Tuesday, June 3, 2014

Karnival Amal Islami: Sebuah catatan pengalaman






MGBSIM, Karnival Amal Islami.

Memberi sebuah hikmah yang tak terbayar dengan sejuta tan emas. Menunjukkan bahawa, kesungguhan itu merupakan asas kejayaan. Dan juga dorongan dan panduan seorang guru.

Sebuah misi mampu dicapai dengan kedua-dua unsur ini. Dan berdikari, terdapat hadnya tersendiri. Dengan berdikari sahaja, kita mampu menguatkan apa yang sedia ada. Namun untuk menambahkan kekuatan yang sedia ada, kita tidak boleh tidak perlukan guru, mentor, coach, murabbi dan sebagainya.

Maka begitulah kisah Al-Amin di KAI. Kerana terlalu berdikari tanpa panduan, kami telah memaksimakan penggunaan bakat yang kami ada, namun tidak cukup untuk mengatasi mereka yang berusaha berbakat dengan panduan.

Begitulah manusia dalam hidup, tidak mampu untuk mendapat redha Allah hanya dengan berfikir dan beramal sendiri. Kita perlukan bantuan wahyu untuk berjaya. Kerana itu manusia yang beribadah dengan cara wahyu lebih baik daripada yang bertapa siang malam mengikut logik akalnya.

KAI juga menunjukkan kesungguhan itu akan terzahir semasa penilaian. Kita dapat cam siapa yang bersungguh dan siapa yang main-main dalam persediaan semasa pertandingan. Nasyid contohnya, siap dengan gaya gerak tangan badan, dengan baju yang seragam siap songkok yang berhias. Itulah yang bersungguh. Memang syaratnya nasyid sahaja tetapi pemakaian seragan dan kemas itulah yang menzahirkan kesungguhan.

Begitu jugalah hidup. JIka kita benar-benar bersungguh-sungguh, perkara kecil yang dianggap remeh itulah yang kita jaga. Syaratnya puasa tak makan minum namun kita jaga tidak melakukan pembaziran dan sebagainya.

KAI juga merapatkan ukhuwwah antara kami. Tak pernah diketahui perangai dia ini begini begitu akhirnya kenal. Kita jangan sangka kita sudah kenal seseorang itu jika kita belum bermusafir dengannya. Nak-nak kalau kita kenal orang itu semasa stress. Ketika itulah warna sebenar dia muncul.



KAI juga mengajar kita tentang pandangan berbeza. Ana tewas ana terima. Namun ada seseorang yang ana yakin dia menang tetapi tewas tanpa nombor itu ajaib. Kerana pada hemat ana, dia lebih bergaya dan gaya bahasanya lebih sedap daripada orang lain. Isinya juga mantap. Namun, itu hanya pandangan.

Bagaimana nanti dengan pandangan Tuhan? Pada kita, kita sudah melakukan yang elok dan berkualiti. Namun pada Allah? Adakah Allah akan terima amal yang kita rasa terbaik itu bakal diterima? Maka adakah kita masih enggan melakukan ibadah tambahan, yang sunat misalnya?

KAI juga mengajar untuk meluruskan niat. Jika kita datang niat nak menang, dah usaha sungguh-sungguh, tapi kalah juga, maka sia-sialah niat kita. Para sahabat mereka keluar rumah dengan banyak niat. Contoh hendak pergi ke masjid, mereka berniat hendak solat, cari redha Allah, iktikaf, hindar daripada aktiviti lagha dan maksiat, nak jumpa orang dan senyum dan macam-macam niat lain. Dan bagi mereka ganjaran bagi setiap niat mereka. Jadi niatlah pelbagai dalam pergi KAI.


Kata orang, guru yang paling hebat ialah pengalaman. Maka Alhamdulillah, Allah sediakan jalan untuk baiki kemahiran dan mendapat hikmah yang tak ternilai dan disangkakan.

1 comment:

  1. Alhamdulillah thummal hamdulillah, thumma alhamdulillah. Tahniah Azhari atas tulisan ini. Komen-komen bernas dari pemerhatian yang datang dari hati yang peka dan prihatin.

    ReplyDelete