Saturday, June 6, 2015

Ragging dan hedonisme di IPT

Masa mendaftar di Mahallah Al-Biruni, CFS IIUM Gambang (31 Mei 2015)

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.
Allah tempatkan aku di CFS IIUM Gambang Asasi Farmasi. Aku sudah mendaftar pada 31 Mei 2015.

Dapat bilik tingkat 4. Haih, nak bagi kurus kot. Tapi bak kata senior aku Akhi Afif, aku hanya boleh kurus kalau aku tak selalu balik. Hahahaha

Alhamdulillah sekali lagi, Taaruf Week di sini, kami dilayan seperti orang dewasa. Tidak lagi seperti kanak-kanak sekolah yang memerlukan orang mengarah ke sana ke mari.

Cuma aku musykil. Khabarnya daripada rakan-rakan 2NT yang lain, di IPT lain wujud agenda "ragging" dan konsert ketika minggu orientasi mereka. Setahu aku, pelajar yang dapat memasuki IPT ini semuanya pelajar yang dewasa. Jikalau bukan dewasa sekalipun, mereka sekurang-kurangnya merupakan pelapis golongan akademik masa hadapan.

Maka, apakah mesej yang kita cuba sampaikan kepada bakal ahli akademik pemimpin masa depan kita?

Ragging pada pendapatku, ialah sesuatu perkara yang dibuat untuk memastikan adanya ketaatan tanpa soal. Ia digunakan oleh tentera untuk mestikan askar-askar ini taat tanpa banyak soal.

Namun, ahli akademik tidak perlukan sifat ini. Malah, perkembangan ilmu bergantung kepada sifat inkuiri mahasiswa, Apabila kita memaksakan ketaatan tanpa soal, ia bertentangan dengan budaya golongan terpelajar. Maka haruskah mahasiswa diragging?

Ragging, tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada pelajar. Sebarang bentuk "manfaat" yang dicanangkan itu semuanya sama ada dusta ataupun direka-reka.

Apakah mesej yang cuba disampaikan kepada pelajar, sehingga mereka perlu menyanyi lagu kolej kuat-kuat malam-malam buta, baring di atas jalan tar selepas hujan, denda sana denda sini pada pukul 2-3 pagi? Menerapkan rasa takut untuk melanggar peraturan? Sedangkan, pelajar akan lebih cenderung untuk memberontak.

Cuba berikan sebab, pemahaman dan sebagainya tentang kenapa perlu taat. Ketaatan hasil daripada takut hanya akan kekal selagi faktor untuk takut itu wujud. Selepas itu ketaatan itu akan hilang. Ketaatan hasil daripada pemahaman akan kekal.

Aku suka sistem UIA. Anda buat masalah, anda akan didenda RM50 dan sebagainya. Buat lagi, akan ada surat amaran, yang juga akan sampai kepada ibu bapa. Buat masalah juga, boleh dibuang universiti. Berani buat berani tanggung. Itu yang mengajar untuk menjadi dewasa. Sistem denda yang bukan keanak-anakan.

Apabila timbul isu pelajar perempuan di UiTM Pulau Pinang diragging sehingga dipanggil pada pukul 3 pagi, disuruh baring di atas jalan tar sehingga terdapat 20 mahasiswa yang histeria, pada aku ini sudah melampau.

Pertama, apa manfaat anda suruh mereka baring di atas jalan tar jam 3 pagi? Membuat perkara sia-sia menyalahi budaya golongan terpelajar.

Kedua, anda sudah membahayakan keselamatan pelajar. Pelajar yang dihantar oleh ibu dan ayah supaya anda jaga, anda khianati. Anda juga khianati universiti anda yang mengamanahkan anda.

Ketiga, anda berjaya memalukan universiti anda. Tahniah.

Keempat, anda sudah diberi amaran bahawa tempat itu keras, mengapa anda bawa siswi ke tempat tersebut? Bukankah siswi ini golongan yang lemah dan wajar dijaga dengan teliti? Siapa ajar anda, meminta perempuan keluar malam-malam? Anda mengundang masalah sebenarnya, kemudian menyorok di belakang "kami pertama kali jaga program".

