Monday, August 25, 2014

Debat dalam lembaran hidupku...

Dari kiri: Kak Huda, Kak Lina, Kak Diyana
Team MUSLEH yang menang juara 2009 yang datang menonton kami pada 17 Jun 2012

Saya mula minat debat masa darjah 4. Kakak saya masuk debat masa f3. Jadi sayalah penonton setia. Melihat mereka, saya rasakan seperti itulah yang saya mahu jadi satu hari nanti.

Dari situ lagi saya diajar untuk berfikir, jika isu ini apa kebaikannya, apa keburukannya, diajar bagaimana hendak melihat sesuatu daripada kaca mata berbeza. Saya dengar mereka dikomen, dimarahi, suka duka mereka dan lain-lain. Sehingga ke satu tahap, saya sendiri boleh fikir sepatutnya kalau buat macam ini macam ini... eheh.

Oleh kerana keluarga saya amat menyokong debat, sering kami membedah isu dalam kereta dan sebagainya. Jika ada yang membaca sesuatu isu, dia akan berkongsi. Ceritakan pandangan masing-masing, pro dan kontra sesuatu dan sebagainya.

Kemudian dalam darjah 5 tak silap, hari kokurikulum sekolah rendah, Kelab Media ada mempersembahkan bahas. Ingatkan debat dan bahas adalah 2 benda yang sama keseluruhannya, namun pada ketika itu barulah saya tahu debat yang selama ini saya tengok adalah ala-parlimen. Dan, Muallimah Zalihan ketika itu guru Kelab Media telah memberikan skrip untuk dibaca.

Bangga juga lah. Kerana berjaya "berdebat" walaupun tak lah se"debat" mana...


****


Saya dipanggil untuk "latihan debat" di Al-Amin sebelum saya benar-benar pelajar Al-Amin lagi. Ketika itu, saya belum masuk sekolah. Tetapi dah dipanggil kerana kakak saya adalah pendebat sekolah.

Kroni lah kiranya. Ahakss...

Kak Khalilah, Kak Diyana dengan Abg Nabil Afham ketika itu mengajar debat beberapa minit, terus bahagi kumpulan ikut tingkatan dan terus berlawan.

Bayangkan, ketika itu kami masih tingkatan 1 dan berjumpa dengan abang-abang tingkatan 5.

Masa itu, tingkatan 5 adalah "makhluk" yang digeruni. Mereka berkuasa penuh terhadap junior. Bila-bila masa, mereka boleh panggil dan denda. Sekarang buat macam itu memang ibu bapa telefon sekolah lah.

Tangan terasa bergetar, lutut terasa lemah. Tapi apapun, saya ingat yang saya panggil mereka "hitam" kerana mereka semua berbaju hitam. Terpengaruh dengan perlawanan yang pernah ditonton lah katakan...

Kemudian sepanjang saya tingkatan 1 saya tidak terlibat apa-apa dengan debat. Kecuali, akhir tahun diadakan debat antara kelas. Menengah rendah satu kategori menengah atas satu kategori.

Mewakili 1 At-Tabari ketika itu saya, Izlyn dan Rayyan. Konfiden ketika itu. Kerana aku rasa dalam ramai-ramai, yang paling tahu debat-debat ini, sayalah orangnya.

Sistem kalah mati. Setelah menang di peringkat tingkatan 1, kami final lawan tingkatan 2. Ketika itu diwakili oleh Muhammad Sahrim, Tengku Umar dan Afandi tak silap. Usul tentang keperluan sambutan kemerdekaan lebih kurang.

Akhirnya nak cerita, 1 At-Tabari juara.

Ah, itu semua kenangan  manis-manis debat ini.


****

Fakhrul dan Mu'az (Gambar: 17 Jun 2012)

Mula dengan latihan debat ketika tingkatan 2. Fakhrul melatih kami iaitu Azhad, Amira, Anisah, Izlyn, Ameerah Azmil dan lain-lain. Diugut baling selipar dan sebagainya. Ketika itu rasa bagaimana banin (lelaki) terpinggir. Setiap kali datang mesti ramai banat (perempuan). Tapi tak mengapa, kami redah sahaja.

