Thursday, June 26, 2014

Di sebalik kecewa


Kecewa di atas kecewa. Putih mata. Yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran begitu sahaja.
Kadangkala kita terlalu kecewa, terlupa nikmat lain yang dikurniakan kepada kita. Yang membolehkan kita hidup terus suka bahagia pengubat duka lara petunjuk sepanjang masa. 
Meniti titian nikmat yang luas seluas laut yang tiada penghujungnya, sering kita tangisi dan menungkan lubang kecil di sana sini melayani rasa putus asa bergelojak di hati padahal titi itu masih kukuh untuk dijalani. Malah ada yang sanggup terjun dalam lubang akibat kekecewaan tinggi menaungi diri. 
Bagi mereka yang beriman, kekecewaan mereka tidak kekal lama kemudian. Seusai pengaduan kepada Tuhan, segala isi hati diluahkan, doa dititipkan penuh harapan, hidup baru terus dimulakan dengan tunas harapan subur menghijau menyegarkan tubuh badan. 
Terus mencari tanda-tanda yang Tuhan berikan sebagai petunjuk buat diri yang kesesatan. Terasa kosong menanti giliran sedang sebenarnya Tuhan menghidangkan lapangan untuk hambaNya berfikir akan kejadian Tuhan yang beraneka rupa dan perlakuan. 
Tinggalkan bisikan syaitan durjana. Anggaplah Allah memberi peluang kedua agar kita kembali kepadaNya seusai kita menjauhkan diri seberapa lama terikat dengan dunia fana. Memberi peluang menilai semula dosa sengaja seolah mencampakkan diri ke dalam neraka. 
This poetry is for:
1. Fellow JPJ Test candidates that failed his or her test today.
2. My beloved band of brothers, 2NT that will take their report card tomorrow. May Allah ease.
3. All Al-Aminians who will take their report card tomorrow. May the future be the best for us.
4. My beloved sister although she had nothing to be "kecewa" of.
5. My beloved Mak and Abah who will take MY report card tomorrow. May Allah grant you an extremely high level of beautiful patience.


Ah. penat bermadah bicara. Hari ini penuh peristiwa. Tidak hadir ke sekolah (cakap jelah ponteng! Bajet nak bunyi sopan aje...) sia-sia. Menanti bukan main lama. Daripada jam 10 sehingga pukul 6 setengah lamanya. Puas main 2048, mengaji dan minum air pelbagai perisa. Kalaulah air itu percuma kan bahagia. 

Kononnya rancang mula pukul 10 habis dalam pukul 2. Boleh datang sekolah belajar Kimia, pergi tahfiz sat dan ke Usrah yang menganjurkan jamuan pula. Ini habis pukul 6:30, melepaslah segalanya.

Yang dikejar (lesen) tak dapat. Yang dikendong (Addmaths, Fizik, Kimia, jamuan...eh, Usrah...) berciciran. Kekecewaan di atas kekecewaan. Ulangan ujian? 14 Ogos 2014, lebih sebulan. Tambah kekecewaan.

Benarlah kata-kata di belakang kereta Ujian JPJ, "Pemandu sedang diuji". Rasa benar teruji. Bukit dan letak kereta sudah dilalui. Sampai ke pusingan 3 penjuru, sepatutnya yang paling mudah itulah yang menjadi penghalang antara aku dan lesen yang dinanti-nanti.

Jika lulus, pemandu akan diuji samada dia bersyukur atau kufur. Jika dia gagal, pemandu akan diuji samada dia redha atau terus kecewa. Aku tergolong dalam golongan kedua.

Jadikanlah segala kegagalan anda sebagai batu loncatan anda untuk mencapai gemilang. Carilah hikmah Tuhan di kala susah mahupun senang. Jangan sesekali putus asa walau apapun merintang. Allah menjadi saksi begitu juga bintang-bintang, yang kita akan terbang melayang menuju gemilang menjadi bintang yang bukan binatang.

Mungkin dengan gagalnya aku, aku lebih merendah diri dan tidak terlalu hidung tinggi. Mungkin dengan gagalnya aku, Ramadanku akan lebih dihayati. Tuhanlah yang Maha Mengetahui.


