Wednesday, December 23, 2015

Refleksi Sirah: Kisah Hasan bin Thabit


Sosok manusia seperti Abu Bakar yang hebat, mungkin tak terbayang oleh kita. Mungkin terasa tak mempu untuk masuk ke syurga jika dibanding dengan mereka.

Maka hari ini, akan aku bawa anda renungi kisah seorang sahabat, moga kita dapat mengambil pengajaran.

****

Hasan bin Thabit RA.

Hasan bin Thabit merupakan seorang penyair terkenal dalam kalangan sahabat.

Perang Ahzab tercetus akibat dendam oleh Quraish dan Bani Nadhir terhadap Nabi Muhammad SAW. Maka, mereka membuat pakatan "Ahzab" yang diwakili oleh Bani Quraish, Yahudi Bani Nadhir dan Bani Ghatafan, dan mengumpulkan sejumlah 10,000 orang untuk menyerang Madinah.

Untuk mempertahankan Madinah, Nabi Muhammad SAW telah mengarahkan untuk membina sebuah parit di kawasan utara Madinah untuk menghalang kemaraan tentera bersekutu atau lebih dikenali sebagai tentera Ahzab itu.

Ketika perang, semua sahabat yang berada dalam lingkungan umur berperang, iaitu umur lelaki yang mampu berperang, dikerahkan ke sempadan Madinah.

Maka, kaum wanita, orang tua dan kanak-kanak diletakkan di dalam sebuah kubu di Madinah untuk memastikan mereka terselamat daripada ancaman dalaman ataupun khianat.

Hasan bin Thabit ketika itu diletakkan bersama wanita dan kanak-kanak dalam sebuah kubu milik Ansar.

Ketika perang, setelah beberapa hari pengepungan Madinah berlaku, Yahudi Bani Nadhir berunding dengan Yahudi Bani Quraizah, yang ketika itu masih berada di dalam Kota Madinah dan mempunyai perjanjian dengan Nabi Muhammad SAW, untuk mengkhianati Nabi dan menyerang orang Islam daripada dalam Madinah.

Bani Quraizah bersetuju.

Bani Quraizah menghantar 2 orang pengintip ke kubu yang menempatkan wanita, kanak-kanak dan orang tua untuk melihat sama ada kubu tersebut dikawal ataupun tidak.

Jika tidak dikawal, mereka ingin menyerang dan membunuh semua kanak-kanak dan wanita supaya merendahkan semangat tentera Islam yang berkawal di parit pertahanan Muslimin.

Dalam situasi cemas tersebut, seorang sahabiah, Safiyyah binti Abdul Muttalib, datang berjumpa dengan Hasan bin Thabit, satu-satunya lelaki yang berada dalam lingkungan umur perang di dalam kubu tersebut, dan meminta beliau melakukan sesuatu.

Lalu Hasan bin Thabit enggan dan berkata bahawa sesungguhnya engkau tahu keadaan aku, janganlah memalukan aku lagi.

Maksud Hasan, beliau merupakan seorang penyair, bukanlah pejuang. Sebab itulah Nabi SAW meletakkan beliau bersama wanita dan kanak-kanak.

Maka Safiyyah binti Abdul Muttalib mengambil sebatang kayu dan memakai pakaian seolah-olah seorang pejuang, lalu memukul pengintip tersebut sehingga mati dan mencampakkan kepalanya kepada lagi seorang pengintip sebagai amaran.

Bani Quraizah membatalkan hasrat mereka menyerang kubu tersebut.

Setelah itu, Safiyyah binti Abdul Muttalib pergi kepada Hasan bin Thabit sekali lagi lalu menyuruh beliau mengambil harta rampasan daripada tubuh Yahudi yang dibunuh itu.

Tetapi Hasan bin Thabit enggan lalu mengatakan bahawa beliau tidak memerlukannya.

Sebahagian sahabat melabel Hasan sebagai pengecut kerana insiden ini.

Harus diingatkan, semua sahabat termasuklah Hasan bin Thabit dan Safiyyah binti Abdul Muttalib, dikurniakan oleh Allah gelaran Radiyallahu anhum; Allah redha ke atas mereka.

Rasulullah SAW juga tidak pernah mengutuk Hasan bin Thabit terhadap kekurangannya dalam bab perang fizikal.

Malah, atas dasar memahami keadaan Hasan bin Thabit inilah Rasulullah SAW meletakkan beliau ke dalam kubu wanita dan kanak-kanak.

Sebelum ini, Hasan bin Thabit juga terlibat dalam sebuah lagi kes iaitu menyebarkan fitnah Aisyah. Namun, walaupun Rasulullah melepaskan semua orang Munafiq daripada hukuman, Hasan bin Thabit antara orang yang dihukum oleh Rasulullah, dan telah bertaubat.

Terbukti, Hasan bin Thabit bukanlah seorang munafiq, kerana Nabi SAW tidak pernah menghukum seorang munafiq. Namun, beliau juga manusia biasa, tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

Pada suatu hari, Rasulullah didatangi oleh orang Kristian. Delegasi tersebut mencabar untuk berlawan syair dengan Nabi SAW. Lalu Nabi SAW meminta Hasan bin Thabit menyahut seruan tersebut.

Walaupun terdapat banyak kekurangan, apabila beliau dipanggil oleh Rasulullah untuk berlawan syair, beliau sahut seruan itu tanpa berlengah. Ini bidang beliau.

Sabda Nabi, Wahai Hasan, jawablah, moga Allah mengurniakan Jibril membantu kamu.

Hasan tidak berdalih. Tidak langsung beliau berikan alasan seperti, beliau tidak layak, Abu Bakar lagi layak, beliau banyak dosa dsn sebagainya.

Kelebihan beliau dalam bidang seni syair, apabila diseru untuk digunakan ke jalan Allah, tak kesahlah dosa lampau beliau, beliau sahut.

****

Pengajaran:

Tak perlu menjadi sehebat Abu Bakar dan Umar untuk menyumbang bakti buat Ummah.

Segala kepakaran yang kita ada, tak kesahlah dalam bidang apa, gunakanlah untuk membantu Ummah.

Dosa, kesilapan lalu, jangan jadi penghalang. Bukankah Allah sudah mengatakan dalam firmanNya yang mulia, "Sesungguhnya kebaikan itu akan memadamkan kejahatan"? Lagi banyak dosa kita buat, seharusnya lagi banyak amal yang kita lakukan.

Bakat anda bermain bola, mainlah. Melukis, lukislah. Mengarang, karanglah. Berceramah, ceramahlah. Membuat video, buatlah. Mengambil gambar, ambillah. Buat akaun, urus sumber manusia, mentadbir, semuanya boleh digunakan untuk kemaslahatan Ummah.

Ketepikan semua alasan.

Aku tak layak.
Aku tak mampu.
Aku tak boleh.
Aku banyak dosa.
Ada yang lagi layak.

Jika anda mampu buat, buatlah. Jika benar-benar tidak mampu, barulah katakan tidak mampu. Allah mengetahui isi hati-hati, sama ada jujur atau tidak ketidak-mampuan anda.

Ayuh pembaca,
Sumbanglah untuk Ummah!

No comments:

Post a Comment