Tuesday, November 20, 2018

Perutusan Maulidur Rasul untuk Mahasiswa Sains

Taman Ilmu dan Budi, Kampus Kuantan

Sebagai mahasiswa kampus sains, kadangkala agak sukar untuk kita kaitkan perkara yang kita pelajari dengan Islam, apatah lagj dengan sirah baginda Ar-Rasul SAW.

Namun, satu perkara yang kita kena ingat, bahawa Rasulullah SAW tidak pernah mengabaikan pembangunan sains dan teknologi dalam pembinaan negara Islam Madinah.

Contoh yang cukup diketahui umum ialah penggunaan teknologi ketenteraan, iaitu pembinaan parit sebagai benteng pertahanan bagi kota Madinah daripada serangan tentera bersekutu, tentera Ahzab yang ingin menghancurkan Madinah, Rasulullah SAW, dan Islam secara amnya. Akhirnya, parit yang dibina itu menjadi salah satu faktor penyebab utama tentera Ahzab gagal mencapai objektif keji mereka.

Selain itu, Rasulullah SAW juga pernah membina 'catapult' dan 'battering rams' dalam pengepungan kota Taif pada tahun 8 hijrah. Seperti pembinaan parit di kota Madinah, teknologi ini juga amatlah jarang digunakan di tanah Arab pada ketika itu.

Atas keterbukaan Rasulullah SAW dan galakan baginda untuk meneroka dan menggunakan teknologi yang paling baru, ketika ummah berhadapan dengan dua kuasa gergasi pada zaman tersebut, Rom Timur dan Parsi, kita sudah pun mempunyai teknologi yang sedikit sebanyak setara dengan kuasa-kuasa besar tersebut.

Baginda SAW juga sentiasa menggalakkan umatnya membaca, bahkan memberi tawaran kepasa tawanan perang Badr yang tidak mampu membayar tebusan tetapi celik huruf, untuk mengajar anak-anak orang Islam di Madinah menulis dan membaca.

Hal ini menunjukkan, uswah hasanah kita, Al-Quran berjalan kita, tidaklah hanya mengfokuskan kepada pembinaan spiritual para sahabat semata-mata, tetapi pada pembinaan individu-individu Muslim yang syumul.

Baginda SAW juga telah memaknakan makna hadis yang menyuruh supaya tambat unta kemudian tawakkal. Baginda tidak pernah ajar ummah untuk hanya berdoa memohon pertolongan Allah semata, tetapi baginda juga mempersiapkan intelek dan teknologi untuk mencapai matlamat.

Inilah peranan kita sebagai mahasiswa Islam dalam bidang sains tulen. Selagi ketamadunan khasnya daripada aspek ilmu sains dan teknologi kita tidak mampu menyaingi dan mengatasi ketamadunan barat, selagi itu ummah akan dipandang remeh dan terkebelakang. Peranan kita sebagai 'abid, iaitu sebagai ahli ibadah kepada Allah, haruslah diimbangkan dengan peranan kita sebagai khalifah, iaitu pentadbir bumi. Pembangunan kita seharusnya seimbang lahiriyyah (fizikal) dan ruhiyyah (spiritual).

Pada kita, ialah tanggungjawab fardu kifayah untuk melonjakkan pembangunan lahiriyyah umat Islam, tanpa mengabaikan pembangunan ruhiyyah dalam hidup kita. Inilah dia yang ada dalam falsafah UIAM sendiri, iaitu islamisasi ilmu (Islamization of knowledge).

AL-QURAN BERJALAN

Mustahil untuk kita katakan kalimah toyyibah, kalimah La Ilaha Illallah, melainkan dengan kita mengakui, bahawa Muhammad ar-rasulullah. Kerana bagindalah yang membawakan kalimah suci ini kepada manusia, membawa manusia kembali kepada tauhid dan ubudiyyah kepada Allah.

Baginda diutuskan bersama Al-Quran, untuk menjadi model kepada Al-Quran. Baginda menterjemahkan Al-Quran dalam kehidupan kita semua, sehinggakan apabila ditanya kepasa Aisyah RA, tentang akhlak Rasulullah, beliau menjawab, akhlak beliau ialah Al-Quran.

Sebab itu lah, dalam surah Al-Ahzab Allah berfirman:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu CONTOH IKUTAN YANG BAIK, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

[Al-Ahzab 33:21]

FATTABI'UNI

Bahkan, mengikuti contoh ikutan yang baik ini dijadikan sebagai cara membuktikan kecintaan kita kepada Allah.

Mengapa?

Kerana melalui baginda, Allah menunjukkan kepada kita cara untuk menjadi hambaNya yang redha akan Allah sebagai Rabb dan Ilah, dan Allah meredhai kita. Bagaimana kita hendak tahu sama ada perkara yang kita buat itu disukai atau dibenci Allah? Melalui Al-Quran dan Sunnah.

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka IKUTILAH DAKU, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

[Ali Imran 3:31]

Ada yang kata, dan menyanggah perbuatan menyambut Maulid Ar-Rasul ini. Namun, tidaklah salah untuk kita jadikan satu hari ini sebagai batu loncatan untuk kita kembali kepada ajaran dan sunnah Ar-Rasul. Jangan pula kita jadikan hari ini sebagai satu hari perayaan khas untuk memperingati Nabi, lalu meninggalkan selawat dan sunnah Nabi pada hari-hari berikutnya.