Saturday, June 7, 2014

Isu Cadbury: Jangan sampai salah orang lain, kita yang berdosa.



Justeru, jika bukan JAKIM, kepada siapa lagi harus kita meletakkan kepercayaan? Jika bukan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan, kepada siapa lagi kita hendak meletakkan kepercayaan?

Jika anda tidak percaya kepada JAKIM, mengapa coklat lain yang halalnya juga diberi oleh JAKIM anda makan? Anda marah JAKIM kerana sekejap haram sekejap halal, sedangkan JAKIM tidak pernah mengatakan ianya haram. Mereka cuma menyiasat kajian KKM. Anda yang menghukum Cadbury haram melalui laman sosial Facebook dan Twitter.

Jika anda tidak mahu makan Cadbury kerana was-was, tidak perlu anda menyebarkan kempen anda kepada orang ramai. Anda yang was-was. Bukan orang lain.

Melakukan dosa besar dalam respon terhadap isu Cadbury

Kesilapan kita apabila kita mengharamkan benda yang halal itu adalah besar. Cadbury dah disahkan halal. Mengapa kita sibuk mengatakan ianya haram? Bertambah besar apabila kita mendakyah orang lain untuk mengharamkan yang halal ini. Dan makin besar apabila kita menuduh Cadbury itu agen Yahudi, menuduh JAKIM rasuah malah timbul pula tuduhan PM dan bekas PM kita minum arak. Bertambah besar lagi apabila kita menimbulkan semangat rasis dalam kalangan Muslim dan Non-Muslim. Lagi-lagi apabila nama Islam tercemar dek orang yang sibuk menunjukkan kepada dunia khususnya masyarakat Malaysia kepayahan Islam yang sebenarnya mudah.

Dalam senarai dosa-dosa besar, mengfitnah, mengumpat, mengutuk orang Islam ada. Makan babi tak ada. Kalau iya pun kita termakan babi, tidak dosa. Tetapi kita mengumpat, menuduh tak menentu hala, mengatakan JAKIM telah rasuah, mengatakan Cadbabi sana-sini, itu semua adalah dosa besar. Mengapa kita melakukan dosa besar dalam marah kita kepada orang lain?

Kalaupun mereka yang tipu, mereka yang berdosa. Dan Allah akan memberikan balasan setimpal kepada mereka. Tetapi apabila kita yang buat dosa, kita yang tanggung. Allah itu Maha Adil. Tahu?

Agen Yahudi?

Apabila anda komen, "Cadbury itu agen yahudi. Saja nak rosakkan Islam. Baik tak payah beli. Have a break, have a KitKat =D"

Ironinya, yang memang terang dan jelas menyokong Israel, melabur di Israel, membuka kilang dan pusat penyelidikan di Israel ialah Nestle, pengeluar KitKat, Milo, Maggi, Nescafe dan sebagainya. Yang dituduh dalang Zionis ialah Cadbury. Siapa yang lebih patut diboikot sebenarnya?



















Mengatakan Ulama' tidak boleh dipercayai

Menggunakan hadis yang mengatakan Ulama' akhir zaman itu "seteruk-teruk manusia di bawah naungan langit" untuk semua ulama' ialah perkara yang tidak baik dan tidak adil. Anda telah menzalimi. Hanya dengan datang kuliah-kuliah di masjid, merujuk Ustaz Wikipedia dan Ustazah Google, anda sudah rasa anda lebih berilmu daripada ulama'-ulama' ini?

Lainlah kalau memang apa yang ulama' itu seru tidak kena dengan hak asasi manusia dan tidak kena dnegan logik akal. Lainlah kalau hanya satu ulama' yang berbeza pendapat dengan ratusan ulama' lain. Dalam Isu Cadbury, para Ilmuan Islam sudah mengesahkan kehalalannya. Dan tiada yang mengatakan hukumnya tetap haram.

Meninggalkan yang syubhah

Benar Islam meminta kita meninggalkan perkara syubhah. Jika kita masih was-was, kita tinggalkan.Tetapi tidak memberi lesen untuk kita tidak meletakkan percaya kepada JAKIM dan Majlis Fatwa Kebangsaan. Dan juga tidak memberi lesen untuk kita membangkitkan was-was orang lain.

Jangan lupa, hadis ke-6 Imam Nawawi itu mengatakan yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antaranya terdapat perkara syubhah. Bagi mereka yang meninggalkan syubhah, ia telah menyelamatkan dirinya dan agamanya.

Masalahnya, anda menggolongkan Cadbury dalam yang syubhah sedangkan pihak berkuasa telah mengatakan bahawa ianya halal yang jelas.