PS: tadi nampak satu kumpulan perempuan, 3 orang. Seorang bertudung labuh sehingga bawah punggung, seorang bertudung ala-kadar kurang bahu dan seorang lagi terus tak bertudung dan seksi. Dan kesemua mereka harmoni bersembang dan berkongsi kereta.

Kepelbagaian manusia. Dihimpit oleh 2 perempuan di tempat duduk yang sempit sehingga aku bangun untuk keluarkan diri. Mereka begitu baik hati membuka ruang namun, rapat sangat ya ukhti. Ditepuk di bahu oleh seorang perempuan yang menanyakan keputusan (yang kami fail bersama di tempat yang sama). Daripada yang berpurdah kepada yang freehair. Daripada yang berjubah sehingga yang merokok.

Mendengar 2 lelaki yang baru berkenalan sedang berborak tentang bagaimana mereka dibuang sekolah dan enggan bersekolah lagi... 1001 jenis manusia. Menyebabkan aku terfikir, adakah zon selamat yang aku duduki ini terlalu selamat atau apa? Begitukah keadaan ummah sebenarnya? Mampukah aku bergaul dengan mereka semua?

Itu baru kereta. Hari masuk kelas motor lagi dahsyat orang-orangnya.

Banyak lagi yang perlu dipelajari daripada hidup ini. Benarlah, guru yang paling baik ialah pengalaman.

Wednesday, June 18, 2014

Zionis melumpuhkan pemain Palestin: Suatu penilaian



Kenapa agaknya Israel sengaja menembak pemain-pemain bola Palestin pada kakinya di samping menahan mereka dalam penjara? Sehingga 2 pemain Palestin yang baru pulang daripada sesi latihan itu tidak boleh lagi bermain bola selamanya setelah Israel membenamkan peluru pada kaki mereka.

Mengapa mereka sering menghalang atlet Palestin berlatih dan jurulatihnya masuk ke Palestin?

Mengapa mereka sering mengebom stadium-stadium Palestin?

Mengapa mereka sibuk melemahkan sukan Palestin?

Baru-baru ini, Palestin diisytihar tempat ke-10 dalam kalangan pasukan Asia. Dengan serba-serbi kekurangan dan halangan serta tekanan daripada pihak Zionis, mereka berjaya.

Palestin juga merupakan ahli FIFA yang sah.

Mengapa?

Bayangkan jika suatu hari CR, Torres dan sebagainya ditembak di kaki. Bayangkan kemarahan dunia dan tindakan yang akan dikenakan kepada kumpulan penembak tersebut.

Bayangkan pula jika suatu hari nanti Palestin menjadi sehebat Jerman, Sepanyol dan Belanda, mempunyai sokongan dunia yang sangat banyak pada mereka. Sikit Israel sentuh Palestin pasti dunia akan mengamuk mempertahankan mereka.

Itulah yang Israel khuatiri. Itulah yang cuba mereka halang. Begitulah liciknya Israel.

Dan anda masih berpagi dengan Milo Nescafe, bersama HoneyStar dan KokoCrunch sementara menunggu Maggi anda masak. Akhirnya, duit yang anda laburkan itulah yang digunakan oleh Israel untuk melumpuhkan sukan Palestin seterusnya mengekalkan status Palestin sebagai negara buangan. Tahniah!

Sumber:  http://m.thenation.com/blog/178642-after-latest-incident-israels-future-fifa-uncertain

Monday, June 16, 2014

Sejarah Kertas 3: Antara mendidik dan gred

"Wei, aku tak bawak lah nota untuk Sejarah paper 3. Korang bawak tak? Aku nak pinjam fotostat sat!"
"Aduh, aku tak ada nota lah untuk Sejarah kertas 3... memang fail lah aku soalan KBKK..."
Jika ditanya, memang dikatakan hadaf kewujudan kertas 3 Sejarah SPM untuk memudahkan pelajar untuk skor. Katanya, 20 markah dalam tangan. Bawa masuk nota yang sepatutnya, anda boleh skor 100/100 yang pemberatnya 20% dalam keseluruhan kertas bagi subjek Sejarah.

Memang kita semua boleh faham, kita hendak bantu pelajar menjawab dan mendapat markah yang baik. Namun dalam masa yang sama, kesan sampingan dan kesan negatifnya mungkin terlepas pandang. Ke mana nilai KBKK (Kemahiran Berfikir Kreatif dan Kritis) dan KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) dalam kertas ini?

