Tuesday, July 23, 2019

Resensi Buku Animal Farm : Muhasabah Buat Para Revolusioner


Buku Animal Farm karya George Orwell

"All animals are equals, but some animals are more equal than others."

#HarmoniMembaca

Aku mula berminat dengan buku Animal Farm karya George Orwell ini apabila novel ini disebut oleh Dr Maszlee pada tahun 2017, apabila beliau mengkritik ahli politik saling gelar-menggelar sesama sendiri dengan nama binatang.

Buku ini amat pendek dan sangat mudah difahami. Aku baca lebih kurang 3 jam sahaja sudah habis.

Ketika aku membaca buku ini, ia adalah semasa awal kerajaan Pakatan Harapan memerintah. Ketika itu, jiwaku masih membuak-buak dengan harapan dan keghairahan untuk Malaysia Baharu yang lebih baik.

Akan tetapi, buku ini mengubah persepsi aku terhadap keadaan selepas 9 Mei itu. Aku tidak lagi terlalu ghairah, tetapi aku lebih berhati-hati dan mula mempersoal, sejauh mana harapan rakyat Malaysia itu kekal dibawa oleh kerajaan Pakatan Harapan.

(Spoiler alert)

Buku ini memberi gambaran tentang keadaan sebuah revolusi yang dilakukan oleh warga Animal Farm perlahan-lahan dikhianati oleh babi-babi tanpa dirasai oleh haiwan-haiwan lain.

Haiwan-haiwan di Animal Farm mengharapkan kehidupan yang lebih baik, bebas daripada penghambaan oleh golongan manusia yang menguasai hidup mereka. Akhirnya, sebuah revolusi dibuat untuk menghalau manusia daripada ladang tersebut. Setelah manusia dihalau keluar, golongan babi diberi kepercayaan untuk memerintah kerana mereka ialah pencetus revolusi tersebut.

Asalnya, golongan babi itu mengangkat semangat dan harapan revolusi tersebut. Namun, lama kelamaan, satu per satu tunjang revolusi itu dikhianati oleh babi-babi yang memerintah. Namun, oleh kerana propaganda yang sangat hebat, dan pendidikan haiwan-haiwan lain yang rendah, pengkhianatan ini tidak dirasai oleh haiwan-haiwan lain. Ada sahaja haiwan lain yang berpendidikan dan sedar akan keadaan semasa, namun tidak menggunakan pendidikan mereka untuk menyedarkan masyarakat lain.

Akhirnya, babi-babi itu menjadi tuan yang baharu, sama seperti manusia, kepada haiwan-haiwan dalam Animal Farm.

Selepas membaca buku ini, aku terus teringat kepada revolusi 9 Mei 2018, PRU-14 di Malaysia. Benar, kebanyakan tunjang dan paksi revolusi ini amat baik untuk disokong. Menentang kleptokrasi, meningkatkan akauntabiliti, memberikan hak kebebasan bersuara, dan mengurangkan beban kos sara hidup.

Namun, sebagai rakyat, kita berperanan untuk melakukan semak dan imbang ke atas setiap perilaku kerajaan. Atas pada kita untuk pastikan tunjang-tunjang dan paksi-paksi revolusi 9 Mei itu terpelihara. Kita seharusnya memastikan diri dan masyarakat sekeliling mendapat pendidikan sewajarnya supaya kita tidak mudah ditipu oleh propaganda pemerintah.

Juga sebagai mahasiswa, kita tidak seharusnya menjadi golongan berpendidikan tetapi pendidikan kita tidak membantu memperbaiki keadaan masyarakat. Jika kita membatu, masyarakat akan musnah dan kita akan musnah bersamanya.

Friday, June 7, 2019

Turunkan Had Umur Mengundi Demi Pemerkasaan Belia dan Mahasiswa

YB Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq berkempen untuk #Undi18
Baru-baru ini, timbul kembali perbincangan mengenai isu penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun. Cadangan ini mendapat pelbagai respon daripada masyarakat sama ada menyokong mahupun menentang.