Perbezaan pendapat makmal KKM dan makmal Jabatan Kimia



Anologi makmal KKM dan Jabatan Kimia itu mudah. Bayangkan anda disahkan menghidap kanser oleh doktor A. Anda pergi mencari second opinion doktor lain yang lebih pakar daripada doktor A iaitu doktor B. Doktor B mengesahkan anda tidak menghidap kanser.

Kemudian anda marah doktor B kerana mengesahkan anda tidak kanser dan terus menerus mempercayai doktor A.

Wednesday, June 4, 2014

Mukmin mencapai Inner Peace!



"Clear your mind! Focus your spiritual energy!" - Master Mutaito, Dragon Ball.
"Inner peaaace!" - Master Shi Fu, Kungfu Panda 2.
"You must let go of your earthly attachment" - Guru Pathik, Avatar The Last Airbender.

Au kama qal.

Semuanya menyeru kepada satu dogma yang sama. Meminta kita fokus. Meminta kita melepaskan diri daripada sejarah buruk, keduniaan. Menghasilkan suatu kuasa yang hebat, menjadikan mereka pahlawan yang tidak tertanding dek mana-mana musuh.

Tidak peliklah jika kita lihat, Avatar Aang, Po, dan Goku begitu tenang menghadapi musuhnya. Tidak segaris takut muncul di kening mereka. Kerana mereka telah "tenang". Mencapai ketenangan tertinggi. Berjaya melepaskan diri daripada dunia. Kononnya.




Lihat pula pengamal yoga. Begitu asyik melakukannya dengan penuh fokus dan khusyuk. Malah mereka berjaya merasai kemanisan "khusyuk" dan "ibadah" mereka sehingga mereka terdorong untuk melakukannya berulang kali.

Hakikatnya, kita sudah tahu perkara ini. Dalam solat kita diseru untuk khusyuk bukan? Kan kita diseru untuk fokus, mengosongkan minda terhadap dunia, melupakan segala yang berkaitan dengan dunia? Tidakkah khusyuk kita menjadikan ibadah kita manis? Adakah kita berjaya melakukannya?

Maka, mukmin itu mampu mencapai Inner Peace. Harness spiritual energy. dan sebagainya. Solat kita menjadikan kita hebat. Tidak peliklah jika 3,000 sahabat dahulu mampu menewaskan 200,000 tentera Rom. Bayangkan satu angkatan tentera semuanya segagah, setenang dan sefokus Goku. Dicampur dengan bantuan Allah, kekuatan mereka tak terbayang bukan?

Mereka, orang belum Islam, ingin mencapai ketenangan mereka dengan bertapa seberapa lama. Kita mampu mencapai perkara ini lebih 5 kali sehari. Dan jangan lupa, mukmin itu hatinya sentiasa terikat dengan Allah. Sentiasa ingat kepada Dia. Maknanya kita sentiasa mempunyai Inner Peace! Sepatutnyalah.




Kerana itulah Allah melatih kita dengan solat 5 waktu setiap hari. Dan Allah mewajibkan toma'ninah (ketenangan) sebagai salah satu rukun dalam solat. Kerana itulah mukmin itu seharusnya tenang sebagaimana sabda nabi, 
"Sungguh ajaib dalam urusan orang mukmin! Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang mukmin. Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka kebaikan baginya dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka kebaikan baginya." - (Hadis riwayat Muslim) 
 MAKA, adakah kita sebahagian daripada orang mukmin? Adakah kita mempu khusyuk dalam solat? Adakah kita mencapai ketenangan itu? Adakah kita termasuk dalam golongan yang dikatakan ajaib itu?

Jika tidak, teruslah berusaha dan selamat beramal!

Nota: Jangan cuba sambut peluru meriam jika anda rasa anda sudah mencapai Inner Peace. Jangan cuba membelah api jika anda rasa anda sudah mengosongkan minda. Kelak anda mungkin kembali kepada Sang Pencipta serta-merta.

Tuesday, June 3, 2014

Karnival Amal Islami: Sebuah catatan pengalaman






MGBSIM, Karnival Amal Islami.

Memberi sebuah hikmah yang tak terbayar dengan sejuta tan emas. Menunjukkan bahawa, kesungguhan itu merupakan asas kejayaan. Dan juga dorongan dan panduan seorang guru.

Sebuah misi mampu dicapai dengan kedua-dua unsur ini. Dan berdikari, terdapat hadnya tersendiri. Dengan berdikari sahaja, kita mampu menguatkan apa yang sedia ada. Namun untuk menambahkan kekuatan yang sedia ada, kita tidak boleh tidak perlukan guru, mentor, coach, murabbi dan sebagainya.