Sepanjang debat ini kami bukan sahaja berlatih lawan, tetapi kami sentiasa diingatkan agar menjaga niat. Kami juga diberitahu tentang ikhtilat, batasnya dan sebagainya. Jadi sebenarnya isu ikhtilat tidaklah begitu besar.

Jika sesiapa yang pernah debat, akan tahu bagaimana dalam 30 minit perbincangan itu tiada masa nak naik syahwat pun. Dan semasa perlawanan itu pun tidak ada masa. Malah ada adrenaline rush lagi. Masa di luar debat, menjaga itu tanggungjawab kita lah. Sebab itu alumni sentiasa ingatkan tentang ikhtilat dan jika melampau, akan terus menegur.

Niat kami, kami ingin menaikkan nama Islam. Selama ini, sentiasa SBP atau MRSM sahaja yang mengungguli debat. Ketika iu juga, terdapat stigma yang pelajar SBP sahaja yang hebat dan sekolah MUSLEH ini adalah kelas kedua.

Sambung cerita.

Bulan 4, kami sertai Debat AYSK. Kenangan yang paling pahit rasanya. Kerana dalam latihan saya telah banyak perbaiki teknik debat saya. Tapi Allah turunkan AYSK itu sebagai pembuka mata. Bayangkan, pasukan saya, saya, Najat, Amira dan Ameerah, kalah dua pusingan pertama. Ada air mata, ada sedih, ada rasa putus harap.

Hari kedua, kalah lagi 2 pusingan. ketika itu saya sudah imun dengan kekalahan. Alah, kalah...

Akhirnya pusingan kelima menang dan mendapat pendebat terbaik. Usul masih segar di kepala. Rumput lebih teguh daripada cengal. Kami kerajaan membawa mengenai perbandingan demokrasi dan monarki tak silap.

Jadi, sejak itu, saya hampir tak kesah jika kalah. Kerana saya pernah rasa lebih daripada satu dua kekalahan.


****


Final MUSLEH 2011 (Gambar 3 Julai 2011)

Tahun itu, aku dipilih untuk menjadi simpanan untuk pasukan ke Debat MUSLEH. Pasukan Mu'az, kak Khalidah dan Najat. Namun tiba-tiba, aku tahu yang MUSLEH tak mempunyai pemain simpanan. Terkilan itu terkilan juga. Tetapi pengalaman dapat bersama pasukan itu sehingga ke final mereka adalah sesuatu yang sangat berharga. Saya sejuk-sejuk tangan menanti keputusan.

Setiap pusingan itu terlalu sengit. Mereka tidak pernah mencapai margin yang tinggi.

Seperti memang rezeki semata-mata.

Namun Allah nak tunjuk, sesiapa yang Allah kehendaki pasti akan berjaya.

Pasukan itu, adalah pasukan yang sangat baik. Mereka berlatih setiap malam... dan kami sebagai pelapis hadir bersama. Mereka lakukan solat hajat, doa untuk masing-masing dan sebagainya.

Hehehe, yang paling penting, mereka memberikan saya peluang untuk rasa bagaimana berada dalam pasukan yang ke perlawanan akhir... walaupun hanya sebagai penonton semata.


****


Debat IDC 2011 (Gambar: 17 Julai 2011)

Debat UIA ketika itu, saya, Najat dan Amira. Ketika itulah kami pasukan ke 25. Pasukan ke 24 akan masuk ke pusingan kalah mati. Tapi Allah belum takdirkan lagi. Antara usul yang saya masih ingat, "Dunia lebih aman tanpa Amerika Syarikat". Kami pembangkang lawan SDAR. Kalah margin (beza markah) 4. Tapi masih membanggakan kerana setakat yang kami tanya, itulah margin paling rendah jika berjumpa dengan SDAR.

