Thursday, July 17, 2014

Aku kurang kasihan kepada Gaza



"Tak baik lah Azhari. Mana boleh tak kesian. Mereka itu saudara kita. Macam mana nta rasa kalau nta punya kakak yang kena bunuh?... ..."

Ntah. Aku pun tak tahu. Kadang kala aku mual dengan peringatan terhadap isu ummah tanpa menghidangkan solusi yang selamanya. Kasihan dia ini. Kasihan dia itu. Kasihan. Kasihan. Kasihan. Kemudian apa? Minum Milo Ais barangkali.

Tapi, aku ingin menjelaskan sesuatu. Bukan aku tak sayang mereka. Sungguh bukan itulah yang menjadi puncanya.

Benar, yang diseksa dan dibunuh itu yang tak bersalah. Yang ibu ayahnya mati dibunuh depan matanya itu pun masih tiada dosa. Yang rumahnya hancur itu juga saudaraku.

Tetapi aku lebih kasihankan orang sekeliling aku. Mereka itu juga saudaraku.

Mengapa?

Ujian ada 2 jenis. Ujian kesempitan dan ujian kesenangan.

Bani Israel dahulu apabila ditimpa kesusahan dan kezaliman firaun, mereka berjaya melepasinya dan beriman dengan Tuhan Nabi Musa. Apabila firaun dimusnahkan dan mereka mula diberi rezeki melimpah ruah, mereka kufur dan mula hendak bunuh nabi-nabi mereka.

Seperti itulah juga kita sekarang. Ada yang ditimpa kesenangan, ada yang ditimpa kesusahan. Yang membezakan kita dan mereka ialah bagaimana kita menghadapi ujian-ujian ini.

Kerana di sebalik kesusahan mereka, hampir semua anak-anak mereka hafiz Al-Quran. Sejak kecil mereka dididik dengan meletakkan Islam di tempat yang paling tinggi. Mempunyai semangat jihad yang membara. Berani syahid. Kental. Hebat. Putus tangan pun tak meraung. Dipenjara diseksa tak tergugah. Dengan askar bersenjata pun berani melawan. Lontaran batu keramat dek kepercayaan yang tertinggi kepada Tuhan, bahawa bukanlah dia yang melontar tapi Tuhannya yang melontar. Syahid sentiasa mengintai menanti masa sesuai.



Adapun kita, senangnya kita, ramai yang tidak reti membaca pun Al-Quran. Meletakkan material dan barat sebagai matlamat. Sejak kecil kita ditanya kita nak jadi apa bila besar dan jawapannya ialah doktor dan engineer. Sekular. Syajid tidak pernah terbayang dalam kepala. Malah hanya mengaku beriman kepada Allah di bibir semata.

Cuba kita tanya betul-betul diri kita. Betul ke aku nak syahid? Kalau aku berdepan dengan perompak dengan pistol pun, adakah aku akan mempertahankan diri atau lari? Nak kena suntik pun sejuk jari jemari. Jauh di sudut hati, kita takut bukan? Iman tak cukup kuat.

Sungguh, kita belum teruji.

Mereka, jika mereka mati dibunuh, mereka syahid InsyaAllah. Dan di akhirat kelak mereka boleh tunjuk kepada Allah yang mereka sudah berjihad di jalanNya. Dan mereka bakal dikurnai syurga tanpa hisab. Mereka juga boleh tuntut daripada Israel yang telah menzalimi hak mereka, pemimpin Islam yang mengabaikan mereka dan daripada KITA, yang tak buat apa-apa untuk mereka. Setiap manik jernih keluar daripada tubir mata mereka, setiap itulah KITA akan ditanya apa yang kita telah lakukan untuk mereka.

Kita? Mati di atas katil kalau bukan di jalan raya. Ntah serangan jantung, ntah kanser. Tiada jaminan syurga untuk kita. Tiada bukti kepada Allah yang kita sudah membantu agamaNya. Tiada orang yang kita boleh tuntut dengan kerana yang bersalah dan tak buat apa-apa ialah kita. Malah, kita akan ditolak pahala jika kita terbukti langsung tidak membantu mereka. Pahala berjuang tak ada. Dosa maksiat tiada penghujungnya. Menangis duka kerana teman wanita khianat kepadanya. Untuk Tuhan? Hanya tangisan menahan kantuk ketika tarawih pastinya.



Maka siapa yang mengalami ke"malang"an dan siapa pula yang mengalami kemalangan sebenarnya?

Beban musibah dunia diletakkan pada bahu mereka di dunia sementara. Beban musibah hari qiyamat kekal selamanya bakal ditanggung oleh kita.

Kerana itu, aku kurang kasihan kepada mereka. Lebih kasihan kepada orang sekelilingku yang leka. Malah aku pun ntah-ntah berada dalam golongan yang sama.

Tiada lebihnya musibah yang berlaku di Palestin dan pada kita. Cuma kita, Israel tidak jajah fizikal. Namun mental sudahpun berjaya dijajah lama. Sex, screen, smoke, sports, songs, fashion dan food dipopularkan untuk memusnahkan kita dan menjauhkan kita daripada Islam sebenarnya.

Tapi kita hampir 100% gagal menghadapi serangan pemikiran ini. Namun mereka tidak gagal seluruhnya mempertahankan Palestin.

Ramadan ini bulan titik tolak. Jadikan bulan ini titik tolak kepada sebuah permulaan baru dalam hidup kita agar kita menjadi ummah yang benar-benar mengikuti Islam yang sebenar sebagai cara hidup, dan seterusnya berjaya memerdekakan Al-Aqsa.

Musibah itu teguran Allah buat manusia agar kembali kepadaNya. Dan Allah takkan mengangkat teguran itu selagi kita tak terima pengajaran daripadanya. Sehingga ummah terislah. Mengikuti Islam seperti nabi dan sahabat memahaminya.

Kasihanilah mereka kerana ditimpa musibah atas kelemahan kita sebagai satu ummah. Kasihanilah diri kita kerana di akhirat kelak saudara kita di sana akan menuntut daripada kita jika kita diam sahaja.

No comments:

Post a Comment