Maka begitulah kisah Al-Amin di KAI. Kerana terlalu berdikari tanpa panduan, kami telah memaksimakan penggunaan bakat yang kami ada, namun tidak cukup untuk mengatasi mereka yang berusaha berbakat dengan panduan.

Begitulah manusia dalam hidup, tidak mampu untuk mendapat redha Allah hanya dengan berfikir dan beramal sendiri. Kita perlukan bantuan wahyu untuk berjaya. Kerana itu manusia yang beribadah dengan cara wahyu lebih baik daripada yang bertapa siang malam mengikut logik akalnya.

KAI juga menunjukkan kesungguhan itu akan terzahir semasa penilaian. Kita dapat cam siapa yang bersungguh dan siapa yang main-main dalam persediaan semasa pertandingan. Nasyid contohnya, siap dengan gaya gerak tangan badan, dengan baju yang seragam siap songkok yang berhias. Itulah yang bersungguh. Memang syaratnya nasyid sahaja tetapi pemakaian seragan dan kemas itulah yang menzahirkan kesungguhan.

Begitu jugalah hidup. JIka kita benar-benar bersungguh-sungguh, perkara kecil yang dianggap remeh itulah yang kita jaga. Syaratnya puasa tak makan minum namun kita jaga tidak melakukan pembaziran dan sebagainya.

KAI juga merapatkan ukhuwwah antara kami. Tak pernah diketahui perangai dia ini begini begitu akhirnya kenal. Kita jangan sangka kita sudah kenal seseorang itu jika kita belum bermusafir dengannya. Nak-nak kalau kita kenal orang itu semasa stress. Ketika itulah warna sebenar dia muncul.



KAI juga mengajar kita tentang pandangan berbeza. Ana tewas ana terima. Namun ada seseorang yang ana yakin dia menang tetapi tewas tanpa nombor itu ajaib. Kerana pada hemat ana, dia lebih bergaya dan gaya bahasanya lebih sedap daripada orang lain. Isinya juga mantap. Namun, itu hanya pandangan.

Bagaimana nanti dengan pandangan Tuhan? Pada kita, kita sudah melakukan yang elok dan berkualiti. Namun pada Allah? Adakah Allah akan terima amal yang kita rasa terbaik itu bakal diterima? Maka adakah kita masih enggan melakukan ibadah tambahan, yang sunat misalnya?

KAI juga mengajar untuk meluruskan niat. Jika kita datang niat nak menang, dah usaha sungguh-sungguh, tapi kalah juga, maka sia-sialah niat kita. Para sahabat mereka keluar rumah dengan banyak niat. Contoh hendak pergi ke masjid, mereka berniat hendak solat, cari redha Allah, iktikaf, hindar daripada aktiviti lagha dan maksiat, nak jumpa orang dan senyum dan macam-macam niat lain. Dan bagi mereka ganjaran bagi setiap niat mereka. Jadi niatlah pelbagai dalam pergi KAI.


Kata orang, guru yang paling hebat ialah pengalaman. Maka Alhamdulillah, Allah sediakan jalan untuk baiki kemahiran dan mendapat hikmah yang tak ternilai dan disangkakan.

Wednesday, May 28, 2014

Guru yang terikat tangannya



Sayang. Apabila guru menggunakan kekerasan untuk mendidik pelajar, pelajar melaporkan kepada ibu bapa.

Sayang. Apabila ibu bapa mendengar cerita yang ditambah perisa oleh anak-anak, ibu bapa menelefon sekolah serta mengugut guru dan mengancam saman tanpa mengambil kira salah anaknya.

Sayang. Selepas dilaporkan dan disaman, anak itu tiada siapa lagi mahu rotan bahkan layan. Jika didenda dia akan laporkan bukan? Lantak dia lah dia nak jadi apa!

Wahai pelajar, ketahuilah guru merotan mencubit itu kerana mendidik kita. Agar kita tidak berterusan meludah merata-rata, mengejek dan mengata sampai ke tua. Atas dasar sayang dan tidak mahu kita mengulanginyalah guru memukul kita. Selagi pukul itu bersebab, buat diam sahaja. Insaflah akan dosa. Berazam tidak mengulanginya.

Wahai ibu bapa, jangan terima bulat-bulat kata-kata anak anda. Boleh jadi mereka menipu anda. Jangan terlupa guru memukul mesti ada sebab. Jika anak anda kata tiada sebab, tanya dulu guru tersebut. Jangan marah tak tentu hala. Jika ada sebab, anda harus berterima kasih kerana ada juga orang yang sayang anak anda dan membantu anda mendidik anak anda agar menjadi soleh dan musleh, aset anda semasa di akhirat kelak.