Ketika awal tingkatan 4, dikisahkan soalan 1-3 sahaja yang boleh dirujuk buku. Yang lain KBKK. Kononnya. Namun perkembangan kini, apabila mula wujudnya buku jawapan khas untuk soalan-soalan KBKK ini, apakah lagi "Kemahiran Berfikir" yang diperlukan?

Bukan hendak menyusahkan. Bukan terfikir kita ini pandai. Namun jangan kerana kita terlalu hendak membantu menjawab periksa, sehingga lupa objektif intelektual dan hadaf ilmu. Pendidikan bertujuan untuk mendapatkan ilmu. Kemahiran berfikir itu adalah asas kelahiran modal insan minda kelas pertama. Suapan jawapan tidak akan melahirkan insan yang berfikir. Kemudian bising generasi muda tidak mahir berfikir.

Soalan KBKK itu bukannya terlalu susah. Jika anda banyak membaca.

Contoh: Berikan kejayaan Malaysia hasil dasar keterbukaan.

Banyak jawapan. Kita nak ambil skop mana? Ekonomi? Boleh pecah lagi. Penerimaan buruh. Kemasukan buruh mahir luar negara menyebabkan Menara Berkembar Petronas, Terowong SMART dan lain-lain mampu wujud. Kemasukan buruh separa mahir dan kurang mahir menyebabkan segala projek mempunyai pekerja yang cukup seterusnya menjamin kelancaran projek pembinaan contohnya. PROTON dan PERODUA juga hasil kerjasama dengan syarikat automobil luar negara seperti Mitsubishi dan Toyota.

Banyak lagi. Sistem pengangkutan kita (teknologi jalan raya berturap, teknologi LRT), sistem pertahanan (Scorpene dan Sukhoi), sistem pendidikan (pensyarah luar, belajar luar negara)... pemasaran barang ke luar negara (petrol, kelapa sawit, getah), Teknologi Maklumat dan sebagainya. Malah, kejayaan Lee Chong Wei memenangi Olimpik tempat kedua itu juga hasil keterbukaan Malaysia. Jurulatih bola sepak, pemain import, pemain Malaysia yang menjadi anggota kelab antarabangsa, dan lain lain lagi.

Tapi anda perlu membaca lah. Sedangkan peluang terbuka luas untuk menilai pelajar yang membaca atau tidak, peluang ini tersia akibat keghairahan semua hendak membantu pelajar berjaya. Kononnya berjaya. Pada mereka mereka berjaya.

Dengan adanya bantuan seperti yang ditawarkan dalam buku-buku jawapan (oh ya, "Panduan Menjawab"), akhirnya kemahiran yang ada hanya tinggal kemahiran menyalin dan mencari. Bukan lagi kemahiran berfikir aras tinggi.


Jangan kerana mengejar gred dan kecemerlangan, nilai ilmu dan kualiti pemikiran diabaikan. Jangan kerana kita hendak berbangga dengan gred baik, namun gred yang dapat itu gred yang dibantu.

Ke mana hilangnya nilai kemahiran berfikir? Sebagai calon SPM 2014, terpaksa ikut arus kemusnahan KBKK ini. Takkan orang lain guna buku jawapan kita duduk termenung berfikir jawapannya di dewan periksa. Orang lain menggunakan jawapan yang dibuat oleh pengarang yang berkaliber, kita hendak menggunakan akal yang tidaklah se-panjang mana.

Penulis sedaya upaya cuba menjawab tanpa panduan nota. Sepanjang mengambil kertas 3, belum pernah penulis menggunakan buku jawapan. Biar, penulis amat jarang mendapat 100/100. Biar keluar kepala rasa berasap dan tidak boleh fikir apa-apa selepas itu, asalkan penulis puas kerana berjaya memerah otak (dan mengeluarkan keringat). Namun SPM, terpaksalah penulis mengalah dengan arus, kerana ia adalah sesuatu yang terlalu besar untuk diambil risiko.