Persoalan sebenar dalam isu ini bukanlah "kenapa" tetapi "kenapa tidak". Asasnya, semua rakyat Malaysia berhak mengundi. Kemudian datangnya pengecualian. Banduan kerana telah melanggar kedaulatan undang-undang, kanak-kanak kerana belum dewasa, dan sebagainya.

Seksyen 2 Akta Umur Dewasa 1971 telah mengklasifikasikan mereka yang berumur 18 tahun sebagai "dewasa". Maknanya, mereka sudah boleh disabitkan kesalahan, mereka sudah boleh membuat keputusan sendiri berkenaan kesihatan, dan lain-lain tanggungjawab yang dipikul oleh orang dewasa.

Jadi, kenapa tidak?

Kata mereka yang menentang cadangan ini, mereka yang berumur 18 tahun belum matang untuk mengundi. Sering juga dikatakan mereka tidak mempunyai kapasiti untuk menilai dan mudah ditipu.

Namun, satu perkara tentang mengundi yang kita perlu faham ialah, kematangan dan keupayaan intelek tidak menghilangkan kelayakan untuk anda mengundi. Sebagai contoh, seorang yang buta huruf, tinggal dalam gua, dan tidak pernah bersekolah pun layak mengundi asalkan mereka berumur 21 tahun dan merupakan warganegara Malaysia.

Maka, alasan untuk mengatakan orang berumur 18 tahun tidak matang sebenarnya bukan isu kerana kematangan bukan kelayakan untuk mengundi.

Bahkan, kalau kita katakan mereka tidak matang, mengapa kita benarkan mereka memilih untuk menyertai angkatan tentera, membeli rokok, dan membuat pinjaman PTPTN? Mengapa kita benarkan mereka berkahwin dan mendapat zuriat?

Namun begitu, kerisauan berkenaan kualiti undi yang dibuang oleh mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun sebenarnya merupakan kerisauan yang berasas. Akan tetapi, ia tidaklah sehingga menafikan mereka hak mengundi.

Isu berkenaan pendidikan politik ini sebenarnya merentas generasi. Ramai sahaja yang tidak benar-benar faham sistem politik dan pentadbiran negara, walaupun ia telah diajar dalam subjek Sejarah tingkatan 5. Berapa ramai sahaja yang tahu beza Dewan Undangan Negeri, Dewan Rakyat dan Dewan Negara? Berapa ramai sahaja yang faham pemisahan kuasa legislatif, eksekutif, dan judisiari? Malah, kadang kala kita boleh lihat tanda-tanda yang wakil-wakil rakyat pun tidak benar-benar menguasai sistem politik dan pentadbiran negara.

Ada sahaja orang yang berumur 18 tahun yang lebih matang, lebih faham isu semasa, berbanding mereka yang lebih tua daripada mereka. Terdapat kritikan tentang mereka yang berumur 18 tahun hanya tahu KPop semata. Bagaimana pula dengan makcik-makcik bawang yang hanya tahu drama Melayu sahaja?

Tindakan memukul rata bahawa semua orang yang berumur 18-20 tahun belum matang ialah tindakan yang tidak matang.

Ringkasnya,

1. Kematangan bukan kelayakan untuk mengundi.

2. Mereka yang berumur 18 tahun sudah dewasa dan dilayan sebagai orang dewasa di bawah undang-undang Malaysia.

3. Ketidak-matangan bukan ciri eksklusif mereka yang berumur 18 tahun.

Mengapa kita perlu benarkan mereka yang berumur 18 tahun mengundi?

Dalam sebuah demokrasi, kerajaan dipilih berdasarkan mandat yang diberikan oleh rakyat. Lebih ramai rakyat yang terlibat dalam proses pengundian, lebih sah keputusan pilihan raya.

Selain itu, pemberian hak mengundi kepada mereka yang berumur 18 tahun juga menjadikan suara mahasiswa lebih didengari oleh ahli-ahli politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang kerana mereka mengharapkan sokongan mahasiswa dalam pilihan raya. Kesannya, dasar-dasar kerajaan akan lebih mesra mahasiswa.

