Wednesday, July 9, 2014

Akulah pengganas sebenarnya!



Akulah pengganas sebenarnya.
Apabila ummah dikoyakkan dihina, aku diam melayan bola menonton Korea tanpa ada terasa sedih dalam jiwa.

Akulah pengganas sebenarnya.
Sanggup melihat anak-anak Palestin dibunuh tanpa melakukan apa-apa untuk membantu mereka.

Akulah pengganas sebenarnya.
Sanggup sibuk doa SPM dan mendapat jodoh yang teristimewa, lupa doa untuk mereka yang teranaiya.

Akulah pengganas sebenarnya.
Sanggup melihat mereka sengsara sedang aku teragak-agak menghentikan pembelian produk menyokong pembunuh mereka.

Akulah pengganas sebenarnya.
Melihat gambar pembunuhan tanpa ada sekelumit perasaan bahawa ini semua adalah kekejaman yang mesti berhenti segera.

Israel itu memang jahat. Sudah ada dalam Al-Quran kata mereka ini jahat. Namun aku lagi jahat. Apabila aku tidak mahu halang bangsa jahat berbuat jahat terhadap umat.

Pembunuhkah daku, kerana membiarkan segala ini terus berlaku?

Dapatkah diriku menjamin keselamatanku di akhirat kelak jika aku terus membisu seolah bayang-bayang yang tiada makna?



Apa yang boleh aku buat selain berdoa dan bermunajat?
Adakah itu sahaja cukup untuk umat mendapat maslahat?

Aku perlu lebih berusaha menjadi muslim dan mukmin yang cemerlang. Kerana segala musibah ini takkan terhenti selagi umat tak kembali kepada Tuhan Maha Penyayang.

Aku perlu lebih berusaha untuk membentuk orang sekelilingku agar mereka turut mengamalkan Islam. Agar makin ramai yang kembali ke jalan yang benar, menutup jahiliyyah silam.



Aku perlu lebih banyak menderma dan menggalakkan orang menderma. Agar saudaraku di sana mendapat kembali atap dan terisi kembali perut mereka.

Aku perlu lebih berusaha melumpuhkan ekonomi penjahat itu. Agar mereka satu hari nanti mempunyai pistol tapi tiada duit untuk membeli peluru.

Berjuang dengan cara lain bukan lagi alasan. Sedang mereka terdesak perlukan bantuan. Segala cara penentangan itu perlu dilakukan. Doa dan usaha saling berkaitan.

Tiada lagi Milo sebagai sarapan. Tiada lagi Starbucks sebagai tempat persinggahan. Tiada lagi Maggi sebagai juadah sahur hari-harian. Tiada lagi McD sebagai tempat untuk makan. Kerana Happy Meals itu hanya mendatangkan kesengsaraan.

Mereka yang belum muslim pun boleh lakukan apatah lagi aku yang sememangnya mempunyai kewajipan mempertahankan saudara dalam kesusahan.

Agar nanti diakhirat jika anak-anak Palestin yang kita lihat berlumuran darah dan kepalanya pecah itu menuntut haknya untuk dibantu itu kepada Allah, aku sudah mempunyai jawapan.

Ya Tuhan, terimalah pengorbananku demi saudaraku yang dalam kesulitan. Itulah yang aku mampu lakukan. Ampunkan aku dan seluruh umat Islam sekalian. Tunjukilah kami semua jalan kebenaran.

No comments:

Post a Comment