Atas sebab-sebab di atas, aku yakin sepatutnya AJK program tersebut patut dikenakan tindakan tatatertib. Dosa yang sangat besar setiap satunya.

Nasihat aku terhadap mahasiswa, janganlah teruskan budaya ragging ini. Ini adalah budaya lapuk ketinggalan zaman, digunakan oleh orang yang kurang pandai memimpin dan kurang berpendidikan, untuk mengawal kegiatan orang bawahan.

Yang paling mulia antara kita ialah yang paling bertaqwa. Boleh jadi orang yang anda ragging itu lebih mulia daripada anda di sisi Allah.

Juga nasihat kepada mana-mana penganjur program, janganlah buat perkara sia-sia. Dulu aku antara orang yang sangat marah jika program suruh sapu telur campur mustard campur tepung di muka, beri makan benda pelik-pelik dan sebagainya. Selagi ia dalam bidang kuasaku, aku akan halang. Ia menjatuhkan maruah di samping tidak mendatangkan sebarang bentuk manfaat. Dan aku biasa memberontak tidak membuat sebarang denda yang difikir menjatuhkan maruah. Ia bertentangan dengan agama.

Buat program, biar mengikut objektif. Jika ia tidak akan mencapai apa-apa objektif program, tak perlu buat.

Aku tahu memang susah. Aku dahulu banyak menganjurkan program sebagai program manager mahupun program coordinator. Tapi buat apa belanja duit dalam jumlah yang banyak jika tidak mencapai objektif program?

Muka teruja nak balik KL. (5 Jun 2015)

Seterusnya tentang konsert. Aku tak tahu sejak bila budaya ilmu terdapat hedonisme. Siap ada dance move la, Menyanyi melalak bagai.

Jika inilah pendedahan yang diberikan kepada mahasiswa, jangan pelik jika satu hari nanti mereka menjadi pemimpin yang sukakan hedonisme. Jangan pelik lebih banyak artis K-Pop yang diundang dan dibayar dengan duit rakyat satu hari nanti. Jangan pelik lebih banyak kematian akibat dadah dalam konsert-konsert seperti Future Music Asia Festival tahun lepas.

Jangan pelik. Dan jangan marah.

Kerana inilah yang anda ajar kepada mahasiswa yang bakal memegang tampuk pimpinan negara saat anda semua tidak lagi berdaya menjalankan amanah tersebut.

Oh ya, jangan pelik juga apabila mahasiswa tidak boleh memberikan tumpuan untuk pembelajaran dalam jangka masa yang lama. Kerana mereka diajar sukakan hiburan. Tidak boleh hidup tanpa berhibur.

Jika mesej-mesej inilah yang cuba disampaikan kepada mahasiswa bakal pemimpin negara, aku tak pasti ke arah manakah negara kita akan tuju.

Bosanlah hidup kau, ragging tak nak konsert tak nak. Macam mana nak wujudkan individu yang seimbang?

Hidup ini sementara, Jika aku ditarik nyawa dalam konsert yang kau wajibkan aku pergi, adakah kau akan tanggung malu aku berjumpa dengan Allah?

Jika kita pandang, hidup cuma sekali, maka perlu berhibur, maka pandangan anda sempit. Tak salah berhibur sekali sekala. Namun bukanlah berlebihan. Bukanlah berjoget. Banyak lagi cara berhibur. Riadah juga satu bentuk hiburan bukan? Rekreasi juga satu bentuk hiburan bukan?

Malah lebih membentuk individu seimbang kerana merehatkan minda, menenangkan emosi di samping menguatkan jasmani. Kenapa kita perlu semarakkan budaya hedonisme ini?

Bukan niat nak memburukkan mana-mana IPT eh. Tapi niat nak basmi 2 budaya ini daripada mahasiswa.

No comments:

Post a Comment