Hal ini amat penting kerana mahasiswa dan belia berumur 18-20 tahun ialah satu-satunya golongan dewasa yang tidak dibenarkan mengundi walaupun menerima kesan langsung daripada dasar-dasar negara.

Pemberian hak mengundi juga memberikan mesej bahawa negara kita prihatin dan menghargai suara generasi muda.

Oleh sebab itu, di negara-negara di serata dunia, kebiasaannya umur mengundi ialah 18 tahun. Bahkan, sekarang ini isu di peringkat global ialah sama ada hendak menurunkan had umur mengundi ke 16 tahun ataupun tidak. Tinggal ada beberapa negara sahaja seperti Singapura yang masih mengekalkan umur mengundi pada umur 21 tahun.

Kata Soekarno, "Beri aku 10 pemuda, niscaya akan kuguncang dunia." Bagaimana hendak guncang dunia kalau mengundi pun tak boleh?

Monday, May 20, 2019

Dilema Perpaduan di Malaysia : Sebuah Diskusi


Satu soalan untuk kita fikirkan bersama.

Berapa lama seseorang itu perlu ada dalam sesebuah daerah sebelum dikira sebagai orang asal daerah tersebut?

Satu generasi? Lima generasi? Atau sampai bila-bila kita akan kira mereka sebagai "orang luar"?

Kita selalu lihat naratif yang sama berulang di Malaysia. Mari kita lihat contoh-contoh terkini:

  1. Ada yang mempersoalkan kuota bumiputera di matrikulasi. Dibalas dengan mengatakan ada diskriminasi dalam sektor swasta.
  2. Ada yang mempersoalkan kewujudan sekolah vernakular. Dibalas dengan persoalan tentang UiTM dan MRSM.
  3. Ada yang mempersoalkan tentang kesamarataan hak dalam kalangan rakyat Malaysia. Dibalas dengan kontrak sosial.

Dilema di Malaysia, apabila semua kelihatan enggan berganjak daripada kelebihan atau keselesaan yang dinikmati dalam status quo. Maka, semua pihak mengambil jalan mudah menyalahkan puak atau etnik lain apabila berlakunya masalah perpaduan. Situasi tuding jari ini tidak akan berhenti, tidak memulihkan keadaan, apatah lagi memberi penyelesaian.

Dah lama di Malaysia kita tidak membuat diskusi mengenai pembinaan negara bangsa. Diskusi serius, bukan menghafal buku teks sejarah tingkatan 5.

Dahulu kata Malaysia hendak bina negara bangsa Malaysia dengan acuan sendiri. Akan tetapi, jika seseorang hari ini mengaku "aku bangsa Malaysia", terus digelar membawa agenda "Malaysian Malaysia", dan dibakul sampahkan sebagai komunis. Hasilnya, topik pembentukan bangsa Malaysia ialah sesuatu yang sangat sensitif, dan boleh dikatakan sebagai "political suicide" untuk sesiapa sahaja yang ingin membawanya secara terbuka.

Sepatutnya, semua rakyat Malaysia secara sistematik perlu ditanam dengan semangat "saya anak Malaysia" sebelum sibuk mengelaskan bangsa. Lensa yang pertama yang kita sebagai rakyat Malaysia perlu lihat ialah melalui lensa sebagai rakyat Malaysia, sebelum lensa etnik dan kaum.

Untuk mencapai keadaan ini, sebuah pengorbanan yang besar perlu dibuat oleh semua pihak. Semua kaum dan etnik perlu bersetuju untuk bergabung menjadi satu entiti iaitu bangsa Malaysia. Bahasa kita bahasa Malaysia, sebagai bahasa pengantar dan bahasa rasmi. Agama persekutuan ialah Islam, dan agama lain bebas diamalkan.

Dengan pembentukan bangsa Malaysia, tentunya tidak boleh ada keistimewaan yang abadi untuk mana-mana kaum. Namun, ia tidak menafikan ruang untuk adanya tindakan afirmatif (affirmative action), tetapi keistimewaan hanya akan terhenti selepas kezaliman yang lalu telah dibetulkan.

Tentunya, tiada lagi sekolah vernakular, dan amalan meritokrasi akan dijalankan sepenuhnya kepada semua warganegara Malaysia.