Wahai guru, bersabarlah anda. Moga Allah rahmati anda di mana jua anda berada membina anak-anak manusia.

Wahai, mengapalah mengikat tangan guru dalam mendidik anak bangsa? Bukankan terdapat konsep "carrot and stick" dalam psychology? Bukankah terdapat konsep "targhib dan tarhib" dalam Islam?

Wahai, nabi kita hanya berlembut dengan kanak-kanak. Yang sudah berumur 7 tahun nabi menyuruh untuk rotan jika enggan solat. Umur sekolah menengah bukan lagi umur bermanja mengada. Umur sudah remaja dewasa. Jika perangai tidak diubah ketika ini, akan berlarutan sehingga ke tua. Nabi pernah memukul sahabat yang tidak lurus barisannya semasa Badar bukan?

Saya seorang yang masih sekolah menengah namun saya rimas dengan perkembangan ibu bapa menyaman sana sini. Agak-agak bila guru itu memang gila pukul anak sampai separuh nyawa barulah kalau nak kecoh satu dunia. Ini guru cubit sikit telefon sekolah marah-marah.

Hasil mak saya kejar dengan rotan keliling rumah akhirnya saya boleh mengaji. Hasil guru sekolah rendah merotan saya solat dengan baik. Ingat lagi seorang guru, "Cubit cubit sayaaang!" sambil mencubit dan pulas perut semasa darjah 1. Hasil berdiri atas kerusi, ust pukul semasa sekolah menengah mengajar saya untuk beradab dengan guru.

Dan kalau saya laporkan kepada ibu bapa saya yang saya kena rotan, siaplah saya kena rotan buat kali kedua.

Nah! Tengok "Anakku Sazali" P. Ramlee. Bagaimana kasih sahaja tidak cukup untuk mendidik.

Bukan nak kata satu-satunya cara mendidik adalah menggunakan kekerasan. Tapi salah satu cara mendidik ialah menggunakan kekerasan. Sebahagian murid jika tidak dirotan tak jalan. Sebahagian cukup dengan kasih sayang dan kaunseling.

Tuesday, May 27, 2014

Tiada solat tanpa toma'ninah



Pernah suatu ketika Nabi SAW meminta seorang sahabat solat semula. Selepas beberapa kali beliau solat, Nabi masih meminta beliau solat semula kerana "Sesungguhnya engkau belum solat." Sehingga sahabat tersebut tanya kepada Rasulullah, mengapa dikatakan dia belum solat?

"Tiada solat kecuali dengan toma'ninah."

****
Toma'ninah. Iaitu ketenangan. Selalu orang kita mentafsirkan toma'ninah sebagai berhenti sekejap sebelum rukun seterusnya.

Tetapi apa yang pasti, toma'nimah adalah tenang. Tiada solat tanpa ketenangan. Jika kita ruku' dan sujud sejam pun tak dikira jika tidak mempunyai ketenangan.

Kita? Agaknya jika nabi berkata kepada kita, "Sesungguhnya engkau belum solat," mau kita mengamuk kata "Dah solat dah tadi!" Namun inilah generasi sahabat yang unggul. Mereka taat dan akur.

Kita? Jika Nabi muncul di masjid-masjid kita, terutamanya di surau tempat kerja, tentu ramai yang Nabi paksa solat semula. Kerana hati kita tidak tenang. Kerana hati kita banyak dosa. Kerana kita terbelenggu dek fatamorgana nikmat dunia.

Kita? Ramai yang solat tergesa-gesa. Kalau nak pergi dating bukan main lama pun takpa. Kalau jumpa Pencipta secepat mungkin nak ditamatkannya. Padahal dosa banyak macam buih di lautan lagaknya.

Patutlah solat yang sepatutnya mencegah perbuatan keji dan mungkar tidak memberi kesan terhadap kita. Kerana jasad solat tetapi ruh ntah ke mana. Ruku' dan sujud kadangkala bolrh termengah terlalu segera. Mata dan hati memelilau ke alam fana.

Argh! Diterimakah solat kita? Ayuh perbaiki solat kita!

Monday, May 26, 2014

Dustakah kita?



"Siapa Tuhan kau?"
"Mana Kiblat kau?"
"Siapa Nabi kau?"
"Siapa Saudara kau?"
"Apakah Agama kau?"

