Sunday, April 3, 2022

Refleksi Ramadan 2022 - Juz 2 - Kisah Talut & Jalut

1. Dalam ayat 247, Bani Israel bertanya kepada Nabi mereka, mengapa Talut yang dipilih sedangkan mereka merasakan mereka lebih berhak, dan Talut tidak mempunyai harta? Jawab Nabi mereka, Allah berikan kekuasaan kepada Talut, dan Allah beri Talut kelebihan dalam ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh.

2. Hak untuk mempimpin bukan hak mutlak mana-mana pihak. Yang layak ialah yang berilmu dan kuat tubuh badan. Sebab itu dua daripada ciri peribadi Muslim ialah kuat tubuh badan dan berpengetahuan luas.

3. Kini kita lihat banyak polemik sekitar usia pemimpin. Akhir sekali kita sepatutnya pilih pemimpin yang mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik. Tubuhnya harus cukup sihat untuk melaksanakan tugasnya, dan akalnya harus cukup tajam untuk melakukan tanggungjawabnya.

4. Kriteria untuk kekuatan untuk Talut ialah kerana beliau akan memimpin tentera. Dalam konteks kriteria wakil rakyat, kemampuan untuk pertamanya hadir ke dewan rakyat atau dewan undangan negeri, dan keduanya berbahas serta menyumbang kepada diskusi dalam dewan.

5. Pemimpin yang sekadar popular kerana harta, keturunan, retorik-retorik kosong tanpa idea bernas yang membantu diskusi dalam dewan akhirnya hanya akan melambatkan diskusi, membazirkan perbendaharaan negara, seterusnya secara amnya membebankan negara.

2 Ramadan 1443H

#ReRama22

Saturday, April 2, 2022

Refleksi Ramadan 2022 - Juz 1 - Kisah Nabi Ibrahim AS (mukasurat 19-20)



1. Sejauh mana kita menyerah diri kepada Allah? Apa suruhan Allah yang kita tinggal, larangan Allah yang kita buat?

Apabila Tuhan Nabi Ibrahim katakan kepadanya, “serahlah diri!” Beliau berkata, “aku berserah diri kepada Tuhan Sekalian Alam!” (Al-Baqarah 2:131)

2. Setiap amal kita, kita mesti sentiasa menyimpan harap Allah akan terima. Jangan kita dengan angkuh menganggap Allah akan terima setiap amalan kita secara automatik.

Ketika Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail membina Kaabah, rumah Allah, atas arahan Allah, mereka masih memohon Allah menerima amalan mereka. (Al-Baqarah 2:127)

3. Murah rezeki tak bermakna diredai. Bagi mereka yang menolak kebenaran dan mendustakan keEsaan Allah, mereka masih mendapat nikmat di dunia. (Al-Baqarah 2:126)

4. Keimanan kita kepada Allah akan mendorong kita “mewasiatkan agama” ini kepada generasi seterusnya. Belum ada anak sendiri, didiklah (tarbiahlah) adik-adik untuk menyerah diri kepada Allah.

Sebab itu Nabi Ibrahim sentiasa sebut tentang anak-anaknya, kemudian cucunya Nabi Yaakub juga mewasiatkan agama ini kepada anak-anaknya. (Al-Baqarah 2:132)

1 Ramadan 1443H

#ReRama22

________

Ini ialah siri refleksi, bukan tafsir. Sebarang salah silap boleh betulkan.