Saturday, June 7, 2014

Isu Cadbury: Jangan sampai salah orang lain, kita yang berdosa.



Justeru, jika bukan JAKIM, kepada siapa lagi harus kita meletakkan kepercayaan? Jika bukan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan, kepada siapa lagi kita hendak meletakkan kepercayaan?

Jika anda tidak percaya kepada JAKIM, mengapa coklat lain yang halalnya juga diberi oleh JAKIM anda makan? Anda marah JAKIM kerana sekejap haram sekejap halal, sedangkan JAKIM tidak pernah mengatakan ianya haram. Mereka cuma menyiasat kajian KKM. Anda yang menghukum Cadbury haram melalui laman sosial Facebook dan Twitter.

Jika anda tidak mahu makan Cadbury kerana was-was, tidak perlu anda menyebarkan kempen anda kepada orang ramai. Anda yang was-was. Bukan orang lain.

Melakukan dosa besar dalam respon terhadap isu Cadbury

Kesilapan kita apabila kita mengharamkan benda yang halal itu adalah besar. Cadbury dah disahkan halal. Mengapa kita sibuk mengatakan ianya haram? Bertambah besar apabila kita mendakyah orang lain untuk mengharamkan yang halal ini. Dan makin besar apabila kita menuduh Cadbury itu agen Yahudi, menuduh JAKIM rasuah malah timbul pula tuduhan PM dan bekas PM kita minum arak. Bertambah besar lagi apabila kita menimbulkan semangat rasis dalam kalangan Muslim dan Non-Muslim. Lagi-lagi apabila nama Islam tercemar dek orang yang sibuk menunjukkan kepada dunia khususnya masyarakat Malaysia kepayahan Islam yang sebenarnya mudah.

Dalam senarai dosa-dosa besar, mengfitnah, mengumpat, mengutuk orang Islam ada. Makan babi tak ada. Kalau iya pun kita termakan babi, tidak dosa. Tetapi kita mengumpat, menuduh tak menentu hala, mengatakan JAKIM telah rasuah, mengatakan Cadbabi sana-sini, itu semua adalah dosa besar. Mengapa kita melakukan dosa besar dalam marah kita kepada orang lain?

Kalaupun mereka yang tipu, mereka yang berdosa. Dan Allah akan memberikan balasan setimpal kepada mereka. Tetapi apabila kita yang buat dosa, kita yang tanggung. Allah itu Maha Adil. Tahu?

Agen Yahudi?

Apabila anda komen, "Cadbury itu agen yahudi. Saja nak rosakkan Islam. Baik tak payah beli. Have a break, have a KitKat =D"

Ironinya, yang memang terang dan jelas menyokong Israel, melabur di Israel, membuka kilang dan pusat penyelidikan di Israel ialah Nestle, pengeluar KitKat, Milo, Maggi, Nescafe dan sebagainya. Yang dituduh dalang Zionis ialah Cadbury. Siapa yang lebih patut diboikot sebenarnya?



















Mengatakan Ulama' tidak boleh dipercayai

Menggunakan hadis yang mengatakan Ulama' akhir zaman itu "seteruk-teruk manusia di bawah naungan langit" untuk semua ulama' ialah perkara yang tidak baik dan tidak adil. Anda telah menzalimi. Hanya dengan datang kuliah-kuliah di masjid, merujuk Ustaz Wikipedia dan Ustazah Google, anda sudah rasa anda lebih berilmu daripada ulama'-ulama' ini?

Lainlah kalau memang apa yang ulama' itu seru tidak kena dengan hak asasi manusia dan tidak kena dnegan logik akal. Lainlah kalau hanya satu ulama' yang berbeza pendapat dengan ratusan ulama' lain. Dalam Isu Cadbury, para Ilmuan Islam sudah mengesahkan kehalalannya. Dan tiada yang mengatakan hukumnya tetap haram.

Meninggalkan yang syubhah

Benar Islam meminta kita meninggalkan perkara syubhah. Jika kita masih was-was, kita tinggalkan.Tetapi tidak memberi lesen untuk kita tidak meletakkan percaya kepada JAKIM dan Majlis Fatwa Kebangsaan. Dan juga tidak memberi lesen untuk kita membangkitkan was-was orang lain.

Jangan lupa, hadis ke-6 Imam Nawawi itu mengatakan yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antaranya terdapat perkara syubhah. Bagi mereka yang meninggalkan syubhah, ia telah menyelamatkan dirinya dan agamanya.

Masalahnya, anda menggolongkan Cadbury dalam yang syubhah sedangkan pihak berkuasa telah mengatakan bahawa ianya halal yang jelas.

Perbezaan pendapat makmal KKM dan makmal Jabatan Kimia



Anologi makmal KKM dan Jabatan Kimia itu mudah. Bayangkan anda disahkan menghidap kanser oleh doktor A. Anda pergi mencari second opinion doktor lain yang lebih pakar daripada doktor A iaitu doktor B. Doktor B mengesahkan anda tidak menghidap kanser.

Kemudian anda marah doktor B kerana mengesahkan anda tidak kanser dan terus menerus mempercayai doktor A.

1 comment: