Wednesday, October 15, 2014

Mengapa anda ketagih?



Anda pernah memerhati dan mendalami orang yang merokok? Tahukah anda, merokok itu menenangkan? Tahukah anda rokok itu menjana ketagihan? Sebab itu remaja yang cuba merokok akan menjadi perokok tegar. Lebih banyak masalah yang ditimpa oleh remaja tersebut, lebih banyak batang rokok yang dihisapnya. Tak kesahlah harga naik ke, kena kanser ke, asalkan ketenangan itu tercapai.

Anda pernah memerhati dan mengkaji orang yang menagih dadah? Bukankah mereka itu mengambil pil khayal dan ubat pelali dan penenang? Tidakkah sebenarnya mereka hanya ingin lari daripada masalah harian mereka? Sebab itu orang yang hisap dadah itu ketagihan.

Anda pernah lihat orang yang ketagihan permainan video? Tidakkah mereka itu merasakan mereka berada di dunia lain semasa bermain? Segala masalah mereka di dunia dilupakan untuk beberapa ketika. Kerana itu mereka kerap bermain permainan video.

Anda. Jika anda analisa, anda akan nampak apa yang cuba disampaikan.

Kita semua akan ketagih dengan perkara yang membawa kita tenang. Memberikan kita kesejahteraan. Membebaskan kita daripada masalah duniawi yang kita hadapi tiap-tiap hari. Hal ini kerana semua manusia idamkan kebahagiaan iaitu ketenangan dan kepuasan.

Firman Allah:

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah". Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia." [Ar-Ra'd 28]

Itu janji Tuhan. Anda ragu?

Mengapa solat kita tidak membawa kepada ketenangan yang kita cari? Mengapa kita tidak ketagih solat?

Itu membawa kepada soalan yang lebih membingungkan.

Selama ini betulkah solat kita? Mengapa tidak mendapat efek yang dijanjikan?

... dan...

Masa kita solat kita ingat Allah ke ingat apa? Exam? Tadi cikgu marah dalam kelas? Lapar?

Patutlah tak tenang-tenang. Haih.

Jika sesuatu pisau itu terjamin tajam sekalipun, jika anda menggunakan belakang pisau, agar-agar yang anda buat itu takkan terpotong. Betul tak?

Samalah dengan solat. Jika kita tak solat dengan betul, kita tidak khusyuk, bagaimana kita hendak mencapai ketenangan yang kita cari?

Bila mencapai kemanisan iman, barulah ibadah itu mengasyikkan.

Nabi SAW mengatakan bahawa 3 cara untuk merasai kemanisan iman.
1. Mencintai Allah dan Rasul, lebih daripada orang lain (termasuk diri sendiri).
2. Mencintai sahabat/kawan kerana Allah.
3. Benci untuk kembali kepada kemaksiatan sebagaimana benci untuk masuk neraka.

Maka, berusahalah untuk mencapai kemanisan iman. Agar kita dapat mencapai kebahagiaan yang kita idamkan. Barulah kita ketagih zikrullah. Kerana kita rasakan kita bebas daripada segala masalah yang kita tempuhi. Kerana kita rasa tenang dan tenteram.

No comments:

Post a Comment