Sebuah undang-undang untuk mengelakkan diskriminasi juga boleh dirangka. Maknanya, selepas ini jika terdapatnya diskriminasi kaum di tempat kerja, majikan boleh dikenakan tindakan di mahkamah.

Kesemua ini boleh dilakukan walaupun tidak mewujudkan bangsa Malaysia, namun ia seolah-olah merawat simptom tanpa merawat punca penyakit.

Persoalan mungkin timbul, mengapa hendak hapuskan hak keistimewaan Bumiputera?

Kerana, selagi adanya yang "istimewa", tentu ada yang "tidak istimewa". Selagi ada konotasi darjat ini, sukar untuk mencapai asimilasi dan perpaduan yang utuh.

Jika tiada jaminan yang hak keistimewaan ini hanyalah tindakan afirmatif, maka ia adalah sebuah bentuk diskriminasi kepada kaum lain, apatah lagi kaum lain itu kaum minoriti. Status quo di Malaysia, kita memberikan keistimewaan semata-mata kerana sesebuah kaum itu "penduduk asal", bukan merit, bukan tindakan afirmatif.

Tapi, ia kan dah termaktub dalam kontrak sosial?

Kontrak sosial merupakan apa yang datuk nenek kita buat, yang sesuai dengan zaman tersebut. Setelah hampir 63 tahun merdeka, keadaan sudah berubah, generasi pun sedah berubah. Sudah tiba masanya kita kaji semula kandungan kontrak sosial tersebut.

Satu lagi, kontrak sosial hanyalah sebuah kontrak. Seperti mana-mana kontrak lain, kandungannya boleh jadi sudah tidak lagi relevan, atau telah ketinggalan zaman. Bahkan, setelah zaman berlalu, kandungan sesebuah kontrak itu boleh jadi tidak adil dan menzalimi sesetengah pihak dalam kontrak tersebut. Perlembagaan pun boleh dipinda.

Tapi kan kontrak sosial dah dipersetujui? Perjanjian Pangkor pun dipersetujui, tak bermakna kandungan perjanjian tersebut adil.

Gimik hendakkan perpaduan tanpa mengambil langkah konkrit ke arah pembinaan identiti dan bangsa Malaysia telah lama dimainkan. Contoh, kempen 1Malaysia, kempen yang cukup mengelirukan. Salah satu tunjang asasinya ialah meritokrasi, tetapi segala kuota masih ada.

Bagaimana? Ahli politik perlu mempunyai iltizam politik untuk membumikan idea bangsa Malaysia, dan rakyat Malaysia harus bersedia menerima perubahan ini. Bagaimana? Dalam situasi semasa, impian pembentukan bangsa Malaysia kelihatan masih jauh. Parti-parti politik yang ada mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu untuk dilindungi. UMNO, PPBM, dan mutakhir ini PAS kelihatan tegas enggan berganjak daripada hak keistimewaan Melayu. MCA dan DAP juga condong ke arah mempertahankan sekolah vernakular.

Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan tanah air, kita seharusnya memulakan hasrat perpaduan itu dalam diri dan masyarakat sekeliling kita. Jangan mudah terpengaruh dengan dakyah yang cuba melaga-lagakan kita. Kitakan anak Malaysia?

Maka, kembali kepada soalan yang pertama saya ajukan. Berapa lama untuk seseorang itu dikira sebagai penduduk asal sesebuah negara? Pada saya, tak perlu pun bincang tentang penduduk asal. Asalkan warganegara dan mengamalkan identiti bangsa Malaysia, cukuplah menjadi sebahagian daripada bangsa Malaysia.

Tuesday, January 1, 2019

5 Tahun Dah Berlalu Sejak Aku Belajar di Al-Amin

Retreat ANDALUS 2019
Awal-awal tahun begini, teringat kenangan masa di Al-Amin Gombak dulu. Mesti tengah sedih cuti nak habis, tapi seronok nak jumpa kawan-kawan, walaupun waktu cuti memang berkampung je di sekolah beraktiviti macam-macam.