Kita mampu bermaharaja lela menjawab soalan-soalan di dunia. Malah sebahagian kita telah menghafalnya. Bait-bait talqin sentiasa dialunkan ketika majlis pengkebumian saudara kita.

Namun adakah kita berdusta dalam mengucapkan ikrar itu?

Bagaimana kita hendak mengatakan Allah itu Tuhan kita sedangkan kita tidak meletakkan ketaatan itu hanya untuk Allah semata? Meletakkan apa orang kata lebih tinggi daripada arahan kalamNya?

Bagaimana kita mengatakan Kaabah itu kiblat kita sedangkan yang kita idamkan ialah pergi berbulan madu di pantai Florida sana? Teringin menghidu keseronokan yang sementara?

Bagaimana kita mengatakan Nabi Muhammad Nabi kita sedangkan kita tidak mengambil contoh teladan daripadanya? Sibuk berjoget-joget lucah menyanyi yang ntah apa-apa?

Bagaimana kita mengatakan saudara kita semua orang Islam sedangkan kita sanggup membelanjakan banyak wang untuk bersuka-ria sedangkan Ummah ada yang sedang menderita? Mengabaikan mereka seperti mereka bukanlah manusia?

Bagaimana kita mengaku Islam agama kita sedangkan solat 5 waktu pun tidak sempurna? Kalau puasa pun hanya sekadar lapar dan dahaga?

Jadi bagaimana? Adakah selama ini kita berdusta?

Maka kepada siapa kita berdusta? Kepada Allahkah?

Tidak. Hakikatnya kita sedang menipu diri kita sahaja. Membiarkan diri binasa sedang kita sendiri menyedarinya.

Dan ingat. Hari itu bukan lagi lidah yang berbicara bahkan segala amalan dan semua anggota.

Justeru jujurlah,
"Siapa Tuhan kau?"
"Mana Kiblat kau?"
"Siapa Nabi kau?"
"Siapa Saudara kau?"
"Apakah Agama kau?"

Aku mengingatkan sebelum tiba masanya. Bila sudah tiba maka menangis air mata darah sekalipun tidak akan diterima taubatnya.

Saturday, March 24, 2012

Taat. Benarkah kita?


Beberapa tahun yang lepas, ada seorang khatib di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIA membawa sebuah cerita yang cukup menarik untuk menerangkan tawakkal dan taat kita kepada Allah. Ceritanya lebih kurang begini (dah ingat-ingat lupa dah...).

"Pada suatu hari, terdapat sebuah kumpulan remaja ingin mendaki gunung. Oleh kerana hari sudah lewat petang, dan mereka masih jauh daripada tempat persinggahan mereka. Ketika hari sudah gelap, mereka sedang  memanjat sebuah cerun curam menggunakan tali. Tiba-tiba, mereka terjatuh. Namun, salah seorangnya berjaya berpaut kepada tali yang digunakan untuk memanjat tadi kita namakannya Ahmad.

"Oleh kerana keadaan yang gelap-gelita, dicampur dengan kabus yang tebal, Ahmad tidak dapat turun daripada tali tersebut kerana tidak tahu berapa jauhnya dia dengan tanah yang rata. Dia terus berpaut pada tali tersebut dalam keadaan kesejukkan. Dia berdoa agar Tuhan membantunya dan menyelamatkannya. Tuhannya menyerunya, "Lepaskanlah tali itu".

"Namun, Ahamd tidak percaya. Lepaskan tali? Matilah kalau lepaskan tali ini. Kalau hidup pun mesti merana. Cerun curam lah. Tak kan nak jatuh begitu sahaja?. Dia enggan melepaskan tali tersebut.

"Pada keesokan harinya, pasukan penyelamat menemui Ahmad mati kesejukkan tergantung pada talinya. Pasukan penyelamat berasa pelik mengapa Ahamd tidak melepaskan tali tersebut. Ahmad tergantung hanya satu kaki daripada tanah rata yang berada di bawah."

Pengajarannya:
1. Taat kepada Allah. Dia Tuhan manusia. Dia tidak akan memudharatkan kita sewenang-wenangnya. Jika arahan itu datang daripada Allah, tidak perlu dipersoal. Hanya taat. Contohnya, jika ditanya mengapa memakai tudung, jawablah kerana Allah suruh.

2. Arahan Allah itu ada hikmahnya. Allah sebagai Tuhan manusia tahu apa yang bermanfaat buat manusia da apa yang memudharatkan kita. Contohnya, Allah suruh jangan banyak bercakap. Apa hikmahnya? Sebab kata-kata kan lebih tajam daripada pedang. Kalau lagi banyak bercakap, lebih mudah terlepas cakap.