, January 4, 2020

Menyambung legasi mantan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik

Terima kasih mantan YB Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik

Hujung tahun lalu, saya membelek-belek Amanat Menteri Pendidikan 2019 untuk menghasilkan suatu penulisan berkenaan pendidikan. Ketika itu, dalam hati saya ternanti-nanti apa pula Amanat Menteri Pendidikan 2020 nanti. Senyum. Entah kali ke berapa saya baca amanat tersebut.

Tiba-tiba, berita YB Menteri Pendidikan Dr Maszlee dinasihatkan untuk meletakkan jawatan. Tipulah tidak sedih. Kacau jiwa untuk belajar, walaupun ada peperiksaan esoknya.

Hari ini, saya buka balik Amanat Menteri Pendidikan 2019 tersebut.

Sudah-sudahlah bernostalgia dengan segala yang YB Dr Maszlee sumbangkan. Kalau benar anda kagum dan sokong Dr Maszlee, ayuh kaji kembali beberapa aspirasi beliau dalam amanat tersebut!

SEKOLAH UNTUK KOMUNITI, UNIVERSITI UNTUK MASYARAKAT

"Asas pendidikan ialah melahirkan insan yang berfungsi di tengah-tengah setiap komuniti dan masyarakat"

MENGEMBALIKAN CINTA KE DALAM PENDIDIKAN

"Cinta ialah teras kepada pendidikan. Kita mahukan pendidikan yang terbaik buat anak-anak kita kerana kita cintakan mereka. Dengan cintalah, kita mahu mereka mencintai ilmu, terus membesar sebagai seorang yang sentiasa mahu belajar, dan memahami bahawa pendidikan bukanlah tentang penghujungnya semata-mata, tetapi proses berterusan mengejarnya."

"Saya percaya, hakikat sebenar tujuan pendidikan ialah memanusiakan manusia"

MENGEMBALIKAN WIBAWA PENGAJIAN TINGGI

"Para akademik perlu visible dengan penghasilan karya-karya yang memanfaatkan masyarakat"

"Universiti tidak seharusnya terasing daripada realiti kehidupan semasa. Demi mempersiapkan pelajar-pelajar kita untuk menjadi sarjana awam (public intellectual) yang mesti menggalas tugas sebagai penyelesai masalah-masalah masyarakat"

Ramai yang mengatakan bahawa masalah Dr Maszlee ialah apabila beliau tidak memacu pendidikan kita ke arah "academic excellence". Sebenarnya, beliau bukan berhenti pada daya saing pelajar-pelajar di peringkat global, bahkan beliau ingin membentuk generasi akan datang yang cintakan ilmu dan ilmunya bermanfaat buat masyarakat.

Pada saya, elemen manusiawi inilah yang memberikan nilai dalam pendidikan yang sudah sekian lama hilang. Kita sudah terbiasa dengan konsep belajar untuk berjaya, tetapi kekok dengan konsep belajar untuk berkhidmat kepada masyarakat. 

Kita bukan sekadar mendidik manusia untuk kecemerlangan intelek semata.


Sekiranya kita benar-benar sokong Dr Maszlee sebagai Menteri Pendidikan, janganlah berhenti setakat menandatangani petisyen. Lakukanlah apa sahaja yang ada dalam kuasa anda untuk menjadi manusia seperti yang ada dalam amanat tersebut; cintakan ilmu dan bermanfaat buat masyarakat.

Sudah tiba masanya kita sendiri yang menjaga masa depan kita. Jangan lagi harapkan kerajaan dan ahli politik semata-mata.

Sebagai mahasiswa, kita yang perlu memulakan langkah untuk menjadikan universiti itu untuk masyarakat melalui penulisan, perkongsian ilmu, mahupun khidmat masyarakat.

Sebagai pelajar, kita yang perlu menanam cinta terhadap ilmu dan memasak teras-teras nilai dalam diri kita.