Kamilah pemecah rekod. Al-Amin sebelum ini tak pernah tak masuk pusingan kalah mati.

MUSLEH 2013 (Gambar: 17 Jun 2013)

Selepas itu, semuanya tak masuk pusingan kalah mati (istilahnya: break). Komposisi pasukan berubah. Team saya Najat Muhammad juga. Najat sudah keluar daripada sekolah team saya Muhammad Azhad pula. Namun semuanya sehingga 2013 tidak pernah masuk kalah mati.

Adalah beberapa highlights. Perlawanan pusingan awal terakhir tiba-tiba berjumpa dengan STAR. Tajuk "Demonstrasi lambang demokrasi". Kerajaan. Dan kalah. STAR sebut tentang legislatif dan eksekutif kami tak faham apa pun. Hehehe...

MUSLEH 2013 (Gambar: 27 Jun 2013)


Benda pelik-pelik kami cipta. Istilah ekonomi "inflasi syarikat". Yang akhirnya menyebabkan kena gelak dengan penonton.


****


Tahun ini. 2014. Cikgu Azziah selama ini banyak membantu, membuat latihan dengan UIA dan sebagainya, keluar daripada bumi Al-Amin. Terasa seperti dunia debat di Al-Amin hampir terkubur selamanya.

Namun Cikgu Latipah menjadi guru debat yang sangat hebat. Walaupun masih belum tahu serba-serbi tentang debat ini, cikgu berjaya mengumpulkan pelapis yang ramai. Awalnya yang dikumpul seramai hampir 50 orang. Kemudian tapisan Allah, tinggallah kurang 20, tapi masih satu jumlah yang boleh dibanggakan.

Mula-mula, ketika kami hilang punca siapa nak latih kami, Nabil lah orangnya yang mula-mula datang kepada kami. Melatih junior, melatih kami sikit-sikit. Masalahnya kami tidak mempunyai match setara di sekolah. Kerana pelapis semuanya masih kain putih. Jadi akhirnya, kami melatih pelapis sahaja. Nabil pun mula sibuk dan kamilah mengambil inisiatif sendiri.

Kemudian akhirnya muncullah Muhammad kembali sebagai alumni. Lebih kurang sebulan sebelum IDC rasanya. Barulah ada beberapa sesi latihan untuk kami. Tapi itu pun masih belum benar-benar serius. Azhad dan Amira bertukar posisi. Asalnya Azhad ketiga Amira kedua, dan ditukar.

Hingga saya pergi umrah dan balik. Lepas balik barulah betul-betul intensif. Seminggu sebelum IDC. Sebelum IDC, saya tak pernah jadi Ketua Pembangkang. Asal ada latihan, mesti kerajaan. Nak latih buka kes lah katakan. Total perlawanan yang saya lawan kurang daripada 10 sebelum IDC pada tahun 2014.

IDC 2014 (Gambar: 16 Ogos 2014)

Namun Allah takdirkan, mungkin atas usaha dan pengalaman debat sebelum ini, kami jejakkan kaki ke IDC jua. Saya sebenarnya tak target apa-apa pun. Kerana kami terlalu tidak ada latihan. Seolah-olah melanggar sunnatullah kalau kami break.

Pusingan pertama. Kami kalah. Lawan Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib.

Saya seperti sudah dikatakan tadi, sudah imun dengan kekalahan. Jadi tak mengapa.

Pusingan kemudian itu kami menang kesemuanya Alhamdulillah. Sehingga ada beberapa yang Allah beri margin besar pula. Rupanya, hikmah Allah beri kalah awal itu, dua pusingan kemudiannya kami berjumpa dengan sekolah yang hampir tiada asas debat. Menyebabkan kami boleh menang margin besar.





Dan pencapaian terbaik Al-Amin kami cipta. Al-Amin menduduki tangga ke-4 IDC. Tersenyum ria. Sebelum ini, tak saya sangka pun akan break. Namun kami bukan sekadar break, malah layak masuk octo terus (kerana rank 1-8 tak perlu masuk double-octo, rank 9-24).