Terbayang pula bagaimana di sekolah kampung menjawab. Adakah mereka juga mempunyai buku panduan serupa? Ataukah guru mereka juga fotostat seperti kami budak bandar? Sampai bila kita hendak kekal mensia-siakan kemahiran berfikir anak bangsa? Sampai bila kita hendak digelar bangsa MALAS berfikir?

Generasi Google akan lebih malas berfikir. Dan makin malas berfikir. Dan makin malas berfikir. Penulis risau jika suatu hari lahir masyarakat yang manja ketika menuntut ilmu. Ilmu segalanya di hujung jari, bukan lagi di kepala dan dihayati dengan hati yang suci. Sehingga peristiwa Kampung Chubadak pun tidak diketahui apatah lagi dibantu dan disimpati.

Nauzubillahi min zalik.

Friday, June 13, 2014

Wafdul Amin: Kerna Contract Kita Contract Selamanya!



Benarlah kata orang, perasaan dan pengalaman itu takkan sama. Buatlah WAFA lagi 10 kali pun, takkan sama perasaannya. Hatta WAFA 2.0 pun perasaannya takkan dapat dibuat semula... dicipta semula semua.

Pengalaman pergi ke WAFA 2.0 takkan dapat diulang. Merupakan WAFA yang relaks, tenang, suasana yang amat kondusif untuk merapatkan hubungan. Hubungan sesama adik-beradik angkat (samada kawan serumah mahupun orang sana), mak ayah, dan orang kampung amnya.

Aku tak tahu bila lagi dapat bersama mereka dalam suasana seperti ini lagi. Bersama Aiman Safwan dan Amjad yang galak bermain dengan Haziq dan Amir (satu geng membuli dan satu dibuli mungkin...), ralit melihat pokcik Md Nor sehingga pukul 11 malam membuat candat yang begitu halus pembuatannya, diceritakan jenis-jenis candat, fungsi dan bagaimana menggunakannya... dan seribu satu lagi kemanisan WAFA 2.0.



Yang paling mahal padaku, apabila dapat mengenal sahabat-sahabat 2NT dengan lebih dekat dan rapat. Mengenal perangai masing-masing, adat mereka di rumah, dan sebagainya. Kerana aku sedar, ia takkan dapat diulangi lagi selamanya.

Walaupun Explorace masih ada, namun ia bukan lagi dalam suasana santai seperti kali ini.

Benarlah, bermusafir itu adalah kunci taaruf. Kita takkan dapat taaruf habis selagi kita belum musafir dengannya.

Perasaan sebagai peserta WAFA amat lain dengan peserta WAFA 2.0. Kerana WAFA amanahnya membantu orang kampung. Kali ini adalah untuk mengeratkan talian rahim semata. Dan padaku, objektif ini tercapai dengan jayanya. Segala puji bagi Allah atas segala nikmat kurniaannya.



Pemergian ke Pulau Kapas memang menyebabkan terasa nikmat ukhuwwah itu. Apabila mandi pantai, naik bot, terjun, pikul orang main tolak-tolak siapa jatuh dulu, jadi kembali seperti budak-budak main istana pasir, berenang, simbah air, kisah “ikhwah malas bawa sabun”, mandi perigi, “ragbi” dan macam-macam lagi.

Apabila malam bakar ayam, makan dan hujan, "berenang" dalam khemah, menggigil sejuk apabila angin datang laju… apabila slot Ust Taufik menceritakan hala tuju, video banat, persembahan “terancang” banin, julang ust, salam peluk, tidur canvas… fuh… tak tergambar. Apa yang pasti, pengalaman ini takkan dapat direplikasi selamanya walaupun diberi emas sepenuh bumi.

Oh ya, kini mokcik dan pokcik sudah mula memahami. Mereka sudah kenal gelagat seorang demi seorang. Seorang sahabat mengatakan, bahawa mereka (orang kampung Bukit Gasing) anggap ini adalah hubungan sampai mati. Katanya mereka amat berharap kami akan datang ke hari pengkebumian mereka kelak dan sentiasa mendoakan mereka. Maka aku sedar, seperti mereka, aku juga, berhasrat ikatan kita kekal sehingga ke syurga.


