Wednesday, December 23, 2015

Refleksi Sirah: Kisah Hasan bin Thabit


Sosok manusia seperti Abu Bakar yang hebat, mungkin tak terbayang oleh kita. Mungkin terasa tak mempu untuk masuk ke syurga jika dibanding dengan mereka.

Maka hari ini, akan aku bawa anda renungi kisah seorang sahabat, moga kita dapat mengambil pengajaran.

****

Hasan bin Thabit RA.

Hasan bin Thabit merupakan seorang penyair terkenal dalam kalangan sahabat.

Perang Ahzab tercetus akibat dendam oleh Quraish dan Bani Nadhir terhadap Nabi Muhammad SAW. Maka, mereka membuat pakatan "Ahzab" yang diwakili oleh Bani Quraish, Yahudi Bani Nadhir dan Bani Ghatafan, dan mengumpulkan sejumlah 10,000 orang untuk menyerang Madinah.

Untuk mempertahankan Madinah, Nabi Muhammad SAW telah mengarahkan untuk membina sebuah parit di kawasan utara Madinah untuk menghalang kemaraan tentera bersekutu atau lebih dikenali sebagai tentera Ahzab itu.

Ketika perang, semua sahabat yang berada dalam lingkungan umur berperang, iaitu umur lelaki yang mampu berperang, dikerahkan ke sempadan Madinah.

Maka, kaum wanita, orang tua dan kanak-kanak diletakkan di dalam sebuah kubu di Madinah untuk memastikan mereka terselamat daripada ancaman dalaman ataupun khianat.

Hasan bin Thabit ketika itu diletakkan bersama wanita dan kanak-kanak dalam sebuah kubu milik Ansar.

Ketika perang, setelah beberapa hari pengepungan Madinah berlaku, Yahudi Bani Nadhir berunding dengan Yahudi Bani Quraizah, yang ketika itu masih berada di dalam Kota Madinah dan mempunyai perjanjian dengan Nabi Muhammad SAW, untuk mengkhianati Nabi dan menyerang orang Islam daripada dalam Madinah.

Bani Quraizah bersetuju.

Bani Quraizah menghantar 2 orang pengintip ke kubu yang menempatkan wanita, kanak-kanak dan orang tua untuk melihat sama ada kubu tersebut dikawal ataupun tidak.

Jika tidak dikawal, mereka ingin menyerang dan membunuh semua kanak-kanak dan wanita supaya merendahkan semangat tentera Islam yang berkawal di parit pertahanan Muslimin.

Dalam situasi cemas tersebut, seorang sahabiah, Safiyyah binti Abdul Muttalib, datang berjumpa dengan Hasan bin Thabit, satu-satunya lelaki yang berada dalam lingkungan umur perang di dalam kubu tersebut, dan meminta beliau melakukan sesuatu.

Lalu Hasan bin Thabit enggan dan berkata bahawa sesungguhnya engkau tahu keadaan aku, janganlah memalukan aku lagi.

Maksud Hasan, beliau merupakan seorang penyair, bukanlah pejuang. Sebab itulah Nabi SAW meletakkan beliau bersama wanita dan kanak-kanak.

Maka Safiyyah binti Abdul Muttalib mengambil sebatang kayu dan memakai pakaian seolah-olah seorang pejuang, lalu memukul pengintip tersebut sehingga mati dan mencampakkan kepalanya kepada lagi seorang pengintip sebagai amaran.

Bani Quraizah membatalkan hasrat mereka menyerang kubu tersebut.

Setelah itu, Safiyyah binti Abdul Muttalib pergi kepada Hasan bin Thabit sekali lagi lalu menyuruh beliau mengambil harta rampasan daripada tubuh Yahudi yang dibunuh itu.

Tetapi Hasan bin Thabit enggan lalu mengatakan bahawa beliau tidak memerlukannya.

Sebahagian sahabat melabel Hasan sebagai pengecut kerana insiden ini.

Harus diingatkan, semua sahabat termasuklah Hasan bin Thabit dan Safiyyah binti Abdul Muttalib, dikurniakan oleh Allah gelaran Radiyallahu anhum; Allah redha ke atas mereka.

Rasulullah SAW juga tidak pernah mengutuk Hasan bin Thabit terhadap kekurangannya dalam bab perang fizikal.

Malah, atas dasar memahami keadaan Hasan bin Thabit inilah Rasulullah SAW meletakkan beliau ke dalam kubu wanita dan kanak-kanak.