Namun kami kalah di pusingan octo dengan SBPI Gombak atas sebab kami sendiri. Usul, "Pelakon Wajib Cantik". Ntah kenapa, kami lihat itu sebagai usul perlambangan. Kami bawa tentang guru wajib ada empati.

Ok, kami mengarut. Konfirm kalah.


****

Selepas tewas suku akhir MUSLEH (Gambar: 25 Ogos 2014)

Tiba ke MUSLEH. Antara MUSLEH dengan IDC ada 1 latihan yang betul-betul muntij (bernatijah). Akhirnya, kami dapat membina konsep dengan baik.

Maka kami masuk MUSLEH dengan harapan yang lebih besar. Kami nak menang!

Pusingan demi pusingan, kami menang. Pertama jumpa SMI Aman. Kedua jumpa SMI Al-Hidayah JB, Ketiga jumpa ASIS. Keempat jumpa Al-Amin Bangi. Kelima...

Jumpa SDAR. Kami kalah jua akhirnya. Kami agak tak puas hati kerana mereka tidak dengar dan banyak belit. Tapi, nak buat macam mana, mereka cakap sangat meyakinkan.

Bersama pelapis debat (Gambar: 25 Ogos 2014)

Akhirnya, kami di rank ke-6. 4 pasukan pertama akan masuk ke suku akhir terus manakala 5-12 akan masuk pusingan pra-suku akhir.



Pra-suku akhir kami menentang Al-Amin Bangi. Usul Wawasan 2020 sudah boleh dilupakan. Kami menang Alhamdulillah.

Suku akhir kami menentang SMAP Kajang. Usul Negara berpendapatan tinggi hanya mimpi. Kami tewas. Tapi kami berpuas hati kerana telah melakukan semaksimanya.


****

Banyak benda yang saya pelajari sepanjang debat.

1. Ilmu asas. Contohnya Negara Berpendapatan Tinggi, rasionalisasi subsidi, GST, isu MB... tiada noktahnya. Menjadi suatu kepuasan apabila kita boleh mulakan karangan fakta kita dengan, "Menurut... menunjukkan peningkatan...". Dan untuk mengetahui perkara itu mempunyai dua sudut pandang, adalah satu nikmat sebenarnya.

2. Ilmu bercakap. Sangat membantu bila kita hendak memahamkan orang lain apa yang kita cuba sampaikan. Dan kita konfiden dengan apa yang kita cakap, boleh cakap tanpa teks dan sebagainya.

IDC 2012 (Gambar: 16 Jun 2012)

3. Ilmu berkumpulan. Dalam satu pasukan ada beberapa jenis manusia. Ada yang jenis menguasai, ada yang jenis menerima sahaja. Dalam pasukan kami 2014 ini, saya dan Azhad keduanya jenis mendominasi. Maka, untuk tak bergaduh itu susah sebenarnya. Banyak yang kedua-dua pihak perlu korbankan dan turunkan ego masa perbincangan agar tidak berlaku pergaduhan. Penerimaan dan kepercayaan kepada ahli pasukan itu teramatlah penting dalam debat.... dan dunia sebenar.

Dalam dunia ini yang benar-benar kenal ana tak ramai. Majoriti mereka adalah yang terlibat dengan debat.

Banyak lagi sebenarnya. Melalui perkongsian dengan senior dan sebagainya.


****


Khas:

Jutaan terima kasih buat:
1. Mak dan Abah yang selama ini banyak membantu menyediakan pengangkutan, input maklumat, makanan dan semangat.

2. Ahli pasukan, Azhad dan Amira kerana bersama dalam debat 2014. Minta maaf segala salah silap sepanjang kita bersama. Sepanjang debat ini banyak belajar dengan antuma, kenal dan sebagainya. Tanpa salah seorang daripada kita, kita takkan tercapai ke peringkat ini.

