Thursday, August 21, 2014

Sudahkah kaubelah hati mereka?



Perang berkecamuk. Bunyi dentingan pedang bertemu pedang disertai oleh jerit pekik manusia.

Setelah pertarungan sengit akhirnya, Usamah bin Zaid RA berjaya menundukkan lawannya. Muka tewas musuhnya mendongak melihatnya sambil bibirnya mengucapkan kalimah syahadah yang mulia.

Berderau darah muda. Pengecut, ujar hatinya. Beliau terus memancung kepala orang yang ditewaskannya.

Sang Bulan Purnama murka mendengar langkah gopoh gapah anak kepada anak angkatnya.

Usamah cuba mempertahankan diri dengan mengatakan dia hanya mengucap kerana takutkan ajal yang menghampirinya.

"Sudahkah kaubelah hatinya?"

Balas nabi mulia. Tiga kali diulang oleh Baginda.


****


Kaum musyrik Makkah lari. Kemenangan Islam itu pasti.

Melihat itu, perajurit di atas bukit itupun ingkar arahan nabi meninggalkan posisi.

Malangnya ada yang mengatakan harta rampasan yang mereka cari. Sengaja ingkar arahan nabi.

Sudahkah kaubelah hati mereka?

Tah-tah mereka turun kerana menyangka perang sudahpun diakhiri. Sangka mereka, larangan nabi itu sudah tiada lagi.

Ataupun mereka turun untuk mengejar yang lari. Biar mereka pergi tak kembali.

Jikalau benar benar mereka begitu cintakan dunia ini nescaya nabi takkan bawa mereka keluar perang bersama nabi.


****


Membaca surat itu, Abu Ubaidah tergamam. Manik-manik jernih muncul di tubir matanya. Lalu meminta semua yang tahu kandungan surat itu rahsiakan kandungannya.

Belum tiba masanya lagi, ujarnya.

Berkibaranlah panji-panji Islam megah di dada medan Yarmuk setelah tamat pertarungan melibatkan ribuan nyawa.

Diumumkan Abu Ubaidah kandungan surat itu, mengkhabarkan pemergian Khalifah pertama. Dan Umar telah memecat Khalid sebagai ketua tentera. Terkejut semua.

Kononnya, Umar iri dengan kejayaan Khalid dalam kariernya. Maka atas bencinya itu jawatan Khalid dilucutkannya.

Sudahkah kaubelah hatinya?

Padahal Umar memecatnya atas beberapa arahan yang diingkarinya. Seperti pergi haji tanpa pengetahuan Abu Bakar dan meninggalkan tenteranya. Juga atas dalil beberapa kecuaian Khalid dalam menjalankan tanggungjawabnya.

Fikir Khalifah kedua, mungkin Khalid lebih sesuai berjuang sebagai askar biasa-dan itulah yang dilakukan oleh Khalid selepas lucut jawatannya.


****


Berlayarlah kapal-kapal itu ke sebuah semenanjung. Dalam selimut gelap malam, kapal itu tiba dengan selamatnya.

Apabila diketahui rajanya kehadiran mereka, dihantarnya tentera raksasa. Namun tewas juga di tangan tentera Islam yang lebih kecil bilangannya.

Ada yang kata, Tariq ibn Ziyad ketua operasi itu pengambil risiko orangnya. Dibakarnya semua kapal yang membawa mereka ke sana. Biar tentera Islam berjuang sehabis daya.

Sudahkah kaubelah hatinya?

Sejak bila tentera Islam lemah sehingga perlu dibakar kapalnya baru akan berjuang tanpa putus asa? Bukankah kita tidak takut mati sepatutnya?

Bahkan Tariq takkan tergamak membakarnya. Kerana ia bukanlah kapal miliknya sahaja.

Bahkan ia adalah propaganda menjustifikasi kekalahan mereka menentang kita.


****


Khalifah termenung. Sepucuk surat dalam genggamannya mengganggu fikirannya.

Musa An-Nusair dan Tariq ibn Ziyad sudah berjaya menundukkan semenanjung Andalusia. Kemudian memohon izin meneruskan misi menyampaikan risalah Illahi ke Perancis di utara.

Setelah berfikir sedalamnya, Khalifah menggagalkan hasrat murni Musa, bahkan memanggil pulang Musa dan Tariq menghadapnya di ibu negara.

Ada yang mengatakan khalifah Al-Walid itu disogok harta, malah memfitnah beliau termakan pujukan wanita.

Sudahkah kaubelah hatinya?

Malah dikatakan sebabnya ialah memikirkan keselamatan Wilayah Islam jagaannya.

Kerana ia sudah terlalu jauh dengan Damsyik sebagai pusat pentadbiran dan ketenteraan negara. Terlalu jauh untuk menghantar tentera bantuan jika perlukannya.

Malah dikhuatiri jika diteruskan terdapat perangkap oleh puak kristian di Perancis sana.

Maka pulanglah Musa dan Tariq disambut oleh Al-Walid sebagai menakluk perkasa penyampai risalah mulia ke semenanjung Andalusia.


****


Menyelak lembaran sejarah takkan lari dari pendapat penulis dan siapa yang disokongnya.

Soal hati dan perasaan, akal dan pemikiran amatlah payah untuk dipastikan terutamanya apabila membincangkan mereka yang sudah kehilangan nyawa.

Namun tanggapan-tanggapan sejarawan tak salah semuanya. Bahkan ada yang sempat berjumpa dengan orang yang ditulis tentangnya.

Malangnya apabila sumber primer ini diolah oleh penulis-penulis yang menokok tambah untuk menerangkan dan mengisi kekosongan fakta, pemisah fakta dan auta menjadi samar sahaja.

Bertambah masalah apabila sumber tertier dan seterusnya pula diolah dan ditambah lagi dan dihurai lagi sehingga fakta semuanya diputar semula.

Akhirnya sebagai bangsa malas membaca, kita mendapat tanggapan yang salah terhadap sejarah kita.

Membaca novel sejarah, sebuah karya percampuran antara fakta dan auta secara nyata. Malah ada yang mencampurkan kedua ini dan mengaku ia sebagai fiksyen sejarah pula.

Fiksyen adalah rekaan dan sejarah adalah fakta. Kesan gabungan keduanya? Pembaca tidak tahu yang manakah fakta yang manakah sekadar lagenda.

Berhati-hati dengan pemahaman sejarah anda. Jangan sampai anda memfitnah manusia tanpa anda ketahui hakikatnya. Cukuplah sekadar fakta.

Dan amaran buat penulis novel sejarah yang melemparkan tuduhan yang sama sekali tak berasas kepada figura-figura Islam untuk menjaga kesensasiannya...

... seperti mengatakan Khalifah YAZID diberi wanita dan harta untuk membatalkan ekspedisi Musa An-Nusair ke utara Andalusia...

...anda yang akan jawab di hadapan Tuhan, semua pembaca dan Khalifah Yazid sebenar di hadapan neraca amal anda.

No comments:

Post a Comment