Sebelum ini, Hasan bin Thabit juga terlibat dalam sebuah lagi kes iaitu menyebarkan fitnah Aisyah. Namun, walaupun Rasulullah melepaskan semua orang Munafiq daripada hukuman, Hasan bin Thabit antara orang yang dihukum oleh Rasulullah, dan telah bertaubat.

Terbukti, Hasan bin Thabit bukanlah seorang munafiq, kerana Nabi SAW tidak pernah menghukum seorang munafiq. Namun, beliau juga manusia biasa, tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

Pada suatu hari, Rasulullah didatangi oleh orang Kristian. Delegasi tersebut mencabar untuk berlawan syair dengan Nabi SAW. Lalu Nabi SAW meminta Hasan bin Thabit menyahut seruan tersebut.

Walaupun terdapat banyak kekurangan, apabila beliau dipanggil oleh Rasulullah untuk berlawan syair, beliau sahut seruan itu tanpa berlengah. Ini bidang beliau.

Sabda Nabi, Wahai Hasan, jawablah, moga Allah mengurniakan Jibril membantu kamu.

Hasan tidak berdalih. Tidak langsung beliau berikan alasan seperti, beliau tidak layak, Abu Bakar lagi layak, beliau banyak dosa dsn sebagainya.

Kelebihan beliau dalam bidang seni syair, apabila diseru untuk digunakan ke jalan Allah, tak kesahlah dosa lampau beliau, beliau sahut.

****

Pengajaran:

Tak perlu menjadi sehebat Abu Bakar dan Umar untuk menyumbang bakti buat Ummah.

Segala kepakaran yang kita ada, tak kesahlah dalam bidang apa, gunakanlah untuk membantu Ummah.

Dosa, kesilapan lalu, jangan jadi penghalang. Bukankah Allah sudah mengatakan dalam firmanNya yang mulia, "Sesungguhnya kebaikan itu akan memadamkan kejahatan"? Lagi banyak dosa kita buat, seharusnya lagi banyak amal yang kita lakukan.

Bakat anda bermain bola, mainlah. Melukis, lukislah. Mengarang, karanglah. Berceramah, ceramahlah. Membuat video, buatlah. Mengambil gambar, ambillah. Buat akaun, urus sumber manusia, mentadbir, semuanya boleh digunakan untuk kemaslahatan Ummah.

Ketepikan semua alasan.

Aku tak layak.
Aku tak mampu.
Aku tak boleh.
Aku banyak dosa.
Ada yang lagi layak.

Jika anda mampu buat, buatlah. Jika benar-benar tidak mampu, barulah katakan tidak mampu. Allah mengetahui isi hati-hati, sama ada jujur atau tidak ketidak-mampuan anda.

Ayuh pembaca,
Sumbanglah untuk Ummah!

Sunday, December 13, 2015

Refleksi Al-Kahfi: Agamawan yang menjauhkan penganut daripada agama

"Segala puji bagi Tuhan yang menurunkan kepada hambaNya Al-Kitab dan Kami tidak jadikan ia bengkok (terseleweng).

"Ia (Al-Quran) kekal untuk menjadi peringatan terhadap azab yang keras daripadaNya, dan sebagai berita gembira kepada orang mukmin yang beramal soleh bahawa mereka akan mendapat balasan yang baik.

"Mereka (orang mukmin) tinggal di dalamnya selamanya.

"Dan ia juga sebagai peringatan kepada mereka yang mengambil Allah sebagai mempunyai anak.

"Tidaklah mereka mempunyai ilmu dan tidak juga bapa mereka (mempunyai ilmu). Besar kata-kata yang keluar daripada nafsu mereka. Tidaklah mereka berkata kecuali berdusta.

"Janganlah engkau (wahai Nabi) membinasakan dirimu kerana risaukan kesan buruk perbuatan mereka jika mereka tidak beriman dengan keterangan ini (Al-Quran).

"Kami jadikan apa yang ada di atas muka bumi sebagai perhiasan untuk mereka, untuk mengetahui siapa yang lebih baik amalannya.

"Dan sesungguhnya kami akan jadikan apa yang di atasnya (bumi) itu tandus.

"Tidakkah engkau mengira bahawa Ashabul Kahfi dan Ar-Raqim itu sebahagian daripada ayat Kami yang ajaib?