IDC 2014 (Gambar: 17 Ogos 2014)

3. Semua jurulatih yang pernah latih, Cikgu Azziah, Abg Saiful, Abdul Muiz, Fakhrul, Kak Huda, Kak Diyana, Kak Lina, Abg Nabil, Mu'az, Muhammad... dan terutamanya Abdul Hadi yang banyak membantu sepanjang IDC dan MUSLEH 2014. Dan Abg Ammar dan Abg Amir Saifuddin kerana ketika ada masa sahaja akan jenguk kami... dan Kak Iman yang belanja.

Peserta IDC 2012 dibelanja

4. Semua "lori" Al-Amin, Alumni, junior, sahabat 2NT, rakan Black Army, guru-guru yang selama ini menyumbang untuk kami. Melihat anda angguk dan tepuk sangatlah membantu sebenarnya.  Datang dengan baju Black Army memang menaikkan semangat sebenarnya.

Muhasabah malam IDC 2014 (Gambar: 16 Ogos 2014)

5. Guru-guru Al-Amin di sekolah yang menyumbang doa di samping tak marah kami tidak masuk kelas dan sebagainya untuk latihan kami. Buat guru-guru, maafkan kami. Kadang kala kami datang sekolah namun tidak mengikut peraturan barang larangan dan sebagainya kerana terpaksa. Mungkin menjatuhkan imej Al-Amin pada mata anda, tapi ana minta maaf banyak-banyak. InsyaAllah, kami bukanlah jenis mereka yang suka melanggar peraturan sesuka kami.

6. Khas untuk junior debat, antum kekallah dengan debat ini. Banyak ia membentuk karakter ana. Akhirnya, antum sendiri yang dapat manfaatnya.

7. Cikgu Latipah dan Cikgu Faizura yang menjadi guru pengiring dan guru debat yang sangat cemerlang walaupun masih baru.

8. Khas buat Puan Norma, pengetua Al-Amin yang sangat menyokong aktiviti debat di sekolah. Malah datang untuk menyokong kami.

Moga Allah membalas jasa antum semua dan memberikan antum semua jannah bersama golongan yang dimuliakan Allah. Allah redha dengan kita dan kita redha dengan Allah.


****

Kini segalanya menjadi memori, yang akan menyebabkan tersenyum sendiri apabila mengenangnya. Pahit manis ketika mengharunginya diingati sebagai manis jua.

Banyak lagi nak cakap pasal debat sebenarnya. Kerana ia adalah satu episod yang amat signifikan dalam hidup di Al-Amin.

Tercampur habis "ana", "aku" dan "saya". Ntah lah kenapa. Kahkahkah.

Thursday, August 21, 2014

Sudahkah kaubelah hati mereka?



Perang berkecamuk. Bunyi dentingan pedang bertemu pedang disertai oleh jerit pekik manusia.

Setelah pertarungan sengit akhirnya, Usamah bin Zaid RA berjaya menundukkan lawannya. Muka tewas musuhnya mendongak melihatnya sambil bibirnya mengucapkan kalimah syahadah yang mulia.

Berderau darah muda. Pengecut, ujar hatinya. Beliau terus memancung kepala orang yang ditewaskannya.

Sang Bulan Purnama murka mendengar langkah gopoh gapah anak kepada anak angkatnya.

Usamah cuba mempertahankan diri dengan mengatakan dia hanya mengucap kerana takutkan ajal yang menghampirinya.

"Sudahkah kaubelah hatinya?"

Balas nabi mulia. Tiga kali diulang oleh Baginda.


****


Kaum musyrik Makkah lari. Kemenangan Islam itu pasti.

Melihat itu, perajurit di atas bukit itupun ingkar arahan nabi meninggalkan posisi.

Malangnya ada yang mengatakan harta rampasan yang mereka cari. Sengaja ingkar arahan nabi.

Sudahkah kaubelah hati mereka?

Tah-tah mereka turun kerana menyangka perang sudahpun diakhiri. Sangka mereka, larangan nabi itu sudah tiada lagi.

