Monday, May 26, 2014

Dustakah kita?



"Siapa Tuhan kau?"
"Mana Kiblat kau?"
"Siapa Nabi kau?"
"Siapa Saudara kau?"
"Apakah Agama kau?"

Kita mampu bermaharaja lela menjawab soalan-soalan di dunia. Malah sebahagian kita telah menghafalnya. Bait-bait talqin sentiasa dialunkan ketika majlis pengkebumian saudara kita.

Namun adakah kita berdusta dalam mengucapkan ikrar itu?

Bagaimana kita hendak mengatakan Allah itu Tuhan kita sedangkan kita tidak meletakkan ketaatan itu hanya untuk Allah semata? Meletakkan apa orang kata lebih tinggi daripada arahan kalamNya?

Bagaimana kita mengatakan Kaabah itu kiblat kita sedangkan yang kita idamkan ialah pergi berbulan madu di pantai Florida sana? Teringin menghidu keseronokan yang sementara?

Bagaimana kita mengatakan Nabi Muhammad Nabi kita sedangkan kita tidak mengambil contoh teladan daripadanya? Sibuk berjoget-joget lucah menyanyi yang ntah apa-apa?

Bagaimana kita mengatakan saudara kita semua orang Islam sedangkan kita sanggup membelanjakan banyak wang untuk bersuka-ria sedangkan Ummah ada yang sedang menderita? Mengabaikan mereka seperti mereka bukanlah manusia?

Bagaimana kita mengaku Islam agama kita sedangkan solat 5 waktu pun tidak sempurna? Kalau puasa pun hanya sekadar lapar dan dahaga?

Jadi bagaimana? Adakah selama ini kita berdusta?

Maka kepada siapa kita berdusta? Kepada Allahkah?

Tidak. Hakikatnya kita sedang menipu diri kita sahaja. Membiarkan diri binasa sedang kita sendiri menyedarinya.

Dan ingat. Hari itu bukan lagi lidah yang berbicara bahkan segala amalan dan semua anggota.

Justeru jujurlah,
"Siapa Tuhan kau?"
"Mana Kiblat kau?"
"Siapa Nabi kau?"
"Siapa Saudara kau?"
"Apakah Agama kau?"

Aku mengingatkan sebelum tiba masanya. Bila sudah tiba maka menangis air mata darah sekalipun tidak akan diterima taubatnya.

No comments:

Post a Comment