"Ketika pemuda itu masuk ke dalam gua seraya berdoa, Tuhan kami berikanlah kepada kami daripada sisiMu rahmat, dan permudahkanlah urusan kami."

[Al-Kahfi 1-10]

Ayat-ayat ini Nabi SAW meminta kita baca jika ingin elak fitnah Dajjal.

Dalam ayat-ayat ini, Allah telah menunjukkan kepada kita satu pengajaran yang sangat dalam.



Menelusuri lipatan sejarah, Eropah bermula dengan pemerintahan oleh golongan agama. Gereja menjadi lebih berkuasa daripada raja. Rakyat memfokuskan diri untuk penyucian jiwa dan rohani. Paderi perdebatkan hakikat ketuhanan. Manusia rela diseksa, membayar harga mahal dan pergi peperangan untuk pengampunan dosa. Baik dan buruk sesuatu perbuatan ditentukan oleh gereja.

Pembelian sijil keampunan.


Mulalah korupsi oleh golongan agamawan. Penggunaan dana secara tidak adil, tetapi mengikut prosedur. Penyalahgunaan kuasa pengampunan paderi. Penyeksaan terhadap mereka yang tidak bersefahaman dengan gereja. Orang biasa tidak dibenarkan membaca dan mempunyai Kitab Suci mereka. Pengkajian ilmu selain agama ditekan dan dianiaya.

Hasilnya, berlakulah kebangkitan dan reformasi. Wujudlah mazhab Protestan yang menentang gereja, memperjuangkan hak membaca Kitab Suci. Pemerintahan gereja ditumbangkan akibat korupsi. Raja-raja mula memisahkan diri dengan gereja. Baik buruk ditentukan dengan akal sendiri tanpa campur tangan agamawan. Bermulalah era pengkajian dan penerokaan.

Perlahan-perlahan, manusia mula mengkaji dan mengkaji meluaskan ilmu sains dan teknologi. Ilmu kerohanian mula ditolak tepi. Apatah lagi apabila dijumpai penemuan-penemuan yang bercanggah dengan Kitab Suci?

Tidak menafikan, kemerosotan ini juga disebabkan faktor lain, termasuklah kejatuhan Rom dan sebagainya.


Moraliti mula ditentukan oleh akal manusia. Mulalah perjuangan mendapatkan hak bersuara. Perbezaan pandangan dibiarkan untuk memakmurkan negara. Matlamat hidup manusia mula beralih kepada benda.

Beralihlah fokus manusia daripada rohani kepada jasmani. Daripada ketuhanan kepada kebendaan. Daripada moraliti berasaskan wahyu kepada moraliti berasaskan akal.

Dan mereka mula menyebarkan pandangan ini kepada manusia sejagat. Slogan sekularisme dan liberalisme dijaja di seluruh benua umat. Dibawa bersama-sama budaya demokrasi sebagai ganti monarki jahat.

Sebenarnya, inilah apa yang dikatakan dalam 10 ayat pertama Al-Kahfi.

Inilah yang dikatakan Nabi risau sehingga memusnahkan diri, akibat daripada perbuatan puak-puak yang mengambil Nabi Isa sebagai anak Tuhan. Risaunya Nabi jika mereka tidak beriman, tangan-tangan mereka akan menyebabkan kebinasaan.

Menanam sifat cintakan dunia dan melupakan akhirat merupakan misi kehadiran dajjal ke dunia. Secara tak sengaja, puak agamawan Kristian telah melaksanakan misi dajjal ini sebelum kehadirannya.

Tidak, aku memilih untuk tidak mempercayai bahawa puak gereja ini dajjal. Jika benar, mengapa mereka juga berjuang untuk mengembalikan kuasa ketika Renaissance?

****
Sebuah pengajaran yang baik untuk kita.

Sebahagian kita menggunakan alasan agama, bahawa anda merupakan manusia pilihan Allah maka anda boleh terus kekal dengan gaya pemerintahan anda yang menekan rakyat.

Sebahagian kita menggunakan alasan menurut prosedur apabila menggunakan harta anak yatim secara membazir.

Sebahagian kita menggunakan alasan ingin menegakkan agama Allah dan hukum Allah ketika mencaci maki orang lain yang tidak sehaluan dengannya.

Sebahagian kita menggunakan alasan menghormati agama dan menghormati orang berpuasa ketika menyuruh orang agama lain makan dalam tandas.