Ataupun mereka turun untuk mengejar yang lari. Biar mereka pergi tak kembali.

Jikalau benar benar mereka begitu cintakan dunia ini nescaya nabi takkan bawa mereka keluar perang bersama nabi.


****


Membaca surat itu, Abu Ubaidah tergamam. Manik-manik jernih muncul di tubir matanya. Lalu meminta semua yang tahu kandungan surat itu rahsiakan kandungannya.

Belum tiba masanya lagi, ujarnya.

Berkibaranlah panji-panji Islam megah di dada medan Yarmuk setelah tamat pertarungan melibatkan ribuan nyawa.

Diumumkan Abu Ubaidah kandungan surat itu, mengkhabarkan pemergian Khalifah pertama. Dan Umar telah memecat Khalid sebagai ketua tentera. Terkejut semua.

Kononnya, Umar iri dengan kejayaan Khalid dalam kariernya. Maka atas bencinya itu jawatan Khalid dilucutkannya.

Sudahkah kaubelah hatinya?

Padahal Umar memecatnya atas beberapa arahan yang diingkarinya. Seperti pergi haji tanpa pengetahuan Abu Bakar dan meninggalkan tenteranya. Juga atas dalil beberapa kecuaian Khalid dalam menjalankan tanggungjawabnya.

Fikir Khalifah kedua, mungkin Khalid lebih sesuai berjuang sebagai askar biasa-dan itulah yang dilakukan oleh Khalid selepas lucut jawatannya.


****


Berlayarlah kapal-kapal itu ke sebuah semenanjung. Dalam selimut gelap malam, kapal itu tiba dengan selamatnya.

Apabila diketahui rajanya kehadiran mereka, dihantarnya tentera raksasa. Namun tewas juga di tangan tentera Islam yang lebih kecil bilangannya.

Ada yang kata, Tariq ibn Ziyad ketua operasi itu pengambil risiko orangnya. Dibakarnya semua kapal yang membawa mereka ke sana. Biar tentera Islam berjuang sehabis daya.

Sudahkah kaubelah hatinya?

Sejak bila tentera Islam lemah sehingga perlu dibakar kapalnya baru akan berjuang tanpa putus asa? Bukankah kita tidak takut mati sepatutnya?

Bahkan Tariq takkan tergamak membakarnya. Kerana ia bukanlah kapal miliknya sahaja.

Bahkan ia adalah propaganda menjustifikasi kekalahan mereka menentang kita.


****


Khalifah termenung. Sepucuk surat dalam genggamannya mengganggu fikirannya.

Musa An-Nusair dan Tariq ibn Ziyad sudah berjaya menundukkan semenanjung Andalusia. Kemudian memohon izin meneruskan misi menyampaikan risalah Illahi ke Perancis di utara.

Setelah berfikir sedalamnya, Khalifah menggagalkan hasrat murni Musa, bahkan memanggil pulang Musa dan Tariq menghadapnya di ibu negara.

Ada yang mengatakan khalifah Al-Walid itu disogok harta, malah memfitnah beliau termakan pujukan wanita.

Sudahkah kaubelah hatinya?

Malah dikatakan sebabnya ialah memikirkan keselamatan Wilayah Islam jagaannya.

Kerana ia sudah terlalu jauh dengan Damsyik sebagai pusat pentadbiran dan ketenteraan negara. Terlalu jauh untuk menghantar tentera bantuan jika perlukannya.

Malah dikhuatiri jika diteruskan terdapat perangkap oleh puak kristian di Perancis sana.

Maka pulanglah Musa dan Tariq disambut oleh Al-Walid sebagai menakluk perkasa penyampai risalah mulia ke semenanjung Andalusia.


****


Menyelak lembaran sejarah takkan lari dari pendapat penulis dan siapa yang disokongnya.

Soal hati dan perasaan, akal dan pemikiran amatlah payah untuk dipastikan terutamanya apabila membincangkan mereka yang sudah kehilangan nyawa.