Contract WAFA kami adalah contract selamanya. Contract ini meliputi ikatan sesama 2NT kita serta ikatan dengan keluarga nun jauh di Marang sana, dekat di hati semua. Putusnya akan menyebabkan timbulnya kecewa. Maka contact juga perlu menjadi perkara biasa. Buat sahabat-sahabatku di luar sana, rajin-rajinlah berhubung dengan mereka walaupun seketika. Telefon walaupun seminit dua. Kerna contract kita contract selamanya!

Saturday, June 7, 2014

Isu Cadbury: Jangan sampai salah orang lain, kita yang berdosa.



Justeru, jika bukan JAKIM, kepada siapa lagi harus kita meletakkan kepercayaan? Jika bukan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan, kepada siapa lagi kita hendak meletakkan kepercayaan?

Jika anda tidak percaya kepada JAKIM, mengapa coklat lain yang halalnya juga diberi oleh JAKIM anda makan? Anda marah JAKIM kerana sekejap haram sekejap halal, sedangkan JAKIM tidak pernah mengatakan ianya haram. Mereka cuma menyiasat kajian KKM. Anda yang menghukum Cadbury haram melalui laman sosial Facebook dan Twitter.

Jika anda tidak mahu makan Cadbury kerana was-was, tidak perlu anda menyebarkan kempen anda kepada orang ramai. Anda yang was-was. Bukan orang lain.

Melakukan dosa besar dalam respon terhadap isu Cadbury

Kesilapan kita apabila kita mengharamkan benda yang halal itu adalah besar. Cadbury dah disahkan halal. Mengapa kita sibuk mengatakan ianya haram? Bertambah besar apabila kita mendakyah orang lain untuk mengharamkan yang halal ini. Dan makin besar apabila kita menuduh Cadbury itu agen Yahudi, menuduh JAKIM rasuah malah timbul pula tuduhan PM dan bekas PM kita minum arak. Bertambah besar lagi apabila kita menimbulkan semangat rasis dalam kalangan Muslim dan Non-Muslim. Lagi-lagi apabila nama Islam tercemar dek orang yang sibuk menunjukkan kepada dunia khususnya masyarakat Malaysia kepayahan Islam yang sebenarnya mudah.

Dalam senarai dosa-dosa besar, mengfitnah, mengumpat, mengutuk orang Islam ada. Makan babi tak ada. Kalau iya pun kita termakan babi, tidak dosa. Tetapi kita mengumpat, menuduh tak menentu hala, mengatakan JAKIM telah rasuah, mengatakan Cadbabi sana-sini, itu semua adalah dosa besar. Mengapa kita melakukan dosa besar dalam marah kita kepada orang lain?

Kalaupun mereka yang tipu, mereka yang berdosa. Dan Allah akan memberikan balasan setimpal kepada mereka. Tetapi apabila kita yang buat dosa, kita yang tanggung. Allah itu Maha Adil. Tahu?

Agen Yahudi?

Apabila anda komen, "Cadbury itu agen yahudi. Saja nak rosakkan Islam. Baik tak payah beli. Have a break, have a KitKat =D"

Ironinya, yang memang terang dan jelas menyokong Israel, melabur di Israel, membuka kilang dan pusat penyelidikan di Israel ialah Nestle, pengeluar KitKat, Milo, Maggi, Nescafe dan sebagainya. Yang dituduh dalang Zionis ialah Cadbury. Siapa yang lebih patut diboikot sebenarnya?



















Mengatakan Ulama' tidak boleh dipercayai

Menggunakan hadis yang mengatakan Ulama' akhir zaman itu "seteruk-teruk manusia di bawah naungan langit" untuk semua ulama' ialah perkara yang tidak baik dan tidak adil. Anda telah menzalimi. Hanya dengan datang kuliah-kuliah di masjid, merujuk Ustaz Wikipedia dan Ustazah Google, anda sudah rasa anda lebih berilmu daripada ulama'-ulama' ini?

Lainlah kalau memang apa yang ulama' itu seru tidak kena dengan hak asasi manusia dan tidak kena dnegan logik akal. Lainlah kalau hanya satu ulama' yang berbeza pendapat dengan ratusan ulama' lain. Dalam Isu Cadbury, para Ilmuan Islam sudah mengesahkan kehalalannya. Dan tiada yang mengatakan hukumnya tetap haram.