Sebahagian kita menggunakan alasan menghormati ulama ketika memarahi orang yang tidak bersetuju dengan ulama walaupun dalam perkara duniawi.

Sebahagian kita memanipulasikan dalil dan mengeluarkan fatwa-fatwa untuk menghalang hak bersuara rakyat seterusnya menamakan mereka yang berhimpun di jalanan menuntut keadilan sebagai pemberontak yang halal darahnya.

Sedar ataupun tidak, sebenarnya kita sedikit demi sedikit mengikuti tapak-tapak puak paderi. Penyalahgunaan agama, penggunaan alasan agama untuk menghalalkan perbuatan dan sebagainya.

Golongan intelektual semakin bosan dengan agamawan yang korup.

Jangan marahlah, apabila fatwa mufti tidak lagi didengari, kerana sebahagian mufti tidak pernah cakna dan tidak pernah mengeluarkan fatwa untuk meringankan bebanan rakyat. Daripada institusi yang sama jugalah datangnya fatwa menghalalkan darah demonstran. Maka siapa yang masih percaya?

Jangan marahlah, apabila rakyat enggan membayar zakat kepada Pusat Zakat. Rakyat sanggup mencari sendiri orang miskin supaya mereka yakin zalat mereka bermakna, walaupun bayar zakat ke Pusat Zakat mendapat potongan cukai pendapatan.

Jangan marahlah, apabila rakyat meminta JAKIM dihapuskan, kerana kegagalan JAKIM menggunakan kuasanya untuk memperbaiki keadaan sedia ada.

Jangan marahlah, apabila rakyat sudah tidak lagi menghormati para ustaz, kerana daripada mulut-mulut sebahagian mereka, mengeluarkan kata-kata kesat, mem"bodoh"kan orang lain, saling bermusuhan dan menyesatkan. Agamawan yang sepatutnya menunjukkan kecantikan dan kasih sayang agama, terus melaksanakan tugas menghantar manusia ke neraka.

Jangan marahlah, apabila rakyat tidak menyokong terlaksananya hudud, kerana mahkamah syariah tidak menunjukkan kredibiliti yang baik dan efisien.

Jangan marahlah, apabila rakyat memandang graduan dan mahasiswa syariah lebih rendah daripada graduan dan mahasiswa sains. Kerana dilihatnya, lambakan graduan agama terus mengajar kitab di masjid-masjid tetapi tidak membawa masyarakat melihat realiti umat dan bertindak membaiki permasalahan sedia ada.

Jangan marahlah, orang mula bosan dengan ceramah-ceramah apabila wujud elemen mensyiahkan dan mewahabikan orang lain.

Jangan marahlah, ramai yang murtad, kerana kita sibuk menunjukkan kesalahan agama lain tetapi lupa menguatkan iman masyarakat. Apa anda fikir ceramah tentang bahaya Syiah itu mrnguatkan akidah umat?

Jangan marahlah, apabila masalah sosial meningkat. Kurang agamawan yang menyediakan solusi yang rahmah kepada masalah sosial remaja. Rasa cinta kepada silang jantina tetapi tidak boleh kahwin, puasalah. Nak puasa sampai bila? Setiap hari? Zina berleluasa solusinya? Laksanakan hudud. Sebat. Rejam. Tanpa menyelidik sebenarnya masalah zina wujud disebabkan kurang kasih sayang keluarga dan sebagainya.

Jangan marah. Anda yang tidak mengambil iktibar tentang sejarah.

Allah telah tunjukkan dalam Al-Kahfi, yang tindakan korup agamawan Kristian walaupun bukan semua, menyebabkan penolakan umat Eropah kepada agama. Sehingga kini.

Maka tidakkah kita lihat corak yang sama dalam agamawan kini?

Bukan niat aku hendak pukul rata. Tidak dinafikan, memang ada agamawan yang tidak seperti umumnya. Tetapi akibat jila setitik, rosak susu sebelanga. Akibat setitik najis, mutanajjis air sebaldi.

Maka, untuk memulihkan keadaan, eloklah bermula dengan agamawan. Sebelum terlewat, kembalikanlah kredibiliti agamawan di mata rakyat. Khuatir apa yang terjadi kepada institusi gereja, berlaku pula kepada kita.

Agamawan harus berganding bahu, bukan saling mensyiah-wahabikan.
Agamawan harus sedar, hormat itu diperoleh, bukan diminta.