Namun tanggapan-tanggapan sejarawan tak salah semuanya. Bahkan ada yang sempat berjumpa dengan orang yang ditulis tentangnya.

Malangnya apabila sumber primer ini diolah oleh penulis-penulis yang menokok tambah untuk menerangkan dan mengisi kekosongan fakta, pemisah fakta dan auta menjadi samar sahaja.

Bertambah masalah apabila sumber tertier dan seterusnya pula diolah dan ditambah lagi dan dihurai lagi sehingga fakta semuanya diputar semula.

Akhirnya sebagai bangsa malas membaca, kita mendapat tanggapan yang salah terhadap sejarah kita.

Membaca novel sejarah, sebuah karya percampuran antara fakta dan auta secara nyata. Malah ada yang mencampurkan kedua ini dan mengaku ia sebagai fiksyen sejarah pula.

Fiksyen adalah rekaan dan sejarah adalah fakta. Kesan gabungan keduanya? Pembaca tidak tahu yang manakah fakta yang manakah sekadar lagenda.

Berhati-hati dengan pemahaman sejarah anda. Jangan sampai anda memfitnah manusia tanpa anda ketahui hakikatnya. Cukuplah sekadar fakta.

Dan amaran buat penulis novel sejarah yang melemparkan tuduhan yang sama sekali tak berasas kepada figura-figura Islam untuk menjaga kesensasiannya...

... seperti mengatakan Khalifah YAZID diberi wanita dan harta untuk membatalkan ekspedisi Musa An-Nusair ke utara Andalusia...

...anda yang akan jawab di hadapan Tuhan, semua pembaca dan Khalifah Yazid sebenar di hadapan neraca amal anda.

Thursday, August 7, 2014

Mana sekutu Melaka sewaktu kejatuhannya?



Hari Khamis lepas Ustaz Isharuddin mengajar tentang Kemerosotan Kesultanan Melayu Melaka. Petang itu, dirasakan begitu ringan kerana 3 soalan yang terlintas di hati ana sejak Darjah 4 apabila membaca buku sejarah Tingkatan 1 kakak ana. Kini, ana berada di Tingkatan 1.
Ustaz memberikan sebab yang meyakinkan dan memuaskan hati ana.

Soalan yang pertama.
Mengapakah Khilafah Uthmaniah tidak membantu Melaka?

Ustaz menjawab: Kerana Uthmaniah terlalu baru menakluk kota Konstantinopel atau Istanbul sekarang pada tahun 1453. Kerajaan itu masih memerlukan tentera yang banyak untuk mempertahankan Konstantinopel kerana masih ada tentera Byzantium dan tentera Salib yang ingin membebaskan kembali kota Konstantinopel iaitu ibu kota Empayar Romawi Timur.

Selain itu, ada khabar angin yang mengatakan mengatakan tentera Portugis ingin menyerang Makkah Al-Mukarramah. Oleh yang demikian, tentera Uthmaniah juga perlu mempertahankan Makkah. Apabila Portugis mengetahui tentera Uthmaniah sudah bersedia, mereka berpatah balik dan menyerang Melaka.

Dari penjelasan ini, timbul lagi satu soalan.
Mengapakah tentera Uthmaniah tidak mengejar tentera Portugis?

Ustaz menjawab: Kerana Uthmaniah tidak mahu tenteranya berpecah terlalu jauh sehingga satu berada di Eropah dan satu lagi berada di Asia tenggara. Satu di utara dan satu di selatan.

Soalan yang kedua.
Mengapakah China tidak membantu Melaka?

Ustaz menjawab: Kerana China ketika itu mempunyai masalah dalaman. Selain itu, hubungan Melaka-China sudah kendur apabila Tun Mutakhir menjadi bendahara Melaka. Kelemahan pemimpin Melaka iaitu Sultan Mahmud Shah juga menyebabkan China teragak-agak untuk membantu Melaka.

Soalan yang ketiga.
Mengapakah Johor tidak berjaya menewaskan Portugis walaupun dengan jumlah tentera yang ramai?