Meninggalkan yang syubhah

Benar Islam meminta kita meninggalkan perkara syubhah. Jika kita masih was-was, kita tinggalkan.Tetapi tidak memberi lesen untuk kita tidak meletakkan percaya kepada JAKIM dan Majlis Fatwa Kebangsaan. Dan juga tidak memberi lesen untuk kita membangkitkan was-was orang lain.

Jangan lupa, hadis ke-6 Imam Nawawi itu mengatakan yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antaranya terdapat perkara syubhah. Bagi mereka yang meninggalkan syubhah, ia telah menyelamatkan dirinya dan agamanya.

Masalahnya, anda menggolongkan Cadbury dalam yang syubhah sedangkan pihak berkuasa telah mengatakan bahawa ianya halal yang jelas.

Perbezaan pendapat makmal KKM dan makmal Jabatan Kimia



Anologi makmal KKM dan Jabatan Kimia itu mudah. Bayangkan anda disahkan menghidap kanser oleh doktor A. Anda pergi mencari second opinion doktor lain yang lebih pakar daripada doktor A iaitu doktor B. Doktor B mengesahkan anda tidak menghidap kanser.

Kemudian anda marah doktor B kerana mengesahkan anda tidak kanser dan terus menerus mempercayai doktor A.

Wednesday, June 4, 2014

Mukmin mencapai Inner Peace!



"Clear your mind! Focus your spiritual energy!" - Master Mutaito, Dragon Ball.
"Inner peaaace!" - Master Shi Fu, Kungfu Panda 2.
"You must let go of your earthly attachment" - Guru Pathik, Avatar The Last Airbender.

Au kama qal.

Semuanya menyeru kepada satu dogma yang sama. Meminta kita fokus. Meminta kita melepaskan diri daripada sejarah buruk, keduniaan. Menghasilkan suatu kuasa yang hebat, menjadikan mereka pahlawan yang tidak tertanding dek mana-mana musuh.

Tidak peliklah jika kita lihat, Avatar Aang, Po, dan Goku begitu tenang menghadapi musuhnya. Tidak segaris takut muncul di kening mereka. Kerana mereka telah "tenang". Mencapai ketenangan tertinggi. Berjaya melepaskan diri daripada dunia. Kononnya.




Lihat pula pengamal yoga. Begitu asyik melakukannya dengan penuh fokus dan khusyuk. Malah mereka berjaya merasai kemanisan "khusyuk" dan "ibadah" mereka sehingga mereka terdorong untuk melakukannya berulang kali.

Hakikatnya, kita sudah tahu perkara ini. Dalam solat kita diseru untuk khusyuk bukan? Kan kita diseru untuk fokus, mengosongkan minda terhadap dunia, melupakan segala yang berkaitan dengan dunia? Tidakkah khusyuk kita menjadikan ibadah kita manis? Adakah kita berjaya melakukannya?

Maka, mukmin itu mampu mencapai Inner Peace. Harness spiritual energy. dan sebagainya. Solat kita menjadikan kita hebat. Tidak peliklah jika 3,000 sahabat dahulu mampu menewaskan 200,000 tentera Rom. Bayangkan satu angkatan tentera semuanya segagah, setenang dan sefokus Goku. Dicampur dengan bantuan Allah, kekuatan mereka tak terbayang bukan?

Mereka, orang belum Islam, ingin mencapai ketenangan mereka dengan bertapa seberapa lama. Kita mampu mencapai perkara ini lebih 5 kali sehari. Dan jangan lupa, mukmin itu hatinya sentiasa terikat dengan Allah. Sentiasa ingat kepada Dia. Maknanya kita sentiasa mempunyai Inner Peace! Sepatutnyalah.




Kerana itulah Allah melatih kita dengan solat 5 waktu setiap hari. Dan Allah mewajibkan toma'ninah (ketenangan) sebagai salah satu rukun dalam solat. Kerana itulah mukmin itu seharusnya tenang sebagaimana sabda nabi, 
"Sungguh ajaib dalam urusan orang mukmin! Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang mukmin. Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka kebaikan baginya dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka kebaikan baginya." - (Hadis riwayat Muslim) 
 MAKA, adakah kita sebahagian daripada orang mukmin? Adakah kita mempu khusyuk dalam solat? Adakah kita mencapai ketenangan itu? Adakah kita termasuk dalam golongan yang dikatakan ajaib itu?