Baru-baru ini, aku tengah stress belajar untuk peperiksaan akhir semester, aku tanya junior dan cikgu Syaheera, kalau nak datang Retreat ANDALUS (Angkatan Dakwah dan Latihan Ummah Sekolah) boleh? Nak lepaskan stress. Hahahaha...

Maka jumpalah adik-adik batch 25, 26 dan 27 Al-Amin (aku batch 20), tengok mereka bincang masalah ummah, fikir bagaimana nak memperbaiki aqidah, ibadah, dan akhlak ummah sekolah, dan sebagainya.

Nampaknya, masalah yang dibincangkan lebih kurang sahaja dengan dahulu. Ada beberapa pelajar tidak solat, dan tidak menjaga batas pergaulan lelaki (banin) dan perempuan (banat). Sampai pukul 1 pagi pimpinan ANDALUS fikir cara nak baiki dua masalah ini, serta beberapa masalah lain.

Maklumlah, kami sekolah harian. Waktu sekolah kita boleh didik, balik rumah mereka tidak semestinya teruskan. Bukan seperti asrama yang kita boleh kawal dan pantau 24/7. Tidak semua ibu bapa yang cakna akan perihal ibadah anak-anak, bahkan ada juga yang tidak solat! Suasana sekolah kami yang merupakan sekolah "budak-budak KL" serta pengaruh media alternatif juga tidak membantu.

Jadi, fokus untuk diperbaiki ialah iman. Bagaimana hendak membina keteguhanq iman supaya kekal sepanjang masa pada tahap yang baik?

Terimbau pula zaman aku dulu.

2014.

Waktu itu, aku lihat masalah paling besar dalam ummah sekolah ini ialah masalah ikhtilat. Jadi, aku pun buat kertas kerja kempen untuk menyedarkan ummah sekolah tentang batas pergaulan banin dan banat.

Apabila aku bentang kertas kerja tersebut, guru ANDALUS ketika itu kata, bagus, cuma kita ada masalah yang lebih besar. Aku pelik, masalah apa lagi?

Cikgu tersebut bentangkan kepada aku satu kajian yang dilakukan atas nasihat Puan Pengetua sendiri berkenaan penjagaan solat pelajar sekolah. Keputusan kajian itu amat membimbangkan, dan (rasanya) buat pertama kalinya Al-Amin mengadakan Kempen "Sudahkah Anda Solat?"

Sehingga kini, kajian diteruskan, dan selagi tidak mencapai 100% kadar pelajar solat, selagi itu kita takkan rehat. Selagi itu kita kempen, kita ajar dalam usrah, kita bina suasana di sekolah mahupun di media sosial, kita masukkan elemen Islam dalam subjek-subjek (ala-ala Islamization of Knowledge lah), berusaha sehabis daya supaya kita dapat capai matlamat membina Generasi Soleh wa Musleh.
Pelancaran Kempen "Sudahkah Anda Solat?" 2014
Tak ada masa pula lah nak bincang politik, apabila guru-guru dan kepimpinan pelajar bertungkus lumus untuk memastikan apabila pelajar tamat pengajian di Al-Amin, mereka terus menjadi mukmin yang Soleh wa Musleh, yang berguna buat masyarakat. Tidaklah terdetik pun rasanya dalam hati guru-guru kami, untuk fikir parti mana anak muridnya akan undi selepas tamat persekolahan. Juga jauh sekali mereka anggap meninggalkan solat dan zina sebagai dosa peribadi yang tidak patut dikenakan apa-apa tindakan.

Akhirnya, memang banyak kekurangan pada madrasah tarbiyyah ini. Tidaklah semua graduannya sempurna, Soleh wa Musleh. Namun usaha sudah dilakukan dan sedang dilakukan dengan semaksima mungkin dan sebaik mungkin untuk memperbaiki dan membina generasi ummah akan datang ini.

Moga Allah rahmati dan ganjari semua guru-guru ana, muallim muallimah, serta seluruh guru-guru sedunia yang bertungkus lumus membina manusia agar menjadi abid dan khalifah yang berguna buat ummah.

#MuslehKita