Thursday, August 7, 2014

Mana sekutu Melaka sewaktu kejatuhannya?



Hari Khamis lepas Ustaz Isharuddin mengajar tentang Kemerosotan Kesultanan Melayu Melaka. Petang itu, dirasakan begitu ringan kerana 3 soalan yang terlintas di hati ana sejak Darjah 4 apabila membaca buku sejarah Tingkatan 1 kakak ana. Kini, ana berada di Tingkatan 1.
Ustaz memberikan sebab yang meyakinkan dan memuaskan hati ana.

Soalan yang pertama.
Mengapakah Khilafah Uthmaniah tidak membantu Melaka?

Ustaz menjawab: Kerana Uthmaniah terlalu baru menakluk kota Konstantinopel atau Istanbul sekarang pada tahun 1453. Kerajaan itu masih memerlukan tentera yang banyak untuk mempertahankan Konstantinopel kerana masih ada tentera Byzantium dan tentera Salib yang ingin membebaskan kembali kota Konstantinopel iaitu ibu kota Empayar Romawi Timur.

Selain itu, ada khabar angin yang mengatakan mengatakan tentera Portugis ingin menyerang Makkah Al-Mukarramah. Oleh yang demikian, tentera Uthmaniah juga perlu mempertahankan Makkah. Apabila Portugis mengetahui tentera Uthmaniah sudah bersedia, mereka berpatah balik dan menyerang Melaka.

Dari penjelasan ini, timbul lagi satu soalan.
Mengapakah tentera Uthmaniah tidak mengejar tentera Portugis?

Ustaz menjawab: Kerana Uthmaniah tidak mahu tenteranya berpecah terlalu jauh sehingga satu berada di Eropah dan satu lagi berada di Asia tenggara. Satu di utara dan satu di selatan.

Soalan yang kedua.
Mengapakah China tidak membantu Melaka?

Ustaz menjawab: Kerana China ketika itu mempunyai masalah dalaman. Selain itu, hubungan Melaka-China sudah kendur apabila Tun Mutakhir menjadi bendahara Melaka. Kelemahan pemimpin Melaka iaitu Sultan Mahmud Shah juga menyebabkan China teragak-agak untuk membantu Melaka.

Soalan yang ketiga.
Mengapakah Johor tidak berjaya menewaskan Portugis walaupun dengan jumlah tentera yang ramai?

Ustaz menjawab: Portugis belajar daripada cubaan untuk menawan semula Melaka yang berkali-kali oleh kerajaan Johor. Portugis membina dan menebalkan kota A Famosa untuk mempertahankan kedudukannya. Sebaliknya, Johor tidak belajar daripada kekalahan Melaka dan cubaan-cubaanya yang gagal. Apabila Johor gagal, Johor menambahkan lagi tenteranya tetapi tidak berusaha untuk mencanggihkan teknologi persenjataan mereka. Mereka lebih mementingkan kuantiti daripada kualiti.

Selepas berfikir mengenai jawapan-jawapan ini, mula terlintas di hati saya beberapa soalan lagi.



Mengapakah Uthmaniah tidak memberikan teknologi persenjataan kepada Melaka sedangkan Uthmaniah berjaya meruntuhkan tembok Konstantinople menggunakan meriam yang boleh menembak peluru seberat 300 kg dengan jarak tembakan sejauh 1 batu?

Mengapakah China tidak memberikan teknologi persenjataan kepada Melaka sedangkan Chinalah yang mula-mula mencipta ‘Gun powder’?

Mengapakah Melaka tidak bernaung dibawah Kerajaan Uthmaniah walaupun ia mengatakan bahawa ia adalah Negara Islam? Pada pendapat ana, Uthmaniah mungkin akan lebih berusaha untuk membantu Melaka dan menghantar tentera untuk mengawal sempadan serta berkongsi teknologi persenjataannya.

Walau bagaimanapun, ana berterima kasih kepada Ustaz Isharuddin Ismail di atas penjelasan yang meyakinkan. Sebelum ini, ada ana dapat cerita bahawa kapal yang menghantar bantuan dilanda rebut, tenggelam di lautan dan pelbagai cerita lagi yang ana rasakan tidak munasabah.

****

Aku memang tak suka artikel ciplak. Tapi ini adalah artikel yang aku sendiri tulis pada 2010, semasa tingkatan 1 tanpa mengubah 1 perkataan pun. Semoga bermanfaat.

Untuk persoalan yang aku ajukan semasa tingkatan 1 di hujung artikel itu, aku sudah mendapat jawapannya.

Tentang Uthmaniyyah tak memberi teknologi kepada Melaka, jawapannya ada. Dikisahkan kerajaan Acheh tak silap, telah memohon bantuan Uthmaniyyah untuk menghapuskan Portugis.

Namun ada penundaan sehingga mereka kehabisan bekalan dan hadiah-hadiah yang dipersembahkan kepada Sultan Uthmaniyyah daripada Acheh semua telah habis dijual untuk mendapatkan makanan kecuali secupak lada. Apabila utusan itu mengadap Sultan Uthmaniyyah, baginda menganugerahkan sepucuk meriam. Ia dinamakan Meriam Lada Sicupak.

Jika kita mempelajari prosa tradisional, kita mendapati senjata-senjata seperti meriam, bedil dan sebagainya telah wujud. Ada yang mengatakan teknologi ini tiba ke Nusantara daripada China.

Wallahu a'lam.

Tetapi aku sendiri berpendapat, bukanlah senjata itu penyebab utama jatuhnya Melaka. Bukan kerana tiada bantuan. Tetapi kerana kelemahan Melaka itu sendiri. Pemimpinnya dan pegangan agama penduduknya. Ketika sudah mencapai zaman kegemilangan, mula ramai yang leka menjauhkan diri daripada Pencipta segala.

Terserlahlah kelemahan dan keburukan segala. Mula berfoya-foya, akhirnya tewas di tangan Portugis yang mengintai peluangnya menyebar apa yang dikatakan sebagai injil mereka.

Gaza tanpa senjata canggih tapi dengan bantuan Allah pun masih dapat mempertahankan negara.

Renung-renungkan bersama. Siapa tak mempelajari sejarah pasti akan mengulanginya. Cukuplah dengan kekalahan sedia ada.

No comments:

Post a Comment