Jika tidak, teruslah berusaha dan selamat beramal!

Nota: Jangan cuba sambut peluru meriam jika anda rasa anda sudah mencapai Inner Peace. Jangan cuba membelah api jika anda rasa anda sudah mengosongkan minda. Kelak anda mungkin kembali kepada Sang Pencipta serta-merta.

Tuesday, June 3, 2014

Karnival Amal Islami: Sebuah catatan pengalaman






MGBSIM, Karnival Amal Islami.

Memberi sebuah hikmah yang tak terbayar dengan sejuta tan emas. Menunjukkan bahawa, kesungguhan itu merupakan asas kejayaan. Dan juga dorongan dan panduan seorang guru.

Sebuah misi mampu dicapai dengan kedua-dua unsur ini. Dan berdikari, terdapat hadnya tersendiri. Dengan berdikari sahaja, kita mampu menguatkan apa yang sedia ada. Namun untuk menambahkan kekuatan yang sedia ada, kita tidak boleh tidak perlukan guru, mentor, coach, murabbi dan sebagainya.

Maka begitulah kisah Al-Amin di KAI. Kerana terlalu berdikari tanpa panduan, kami telah memaksimakan penggunaan bakat yang kami ada, namun tidak cukup untuk mengatasi mereka yang berusaha berbakat dengan panduan.

Begitulah manusia dalam hidup, tidak mampu untuk mendapat redha Allah hanya dengan berfikir dan beramal sendiri. Kita perlukan bantuan wahyu untuk berjaya. Kerana itu manusia yang beribadah dengan cara wahyu lebih baik daripada yang bertapa siang malam mengikut logik akalnya.

KAI juga menunjukkan kesungguhan itu akan terzahir semasa penilaian. Kita dapat cam siapa yang bersungguh dan siapa yang main-main dalam persediaan semasa pertandingan. Nasyid contohnya, siap dengan gaya gerak tangan badan, dengan baju yang seragam siap songkok yang berhias. Itulah yang bersungguh. Memang syaratnya nasyid sahaja tetapi pemakaian seragan dan kemas itulah yang menzahirkan kesungguhan.

Begitu jugalah hidup. JIka kita benar-benar bersungguh-sungguh, perkara kecil yang dianggap remeh itulah yang kita jaga. Syaratnya puasa tak makan minum namun kita jaga tidak melakukan pembaziran dan sebagainya.

KAI juga merapatkan ukhuwwah antara kami. Tak pernah diketahui perangai dia ini begini begitu akhirnya kenal. Kita jangan sangka kita sudah kenal seseorang itu jika kita belum bermusafir dengannya. Nak-nak kalau kita kenal orang itu semasa stress. Ketika itulah warna sebenar dia muncul.



KAI juga mengajar kita tentang pandangan berbeza. Ana tewas ana terima. Namun ada seseorang yang ana yakin dia menang tetapi tewas tanpa nombor itu ajaib. Kerana pada hemat ana, dia lebih bergaya dan gaya bahasanya lebih sedap daripada orang lain. Isinya juga mantap. Namun, itu hanya pandangan.

Bagaimana nanti dengan pandangan Tuhan? Pada kita, kita sudah melakukan yang elok dan berkualiti. Namun pada Allah? Adakah Allah akan terima amal yang kita rasa terbaik itu bakal diterima? Maka adakah kita masih enggan melakukan ibadah tambahan, yang sunat misalnya?

KAI juga mengajar untuk meluruskan niat. Jika kita datang niat nak menang, dah usaha sungguh-sungguh, tapi kalah juga, maka sia-sialah niat kita. Para sahabat mereka keluar rumah dengan banyak niat. Contoh hendak pergi ke masjid, mereka berniat hendak solat, cari redha Allah, iktikaf, hindar daripada aktiviti lagha dan maksiat, nak jumpa orang dan senyum dan macam-macam niat lain. Dan bagi mereka ganjaran bagi setiap niat mereka. Jadi niatlah pelbagai dalam pergi KAI.


Kata orang, guru yang paling hebat ialah pengalaman. Maka Alhamdulillah, Allah sediakan jalan untuk baiki kemahiran dan mendapat hikmah yang tak ternilai dan disangkakan.