Ustaz menjawab: Portugis belajar daripada cubaan untuk menawan semula Melaka yang berkali-kali oleh kerajaan Johor. Portugis membina dan menebalkan kota A Famosa untuk mempertahankan kedudukannya. Sebaliknya, Johor tidak belajar daripada kekalahan Melaka dan cubaan-cubaanya yang gagal. Apabila Johor gagal, Johor menambahkan lagi tenteranya tetapi tidak berusaha untuk mencanggihkan teknologi persenjataan mereka. Mereka lebih mementingkan kuantiti daripada kualiti.

Selepas berfikir mengenai jawapan-jawapan ini, mula terlintas di hati saya beberapa soalan lagi.



Mengapakah Uthmaniah tidak memberikan teknologi persenjataan kepada Melaka sedangkan Uthmaniah berjaya meruntuhkan tembok Konstantinople menggunakan meriam yang boleh menembak peluru seberat 300 kg dengan jarak tembakan sejauh 1 batu?

Mengapakah China tidak memberikan teknologi persenjataan kepada Melaka sedangkan Chinalah yang mula-mula mencipta ‘Gun powder’?

Mengapakah Melaka tidak bernaung dibawah Kerajaan Uthmaniah walaupun ia mengatakan bahawa ia adalah Negara Islam? Pada pendapat ana, Uthmaniah mungkin akan lebih berusaha untuk membantu Melaka dan menghantar tentera untuk mengawal sempadan serta berkongsi teknologi persenjataannya.

Walau bagaimanapun, ana berterima kasih kepada Ustaz Isharuddin Ismail di atas penjelasan yang meyakinkan. Sebelum ini, ada ana dapat cerita bahawa kapal yang menghantar bantuan dilanda rebut, tenggelam di lautan dan pelbagai cerita lagi yang ana rasakan tidak munasabah.

****

Aku memang tak suka artikel ciplak. Tapi ini adalah artikel yang aku sendiri tulis pada 2010, semasa tingkatan 1 tanpa mengubah 1 perkataan pun. Semoga bermanfaat.

Untuk persoalan yang aku ajukan semasa tingkatan 1 di hujung artikel itu, aku sudah mendapat jawapannya.

Tentang Uthmaniyyah tak memberi teknologi kepada Melaka, jawapannya ada. Dikisahkan kerajaan Acheh tak silap, telah memohon bantuan Uthmaniyyah untuk menghapuskan Portugis.

Namun ada penundaan sehingga mereka kehabisan bekalan dan hadiah-hadiah yang dipersembahkan kepada Sultan Uthmaniyyah daripada Acheh semua telah habis dijual untuk mendapatkan makanan kecuali secupak lada. Apabila utusan itu mengadap Sultan Uthmaniyyah, baginda menganugerahkan sepucuk meriam. Ia dinamakan Meriam Lada Sicupak.

Jika kita mempelajari prosa tradisional, kita mendapati senjata-senjata seperti meriam, bedil dan sebagainya telah wujud. Ada yang mengatakan teknologi ini tiba ke Nusantara daripada China.

Wallahu a'lam.

Tetapi aku sendiri berpendapat, bukanlah senjata itu penyebab utama jatuhnya Melaka. Bukan kerana tiada bantuan. Tetapi kerana kelemahan Melaka itu sendiri. Pemimpinnya dan pegangan agama penduduknya. Ketika sudah mencapai zaman kegemilangan, mula ramai yang leka menjauhkan diri daripada Pencipta segala.

Terserlahlah kelemahan dan keburukan segala. Mula berfoya-foya, akhirnya tewas di tangan Portugis yang mengintai peluangnya menyebar apa yang dikatakan sebagai injil mereka.

Gaza tanpa senjata canggih tapi dengan bantuan Allah pun masih dapat mempertahankan negara.

Renung-renungkan bersama. Siapa tak mempelajari sejarah pasti akan mengulanginya. Cukuplah dengan kekalahan sedia ada.