Monday, June 16, 2014

Sejarah Kertas 3: Antara mendidik dan gred

"Wei, aku tak bawak lah nota untuk Sejarah paper 3. Korang bawak tak? Aku nak pinjam fotostat sat!"
"Aduh, aku tak ada nota lah untuk Sejarah kertas 3... memang fail lah aku soalan KBKK..."
Jika ditanya, memang dikatakan hadaf kewujudan kertas 3 Sejarah SPM untuk memudahkan pelajar untuk skor. Katanya, 20 markah dalam tangan. Bawa masuk nota yang sepatutnya, anda boleh skor 100/100 yang pemberatnya 20% dalam keseluruhan kertas bagi subjek Sejarah.

Memang kita semua boleh faham, kita hendak bantu pelajar menjawab dan mendapat markah yang baik. Namun dalam masa yang sama, kesan sampingan dan kesan negatifnya mungkin terlepas pandang. Ke mana nilai KBKK (Kemahiran Berfikir Kreatif dan Kritis) dan KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) dalam kertas ini?

Ketika awal tingkatan 4, dikisahkan soalan 1-3 sahaja yang boleh dirujuk buku. Yang lain KBKK. Kononnya. Namun perkembangan kini, apabila mula wujudnya buku jawapan khas untuk soalan-soalan KBKK ini, apakah lagi "Kemahiran Berfikir" yang diperlukan?

Bukan hendak menyusahkan. Bukan terfikir kita ini pandai. Namun jangan kerana kita terlalu hendak membantu menjawab periksa, sehingga lupa objektif intelektual dan hadaf ilmu. Pendidikan bertujuan untuk mendapatkan ilmu. Kemahiran berfikir itu adalah asas kelahiran modal insan minda kelas pertama. Suapan jawapan tidak akan melahirkan insan yang berfikir. Kemudian bising generasi muda tidak mahir berfikir.

Soalan KBKK itu bukannya terlalu susah. Jika anda banyak membaca.

Contoh: Berikan kejayaan Malaysia hasil dasar keterbukaan.

Banyak jawapan. Kita nak ambil skop mana? Ekonomi? Boleh pecah lagi. Penerimaan buruh. Kemasukan buruh mahir luar negara menyebabkan Menara Berkembar Petronas, Terowong SMART dan lain-lain mampu wujud. Kemasukan buruh separa mahir dan kurang mahir menyebabkan segala projek mempunyai pekerja yang cukup seterusnya menjamin kelancaran projek pembinaan contohnya. PROTON dan PERODUA juga hasil kerjasama dengan syarikat automobil luar negara seperti Mitsubishi dan Toyota.

Banyak lagi. Sistem pengangkutan kita (teknologi jalan raya berturap, teknologi LRT), sistem pertahanan (Scorpene dan Sukhoi), sistem pendidikan (pensyarah luar, belajar luar negara)... pemasaran barang ke luar negara (petrol, kelapa sawit, getah), Teknologi Maklumat dan sebagainya. Malah, kejayaan Lee Chong Wei memenangi Olimpik tempat kedua itu juga hasil keterbukaan Malaysia. Jurulatih bola sepak, pemain import, pemain Malaysia yang menjadi anggota kelab antarabangsa, dan lain lain lagi.

Tapi anda perlu membaca lah. Sedangkan peluang terbuka luas untuk menilai pelajar yang membaca atau tidak, peluang ini tersia akibat keghairahan semua hendak membantu pelajar berjaya. Kononnya berjaya. Pada mereka mereka berjaya.

Dengan adanya bantuan seperti yang ditawarkan dalam buku-buku jawapan (oh ya, "Panduan Menjawab"), akhirnya kemahiran yang ada hanya tinggal kemahiran menyalin dan mencari. Bukan lagi kemahiran berfikir aras tinggi.


Jangan kerana mengejar gred dan kecemerlangan, nilai ilmu dan kualiti pemikiran diabaikan. Jangan kerana kita hendak berbangga dengan gred baik, namun gred yang dapat itu gred yang dibantu.

Ke mana hilangnya nilai kemahiran berfikir? Sebagai calon SPM 2014, terpaksa ikut arus kemusnahan KBKK ini. Takkan orang lain guna buku jawapan kita duduk termenung berfikir jawapannya di dewan periksa. Orang lain menggunakan jawapan yang dibuat oleh pengarang yang berkaliber, kita hendak menggunakan akal yang tidaklah se-panjang mana.

Penulis sedaya upaya cuba menjawab tanpa panduan nota. Sepanjang mengambil kertas 3, belum pernah penulis menggunakan buku jawapan. Biar, penulis amat jarang mendapat 100/100. Biar keluar kepala rasa berasap dan tidak boleh fikir apa-apa selepas itu, asalkan penulis puas kerana berjaya memerah otak (dan mengeluarkan keringat). Namun SPM, terpaksalah penulis mengalah dengan arus, kerana ia adalah sesuatu yang terlalu besar untuk diambil risiko.

Terbayang pula bagaimana di sekolah kampung menjawab. Adakah mereka juga mempunyai buku panduan serupa? Ataukah guru mereka juga fotostat seperti kami budak bandar? Sampai bila kita hendak kekal mensia-siakan kemahiran berfikir anak bangsa? Sampai bila kita hendak digelar bangsa MALAS berfikir?

Generasi Google akan lebih malas berfikir. Dan makin malas berfikir. Dan makin malas berfikir. Penulis risau jika suatu hari lahir masyarakat yang manja ketika menuntut ilmu. Ilmu segalanya di hujung jari, bukan lagi di kepala dan dihayati dengan hati yang suci. Sehingga peristiwa Kampung Chubadak pun tidak diketahui apatah lagi dibantu dan disimpati.

Nauzubillahi min zalik.

No comments:

Post a Comment